29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 95

Idea Live Arena pacu Malaysia sebagai hab hiburan serantau sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Malaysia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam landskap hiburan dan pelancongan apabila Idea Live Arena, sebuah arena tertutup moden dan terbesar dalam pusat beli-belah di negara ini, dirasmikan di 3 Damansara, Petaling Jaya.

Arena serba canggih ini kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab hiburan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing, dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.

Kehadiran ramai pemain industri, tetamu kehormat dan peminat hiburan memeriahkan lagi acara yang penuh berprestij itu.

Idea Live Arena direka khas sebagai ruang acara bertaraf antarabangsa, mampu memuatkan sehingga 5,000 tempat duduk atau sehingga 7,000 tetamu dalam susunan duduk dan berdiri.

Projek ini direalisasikan menerusi pelaburan sebanyak RM40 juta yang merangkumi kerja-kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian serta pemasangan sistem audio, pencahayaan dan visual terkini.

Arena ini turut dilengkapi dengan ruang legar luas untuk sambutan tetamu, bilik persalinan artis yang moden dan lima kotak VIP eksklusif bagi pengalaman premium.

Suasana majlis pelancaran bertambah meriah dengan persembahan memukau daripada penyanyi legenda negara, Dato’ Sheila Majid.

Persembahan beliau bukan sahaja menghidupkan suasana, tetapi turut memperlihatkan keunggulan akustik dan sistem visual arena berkenaan, memperkukuhkan lagi imej Idea Live Arena sebagai pentas pilihan utama untuk persembahan berskala besar.

Terletak di lokasi strategik dalam pusat beli-belah 3 Damansara, Idea Live Arena dijangka menjadi pusat tarikan utama yang menghidupkan kembali nadi ekonomi bandar, khususnya di Petaling Jaya.

Kewujudannya bakal menarik lebih ramai pengunjung, pelancong dan komuniti perniagaan ke kawasan sekitar, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Dalam ucapannya, Azmir Saifuddin berkata,kemudahan seperti Idea Live Arena dalam melonjakkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi.

Menurut beliau, arena ini bukan sahaja membuka peluang kepada produksi antarabangsa, malah turut menjadi platform penting bagi bakat tempatan seperti pembikin filem, pemuzik dan penggiat seni budaya untuk menyerlah di pentas global.

Beliau turut berkongsi mengenai inisiatif terbaharu yang diperkenalkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, iaitu Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI).

Melalui skim ini, sebanyak RM10 juta setahun akan diperuntukkan bermula 15 Mei 2025 bagi menyokong penganjuran acara berskala besar yang mampu menarik lebih 15,000 pengunjung, dengan penyertaan artis tempatan dan antarabangsa.

Inisiatif ini diharap dapat memperkasa lagi sektor acara langsung dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pilihan utama untuk produksi hiburan.

Idea Live Arena bukan sekadar ruang persembahan ia adalah simbol kepada komitmen berterusan negara dalam membina ekosistem hiburan dan pelancongan yang mampan dan berdaya saing.

Pelancarannya turut selari dengan strategi kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi budaya dan pelancongan global menjelang VM2026.

Dengan segala kemudahan moden dan daya tarikan bertaraf dunia yang ditawarkan, Idea Live Arena dijangka memainkan peranan penting dalam menarik kehadiran pelawat dari seluruh Asia Tenggara dan seantero dunia, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pelancongan budaya dan hiburan serantau.

Miri bersinar dengan dua konsert mega percuma sepanjang Mei ini

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – Bandaraya Miri bakal menjadi tumpuan utama dalam kalendar hiburan Sarawak apabila dua konsert berskala besar dijadualkan berlangsung sepanjang bulan Mei ini.

Menampilkan barisan artis terkenal tanah air dan persembahan bertaraf antarabangsa, kedua-dua konsert ini boleh dinikmati secara percuma oleh orang ramai, sekaligus menjanjikan pengalaman unik kepada pengunjung tempatan mahupun pelancong dari luar.

Konsert-konsert yang dikenali sebagai “Konsert MeleTOP TVS” dan “Konsert Berkat Gawai-Kaamatan” ini adalah hasil kerjasama strategik antara TVS dan Astro, dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan industri kreatif di utara Sarawak, selain memperluas akses hiburan berkualiti kepada masyarakat luar bandar.

Acara pertama, “Konsert MeleTOP TVS” yang dibawakan oleh U Mobile, akan diadakan pada 17 Mei bertempat di Stadium Tertutup Miri.

Ini adalah kali pertama program hiburan popular itu keluar dari Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai tuan rumah bagi edisi luar biasa itu.

Konsert itu turut disusuli oleh rakaman khas program MeleTOP pada 18 Mei, memberikan peluang unik kepada peminat di Borneo untuk menyaksikan produksi rancangan tersebut secara langsung.

Malam penuh bertenaga itu akan menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi.

Gabungan elemen muzik pop kontemporari bersama semangat budaya Borneo dijangka memberikan persembahan yang memukau.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, konsert ini turut akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV dan Unifi TV), Astro ONE dan platform penstriman Sooka.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert ini sebagai suatu pencapaian penting bagi sektor kreatif negeri.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada TVS dan Astro atas kerjasama padu dalam menjayakan acara berskala besar ini di Miri.

Sambutan kemeriahan akan diteruskan pada 21 Mei menerusi “Konsert Berkat Gawai-Kaamatan”, sebuah penghargaan kepada warisan budaya masyarakat di Sarawak, Sabah dan Kalimantan.

Ratu Rock Negara, Ella akan memimpin persembahan malam itu, disertai oleh Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, kumpulan SMDX serta Marina Jara dari Kalimantan.

Konsert bermula pada jam 7.30 malam dan akan disiarkan kepada umum pada 31 Mei, jam 9 malam di saluran TVS.

Pemilihan Miri sebagai lokasi kedua-dua acara ini bukanlah satu kebetulan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, Miri adalah pintu masuk strategik ke utara Sarawak yang bersempadan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan.

Tambahan pula, ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya akan disambut tidak lama lagi, menjadikan bulan Mei sebagai masa terbaik untuk meraikan masyarakat dan budaya setempat melalui penganjuran berskala mega.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Kurasi dan Penciptaan Kandungan Tidak Berskrip GenNext Astro, Elyna Rahmat berkata, kolaborasi ini telah dirancang hampir setahun.

Katanya, muzik adalah bahasa sejagat yang menyatukan semua lapisan masyarakat, dan konsert ini menjadi simbol kepada perpaduan itu.

Menawarkan kemasukan percuma, konsert-konsert ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk dari negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan.

Selain menjanjikan persembahan bertenaga dari artis ternama, ia turut memberi ruang kepada bakat-bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak untuk berkongsi pentas dengan bintang popular.

Orang ramai yang ingin menghadiri acara ini dinasihatkan untuk mendapatkan tiket mereka lebih awal menerusi laman web rasmi TVS di tvsarawak.my/kejutan-tvs, memandangkan jumlah tempat duduk yang ditawarkan adalah terhad.

Dengan semangat muzik, budaya dan keharmonian, bandaraya Miri bersedia untuk bersinar sepanjang bulan Mei ini membawa bersama gelombang hiburan yang bukan sahaja menghibur, malah memperkukuh identiti budaya dan kreativiti Malaysia Timur.

Liverpool umum perarakan kemenangan EPL pada 26 Mei

editormaxinfo@gmail.com

Liverpool bersiap sedia untuk meraikan satu lagi detik bersejarah dalam dunia bola sepak apabila kelab gergasi itu mengumumkan penganjuran perarakan kemenangan pada 26 Mei ini, bagi menandakan kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20.

Suasana di kota pelabuhan itu bertukar meriah sejurus pengumuman rasmi dibuat oleh pihak kelab, mencetuskan kegembiraan dalam kalangan ribuan penyokong setia yang sekian lama menantikan peluang untuk merayakan kejayaan secara terbuka.

Kejayaan ini hadir selepas kemenangan bergaya 5-1 ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan di Anfield pada Ahad lalu, yang sekali gus memastikan Liverpool kekal kukuh di puncak carta liga dengan kelebihan 15 mata di hadapan pencabar terdekat, Arsenal, walaupun musim masih berbaki empat perlawanan.

Berbanding dengan kejayaan liga yang diraih pada tahun 2020, yang tidak dapat diraikan secara terbuka akibat sekatan pandemik Covid-19, kali ini penyokong akan berpeluang menyaksikan pasukan kesayangan mereka diarak mengelilingi kota Liverpool dengan penuh kemegahan.

Di bawah kepimpinan pengurus baharu, Arne Slot, skuad The Reds mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang musim, dengan gaya permainan yang bertenaga dan penuh disiplin.

Dominasi mereka di pentas EPL bukan sahaja menyuntik semangat dalam kalangan penyokong, malah memperkukuh reputasi kelab itu sebagai antara yang terbaik di England dan Eropah.

Menurut kenyataan rasmi kelab, perarakan kemenangan itu dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang waktu tempatan dan akan melalui laluan sepanjang 15 kilometer di sekitar bandar.

Tempoh perarakan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima jam, bergantung kepada keadaan semasa dan kehadiran penyokong yang dijangka membanjiri jalan-jalan utama.

Pemimpin Majlis Bandaraya Liverpool, Liam Robinson, dalam kenyataannya berkata bahawa acara tersebut bukan sekadar perayaan sukan, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kekuatan komuniti tempatan.

“Perarakan ini bukan sekadar meraikan kejayaan bola sepak, ia melambangkan semangat perpaduan, kebanggaan dan perjuangan komuniti Liverpool,” katanya.

Beliau berkata, perancangan dan persiapan rapi telah dijalankan sejak beberapa bulan lalu melalui pendekatan ‘Team Liverpool’ sebuah model kerjasama yang terbukti berkesan ketika bandar ini menjadi tuan rumah Pertandingan Lagu Eurovision 2023 yang lalu.

Penganjuran perarakan ini dijangka menarik perhatian bukan sahaja peminat tempatan, tetapi juga pelawat dari luar negara yang ingin turut serta dalam detik bersejarah itu.

Ia sekali lagi membuktikan kekuatan Liverpool bukan sahaja di atas padang, tetapi juga dalam menyatukan masyarakat melalui semangat kesukanan dan kebanggaan bersama.

TV AlHijrah tingkat keupayaan operasi dengan pelancaran 15 kenderaan baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah telah melangkah ke arah pemerkasaan operasi stesen penyiaran Islam ini dengan pelancaran rasmi 15 buah kenderaan baharu dalam Majlis Pelepasan Kenderaan TV AlHijrah yang berlangsung di ibu pejabat TV AlHijrah.

Majlis yang penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) TV AlHijrah, Pengarah JAWI dan kakitangan stesen berkenaan.

Langkah pelancaran kenderaan-kenderaan baharu ini adalah satu inisiatif penting dalam usaha TV AlHijrah untuk memperkukuh keupayaan operasinya, terutamanya dalam memperbaiki sokongan teknikal dan mobiliti bagi pelbagai tugasan luar.

Kenderaan lama yang digunakan sejak penubuhan stesen hampir 14 tahun lalu, sudah semakin uzur dan tidak lagi mampu menampung keperluan operasional yang semakin meningkat.

Penggantian kenderaan itu menandakan satu langkah progresif dalam penstrukturan semula sumber daya yang lebih efisien.

Namanzee Harris, dalam ucapan beliau berkata, pelancaran kenderaan baharu ini lebih daripada sekadar memperbaharui armada pengangkutan.

Menurutnya, kenderaan-kenderaan ini adalah simbol kepada semangat baru yang ingin dibawa oleh TV AlHijrah dalam menjalankan operasinya.

Dengan kenderaan yang lebih moden, operasi stesen dapat dijalankan dengan lebih efisien, profesional, dan berdaya saing.

“Kenderaan-kenderaan ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi simbol kepada semangat baharu TV AlHijrah dalam memacu operasi dengan lebih efisien, profesional dan berdaya saing.

“Transformasi fizikal ini perlu seiring dengan transformasi nilai dan penyampaian. Saya percaya TV AlHijrah berada di landasan yang betul dalam menyokong agenda negara sebagai peneraju penyiaran Islam yang progresif,” katanya.

Dengan penekanan kepada profesionalisme, inovasi, dan penyampaian maklumat Islam yang mudah difahami, TV AlHijrah berharap kenderaan-kenderaan baharu ini dapat menyokong jabatan-jabatan penting dalam stesen seperti Jabatan Berita dan Editorial, Jabatan Kandungan, serta Unit Teknikal.

Kenderaan-kenderaan itu akan memainkan peranan utama dalam memastikan kandungan berkualiti tinggi dapat disampaikan ke seluruh pelosok negara dengan lebih lancar dan efisien.

Selain itu, kenderaan-kenderaan ini juga akan digunakan dalam program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TV AlHijrah, di bawah inisiatif Hijrah Prihatin.

Program-program ini termasuk misi kemanusiaan, bantuan bencana, serta inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada masyarakat.

Dengan adanya kenderaan-kenderaan baharu ini, TV AlHijrah akan lebih mudah menjalankan tugas turun padang untuk memenuhi keperluan sosial dan kemanusiaan.

Pelancaran ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang serta meningkatkan kecekapan kerja luar, terutamanya dalam tempoh-tempoh penting seperti Ramadan, Syawal, dan musim bencana.

Dalam usaha memperbaharui identiti korporat, kesemua kenderaan baharu ini turut dilengkapi dengan visual korporat yang lebih segar dan moden, sejajar dengan aspirasi TV AlHijrah untuk terus menjadi penyiaran Islam yang berwibawa, responsif dan dipercayai.

Majlis pelancaran ini juga menonjolkan semangat kebersamaan seluruh warga TV AlHijrah yang turut sama mendokong misi stesen ini untuk menjadi model penyiaran Islam unggul, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di persada dunia Islam.

Dengan langkah ini, TV AlHijrah terus bergerak ke hadapan sebagai salah satu peneraju dalam dunia penyiaran Islam yang moden dan progresif.

Bowers & Wilkins lancar Px7 S3 dan Pi8 McLaren Edition: Gabungan rekaan ikonik dan inovasi audio terkini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bowers & Wilkins, jenama audio terkemuka dunia, sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam teknologi bunyi dengan pelancaran dua produk unggulan terbaharu: Px7 S3 dan Pi8 McLaren Edition.

Menggabungkan kejuruteraan berketepatan tinggi dan rekaan bergaya, kedua-dua produk ini menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan inovatif jenama berprestij ini.

Px7 S3: Penanda Aras Baharu dalam Fon Kepala Tanpa Wayar

Model Px7 S3 merupakan evolusi terkini dalam siri Px7 yang terkenal, dicipta khusus untuk pencinta muzik yang menuntut pengalaman audio tiada tandingan.

Dilengkapi unit pemacu 40mm biocellulose yang dibangunkan khas, fon kepala ini memberikan tahap kejelasan, resolusi dan ruang bunyi yang luar biasa menjadikan setiap nada dan kesan bunyi begitu hidup dan dinamik, sama ada untuk muzik mahupun filem.

Dipacu oleh penguat telinga khas dan teknologi aptX Adaptive 24/96 serta aptX Lossless, Px7 S3 menawarkan prestasi penstriman beresolusi tinggi yang mengasyikkan.

Fon kepala ini juga dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif terkini menggunakan lapan mikrofon berketepatan tinggi, sekaligus memastikan pengalaman mendengar kekal sempurna walaupun dalam persekitaran yang bising.

Tambahan pula, teknologi ADI Pure Voice menjadikan kualiti panggilan suara lebih jelas dan lancar.

Rekaan Px7 S3 turut menitikberatkan keselesaan. Dengan ikat kepala yang direka semula, profil lebih langsing dan kusyen telinga berbusa memori, fon kepala ini sesuai untuk sesi mendengar yang panjang tanpa menjejaskan keselesaan.

Ia juga direka dengan daya tahan tinggi, lengkap dengan komponen seperti kusyen dan ikat kepala yang boleh diganti.

Fon kepala ini mampu bertahan sehingga 30 jam penggunaan dengan fungsi pembatalan hingar aktif, dan hanya dengan pengecasan selama 15 minit, pengguna boleh menikmati tambahan tujuh jam masa main.

Kesemua fungsi audio boleh dikawal melalui aplikasi Bowers & Wilkins Music App, termasuk pelarasan bunyi lima jalur dan mod True Sound yang menampilkan tandatangan bunyi ikonik Bowers & Wilkins.

Menambah keistimewaannya, ciri audio spatial yang baharu turut diperkenalkan dan akan tersedia menerusi kemas kini over-the-air tidak lama lagi.

Tersedia dalam warna Anthracite Black, Canvas White dan Indigo Blue, Px7 S3 ditawarkan pada harga RM2,399 dan boleh mula dipra-tempah bermula 15 Mei 2025.

Ia akan mula dijual di kedai-kedai terpilih sekitar pertengahan Jun 2025 termasuk laman web rasmi tcacoustic.asia, Sonos Concept Store @ Starhill, serta kedai dalam talian seperti Bowers & Wilkins Official Store di Lazada, dan peruncit terpilih seperti Flash Gadget, PC Image dan Thunder Match.

Pi8 McLaren Edition: Inspirasi Dunia Permotoran dalam Bentuk Earbuds

Sebagai simbol kolaborasi hebat antara dunia audio dan automotif prestasi tinggi, Bowers & Wilkins memperkenalkan Pi8 McLaren Edition, sepasang fon telinga tanpa wayar tulen yang mengambil inspirasi daripada estetika ikonik pasukan Formula 1 McLaren.

Menampilkan warna eksklusif Galvanic Grey dan Papaya warna korporat McLaren produk ini menyerlahkan gabungan gaya dan prestasi.

Menggunakan Carbon Cone Technology yang canggih, Pi8 McLaren Edition menawarkan kejelasan bunyi yang luar biasa.

Sokongan teknologi aptX Adaptive dan aptX Lossless memastikan kualiti audio terbaik tanpa sebarang kelewatan, menjadikannya sesuai untuk mendengar muzik, menonton filem atau bermain permainan.

Ketahanan fizikal turut diutamakan dengan penarafan IP54 yang memberikan perlindungan terhadap peluh dan percikan air, sesuai untuk aktiviti luar atau senaman intensif.

Reka bentuk ergonomik dan padanan yang selesa menjamin pengasingan bunyi pasif yang baik, membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio yang murni dan bebas gangguan.

Tambahan pula, profil bunyi boleh disesuaikan mengikut citarasa pengguna, menjadikan Pi8 McLaren Edition fon telinga serba boleh untuk pelbagai keperluan.

Kolaborasi ini turut melanjutkan kerjasama kukuh antara Bowers & Wilkins dan McLaren Automotive, yang bermula sejak 2015, di mana jenama audio tersebut menjadi rakan audio rasmi untuk kenderaan supercar McLaren.

Pi8 McLaren Edition ditawarkan pada harga RM2,999 dan boleh mula dipra-tempah pada 15 Mei 2025, sebelum mula berada di pasaran penghujung Mei.

Ia boleh didapati melalui laman web rasmi tcacoustic.asia, Sonos Concept Store @ Starhill, Bowers & Wilkins Official Store di Lazada serta beberapa peruncit eksklusif termasuk TMT Megastore Sunway Pyramid, TMT Mid Valley Megamall, Flash Gadget @ The Gardens Mall, PC Image @ The Mall dan PC Image @ Mid Valley Southkey.

Dengan pelancaran dua produk unggul ini, Bowers & Wilkins sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap kualiti bunyi, inovasi teknologi dan rekaan sofistikated, selaras dengan falsafah mereka untuk menawarkan pengalaman audio premium yang tiada tandingan.

Daia perkenal produk revolusioner 3-dalam-1: Solusi lengkap cucian harian dengan sentuhan lavender

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Dalam usaha memudahkan kerja rumah yang kian mencabar di era moden, Daia memperkenalkan inovasi terbaharunya, Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender, yang menggabungkan kuasa pembersihan, kelembutan fabrik dan haruman mewah dalam satu produk.

Produk ini turut menawarkan perlindungan antibakteria sebanyak 99.9 peratus, menjadikannya penyelesaian cucian yang lengkap dan praktikal bagi seisi rumah.

Dengan gaya hidup yang serba pantas, ramai pengguna kini berdepan cabaran dalam menguruskan kerja mencuci pakaian.

Keperluan menggunakan pencuci, pelembut dan pewangi secara berasingan bukan sahaja menyusahkan, malah menambah kos dan memakan masa.

Menyedari keperluan ini, Daia melancarkan produk revolusioner yang menggabungkan ketiga-tiga fungsi utama tersebut dalam satu formula canggih yang diberi nama Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender.

Pengurus Serantau Gentle Supreme Sdn. Bhd., Ng Hock Guan berkata, produk baharu ini dicipta khusus bagi memenuhi keperluan isi rumah di Malaysia yang inginkan cucian bersih dengan nilai tambahan.

“Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender adalah jawapan kepada cabaran mencuci masa kini. Formula 2X Kuasa Membersih mampu menghapuskan kotoran degil, sementara pelembut dan pewangi lavender memberikan kelembutan serta keharuman yang kekal lama.

“Tambahan pula, dengan perlindungan antibakteria 99.9 peratus, pakaian kekal bersih dan selamat walaupun dijemur di dalam rumah,” katanya.

Menggunakan teknologi terkini Smart IONTM, produk ini mampu menanggalkan kotoran dengan lebih efektif serta menghalang kotoran daripada kembali melekat pada fabrik.

Formulasinya juga lembut pada kulit dan fabrik, membolehkan pengguna menikmati hasil cucian yang bersih tanpa perlu merendam atau memberus pakaian terlebih dahulu.

Pelancaran produk ini turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti terkenal dan usahawan berjaya, Neelofa, yang kini dilantik sebagai Duta Jenama bagi rangkaian produk Daia.

Berkongsi pengalamannya menggunakan Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender, Neelofa menyifatkannya sebagai solusi praktikal untuk wanita moden sepertinya.

“Sebagai seorang ibu dan usahawan yang sentiasa sibuk, saya sentiasa mencari cara untuk memudahkan urusan harian tanpa mengabaikan kualiti.

“Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender benar-benar mengubah rutin mencuci pakaian saya. Tidak perlu lagi pencuci berasingan, pelembut atau pewangi.

“Kini, pakaian kami sekeluarga kekal harum dengan haruman lavender yang menyegarkan dan tahan lama, selain mendapat perlindungan antibakteria.

‘Ia memberikan saya ketenangan kerana tahu pakaian kami bersih dan selamat,” kata Neelofa.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendekati pengguna, Neelofa juga turut mengadakan sesi pertemuan bersama peminat bagi berkongsi pengalaman beliau menggunakan produk ini dalam kehidupan seharian.

Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender kini boleh didapati dalam dua bentuk cecair dan serbuk di seluruh negara.

Harga runcit yang disyorkan bagi cecair detergen adalah RM26.90 untuk botol 3.6kg dan RM11.90 untuk pek lembut 1.5kg, manakala sabun serbuk pula dijual pada harga RM15.90 untuk pek 2.1kg.

Dengan gabungan kuasa pembersihan berganda, keharuman lavender yang memikat serta perlindungan antibakteria, Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender tampil sebagai solusi ideal bagi setiap isi rumah yang mendambakan kemudahan, kecekapan dan kebersihan dalam satu langkah.

Dari Kuala Lumpur ke Dubai: Rizman Ruzaini luaskan empayar fesyen

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah dua dekad mewarnai industri fesyen tanah air dengan sentuhan rekaan elegan dan eksklusif, jenama terkenal Rizman Ruzaini kini bersedia melakar langkah baharu yang lebih berani dengan membuka butik pertama mereka di Dubai.

Langkah ini bukan sahaja melambangkan pencapaian besar buat mereka, malah turut membawa aspirasi untuk mengangkat budaya dan identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Salah seorang pengasasnya Rizman berkata, hasrat membawa rekaan mereka ke pentas dunia bukanlah semata-mata untuk mengejar populariti global, sebaliknya sebagai usaha memperkenalkan keunikan seni fesyen tempatan kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, setiap peluang yang diterima untuk mempersembahkan rekaan di luar negara sentiasa dimanfaatkan sepenuhnya untuk mewakili Malaysia.

“Setiap kali diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, memang Rizman Ruzaini akan membawa Malaysia bersama.

“Bagi kami di Rizman Ruzaini, ini adalah cara untuk memastikan masyarakat antarabangsa melihat Malaysia,” katanya.

Mengimbas kembali permulaan perjalanan mereka dalam dunia fesyen, Rizman berkongsi bagaimana mereka dahulu menjadikan selebriti terkenal tanah air sebagai wajah utama koleksi mereka.

Kini, dengan misi yang lebih besar, jenama Rizman Ruzaini memasang impian untuk melihat busana rekaan mereka digayakan oleh selebriti antarabangsa pula.

Keyakinan terhadap kekuatan jenama yang dibina selama 20 tahun menjadi pemangkin utama kepada keputusan membuka butik di Dubai.

Rizman berkata, mereka telah pun mempunyai kelompok pelanggan tetap dari Timur Tengah yang selama ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap jenama mereka.

“Memang dalam perancangan untuk Rizman Ruzaini membuka sebuah butik di Dubai. Malah ketika ini juga kami sudah mempunyai barisan pelanggan terutamanya dari Timur Tengah yang memang banyak memberi sokongan.

“Oleh itu, pembukaan butik ini nanti secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan daripada pelanggan di sana,” katanya.

Dalam memastikan jenama Rizman Ruzaini terus relevan dan kompetitif dalam industri fesyen yang kian mencabar, pihaknya turut merancang untuk melakukan beberapa perubahan strategik dari segi struktur perniagaan.

Perubahan ini dijangka akan memberikan nafas baharu kepada jenama Rizman Ruzaini dan membuka ruang untuk pertumbuhan yang lebih mapan.

“Memang kami sedang merancang ke arah itu, selepas hampir 20 tahun, ini adalah waktu yang sesuai untuk Rizman Ruzaini melakukan penjenamaan semula.

“Kami harap dengan perubahan ini, ia akan memberi peluang untuk jenama ini berkembang lebih maju,” katanya lagi.

Dengan langkah berani ini, Rizman Ruzaini bukan sahaja meletakkan nama Malaysia di peta fesyen dunia, malah turut menjadi inspirasi kepada pereka muda tanah air untuk berani mengejar impian di pentas antarabangsa.

Helang Samudera: Perisai maritim negara, naskhah sejarah dedikasi kepada wira Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencipta sejarah baharu dengan melancarkan buku istimewa bertajuk Helang Samudera: Perisai Maritim Negara bagi menyambut sambutan 20 tahun penubuhannya.

Majlis pelancaran yang diadakan di Putrajaya itu turut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Kehadiran baginda memberikan simbolik sokongan dan keprihatinan tinggi terhadap peranan penting Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Majlis pelancaran buku ini bukan sahaja menjadi acara bersejarah, tetapi juga menyaksikan pengiktirafan terhadap usaha gigih dan dedikasi anggota Maritim Malaysia yang telah bertugas selama dua dekad

Buku berkenaan diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Sebuah karya berharga yang memaparkan naratif visual berkualiti tinggi, buku ini menawarkan lebih daripada 180 halaman muka surat yang menceritakan kisah-kisah operasi sebenar yang pernah dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia, serta momen dramatik yang tidak pernah dikongsi kepada umum sebelum ini.

Dalam ucapannya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerbitan buku ini sebagai penghormatan besar kepada wira-wira maritim negara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah yang sangat bernilai, memaparkan keberanian, kecekalan, dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan, dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Buku Helang Samudera: Perisai Maritim Negara menceritakan sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan dalam operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, serta pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Ia juga menampilkan penggunaan teknologi pengawasan canggih yang digunakan oleh pasukan Maritim Malaysia untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjaga.

Selain itu, buku ini turut mengangkat kisah kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), serta penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan perairan Malaysia, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan keselamatan maritim di rantau ini.

Sebagai usaha memperluaskan kesedaran awam mengenai peranan penting Maritim Malaysia, buku ini akan diedarkan ke seluruh perpustakaan di Malaysia, serta institusi pendidikan dari peringkat sekolah hingga ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, buku ini juga akan dihantar kepada agensi sahabat dalam dan luar negara sebagai simbol jalinan kerjasama strategik dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim.

Buku ini bukan sahaja menjadi rujukan berharga kepada pengkaji dan pencinta dunia maritim, tetapi juga berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami betapa pentingnya mempertahankan keselamatan maritim negara.

Naskhah ini adalah simbol penghargaan terhadap dedikasi anggota Maritim Malaysia yang telah lama bertungkus lumus memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terjamin.

HCP Education Studio lancar biasiswa untuk pelajar B40, tawar kelas percubaan percuma untuk pelajar aliran Sains

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – HCP Education Studio, sebuah pusat pendidikan terkemuka, mengumumkan pelancaran program biasiswa khas untuk pelajar dari golongan B40 serta memperkenalkan kelas percubaan percuma bagi pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran Sains.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada 500 pelajar sebagai permulaan untuk mengakses pendidikan berkualiti, terutamanya dalam subjek teras seperti Matematik, Kimia, Biologi, dan Fizik.

Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha HCP Education Studio untuk merapatkan jurang pendidikan dan memberikan sokongan kepada pelajar yang berpotensi namun terbatas dari segi sumber kewangan.

Biasiswa yang ditawarkan bernilai sehingga RM3,800 bagi seorang pelajar untuk tempoh setahun, yang merangkumi akses kepada kelas online, modul pembelajaran, serta bimbingan akademik yang intensif.

Dengan pendekatan pembelajaran secara dalam talian, HCP Education Studio berharap dapat memudahkan pelajar dari pelbagai lokasi di seluruh negara untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tanpa batasan geografi.

Pengetua HCP Education Studio, Muruka Nathan berkata, program ini bukan sahaja memberikan peluang pembelajaran tetapi juga menawarkan sokongan berterusan untuk memastikan pelajar mencapai kejayaan akademik yang cemerlang.

“Kami menyediakan sistem sokongan yang komprehensif, termasuk Student Leadership Team (SLT) dan Professional Leadership Team (PLT), serta sistem Mentor-Mentee.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membina kepimpinan dalam kalangan pelajar, serta memastikan mereka mendapat bimbingan dan sokongan yang diperlukan sepanjang perjalanan akademik mereka,” katanya.

Sistem Mentor-Mentee yang ditawarkan membolehkan setiap pelajar dibimbing oleh seorang mentor berpengalaman yang akan membantu mereka mengatasi cabaran akademik dan memberi nasihat dalam merancang masa depan mereka.

Selain itu, pelajar juga akan mendapat peluang untuk menyertai sesi kepimpinan yang dikendalikan oleh SLT dan PLT, yang bertujuan membangunkan kemahiran kepimpinan dan pembelajaran secara berpasukan.

Program biasiswa ini dijangka dapat memberi impak besar kepada pelajar yang memerlukan, terutamanya dari kalangan keluarga B40.

Dengan adanya bantuan kewangan dan sistem sokongan yang kukuh, pelajar dapat memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran mereka dan meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam peperiksaan.

Kempen ini juga menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah menengah untuk mencuba kelas percubaan percuma yang ditawarkan dalam aliran Sains.

Kelas percubaan ini menyediakan platform bagi pelajar untuk menilai keberkesanan kaedah pembelajaran HCP Education Studio dan memahami lebih mendalam mengenai subjek-subjek yang diajar.

Pendaftaran untuk program biasiswa dan kelas percubaan percuma kini dibuka, dan pihak HCP Education Studio menyasarkan penyertaan awal sebanyak 500 pelajar untuk program pertama ini.

Semua pelajar yang berminat boleh mengunjungi laman web rasmi HCP Education Studio untuk maklumat lanjut dan mendaftar.

Dengan inisiatif ini, HCP Education Studio berharap dapat memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai kemahiran kepimpinan yang kukuh, menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompetitif.