editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kekecohan berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada Sabtu petang, membabitkan sekumpulan warga Palestin yang dikatakan mendesak agar proses permohonan mereka untuk kembali ke tanah air dipercepatkan.
Insiden terbabit tercetus sekitar jam 5 petang dan berjaya dikawal oleh pihak berkuasa tanpa sebarang insiden pergaduhan serius.
Menurut kenyataan daripada Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kekecohan itu timbul kerana warga Palestin berkenaan ingin segera pulang ke Palestin.
“Pihak tentera telah mengambil langkah segera dengan berbincang bersama mereka untuk menyelesaikan masalah ini,” jelas kenyataan itu.
Walaupun situasi sempat tegang, ia dapat dikendalikan dengan baik tanpa membabitkan sebarang kecederaan.
Hanya beberapa perabot di WTKL yang mengalami kerosakan kecil. Sekitar jam 7.30 malam, keadaan reda dan warga Palestin terbabit telah bersurai.
Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden ini.
Terdahulu, video insiden terbabit tular di media sosial, menunjukkan beberapa warga Palestin merosakkan perabot dan membakar cadar sebagai tanda protes terhadap keadaan yang mereka alami.
Insiden ini mengingatkan orang ramai kepada kejadian serupa yang berlaku pada Oktober tahun lalu, di mana dua wanita Palestin juga melakukan kekecohan di Malaysia setelah mendesak untuk dihantar pulang ke Gaza.
Mereka adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang dibawa ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan ekoran serangan Israel ke atas Gaza.
Pada 4 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk rawatan susulan.
Dalam usaha ini, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia telah membawa mereka yang tercedera, termasuk bayi seawal usia lapan bulan, dari Mesir ke Malaysia pada 16 Ogos.

