25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

TV AlHijrah tingkat keupayaan operasi dengan pelancaran 15 kenderaan baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah telah melangkah ke arah pemerkasaan operasi stesen penyiaran Islam ini dengan pelancaran rasmi 15 buah kenderaan baharu dalam Majlis Pelepasan Kenderaan TV AlHijrah yang berlangsung di ibu pejabat TV AlHijrah.

Majlis yang penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) TV AlHijrah, Pengarah JAWI dan kakitangan stesen berkenaan.

Langkah pelancaran kenderaan-kenderaan baharu ini adalah satu inisiatif penting dalam usaha TV AlHijrah untuk memperkukuh keupayaan operasinya, terutamanya dalam memperbaiki sokongan teknikal dan mobiliti bagi pelbagai tugasan luar.

Kenderaan lama yang digunakan sejak penubuhan stesen hampir 14 tahun lalu, sudah semakin uzur dan tidak lagi mampu menampung keperluan operasional yang semakin meningkat.

Penggantian kenderaan itu menandakan satu langkah progresif dalam penstrukturan semula sumber daya yang lebih efisien.

Namanzee Harris, dalam ucapan beliau berkata, pelancaran kenderaan baharu ini lebih daripada sekadar memperbaharui armada pengangkutan.

Menurutnya, kenderaan-kenderaan ini adalah simbol kepada semangat baru yang ingin dibawa oleh TV AlHijrah dalam menjalankan operasinya.

Dengan kenderaan yang lebih moden, operasi stesen dapat dijalankan dengan lebih efisien, profesional, dan berdaya saing.

“Kenderaan-kenderaan ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi simbol kepada semangat baharu TV AlHijrah dalam memacu operasi dengan lebih efisien, profesional dan berdaya saing.

“Transformasi fizikal ini perlu seiring dengan transformasi nilai dan penyampaian. Saya percaya TV AlHijrah berada di landasan yang betul dalam menyokong agenda negara sebagai peneraju penyiaran Islam yang progresif,” katanya.

Dengan penekanan kepada profesionalisme, inovasi, dan penyampaian maklumat Islam yang mudah difahami, TV AlHijrah berharap kenderaan-kenderaan baharu ini dapat menyokong jabatan-jabatan penting dalam stesen seperti Jabatan Berita dan Editorial, Jabatan Kandungan, serta Unit Teknikal.

Kenderaan-kenderaan itu akan memainkan peranan utama dalam memastikan kandungan berkualiti tinggi dapat disampaikan ke seluruh pelosok negara dengan lebih lancar dan efisien.

Selain itu, kenderaan-kenderaan ini juga akan digunakan dalam program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TV AlHijrah, di bawah inisiatif Hijrah Prihatin.

Program-program ini termasuk misi kemanusiaan, bantuan bencana, serta inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada masyarakat.

Dengan adanya kenderaan-kenderaan baharu ini, TV AlHijrah akan lebih mudah menjalankan tugas turun padang untuk memenuhi keperluan sosial dan kemanusiaan.

Pelancaran ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang serta meningkatkan kecekapan kerja luar, terutamanya dalam tempoh-tempoh penting seperti Ramadan, Syawal, dan musim bencana.

Dalam usaha memperbaharui identiti korporat, kesemua kenderaan baharu ini turut dilengkapi dengan visual korporat yang lebih segar dan moden, sejajar dengan aspirasi TV AlHijrah untuk terus menjadi penyiaran Islam yang berwibawa, responsif dan dipercayai.

Majlis pelancaran ini juga menonjolkan semangat kebersamaan seluruh warga TV AlHijrah yang turut sama mendokong misi stesen ini untuk menjadi model penyiaran Islam unggul, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di persada dunia Islam.

Dengan langkah ini, TV AlHijrah terus bergerak ke hadapan sebagai salah satu peneraju dalam dunia penyiaran Islam yang moden dan progresif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular