27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 17, 2026

Pulut sambal ayam dan manisan tradisional Kelantan antara tarikan di Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Inovasi dalam dunia kulinari tempatan terus berkembang apabila seorang peniaga memperkenalkan kelainan dalam juadah tradisional yang dijual iaitu pulut sambal ayam yang kini mula mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan.

Nazira Muhammad Nazim berkata, idea menghasilkan pulut sambal ayam ini tercetus secara tidak langsung apabila dia sering menyediakan hidangan berkenaan untuk anak-anak di rumah.

Menyedari potensi keenakan resipi ini yang jarang diketengahkan, dia mula mengkomersialkannya sekitar setahun yang lalu.

“Sebelum ini ramai orang jual pulut daging atau sambal ikan, jadi saya fikir kenapa tidak buat sesuatu yang lain sikit.

“Kebetulan saya memang selalu masak sambal ayam untuk anak-anak, jadi saya cuba padankan dengan pulut. Tak sangka pula bila orang rasa, ramai yang suka,” katanya ketika ditemui pada Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 September 2025, bertempat di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (Zon B & C), Kota Bharu itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN).

Kini, pulut sambal ayam hasil air tangannya dijual di sekitar Kota Bharu, terutamanya di kedai-kedai makan dan kopitiam terpilih.

Dengan harga hanya RM3 sebungkus, Nazira mampu menghasilkan lebih 50 bungkus setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menariknya, selain hidangan utama, Nazira juga turut menceburi bidang pembuatan manisan tradisional yang diinspirasikan daripada cita rasanya terhadap pencuci mulut Melayu dan elemen gabungan Thailand.

Antara bahan yang terdapat dalam manisan itu ialah berasaskan santan dan bahan tradisional seperti butir nangka, pisang, labu dan ubi yang dikemaskan dengan sentuhan moden seperti penambahan ais krim dan es kering.

“Manisan ini mungkin nampak seperti pengat, tapi kita beri kelainan. Bila orang cuba, mereka kata rasa dia macam coconut shake versi tradisional ada manis, lemak, sejuk, memang sesuai dengan cuaca panas,” katanya.

Walaupun masih baharu dalam dunia perniagaan makanan, Nazira melihat potensi besar dalam produk tempatan sekiranya diberi nafas baharu dan dibungkus dengan cara yang lebih menarik.

Setakat ini, produk jualannya lebih banyak dipasarkan di acara karnival dan majlis-majlis komuniti, namun tidak menolak untuk mengembangkan pasaran ke luar Kelantan pada masa akan datang.

“Saya selalu fikir, kalau kita travel ke negeri lain, susah nak jumpa manisan atau pulut seperti ini. Jadi kenapa tidak kita bawa ke depan, beri peluang orang luar rasa sendiri keunikan makanan kita,” katanya lagi.

Dengan dedikasi dan keunikan produk yang ditawarkan, usaha Nazira menjadi contoh bagaimana kreativiti dalam mengolah resipi warisan mampu membuka peluang baharu dalam perniagaan makanan tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular