editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi lima kejohanan taekwondo bertaraf Asia yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 31 Julai tahun ini.
Kejohanan yang akan diadakan ini termasuk Kejohanan Taekwondo Kyorugi Remaja, Kejohanan Poomsae Remaja, Kejohanan Kyorugi Kadet, Kejohanan Poomsae Kadet, dan Kejohanan Taekwondo Para.
Taekwondo Malaysia (TM) dalam satu kenyataan berkata, penganjuran lima kejohanan ini bukan sahaja akan memberi platform utama untuk Malaysia sebagai peneraju dalam menganjurkan kejohanan taekwondo bertaraf dunia, tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran atlet tempatan serta mempersiapkan mereka bagi cabaran antarabangsa yang lebih besar.
TM turut menyeru semua organisasi sukan taekwondo untuk menyertai badan induk yang sah bagi memastikan pengiktirafan rasmi dan mengelakkan sebarang isu undang-undang.
TM juga mengesahkan kedudukannya sebagai badan pentadbir tunggal sistem Taekwondo Dunia (WT) di Malaysia, yang diberi kepercayaan untuk mewakili negara dalam pertandingan-pertandingan WT di seluruh dunia.
“Seiring dengan perkembangan ini, TM telah mengadakan sesi penilaian semula serta pengenalan bagi atlet dan pegawai dari Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dan Kukkiwon Malaysia.
“Langkah ini menandakan komitmen kami untuk memupuk inklusiviti dan kerjasama dalam mencapai matlamat bersama, iaitu layak ke Sukan Olimpik 2028 dan meraih pingat Olimpik pada 2032,” kata kenyataan itu.
Dengan penganjuran kejohanan ini, Sarawak dijangka menjadi pusat tumpuan sukan taekwondo Asia dan memberikan impak besar terhadap pembangunan sukan ini di Malaysia.