editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 membuka tirainya hari ini dengan suasana penuh warna-warni dan meriah di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Festival selama tiga hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
Objektif utama penganjuran adalah untuk mengetengahkan keunikan dan kepelbagaian makanan warisan Pantai Timur sebagai aset pelancongan budaya yang penting bagi negara.
Hari pertama festival dimulakan dengan sesi eksklusif bersama chef selebriti tersohor tanah air, Dato’ Chef Ismail, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pakar Makanan Warisan JWN.

Beliau mempersembahkan dua hidangan tradisional istimewa iaitu Kerabu Beko dan Sambal Tempoyak Daun Kayu sambil berkongsi kisah dan asal-usul di sebalik resipi-resipi yang jarang ditemui di dapur moden.
Demonstrasi ini bukan sahaja mencuit selera pengunjung, malah menghidupkan kembali memori dan tradisi masakan nenek moyang.
Turut hadir memeriahkan pembukaan festival ialah Timbalan Pengerusi I PUSPANITA MOTAC Datin Che Rokiah Mahmod dan pihaknya turut memberikan sokongan berterusan kerajaan terhadap inisiatif memperkenalkan seni kulinari warisan ke pentas arus perdana.
Kehadiran beliau membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya menerusi pendekatan yang lebih segar dan kontemporari.
Menjelang petang, suasana festival semakin rancak dengan slot santai bertajuk “Menjadi Food Influencer Berilmu” yang menampilkan personaliti media sosial popular, Kaki Jale dan Abe Wea.

Sesi ini berjaya menarik perhatian golongan muda, menyuntik perspektif baharu mengenai peranan media sosial dalam mempromosikan makanan tradisi serta menyebarkan mesej positif tentang budaya tempatan secara kreatif dan bertanggungjawab.
Kemuncak kepada aktiviti siang hari termasuklah Pertandingan Masakan Warisan Pantai Timur anjuran Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) cawangan Kelantan dan demonstrasi Teh Tarik oleh Adabi, yang turut menjadi tumpuan ramai.
Sorakan dan gelak tawa penonton membangkitkan suasana mesra dan penuh keterujaan, membuktikan bahawa warisan kulinari tempatan masih dekat di hati masyarakat pelbagai peringkat umur.

Pada sebelah malam, festival diteruskan dengan pengisian rohani melalui ceramah agama bertajuk “Makanan Sunnah untuk Keberkatan dan Kesihatan”, yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd Kashim.
Sesi itu dimoderatorkan oleh Ustaz Muhammad Zikri dari JWN yang, memberi penekanan terhadap konsep makanan sebagai sumber keberkatan dalam kehidupan seharian.
Inisiatif ini turut mencerminkan peranan MOTAC dalam mengukuhkan sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri melalui penghayatan nilai warisan dalam kehidupan moden.

Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang berlangsung sehingga 7 September ini, menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memasak, jualan makanan warisan, demonstrasi masakan dan sudut interaktif untuk seisi keluarga.
Festival ini terbuka secara percuma kepada orang ramai, dengan pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada pengunjung.

Penganjuran festival ini bukan sahaja mempersembahkan kekayaan cita rasa dan budaya masyarakat Pantai Timur, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh imej Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya utama negara.

