25.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026
Home Blog Page 99

Menjulang warisan muzik Melayu Klasik: Lagu Dari Seluloid Volume 2 digitalisasi 10 lagu legenda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyemarakkan semangat warisan muzik Melayu, Lagu Dari Seluloid Volume 2 adalah projek pengarkiban pendigitalan dan rakaman semula 10 lagu dari filem-filem Melayu Klasik era 1950-an.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengadaptasi skor muzik dan rakaman audio secara digital, mengikut arus perkembangan teknologi digital masa kini.

Projek ini diterajui oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade.

Tujuan utama adalah untuk memastikan khazanah seni muzik Melayu Klasik ini dapat dikekalkan dan diakses oleh generasi akan datang, selain memperkenalkan karya agung ini dalam bentuk digital yang lebih segar.

Dengan sokongan Yayasan Hasanah, projek ini memberi fokus pada pengarkiban lagu-lagu dari filem-filem Melayu yang dihasilkan tanpa bantuan teknologi canggih seperti yang kita lihat hari ini.

Projek Lagu Dari Seluloid Volume 2 ini adalah kesinambungan daripada projek yang dilancarkan pada tahun lalu.

Ia bertujuan untuk mengangkat martabat karya seni komposer, penulis lirik, dan penyanyi yang terlibat dalam filem-filem klasik era terbabit.

Selain itu, projek ini diharapkan dapat menjadi sumber rujukan yang penting untuk perkembangan muzik dan filem Malaysia pada masa hadapan.

Antara lagu-lagu yang dikumpulkan dalam projek ini termasuklah Merpati Dua Sejoli dari filem Bakti (1950), Semarak Hati (filem Juwita – 1951), Mesra Ibu/Kasih Ibu (filem Sedarah – 1952), Ingin Tahu (filem Hujan Panas – 1953), Chahaya (filem Insaf – 1954), dan Sejakku Bertemu Padamu (filem 4 Isteri – 1955).

Lagu-lagu lain yang turut tersenarai termasuklah Tiada Kata Secantik Bahasa (filem Anakku Sazali – 1956), Nak Dara Rindu (filem Bujang Lapok – 1957), Sumpah Tanda Setia (filem Gergasi – 1958), dan Sang Ratu (filem Raden Mas – 1959).

Barisan penyanyi yang terbabit dalam projek ini termasuk Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie, dan Idris Brown, dengan sebahagian lagu dinyanyikan secara solo dan duet.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan kesahihan sejarah lagu-lagu ini, projek ini turut menjalankan kajian terperinci dengan mewawancara tokoh penting seperti maestro muzik dan komposer, Dato’ Dr. Johari Salleh, serta pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzi.

Kedua-dua tokoh ini dikenali dengan sumbangan besar mereka dalam perkembangan muzik dan sinema Malaysia di era kegemilangan Singapura.

Pengarah Urusan Mac Training Centre, Samirah Hambali, berkata pentingnya pengarkiban ini sebagai usaha memelihara muzik Melayu Klasik dan menyatakan penghargaan kepada Yayasan Hasanah atas sokongan berterusan mereka.

_cuva

Sementara itu, Pengarah Projek dan Pengarah Muzik, Shamsul Cairel berkata, salah satu cabaran dalam pengarkiban adalah kekurangan salinan filem lama, namun usaha keras pihak mereka berjaya membawa semula lagu-lagu ini dalam bentuk yang lebih segar dan relevan.

Projek ini juga membabitkan kerjasama dengan ASWARA, dengan sumbangan penyelidikan daripada pelbagai pihak termasuk Bahagian Muzik RTM, Arkib Negara, dan Perpustakaan Negara.

Rakaman audio dan visual yang lengkap dengan kredit komposer, penulis lirik, dan penyanyi akan disiarkan di saluran YouTube Mac Training Centre Sdn Bhd pada 27 Februari 2025.

Projek ini mendapat tajaan daripada Mastika Katering, ASWARA sebagai penaja venue, serta geran ArtsFAS 2024 dari Yayasan Hasanah, yang turut menyokong usaha pelestarian seni warisan negara.

Untuk info, projek Lagu Dari Seluloid yang pertama kali dilaksanakan tahun lalu turut mengetengahkan lagu-lagu dari filem klasik seperti Sayang Di Sayang (filem Racun Dunia – 1950), Rindu Hatiku Tidak Terkira (filem Juwita – 1951), dan Ibu (filem Ibu – 1953), antara lain.

HONOR raih lebih 50 anugerah media untuk inovasi AI dan produknya di MWC Barcelona 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global HONOR berjaya mencuri tumpuan di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2025 di Sepanyol dengan memperkenalkan HONOR ALPHA PLAN.

Strategi korporat baharu ini menyasarkan untuk mentransformasikan HONOR daripada sebuah pengeluar telefon pintar kepada syarikat ekosistem peranti AI yang terkemuka di peringkat global.

Pengumuman ini telah menarik perhatian media-media global dan pakar industri, sekaligus menandakan fasa penting perjalanan HONOR ke arah kecemerlangan inovasi dan teknologi.

Ini terbukti dengan HONOR menerima lebih 50 anugerah media bagi inovasi AI dan kecemerlangan produknya semasa di MWC.

Ketika MWC, HONOR telah memperkenalkan peranti baharu HONOR Watch 5 Ultra, HONOR Pad V9, HONOR Earbuds Open dan HONOR MagicBook Pro 14 yang menerima pujian daripada pelbagai agensi media seperti TechRadar, Tom’s Guide, Android Authority, 9to5Google dan GadgetMatch kerana mengetengahkan ciri-ciri inovatif, prestasi tinggi serta rekaan menawan, menjadikan peranti ini lebih menonjol berbanding yang lain.

HONOR Watch 5 Ultra telah dinobatkan sebagai Jam Tangan Pintar Terbaik MWC 2025 oleh TechRadar yang memuji kombinasi luar biasanya dari segi harga mampu milik, keserasian pelbagai sistem, dan jangka hayat bateri yang lama.

TechRadar turut menonjolkan ciri-ciri jam ini seperti kerangka titanium, paparan AMOLED 1.5 inci dan jangka hayat bateri sehingga 15 hari.

Bagi tablet HONOR Pad V9, ianya mendapat pengiktirafan bagi rekaan dan prestasinya yang luar biasa.

Tom’s Guide menyifatkannya sebagai pesaing hebat bagi iPad, sambil mengetengahkan paparan yang menawan, jangka hayat bateri lama dan antara muka pengguna yang dipertingkatkan oleh AI.

9to5Google turut menyuarakan penilaian positif terhadap spesifikasi kukuh tablet berkenaan, termasuk prosesor yang laju, RAM besar, bateri berkapasiti besar serta pengecasan pantas.

HONOR Earbuds Open turut menerima pengiktirafan positif bagi rekaan terbuka yang unik serta kualiti bunyi yang bagus.

TechRadar menamakan fon putik ini sebagai ‘Earbud Terbaik’ kerana mempunyai audio luar biasa dengan bunyian bass yang lebih mantap berbanding beberapa pesaingnya.

Selain itu, fon putik ini turut dilengkapi pembatalan bunyi aktif, terjemahan langsung AI, rekaan yang nipis dan mudah dibawa.

GadgetMatch juga memuji keselesaan dan kualiti bunyi hebat Earbuds Open, terutamanya untuk bas yang disifatkan sebagai “bassing”, dan setanding fon putik terbaik lain di pasaran.

HONOR MagicBook Pro 14 pula diiktiraf kerana reka bentuk yang anggun dan keupayaan prestasinya.

NotebookCheck khususnya memuji paparan OLED dengan ketepatan warna yang tinggi dan pilihan dua prosesor Intel berbeza, menjadikan komputer riba ini pilihan menarik bagi golongan profesional yang mencari visual berkualiti tinggi dan kuasa pemprosesan yang mantap.

Dalam pada itu, agensi media CNBC, Reuters, Bloomberg, Tom’s Guide dan ZDNet mengiktiraf HONOR ALPHA PLAN atas pelaburan AS$10 bilion dalam AI, pengembangan strategik HONOR dalam ekosistem pelbagai yang dikuasakan AI, serta komitmen jenama ini menyediakan 7 tahun kemas kini Android OS dan keselamatan bagi siri HONOR Magic.

Strategi berkenaan meletakkan HONOR sebagai pesaing yang serius kepada penggiat teknologi terkemuka yang lain.

Dongfeng perkenal model EV baharu di Mydin USJ

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Dongfeng Cars Malaysia, anak syarikat PEKEMA yang diwakili oleh Central Auto Distributors Bhd, telah mengambil peluang untuk memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu mereka, Dongfeng Box, di Mydin Mall USJ.

Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai sendiri keunikan serta teknologi terkini dalam dunia EV.

Program ini juga diserikan dengan kehadiran Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, yang turut hadir bersama isteri serta barisan kepimpinan PEKEMA.

Dalam kesempatan itu, Dongfeng turut memperkenalkan tawaran istimewa untuk dua model EV mereka, iaitu Dongfeng E2 dan Dongfeng E3.

Dengan harga bermula dari RM78,888 dan RM88,888, tawaran ini terhad kepada jumlah unit yang tertentu.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen PEKEMA untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau.

Penggunaan EV bukan sahaja membantu mengurangkan kesan perubahan iklim, tetapi juga memastikan masa depan yang lebih lestari bagi negara.

Yayasan PEKEMA salur RM600,000 bantu asnaf dan pelajar tahfiz menjelang Syawal

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menyambut kedatangan Syawal, Yayasan PEKEMA sekali lagi memperuntukkan RM600,000 dalam usaha meringankan beban anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara bagi membuat persiapan hari raya.

Inisiatif tahunan ini menyaksikan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah dalam sebuah program khas yang diadakan di Mydin Mall USJ, Subang Jaya.

Program ini adalah yang pertama daripada siri bantuan yang akan dilanjutkan ke pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga simbol keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

“Kehadiran kami adalah lebih daripada sekadar menyampaikan sumbangan, ia adalah tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Diharapkan program ini dapat membawa kegembiraan dan mengurangkan beban mereka dalam menyambut Syawal,” katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025.

Bantuan ini tidak hanya tertumpu di Selangor, tetapi turut diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang, bagi memastikan lebih ramai yang mendapat manfaat.

Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi, termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut menerima perhatian dalam program ini.

Dengan pemilihan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah, program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak Mydin.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, turut hadir bersama isteri serta barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan bersama Yayasan PEKEMA.

Mohamed Nazari berkata, pihaknya berharap usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Setiap sumbangan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan perlu dikongsi bersama.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program ini dan berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu golongan yang memerlukan, terutama menjelang musim perayaan.

U Mobile dan Qualcomm jalin kerjasama percepat transformasi digital IoT Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – U Mobile Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Qualcomm Services Ltd untuk mempercepatkan transformasi digital dalam pasaran Internet of Things (IoT) di Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penjejakan masa nyata, pemantauan peranti, serta kecekapan dalam rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile Neil Tomkinson, berkata kerjasama ini akan memacu inovasi dalam penyelesaian IoT, seterusnya membolehkan rantaian bekalan menjadi lebih berdaya saing dan cekap.

“Melalui gabungan rangkaian generasi akan datang kami bersama Qualcomm Aware Platform, kami dapat memastikan prestasi yang lancar dengan latensi ultra rendah dan pemindahan data berkelajuan tinggi, yang memungkinkan automasi yang lebih maju,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut U Mobile, penyelesaian ini akan membantu meningkatkan pengesanan dan keselamatan aset, menambah baik kecekapan operasi, serta mengurangkan kos operasi perusahaan melalui penggunaan analisis ramalan dan automasi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

Bagi memperluaskan penerapan teknologi ini, kedua-dua pihak akan membangunkan strategi khusus untuk pelbagai industri, termasuk sektor yang memerlukan penjejakan masa nyata seperti logistik, penjagaan kesihatan, dan pembuatan.

Kerjasama ini turut menyasarkan industri yang bergantung kepada keadaan persekitaran seperti farmaseutikal, pertanian, dan logistik rantaian sejuk, serta sektor yang sedang melaksanakan transformasi digital seperti peruncitan pintar, minyak dan gas.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang merasmikan kerjasama ini telah ditandatangani di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress (MWC) 2025 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Chee Hong Leong.

Adidas umum kurangkan 500 pekerja, langkah penstrukturan semula operasi

editormaxinfo@gmail.com

FRANKFURT – Syarikat sukan gergasi, Adidas, mengumumkan langkah drastik untuk mengurangkan 500 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur semula operasinya.

Keputusan ini diambil selepas perpisahan kontroversi dengan penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Kanye West, yang telah memberi impak besar kepada jenama terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Bjorn Gulden berkata, pengurangan tenaga kerja ini akan membabitkan kakitangan di ibu pejabat syarikat di Herzogenaurach, Jerman, dan pelaksanaannya akan dilakukan secara sukarela.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik pasaran global,” kata Gulden.

Gulden yang mengambil alih kepimpinan Adidas pada tahun 2023, ketika syarikat itu berdepan krisis berikutan penamatan kontrak dengan Kanye West atau Ye susulan kenyataan anti-Semitik yang dikeluarkan oleh artis berkenaan, berkata, syarikatnya kini berusaha untuk mengatasi kesan daripada kontroversi itu.

Sejak itu, Adidas telah mengambil langkah untuk menjual stok kasut Yeezy yang masih ada bagi mengurangkan kerugian yang dialami.

Walau bagaimanapun, Adidas masih berdepan cabaran global, termasuk kemungkinan tarif baharu yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang boleh memberi kesan kepada operasi syarikat. -Agensi

AirAsia pindahkan perkhidmatan domestik ke KLIA T2 bermula 7 April 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – AirAsia mengumumkan pemindahan operasi perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2), bermula pada 7 April 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, langkah ini bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan permintaan perjalanan yang semakin meningkat, serta untuk meningkatkan pengalaman penerbangan secara keseluruhan.

“Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan kemudahan yang mudah, terutama bagi penduduk bandar, pembangunan semula lapangan terbang ini untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.

“Oleh itu, AirAsia akan menggabungkan semua operasinya di KLIA T2 untuk memaksimumkan kecekapan dan memberi pengalaman yang lebih baik kepada tetamu kami,” kata kenyataan itu.

AirAsia juga berkata, jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching telah meningkat lebih daripada 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Oleh itu, pemindahan operasi domestik ke KLIA T2 adalah langkah tepat untuk menampung peningkatan trafik dan memastikan keberkesanan operasi yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, KLIA T2 mempunyai infrastruktur yang lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar, terutamanya pada waktu puncak perjalanan.

“Dengan kapasiti yang lebih besar di KLIA T2, kami akan dapat terus berkembang dan menawarkan lebih banyak penerbangan, khususnya ke Sabah dan Sarawak yang kini mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar, AirAsia akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada.

Ini akan membolehkan tetamu yang merancang perjalanan semasa musim perayaan menikmati kemudahan Subang sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2.

“Sesi perundingan yang positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat ketersambungan jangka panjang,” katanya lagi.

Untuk rekod, AirAsia mula beroperasi di Lapangan Terbang Subang pada 30 Ogos 2024, dengan memperkenalkan dua laluan utama iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

Piala Esports Malaysia 2025 bermula sabtu ini, pasukan Mobile Legends: Bang Bang bakal beraksi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Piala Esports Malaysia 2025 bakal mencuri perhatian peminat e-sukan apabila ia membuka tirainya pada Sabtu ini dan berlangsung sehingga 23 Mac.

Kejohanan ini akan menyaksikan pertembungan antara pasukan-pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran kejohanan ini dengan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia.

Penganjuran Piala Esports Malaysia 2025 adalah salah satu inisiatif untuk memperkasakan industri e-sukan tempatan.

Selain itu, ia juga menjadi platform utama bagi pemain profesional dan semi-profesional untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam pertandingan yang penuh kompetitif.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing sengit, terdiri daripada lapan pasukan daripada Liga MPL Malaysia dan lapan pasukan dari Liga Akademi MLBB (MAL).

Format pertandingan yang kompetitif ini pastinya menjanjikan aksi yang mendebarkan serta strategi permainan yang mengagumkan.

Terdapat tiga peringkat utama yang akan dilalui oleh pasukan-pasukan yang bertanding iaitu peringkat Kumpulan (8 hingga 11 Mac): 16 pasukan akan bertanding secara dalam talian menggunakan format round-robin BO3.

Peringkat Play-In (14 hingga 16 Mac): Lapan pasukan yang layak akan bertanding dalam format double-elimination.

Peringkat Akhir (22 dan 23 Mac): Pertandingan akan berlangsung di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil.

Umairah sampaikan rindu di Hari Raya melalui single pertama, “Tak Balik Raya”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – SN Legacy Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan pelancaran single raya pertama daripada penyanyi Umairah yang berjudul Tak Balik Raya.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Tak Balik Raya mengisahkan dilema seseorang yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh dari keluarga akibat komitmen kerja.

Walaupun liriknya menyentuh perasaan dengan rasa rindu dan sayu, lagu ini turut menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar dan penuh ceria.

Menurut Umairah, lagu ini menceritakan realiti yang sering dihadapi oleh anak-anak rantau setiap kali musim perayaan.

Walaupun liriknya mengundang kesedihan, namun teknologi moden membolehkan mereka terus berhubung dengan keluarga melalui pelbagai cara, seperti panggilan telefon dan video.

“Lagu ini sangat mudah melekat di ingatan. Sejak saya melancarkan ‘teaser’ beberapa minggu lalu, saya menerima banyak komen positif daripada warganet.

“Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan, terutama sebagai artis baharu dalam industri muzik,” ujar Umairah yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara kategori vokal (junior) di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tak Balik Raya adalah hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Lagu yang disampaikan dengan penuh perasaan ini telah berjaya menambat hati Umairah sewaktu pertama kali mendengar demo beberapa bulan yang lalu.

“Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih lagu ini. Muziknya yang segar dan emosi yang dibawakan sangat sesuai dengan usia saya,” katanya.

Umairah bakal melancarkan video muzik untuk Tak Balik Raya di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada jam 9 malam ini. Video muzik ini dihasilkan oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio.

Dalam video muzik berkenaan, Umairah turut menampilkan rakan-rakan dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring.

Bagi Umairah, ini adalah cara untuk berkongsi bakat dan memberi peluang kepada rakan-rakannya yang berbakat dalam bidang tari untuk tampil ke hadapan.

Lagu Tak Balik Raya juga mendapat sokongan penuh daripada Universal Music Sdn. Bhd. sebagai pengedar yang akan membantu mempromosikan lagu ini terutama pada Ramadan dan Syawal.