29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 94

Kukuhkan dominasi serantau, KSIA kembali anjur KamiSempoi Golden Award 2024, rancang label muzik sendiri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyahut aspirasi untuk terus unggul dalam dunia digital, KamiSempoi International Agency (KSIA) kembali mencuri tumpuan dengan penganjuran KamiSempoi Golden Award 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini di Galaxy Banquet Hall, Sentul.

Acara tahunan yang semakin mendapat tempat ini bakal menjadi pentas pengiktirafan kepada live host TikTok dan rakan niaga KSIA yang telah memainkan peranan penting dalam membina nama agensi ini ke tahap antarabangsa.

Masih mengekalkan kedudukan sebagai agensi TikTok No.1 Platinum di Malaysia dan kini tersenarai dalam tujuh teratas di Asia Tenggara, KSIA sekali lagi membuktikan keupayaan mereka memperluas pengaruh di rantau ini.

Pengasasnya, To Chin Swee, yang lebih mesra dikenali sebagai Pakcik Chin Swee berkata, peningkatan jumlah kategori dalam anugerah tahun ini menjadi bukti kukuh akan kepercayaan dan sokongan komuniti digital terhadap KSIA.

Jika tahun lalu hanya 7 kategori disediakan untuk rakan niaga dan 15 kategori untuk live host, tahun ini menyaksikan lonjakan ketara dengan 12 kategori buat rakan niaga, manakala jumlah kategori untuk live host kekal sebanyak 15.

Namun kali ini dengan cakupan peserta yang lebih pelbagai merangkumi golongan selebriti, profesional, pelajar, suri rumah, individu berkeperluan khas serta ramai lagi.

Tiga kategori baharu turut diperkenalkan: Top Host KamiSempoi Singapura 2024, Top Host KamiSempoi Indonesia 2024, dan Top Host KamiSempoi  Malaysia 2024, yang mana antara mereka akan dinobatkan sebagai Top Host KamiSempoi of The Year 2024.

“Kami melihat peningkatan luar biasa dalam jumlah live host yang bernaung di bawah KSIA.

“Kini kami mempunyai 3,100 live host dari Malaysia, 1,400 dari Indonesia dan 100 dari Singapura, berbanding tahun lalu hanya sekitar 1,300 (Malaysia), 550 (Indonesia) dan 100 (Singapura).

“Rakan niaga kami juga meningkat kepada 27 di Malaysia dan 9 di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan, malah sebagai platform motivasi untuk meningkatkan daya saing dan mutu persembahan dalam kalangan komuniti live host.

Antara pencapaian membanggakan yang akan diraikan termasuklah kejayaan Adelyn Heng, yang tersenarai dalam Top 3 live host TikTok di Asia Tenggara dan Top 100 dunia.

Adelyn juga telah mewakili Malaysia ke acara antarabangsa anjuran TikTok.

Dalam pada itu, tiga rakan niaga KSIA yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu turut diberi penghormatan.

BossKlan mencatat pendapatan tertinggi dengan USD73,000 (RM309,372.41), diikuti KSIA Christ dengan USD68,000 (RM288,182.52) dan Mentol Talent sebanyak USD16,000 (RM67,807.65).

Sementara itu, selari dengan perkembangan pesat dan pengaruhnya yang melangkaui sempadan digital, KSIA turut mengumumkan perancangan strategik untuk melancarkan label muzik rasmi mereka.

Kolaborasi sulung bersama Miaw Music menyaksikan penerbitan lagu “KamiSempoi”, hasil ciptaan Kimchi Kacak, ahli pengurusan KSIA sendiri.

Lagu ini akan dipersembahkan buat pertama kali oleh Bulan Asyraff, seorang live host KSIA yang kini turut dikenali sebagai penyanyi dan influencer TikTok.

Berasal daripada latar belakang sebagai busker jalanan, bakat Bulan Asyraff mula mendapat perhatian selepas disunting oleh Pakcik Chin Swee sendiri untuk menyertai KSIA.

Kemuncak pencapaiannya setakat ini ialah apabila beliau berjaya mara ke peringkat akhir dalam program realiti nyanyian GIMME THE MIC, kolaborasi antara TikTok dan Astro, dan muncul sebagai Top 2 dalam kategori The Six.

Namanya kini mula dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi turut mencuri perhatian peminat di Indonesia.

“Bulan Asyraff adalah bukti nyata bagaimana platform digital mampu membuka jalan kepada bakat yang sebenar.

“Kami berharap melalui label muzik ini, lebih ramai live host berpotensi dapat dibimbing untuk menonjolkan bakat seni suara mereka,” kata Pakcik Chin Swee lagi.

Menyedari permintaan tinggi dari Malaysia Timur, KSIA turut merancang untuk membuka pejabat baharu di Sabah dalam masa terdekat.

Pejabat ini akan memberi fokus khusus kepada pengembangan bakat-bakat live host dari Borneo termasuk Sabah dan Sarawak yang dilihat memiliki potensi besar dalam industri live streaming.

“Kami akan terus memperkukuh empayar KSIA di seluruh Asia Tenggara, dengan sasaran jangka panjang untuk menembusi pasaran Asia secara menyeluruh,” katanya.

Dengan segala perancangan yang telah digariskan, KamiSempoi International Agency terus melakar langkah berani dalam dunia digital dan hiburan, bukan sahaja sebagai agensi live streaming, tetapi juga sebagai pemangkin bakat dan pencetus revolusi dalam industri kandungan kreatif serantau.

RPM Group & Rockology 2025: Dua langkah strategik ubah lanskap hiburan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air terus berkembang pesat dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, sebuah entiti korporat baharu yang menghimpunkan tiga cabang utama dalam industri seni penerbitan, pengurusan acara, dan rakaman muzik di bawah satu bumbung yang kukuh dan berwawasan.

RPM Group terdiri daripada tiga syarikat teras iaitu Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., yang memfokuskan kepada penghasilan kandungan kreatif seperti drama, filem dan program hiburan berimpak tinggi.

Manakala, RPM Events Sdn. Bhd., syarikat pengurusan acara yang memberi tumpuan kepada penganjuran konsert, festival muzik dan program korporat berskala besar.

Sementara itu, RPM Labels Sdn. Bhd., sebuah label rakaman baharu yang berperanan mencungkil dan membangunkan bakat seni suara tempatan melalui pengeluaran muzik berkualiti.

Pengarah RPM Group of Companies Dato’ Eddy Amir Salim berkata, penubuhan gabungan ini bukan sekadar penjenamaan semula atau pelaburan korporat, tetapi adalah satu gerakan strategik yang menyasarkan pembaharuan menyeluruh dalam landskap hiburan Malaysia.

“Penubuhan RPM Group adalah titik permulaan kepada pendekatan yang lebih profesional, tersusun dan berimpak tinggi.

“Kami percaya sinergi antara Rumah Produksi Merah, RPM Events dan RPM Labels mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membina nilai untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Pelancaran itu turut menyaksikan pengumuman projek perdana RPM Events bagi tahun ini iaitu Rockology Concert Tour 2025, sebuah jelajah konsert nasional yang membawa misi mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia ke pentas arus perdana.

Konsert berskala besar ini bakal menampilkan dua ikon muzik rock tanah air Dato’ Awie dan Search (Kid Din) yang akan berkongsi pentas dalam satu persembahan yang menjanjikan nostalgia dan tenaga luar biasa kepada para peminat.

Awie berkata, penglibatan beliau dalam projek ini adalah lebih daripada sekadar persembahan.

“Saya terima pelawaan untuk terbabit kerana saya percaya pada misi dan semangat Rockology. Ia bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu usaha untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air yang kian pudar.

“Malah, sebahagian daripada hasil konsert ini akan disalurkan kepada program tanggungjawab sosial kami, Konsert Wings Dalam Penjara, sebagai tanda sokongan kepada golongan yang terpinggir,” katanya.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan RPM Group untuk menjadikan hiburan sebagai wadah pemerkasaan sosial, selain menjana nilai ekonomi dan budaya.

Rockology Concert Tour 2025 akan memulakan siri jelajahnya di Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 (North Chapter) dan akan diteruskan di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 (South Chapter).

Kedua-dua lokasi dijangka menarik kehadiran seramai 15,000 peminat dari seluruh negara termasuk Singapura, sekali gus menjadikannya antara konsert terbesar tahun ini.

Tiket bagi North Chapter kini telah mula dijual menerusi laman web rasmi https://rpm.ubertickets.asia/, dengan harga bermula serendah RM98.

 Satu usaha jelas oleh penganjur untuk memastikan hiburan berkualiti tinggi dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Bagi tiket South Chapter, maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran barisan artis tempatan, pengurusan kanan RPM Group serta pengumuman beberapa rakan strategik yang akan berganding bahu menjayakan keseluruhan siri jelajah Rockology ini.

MIG tampil dua filem baru, Citra Apartment dan Lakhus Penghulu Jin

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – MIG tampil memperkenalkan dua filem baharu mereka yang bakal menemui penonton tidak lama lagi iaitu Citra Apartment dan Lakhus Penghulu Jin.

Pada majlis yang turut meraikan sambutan Aidilfitri, beberapa pelakon terbabit turut hadir berkongsi serba sedikit mengenai pengalaman mereka menjayakan filem berkenaan.

Citra Apartment, yang bakal ditayangkan pada bulan Julai 2025, manakala Lakhus Penghulu Jin, baru sahaja menamatkan penggambaran pada Mac lalu.

Penerbit filem Lakhus Penghulu Jin, David Teo berkata, filem Iitu kini berada dalam fasa penyuntingan offline.

“Saya berada bersama editor sepanjang proses penyuntingan untuk memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Lakhus Penghulu Jin membawa elemen yang sangat berbeza daripada filem-filem terbitan MIG sebelum ini, dengan mengangkat tema ‘art berat’,” katanya.

David berkata, pemilihan Azmir Affendi sebagai pengarah dibuat setelah beliau melihat kemampuan pengarah muda ini dalam menghasilkan karya seni yang lebih mendalam dan berbeza.

“Saya yakin filem ini akan membawa filem terbitan MIG ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Lakhus Penghulu Jin dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini dan membariskan pelakon seperti Qi Razali, Yasmin Hani, Maria Farida, Namron, Nafis Anuar, dan ramai lagi.

Sementara itu, Jason Teo, penerbit filem Citra Apartment, berkata, filem ini mengangkat konsep timeloop, meskipun bukanlah konsep yang baharu, tetapi tetap menawarkan elemen menarik untuk dihidangkan kepada penonton.

“Saya berharap Citra Apartment dapat memenuhi kehendak penonton yang mencari sesuatu yang berbeza,” katanya.

Citra Apartment dijangka ditayangkan pada 3 Julai 2025 dan membariskan pelakon seperti Elisya Sandha, Liang Chia, Razdan Shamsudin, Hanna Halim, dan beberapa nama besar lagi.

Filem ini diarahkan oleh pengarah berbakat, Amor Rizan.

Selain itu, MIG turut mengumumkan perkembangan projek-projek filem seterusnya.

Mereka akan memulakan penggambaran filem arahan Pierre Andre pada bulan Mei bertajuk Nar’Sata: Sekutu Setan.

Filem bergenre Horror Thriller ini akan menjadi projek ketiga Pierre Andre bersama MIG selepas lebih 10 tahun menyepi.

MIG juga akan menerbitkan sebuah filem Heavy Drama yang diarahkan oleh Eyra Rahman, yang dijangka memulakan penggambaran pada bulan September 2025.

Dengan pelbagai projek menarik yang bakal diterbitkan, MIG terus berusaha untuk mempersembahkan karya-karya yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton, dengan sokongan daripada semua pihak, terutama dalam kalangan peminat industri perfileman tanah air.

Program MADANI Rakyat 2025 Sabah sasar noktahkan kemiskinan melalui keusahawanan, tawar lebih 200 perkhidmatan bermula 9 Mei

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 akan membuka tirainya di negeri Sabah bermula 9 Mei ini, dengan lebih 200 perkhidmatan ditawarkan secara langsung kepada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Program berimpak tinggi ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, menyasarkan penglibatan aktif rakyat dalam pelbagai inisiatif kerajaan serta memperkasakan agenda pembasmian kemiskinan melalui pendekatan keusahawanan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Mohd Zammidi Mohd Asri berkata, PMR 2025 Sabah akan menjadi satu platform holistik yang merapatkan jurang antara rakyat dan penyedia perkhidmatan kerajaan, seumpama membawa konsep Pusat Transformasi Bandar (UTC) terus ke tengah-tengah masyarakat.

“Di Tawau, kita membawa lebih 200 perkhidmatan terus kepada rakyat, menjadikan program ini seolah-olah UTC yang bergerak.

“Kita turut memperkenalkan elemen baharu dalam PMR kali ini, selain mengekalkan pendekatan mesra rakyat yang telah terbukti berkesan,” katanya dalam sesi temu bual program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Mengangkat tema “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, penganjuran PMR di Sabah kali ini memberikan tumpuan khusus kepada pendekatan keusahawanan sebagai strategi keluar daripada kepompong kemiskinan.

Antara inisiatif utama ialah penganjuran Halal Success KUSKOP, iaitu sebuah program pemerkasaan yang mempromosi penglibatan usahawan dalam industri halal, terutamanya bagi meningkatkan penyertaan pemain industri di Sabah.

“Selain memberi manfaat kepada usahawan sedia ada, kita juga mahu membuka minda dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang potensi keusahawanan sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Bukan hanya terhad di Dataran MPT, PMR 2025 Sabah turut merangkumi pelaksanaan lima lagi program satelit di sekitar Tawau termasuk program bertemakan perpaduan bagi merancakkan lagi keterlibatan komuniti setempat dalam pelbagai lapisan.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian menarik turut dijadualkan seperti jualan murah, aktiviti fun run, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, persembahan konsert artis serta pameran makanan tempatan yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Sabah.

Mohd Zammidi berkata, kesinambungan penganjuran PMR yang bermula sejak tahun 2023 diteruskan berdasarkan pencapaian cemerlang program terdahulu, khususnya dalam edisi 2024 yang berjaya mencatatkan kehadiran lebih 1.8 juta pengunjung serta menjana peningkatan pendapatan kepada para usahawan tempatan.

“Program MADANI Rakyat bukan sekadar menyantuni rakyat dengan perkhidmatan kerajaan, tetapi ia juga menjadi medan penting untuk mengenal pasti isu dan cabaran tempatan yang boleh ditangani secara lebih berkesan hasil maklum balas yang diterima secara langsung daripada rakyat sendiri,” katanya lagi.

PMR 2025 Sabah dijangka menjadi antara acara tumpuan utama di wilayah itu tahun ini, mengukuhkan lagi iltizam Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa rakyat di seluruh pelusuk negara melalui pendekatan inklusif, bersepadu dan berorientasikan kesejahteraan.

Jalin kerjasama dengan KORT, BGM Burgerman luaskan khidmat penghantaran ke seluruh Semenanjung

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Jenama makanan segera tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar burger, BGM Burgerman, melangkah setapak ke hadapan apabila mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat logistik makanan, King Of Road Trip (KORT).

Kerjasama itu diadakan bagi menawarkan khidmat penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.

BGM Burgerman yang memulakan operasinya di Bandar Baru Bangi pada November tahun lalu, tampil dengan konsep restoran makanan segera tempatan yang menampilkan menu utama seperti burger dan ayam goreng.

Walaupun baru beroperasi dalam tempoh yang singkat, sambutan yang diterima amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Bangi.

Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat berkata, antara menu yang paling mendapat sambutan ialah BGM Double Cheese Burger, yang dikatakan memiliki rasa dan kualiti setanding dengan burger daripada jenama antarabangsa.

Menurut beliau, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan, dan maklum balas yang diterima setakat ini amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, semua menu yang kami tawarkan menerima reaksi positif daripada pelanggan.

“Ramai dalam kalangan mereka yang menyatakan keterujaan menikmati sajian kami buat pertama kali.

“Malah, terdapat pelanggan yang kembali berulang kali, sehingga 21 kali dalam tempoh empat bulan operasi kami,” katanya.

Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelanggan yang berada di luar kawasan Bangi, BGM Burgerman mengambil inisiatif untuk memperluas capaian perniagaan dengan menjalin kerjasama bersama King Of Road Trip menerusi siri jelajah yang dinamakan “DCB Tour”.

“Melalui kolaborasi ini, pelanggan dari seluruh Semenanjung Malaysia boleh menikmati sajian burger BGM walaupun mereka berada jauh dari lokasi premis kami.

“Kami amat yakin pelanggan dari luar Bangi tidak akan kecewa dengan kualiti hidangan yang dibawakan,” katanya.

Sementara itu, pengasas KORT, Mohd Akiff Shukri berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak 2019 mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan penghantaran makanan viral ke pelbagai lokasi di seluruh negara.

Dengan kekuatan tenaga kerja seramai 20 orang dan 10 buah kenderaan, KORT telah membuktikan keupayaannya dalam memastikan setiap penghantaran sampai dengan selamat dan dalam keadaan baik.

“Kami amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan BGM Burgerman dan menyokong usaha mereka memenuhi permintaan pelanggan yang tidak dapat hadir ke premis secara fizikal.

“Kami akan bergerak setiap hari ke lokasi yang jauh, merentas ratusan kilometer ke utara, selatan dan Pantai Timur Semenanjung bagi memastikan produk ini sampai ke tangan pelanggan,” katanya.

Kerjasama ini bakal membawa empat jenis burger istimewa BGM ke negeri-negeri terpilih, iaitu Beef Burger, Cheese Burger, Double Cheese Burger, dan Mega Burger.

Siri jelajah ini akan bermula dengan penghantaran ke Johor pada 15 Mei, diikuti oleh Perak pada 23 Mei, Pahang dan Terengganu pada 30 Mei, dan akhirnya ke Pulau Pinang serta Kedah pada 5 Jun.

Orang ramai yang berminat untuk membuat pesanan boleh menghubungi talian 011-2422 0310, manakala mereka yang ingin menjadi agen jualan burger sebagai rakan niaga BGM, atau dikenali sebagai BGM Friends, boleh menghubungi 014-713 9169.

Empat figura seni tanah air bersatu dalam konsert bersejarah “Empat Live In Kuala Lumpur 2025”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejarah baharu bakal tercipta dalam industri muzik tanah air apabila empat nama besar yang juga berkongsi pertalian kekeluargaan bergabung di atas satu pentas buat pertama kalinya menerusi konsert istimewa, Empat Live In Kuala Lumpur 2025.

Konsert yang penuh makna ini dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Menggabungkan tenaga seni daripada dua generasi, konsert ini menyatukan adik-beradik legenda, Ziana Zain dan Anuar Zain, bersama anak saudara mereka, penyanyi bersuara lunak Ernie Zakri serta suaminya yang juga vokalis berbakat, Syamel.

Ia bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi simbolik kepada semangat kekeluargaan, warisan muzik dan kecintaan terhadap seni persembahan tanah air.

Konsert ini dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, dan menjadi sebuah projek yang telah lama dirancang namun hanya kini dapat direalisasikan selepas mengambil kira jadual kerja dan komitmen kesemua artis terlibat.

Anuar Zain berkata, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah satu impian yang akhirnya menjadi nyata.

“Projek ini sangat istimewa buat kami kerana tiada siapa menjangkakan bahawa kami sekeluarga, dari generasi berbeza, akan berkongsi satu pentas.

“Setelah bertahun-tahun merancang, kini ia menjadi kenyataan. Ini bukan sekadar konsert, tetapi meraikan ikatan kekeluargaan dan menyatukan peminat dari pelbagai lapisan usia yang membesar dengan karya-karya kami,” katanya.

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai sebuah temasya yang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi juga kasih sayang di antara generasi penggiat seni dan peminat.

“Peminat datang bukan hanya untuk melihat artis kegemaran mereka, tetapi mereka akan menyaksikan keempat-empat kami daripada dua generasi bergandingan.

“Saya tidak mahu berjanji terlalu banyak, tetapi saya yakin peminat akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” kata pelantun lagu Madah Berhelah itu.

Sementara itu, Ernie Zakri tidak menyembunyikan rasa terujanya apabila akhirnya dapat berkongsi pentas bersama bintang-bintang yang menjadi inspirasinya sejak kecil.

“Saya menangis apabila dilamar menyertai konsert ini. Ziana dan Anuar adalah ikon dalam hidup saya. Dapat berdiri di atas pentas bersama mereka adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata Ernie yang berazam menjadikan malam konsert itu sebagai detik paling manis dalam kerjayanya.

Bagi Syamel pula, konsert ini memberi peluang untuk menunjukkan kepelbagaian bakat masing-masing dalam sebuah persembahan besar.

“Setiap daripada kami membawa tenaga dan gaya tersendiri. Saya percaya, gabungan ini mampu menghasilkan persembahan yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Mengukuhkan lagi mutu produksi konsert ini, Jennifer Thompson dilantik sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan bertanggungjawab selaku pengarah muzik.

Kedua-dua mereka berpengalaman luas dalam industri muzik tempatan dan pernah terlibat dalam projek-projek berskala besar.

Jennifer berkata, projek ini sudah dirancang sejak tiga tahun lalu.

“Konsert ini akan menyaksikan empat suara hebat bersatu, setiap satunya memiliki gaya tersendiri.

“Gabungan lagu-lagu popular dari empat dekad yang akan dinyanyikan secara kolaboratif menjanjikan pengalaman yang sangat istimewa buat penonton,” katanya.

Tiket untuk Empat Live In Kuala Lumpur 2025 kini sudah mula dijual menerusi laman web www.ticket2u.com.my/empatkl sejak 25 April lalu.

Harga tiket bermula daripada RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) hingga RM2,088 untuk kategori eksklusif Royal Twin Seat (dua tiket).

Pihak penganjur turut menyediakan kemudahan khas untuk golongan kelainan upaya (OKU) yang boleh menghubungi hotline +6011-1190 0518 bagi mendapatkan tiket.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi simbolik kepada permintaan dan sokongan peminat yang tidak pernah pudar terhadap keempat-empat artis ini.

Ia adalah peluang keemasan yang jarang berlaku dan dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dalam sejarah muzik Malaysia.

Nancy Shukri seru masyarakat bangkit menentang gangguan seksual

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menggesa semua pihak agar berani bersuara dan mengambil tindakan terhadap sebarang bentuk gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat.

Tegas beliau, keberanian untuk melawan perbuatan tidak bermoral itu amat penting dalam usaha mempertahankan maruah dan keselamatan individu, khususnya golongan wanita dan remaja.

Gesaan itu disuarakan susulan penularan sebuah video baru-baru ini yang memperlihatkan seorang pemandu e-panggilan didakwa meminta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun membuka tudungnya ketika menggunakan perkhidmatan pemanduan itu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Insiden yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen itu turut membuka semula perbincangan mengenai tahap keselamatan wanita di ruang awam.

“Kepada remaja di luar sana, jangan sesekali berdiam diri. Anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri,” kata Nancy dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, komitmen kementeriannya untuk memperkasakan keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual, yang bertujuan menyediakan saluran khusus kepada mangsa gangguan seksual untuk mendapatkan pembelaan secara adil dan mesra mangsa.

Dalam pada itu, Nancy memaklumkan bapa kepada remaja terbabit telah tampil membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Katanya, tindakan itu, mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap keperluan untuk bertindak tegas apabila berdepan situasi gangguan seksual.

“Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera,” katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk meneruskan usaha advokasi serta menyediakan sokongan kepada mangsa, dalam memastikan isu gangguan seksual tidak lagi dianggap perkara remeh atau tabu dalam masyarakat.

Isu keselamatan wanita, terutamanya remaja, terus menjadi fokus kementerian dalam membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah untuk semua lapisan masyarakat.

105 pegawai dan anggota Maritim Malaysia terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 yang berlangsung penuh penghargaan, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.

Majlis yang diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam perkhidmatan ini menyaksikan penyampaian anugerah oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Mohd Isa, kepada penerima yang mewakili pelbagai unit dan cawangan agensi termasuk Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

Dalam ucapannya, Mohd Rosli berkata, APC bukan sekadar satu bentuk penghormatan kepada individu, tetapi turut menjadi pencetus motivasi kepada seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus menjunjung nilai profesionalisme dan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Keunggulan Maritim Malaysia bukan hanya terletak pada kecekapan operasi di lapangan, tetapi lebih penting lagi pada iltizam dan kesetiaan setiap pegawai dalam menunaikan amanah yang diberikan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru penerima anugerah menjadi contoh teladan kepada rakan sejawat, khususnya golongan muda dalam agensi, dengan terus mengangkat nilai integriti, profesionalisme dan efisiensi dalam setiap lapisan organisasi.

Menambah kemeriahan majlis, Mohd Rosli turut menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima istimewa yang telah menerima APC sebanyak tiga kali sepanjang perkhidmatan mereka.

Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi berterusan dan kecemerlangan luar biasa yang wajar dijadikan contoh kepada warga Maritim Malaysia yang lain.

Majlis anjuran Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi agensi, antaranya Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, selain pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.

Penghargaan yang diberikan melalui APC ini diyakini mampu memperkukuh lagi semangat dalam kalangan anggota untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan perairan negara, selaras dengan misi Maritim Malaysia sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut negara.

Legasi Saloma dihargai: Waris terima gratuiti di majlis raya penuh bermakna

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam suasana penuh harmoni dan penghargaan seni, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Saloma Kuala Lumpur mencipta detik bersejarah apabila cucu-cucu kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, menerima sumbangan gratuiti sebagai penghormatan atas legasi seni luar biasa yang ditinggalkan oleh tokoh agung itu.

Majlis yang berlangsung di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur, turut menyaksikan penyerahan gratuiti kepada Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, cucu-cucu Allahyarhamah.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan. Turut hadir mengiringi ialah Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Che Umar.

Acara berkenaan turut mendapat sokongan kehadiran tokoh-tokoh kenamaan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut Datin Riza, majlis berkenaan bukan sekadar satu acara sambutan perayaan, malah menjadi platform untuk mengenang dan menghargai jasa seniwati tersohor negara, Allahyarhamah Saloma, yang telah banyak mencorakkan landskap seni dan budaya tanah air.

“Penyerahan gratuiti ini adalah lambang keikhlasan dan penghargaan Saloma Kuala Lumpur terhadap sumbangan luar biasa yang telah ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada negara dan industri seni kita.

“Ia juga sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang menyantuni bukan sahaja pewaris beliau, malah golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu diharap dapat diteruskan pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan berterusan terhadap penggunaan nama Saloma yang menjadi identiti utama restoran berkenaan.

“Kami bersyukur kerana waris memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa sebarang masalah, malah amat memudahkan urusan kami sepanjang operasi Saloma Kuala Lumpur,” katanya.

Sejak awal penubuhannya, Saloma Kuala Lumpur aktif menganjurkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan yang menyaksikan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan diagihkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Majlis seperti Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat pula ditujukan bagi membantu artis veteran dan anak-anak tahfiz.

Program Kongsi Rezeki juga menjadi antara inti utama setiap penganjuran mereka.

Selain menganjurkan acara amal, Saloma Kuala Lumpur turut menyokong perkembangan industri seni tempatan dengan menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai sidang media promosi seperti Konsert 30 Tahun ELLA USA dan “Here I Am Concert” oleh penyanyi terkenal Indonesia, Rossa.

“Majlis malam ini bukan sahaja meraikan lebaran, tetapi memperkukuh misi Saloma Kuala Lumpur untuk terus memartabatkan seni budaya negara serta menyemai nilai kemanusiaan melalui penghargaan terhadap legasi seni seperti Saloma,” katanya lagi.

Sementara itu, Arzanee Armalie yang mewakili pihak waris menyatakan rasa terharu atas penghormatan dan sumbangan yang diberikan.

“Kami menyokong penuh usaha Datin Riza untuk mengekalkan nama Saloma.

“Kami tidak mempunyai sebarang halangan, malah amat tersentuh apabila mereka sudi berkongsi rezeki bersama kami,” katanya.

Arzanee berkata, masih wujud pihak yang menggunakan nama Saloma tanpa merujuk atau mendapatkan kebenaran daripada waris, sekali gus menafikan hak pewaris yang sah.

“Usaha Datin Riza ini diharap membuka mata banyak pihak agar lebih menghormati dan menghargai kami sebagai waris Allahyarhamah.

“Kami tidak menghalang sesiapa menggunakan nama Saloma, namun biarlah dengan niat yang baik dan rujuklah kepada kami terlebih dahulu,” katanya lagi.

Majlis berkenaan turut menjadi bukti warisan seni dan budaya negara bukan sahaja perlu dikenang, malah harus terus dihargai dalam bentuk yang memberi manfaat kepada generasi pewaris.