editormaxinfo@gmail.com
KAJANG – Jenama makanan segera tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar burger, BGM Burgerman, melangkah setapak ke hadapan apabila mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat logistik makanan, King Of Road Trip (KORT).
Kerjasama itu diadakan bagi menawarkan khidmat penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.
BGM Burgerman yang memulakan operasinya di Bandar Baru Bangi pada November tahun lalu, tampil dengan konsep restoran makanan segera tempatan yang menampilkan menu utama seperti burger dan ayam goreng.
Walaupun baru beroperasi dalam tempoh yang singkat, sambutan yang diterima amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Bangi.
Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat berkata, antara menu yang paling mendapat sambutan ialah BGM Double Cheese Burger, yang dikatakan memiliki rasa dan kualiti setanding dengan burger daripada jenama antarabangsa.
Menurut beliau, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan, dan maklum balas yang diterima setakat ini amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, semua menu yang kami tawarkan menerima reaksi positif daripada pelanggan.
“Ramai dalam kalangan mereka yang menyatakan keterujaan menikmati sajian kami buat pertama kali.
“Malah, terdapat pelanggan yang kembali berulang kali, sehingga 21 kali dalam tempoh empat bulan operasi kami,” katanya.
Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelanggan yang berada di luar kawasan Bangi, BGM Burgerman mengambil inisiatif untuk memperluas capaian perniagaan dengan menjalin kerjasama bersama King Of Road Trip menerusi siri jelajah yang dinamakan “DCB Tour”.
“Melalui kolaborasi ini, pelanggan dari seluruh Semenanjung Malaysia boleh menikmati sajian burger BGM walaupun mereka berada jauh dari lokasi premis kami.
“Kami amat yakin pelanggan dari luar Bangi tidak akan kecewa dengan kualiti hidangan yang dibawakan,” katanya.

Sementara itu, pengasas KORT, Mohd Akiff Shukri berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak 2019 mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan penghantaran makanan viral ke pelbagai lokasi di seluruh negara.
Dengan kekuatan tenaga kerja seramai 20 orang dan 10 buah kenderaan, KORT telah membuktikan keupayaannya dalam memastikan setiap penghantaran sampai dengan selamat dan dalam keadaan baik.
“Kami amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan BGM Burgerman dan menyokong usaha mereka memenuhi permintaan pelanggan yang tidak dapat hadir ke premis secara fizikal.
“Kami akan bergerak setiap hari ke lokasi yang jauh, merentas ratusan kilometer ke utara, selatan dan Pantai Timur Semenanjung bagi memastikan produk ini sampai ke tangan pelanggan,” katanya.
Kerjasama ini bakal membawa empat jenis burger istimewa BGM ke negeri-negeri terpilih, iaitu Beef Burger, Cheese Burger, Double Cheese Burger, dan Mega Burger.

Siri jelajah ini akan bermula dengan penghantaran ke Johor pada 15 Mei, diikuti oleh Perak pada 23 Mei, Pahang dan Terengganu pada 30 Mei, dan akhirnya ke Pulau Pinang serta Kedah pada 5 Jun.
Orang ramai yang berminat untuk membuat pesanan boleh menghubungi talian 011-2422 0310, manakala mereka yang ingin menjadi agen jualan burger sebagai rakan niaga BGM, atau dikenali sebagai BGM Friends, boleh menghubungi 014-713 9169.