editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 akan membuka tirainya di negeri Sabah bermula 9 Mei ini, dengan lebih 200 perkhidmatan ditawarkan secara langsung kepada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Program berimpak tinggi ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, menyasarkan penglibatan aktif rakyat dalam pelbagai inisiatif kerajaan serta memperkasakan agenda pembasmian kemiskinan melalui pendekatan keusahawanan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Mohd Zammidi Mohd Asri berkata, PMR 2025 Sabah akan menjadi satu platform holistik yang merapatkan jurang antara rakyat dan penyedia perkhidmatan kerajaan, seumpama membawa konsep Pusat Transformasi Bandar (UTC) terus ke tengah-tengah masyarakat.
“Di Tawau, kita membawa lebih 200 perkhidmatan terus kepada rakyat, menjadikan program ini seolah-olah UTC yang bergerak.
“Kita turut memperkenalkan elemen baharu dalam PMR kali ini, selain mengekalkan pendekatan mesra rakyat yang telah terbukti berkesan,” katanya dalam sesi temu bual program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Mengangkat tema “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, penganjuran PMR di Sabah kali ini memberikan tumpuan khusus kepada pendekatan keusahawanan sebagai strategi keluar daripada kepompong kemiskinan.
Antara inisiatif utama ialah penganjuran Halal Success KUSKOP, iaitu sebuah program pemerkasaan yang mempromosi penglibatan usahawan dalam industri halal, terutamanya bagi meningkatkan penyertaan pemain industri di Sabah.
“Selain memberi manfaat kepada usahawan sedia ada, kita juga mahu membuka minda dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang potensi keusahawanan sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Bukan hanya terhad di Dataran MPT, PMR 2025 Sabah turut merangkumi pelaksanaan lima lagi program satelit di sekitar Tawau termasuk program bertemakan perpaduan bagi merancakkan lagi keterlibatan komuniti setempat dalam pelbagai lapisan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian menarik turut dijadualkan seperti jualan murah, aktiviti fun run, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, persembahan konsert artis serta pameran makanan tempatan yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Sabah.
Mohd Zammidi berkata, kesinambungan penganjuran PMR yang bermula sejak tahun 2023 diteruskan berdasarkan pencapaian cemerlang program terdahulu, khususnya dalam edisi 2024 yang berjaya mencatatkan kehadiran lebih 1.8 juta pengunjung serta menjana peningkatan pendapatan kepada para usahawan tempatan.
“Program MADANI Rakyat bukan sekadar menyantuni rakyat dengan perkhidmatan kerajaan, tetapi ia juga menjadi medan penting untuk mengenal pasti isu dan cabaran tempatan yang boleh ditangani secara lebih berkesan hasil maklum balas yang diterima secara langsung daripada rakyat sendiri,” katanya lagi.
PMR 2025 Sabah dijangka menjadi antara acara tumpuan utama di wilayah itu tahun ini, mengukuhkan lagi iltizam Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa rakyat di seluruh pelusuk negara melalui pendekatan inklusif, bersepadu dan berorientasikan kesejahteraan.

