29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 96

Al-Ikhsan lancar kempen nasional “For Everyday Athletes”, raikan semangat aktif rakyat Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Jenama sukan tempatan yang sinonim dengan gaya hidup aktif rakyat Malaysia, Al-Ikhsan Sports, tampil dengan hala tuju baharu menerusi pelancaran kempen nasional bertemakan For Everyday Athletes.

Kempen ini menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memilih untuk kekal aktif dalam kehidupan seharian, biarpun dalam rutin yang penuh cabaran.

Diperkenalkan secara rasmi di Elmina Lakeside Mall, kempen ini membawa mesej bahawa setiap individu adalah atlet dalam caranya tersendiri sama ada mereka yang berjalan kaki ke tempat kerja, bersenam di ruang tamu rumah, mahupun mereka yang tidak pernah alpa menjaga kesihatan walau sesibuk mana sekalipun.

Ia adalah seruan kepada seluruh masyarakat untuk menjadikan gaya hidup aktif sebagai budaya yang menyatu dalam kehidupan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Datuk Hishammudin Hasan berkata, kempen ini adalah cerminan komitmen jenama itu dalam memperkukuh peranan mereka bukan sekadar sebagai peruncit, malah sebagai penggerak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Kami bukan hanya menjual kasut dan jersi, kami sedang mencetuskan satu pergerakan nasional.

For Everyday Athletes adalah tentang menyuntik inspirasi kepada rakyat biasa yang memilih untuk terus bergerak dan kekal aktif dalam apa jua keadaan,” katanya penuh semangat.

Ditubuhkan lebih tiga dekad lalu dengan hanya sebuah kedai kecil di Johor Bahru, Al-Ikhsan kini berkembang pesat dengan 187 cawangan fizikal di seluruh Semenanjung Malaysia, selain memiliki tiga platform digital yang memudahkan akses pengguna kepada pelbagai produk sukan terkini.

Dalam meniti transformasi sebagai jenama gaya hidup aktif, Al-Ikhsan terus mengekalkan akar umbinya bersama komuniti, menyokong semangat kesukanan dan kecergasan dari dahulu hingga kini.

Sebagai simbol kepada permulaan fasa baharu ini, Al-Ikhsan turut memperkenalkan kedai konsep generasi baharu di Elmina Lakeside Mall.

Direka dengan sentuhan moden, premis ini bukan sahaja menawarkan produk tempatan dan antarabangsa yang lebih segar, malah turut menjadi pusat aktiviti komuniti yang menjurus kepada gaya hidup sihat dan dinamik.

Antara inisiatif yang diperkenalkan di bawah kempen For Everyday Athletes termasuk program keahlian eksklusif yang akan dilancarkan bermula Jun 2025.

Program ini akan memberi ganjaran kepada pelanggan yang aktif menyertai aktiviti kecergasan serta menyediakan platform untuk pelbagai program komuniti yang menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang melalui minat yang sama iaitu kehidupan yang sihat dan aktif.

Dengan pelancaran kempen ini, Al-Ikhsan Sports menegaskan komitmennya sebagai rakan perjalanan setia buat semua rakyat Malaysia.

Dari setiap peluh yang mengalir, langkah yang diambil dan semangat untuk terus bergerak, Al-Ikhsan mahu menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan rakyat bukan hanya sebagai jenama, tetapi sebagai satu gerakan yang meraikan kehidupan aktif setiap hari.

Raikan pelajar SPM cemerlang straight A, PTTI beri insentif RM500

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – PTTI Group Sdn Bhd hari ini mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM500 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang Straight A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Pengumuman ini dibuat semasa Majlis Penghargaan Kecemerlangan SPM yang berlangsung di Bangi Golf Resort bagi meraikan pencapaian luar biasa pelajar-pelajar PTTI di seluruh negara.

Seramai 13,469 pelajar yang mengikuti program pendidikan kendalian PTTI direkodkan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang membanggakan dalam keputusan SPM tahun ini.

Menerusi inisiatif ini, PTTI menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 pelajar yang berjaya mencapai keputusan Straight A.

Sepanjang tahun 2024, lebih 179,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada pelbagai program yang ditawarkan oleh PTTI, termasuk kelas bimbingan secara percuma, seminar akademik, program motivasi serta sesi-sesi latihan intensif untuk membantu pelajar membuat persiapan rapi menghadapi peperiksaan.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan negara, PTTI turut menjalankan lebih 300 siri School Tour ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, selain menganjurkan lebih 10 sesi Roadtour SPM di negeri-negeri terpilih.

Pelajar-pelajar yang layak menerima insentif RM500 ini boleh membuat tuntutan melalui laman rasmi PTTI di www.ptti.my. Laman berkenaan turut menyediakan konsultasi pendidikan secara percuma melalui perkhidmatan PTTI Education Consultant (PEC).

Dalam majlis yang sama, PTTI turut melancarkan Seminar Gelombang G ke Straight A, sebuah program bimbingan intensif selama lima hari yang dijalankan secara atas talian, bermula 24 hingga 28 April 2025.

Program ini ditawarkan secara percuma kepada semua calon SPM Batch 08, dan pendaftaran boleh dibuat di laman web rasmi PTTI.

Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran selebriti popular tanah air, Nabila Razali dan Bella Astillah, yang tampil memberi kata-kata semangat dan inspirasi kepada pelajar serta ibu bapa yang hadir.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, pihaknya komited untuk terus menyediakan platform pendidikan yang efektif dan mudah diakses, terutamanya dalam mendepani cabaran peperiksaan yang kini dijadualkan lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Ramai ibu bapa mahu bantu anak faham subjek SPM tetapi tidak tahu cara yang betul.

“Kami di PTTI, dengan pengalaman lebih 10 tahun yang terbukti, percaya bahawa kami memiliki pendekatan dan platform yang tepat untuk membantu calon SPM.

‘Harapan kami adalah untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menukar gred gagal kepada Straight A pada tahun ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan insentif PTTI, orang ramai boleh melayari www.ptti.my atau menghubungi terus pasukan media PTTI.

Mahu anak ramai, Elon Musk didakwa hantar sperma kepada wanita di Jepun

editormaxinfo@gmail.com

NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, sekali lagi menjadi perhatian dunia selepas didakwa menghantar sperma kepada seorang wanita di Jepun dalam usaha berterusannya untuk memiliki bilangan anak yang ramai.

Menurut laporan eksklusif yang diterbitkan oleh Wall Street Journal, jutawan teknologi itu dikatakan komited untuk membina apa yang digambarkan sebagai “kumpulan besar anak” demi masa depan manusia.

Musk, 53, yang terkenal dengan pandangan luar biasa dan pendekatan tidak konvensional terhadap kehidupan dan perniagaan, kini disahkan mempunyai sekurang-kurangnya 14 orang anak hasil hubungan dengan empat wanita berbeza.

Mereka termasuk bekas isterinya Justine Musk, penyanyi terkenal Grimes, eksekutif Neuralink Shivon Zilis, serta personaliti media konservatif Amerika Syarikat, Ashley St Clair.

Pendedahan terbaru berkisar kepada hubungan Musk dengan St Clair, 26, yang mendedahkan beliau telah melahirkan anak ke-13 Musk pada September tahun lalu.

Dalam laporan itu, St Clair turut berkongsi beberapa mesej peribadi antara mereka, termasuk kenyataan Musk yang menyuarakan hasratnya untuk menambah bilangan anak melalui kaedah ibu tumpang.

Antara mesej yang dipetik berbunyi: “Saya nak hamilkan awak lagi. Guna ibu tumpang pun tak apa, kita kena capai tahap legiun sebelum kiamat.”

Musk turut dilaporkan menggunakan platform media sosial miliknya untuk mengenal pasti bakal ibu dan menggalakkan penggunaan ibu tumpang bagi mempercepatkan usaha menambah bilangan zuriat.

Dalam satu lagi pendedahan yang menggemparkan, St Clair memaklumkan beliau pernah ditawarkan sejumlah AS$15 juta (sekitar RM71.4 juta) serta bayaran bulanan sebanyak AS$100,000 (RM476,000) sebagai syarat untuk merahsiakan identiti sebenar bapa kepada anaknya.

Namun, bayaran itu dilaporkan telah dikurangkan secara drastik selepas hubungan mereka terbongkar kepada umum pada Februari lalu.

Nilainya mula-mula diturunkan kepada AS$40,000 (RM190,400) dan kemudiannya berkurang lagi kepada AS$20,000 (RM95,200) sebulan.

Antara pendedahan yang paling mencuri perhatian dalam laporan itu adalah dakwaan Musk telah menghantar sperma kepada seorang wanita berprofil tinggi di Jepun.

Tindakan itu dikatakan berlaku selepas beliau didekati oleh pegawai dari negara itu yang berkongsi kebimbangan sama terhadap kadar kelahiran yang semakin menurun.

Musk, yang sering mengutarakan pandangan tentang isu demografi global, tidak pernah menyembunyikan pendiriannya bahawa kadar kelahiran yang rendah adalah ancaman besar kepada masa depan manusia.

Beliau percaya individu yang bijak dan berpendidikan perlu memiliki lebih ramai anak bagi memastikan kesinambungan tamadun manusia yang berintelektual dan inovatif.

Pendedahan ini sekali lagi mencetuskan perbincangan hangat di peringkat antarabangsa mengenai isu etika, tanggungjawab sosial dan had peranan individu berpengaruh dalam membentuk masa depan populasi dunia.

Buat masa ini, Elon Musk belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang terkandung dalam laporan Wall Street Journal itu. -Agensi

Projek Warisan KL cerminan jiwa Kuala Lumpur dan aspirasi Malaysia MADANI

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu lagi transformasi besar menerusi pelancaran Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Inisiatif ini bukan sekadar menumpukan kepada pembangunan fizikal semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pemuliharaan budaya, sejarah dan pengukuhan nilai komuniti ibu kota.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, projek berimpak tinggi ini dilihat sebagai usaha holistik untuk menyemarakkan semula nadi Kuala Lumpur melalui pendekatan yang berasaskan nilai dan peradaban, seiring dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Perdana Menteri melihat Warisan KL sebagai lambang pemulihan jiwa kota, bukan sahaja melalui pembangunan infrastruktur, tetapi juga melalui pemulihan budaya dan nilai kehidupan masyarakat bandar.

“Ia satu gagasan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar kreatif dan berkebudayaan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.

Tunku Nashrul berkata, sejak awal pentadbirannya, Perdana Menteri sering menekankan pembangunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencakar langit atau projek mega semata-mata.

Sebaliknya, pembangunan harus dapat menyentuh kehidupan rakyat, membina sebuah kota yang hidup, inklusif dan bermakna untuk semua lapisan masyarakat.

Warisan KL ialah manifestasi nyata prinsip itu membina masa depan tanpa meminggirkan akar dan nilai sejarah yang membentuk jati diri negara.

Ia tentang bagaimana nilai, budaya dan warisan negara dapat dimanfaatkan oleh rakyat serta menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia,” katanya lagi.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan ini harus dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang, bukan sahaja dalam memelihara tapak warisan sejarah, malah membangkitkan rasa cinta dan penghargaan rakyat terhadap warisan negara yang tidak ternilai.

“Kerajaan tidak akan mengambil sikap sambil lewa terhadap mercu tanda sejarah yang mempunyai kepentingan signifikan kepada pembangunan negara.

“Setiap warisan yang ada adalah saksi bisu perjalanan kita sebagai sebuah bangsa, dan harus terus dijaga dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Projek Warisan KL akan dilaksanakan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Think City, Khazanah Nasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta penggiat seni dan budaya.

Kerjasama strategik ini mencerminkan iltizam bersama dalam merealisasikan Kuala Lumpur sebagai kota milik semua sebuah kota yang mencerminkan jati diri bangsa, warisan sejarah dan cita rasa masa depan yang progresif.

Pelancaran projek ini dijangka membawa dimensi baharu dalam pendekatan pembangunan bandar, dengan menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi, tetapi juga sebagai simbol warisan, budaya dan nilai MADANI yang tulen dan menyeluruh.

UTV: Platform OTT baharu cetusan Usanita angkat karya tempatan ke persada digital

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usanita Sdn Bhd melalui cabang hiburannya, Usanita Entertainment, terus memacu langkah berani dalam dunia digital apabila memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) terbaharu yang bakal membawa dimensi baharu dalam industri hiburan tempatan dan serantau.

Platform inovatif ini dijangka dilancarkan secara rasmi pada hujung Mei 2025 dengan membawa tagline Stream For You, yang mencerminkan aspirasi untuk menyediakan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh jiwa sejajar dengan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

UTV bukan sekadar sebuah lagi platform penstriman dalam pasaran. Ia diwujudkan sebagai wadah untuk mengetengahkan suara autentik, kisah-kisah bermakna dan karya asli terutamanya hasil tangan anak tempatan.

Di samping itu, UTV juga memberi penekanan kepada penglibatan dan pemerkasaan wanita dalam dunia seni hiburan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, UTV diwujudkan atas kesedaran terhadap kekosongan dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang jujur, menyentuh emosi dan memberi inspirasi.

“Idea penubuhan UTV ini tercetus daripada keinginan untuk membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni tempatan agar karya mereka dapat berkembang dan dinikmati oleh khalayak yang lebih luas, bukan hanya di Malaysia malah serantau.

“Kami percaya negara ini kaya dengan bakat dan cerita yang luar biasa.

“Dengan UTV, kami ingin membina satu ekosistem hiburan yang bukan sekadar menayangkan kandungan, tetapi turut mendidik, menyatukan dan memperkasakan masyarakat, khususnya golongan wanita, agar mereka mendapat tempat sewajarnya dalam landskap hiburan digital,” katanya.

Platform ini bakal menampilkan pelbagai kandungan premium merangkumi drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, rancangan bual bicara serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan selera generasi kini.

Bagi memastikan kualiti kandungan yang ditawarkan menepati standard terbaik, Usanita Entertainment turut melantik pengarah dan penerbit tersohor tanah air, Erma Fatima sebagai Channel Advisor.

Pelantikan ini sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam memastikan setiap produksi UTV mempunyai kekuatan naratif dan nilai produksi yang kompetitif.

Dalam majlis sama, Usanita Entertainment turut mengumumkan penganjuran dua persembahan istimewa hasil kerjasama bersama Mask Team di bawah jenama Usanita Entertainment x Mask Team.

Persembahan pertama bertajuk An Evening With Nadeera Zaini akan berlangsung pada 30 Mei 2025 (Jumaat), diikuti dengan Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei 2025 (Sabtu).

Kedua-dua acara ini dijadualkan berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam.

Adzliana berkata, pihaknya merasa teruja dengan penganjuran dua persembahan eksklusif berkenaan yang dilihat sebagai usaha untuk merapatkan seni dan muzik tempatan dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan bermakna.

“Penganjuran persembahan ini adalah tanda penghargaan kami kepada peminat yang terus menyokong industri seni tempatan.

“Ia juga memberi ruang kepada artis untuk tampil dengan karya mereka dalam bentuk yang lebih peribadi dan beremosi.

“Kami yakin, Nadeera dan Hael akan menghadirkan persembahan yang memukau dan menyentuh hati, selaras dengan nilai yang kami perjuangkan di Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Kedua-dua pengumuman utama ini dibuat dalam suasana penuh meriah sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air termasuk Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi.

Pelancaran UTV serta penganjuran dua persembahan eksklusif ini bukan sahaja menjadi cerminan aspirasi Usanita Entertainment untuk membangunkan industri hiburan digital tanah air, tetapi juga sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada penggiat seni tempatan yang terus mencipta dan menghidupkan kisah-kisah yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Sempena Hari Bumi, MADCash dan ERTH lancar program mini hub usaha perkasa wanita dan tangani sisa elektronik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Hari Bumi 2025, dua entiti tempatan tampil berganding bahu dalam usaha memperkasa wanita dan memelihara alam sekitar menerusi satu inisiatif unik.

MADCash Sdn. Bhd., syarikat fintech yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan terkenal dengan peranan memperkasa wanita melalui mikro-pembiayaan, telah bekerjasama dengan ERTH (Electronic Recycling Through Heroes), sebuah organisasi berpangkalan di Cyberjaya yang mempelopori usaha kitar semula sisa elektronik, bagi melancarkan Program MADCash x ERTH Mini Hub.

Program perintis ini sudahpun berrmula secara rasmi dan akan menyaksikan pembukaan pusat kutipan sisa elektronik yang diusahakan oleh sepuluh usahawan wanita yang diberi gelaran MADCash x ERTH Divas di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Matlamat utama program ini adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya 5,000 kilogram sisa elektronik dalam tempoh 12 bulan sambil membuka peluang pendapatan mampan kepada wanita tempatan.

Sebagai langkah permulaan, ERTH telah memperuntukkan dana sebanyak RM5,000 untuk disalurkan kepada MADCash sebagai pinjaman mikro kepada peserta.

Setiap usahawan wanita terpilih akan menerima pinjaman permulaan sebanyak RM500 sebagai modal untuk membeli sisa elektronik yang dikumpulkan dari komuniti masing-masing.

Pengasas MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin, berkata inisiatif ini sejajar dengan misi organisasi untuk mencipta peluang kehidupan yang lestari bagi wanita.

Menurutnya, dengan menggabungkan keusahawanan hijau ke dalam model pembiayaan MADCash, mereka bukan sahaja memperkasa wanita dari sudut kewangan, tetapi juga memupuk generasi baharu pemimpin perniagaan yang prihatin terhadap alam sekitar.

“Ini bukan sekadar program jangka pendek. Ia satu pelaburan masa depan yang bertujuan membentuk perubahan jangka panjang dalam kalangan komuniti wanita,” katanya.

Sementara itu, pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry berkata, pentingnya penyelesaian berasaskan komuniti dalam menangani isu sisa elektronik yang semakin meruncing.

Beliau percaya program ini dapat menjadikan wanita biasa sebagai wira alam sekitar, sekali gus membuktikan bahawa tindakan kecil mampu membawa perubahan besar.

Matlamat utama program ini adalah untuk mempromosikan konsep keusahawanan hijau dan memberi galakan kepada wanita untuk mengendalikan perniagaan mikro berasaskan kelestarian dalam komuniti mereka sendiri.

Melalui pendekatan ini, program bukan sahaja menanam kesedaran alam sekitar, tetapi turut menggalakkan tanggungjawab sosial dan ekonomi.

Projek rintis ini akan dinilai secara berkala oleh pihak MADCash dan ERTH untuk mengenal pasti potensi peluasan program pada masa akan datang.

Sekiranya terbukti berkesan dari segi impak alam sekitar serta peningkatan pendapatan peserta, model ini berpotensi diperluaskan ke seluruh negara.

Sisa elektronik adalah salah satu cabaran alam sekitar yang paling serius pada masa kini, dengan pembuangan tidak terkawal yang boleh mencetuskan pencemaran dan bahaya kesihatan awam.

Melalui penyertaan wanita sebagai ejen pengumpulan sisa elektronik, program ini berjaya menggabungkan penyelesaian kepada dua isu kritikal pengurusan e-sisa dan pemerkasaan ekonomi wanita.

MADCash kini sedang dalam proses memilih 10 peserta yang bakal memulakan peranan mereka menjelang 5 Mei 2025.

Peserta terpilih akan diberikan latihan serta sumber yang diperlukan untuk mengendalikan mini hub masing-masing dengan berkesan.

Kejayaan program ini akan diukur melalui jumlah sisa elektronik yang berjaya dikumpul serta pertumbuhan sosioekonomi peserta.

Sekiranya impak yang dijana melepasi sasaran, tidak mustahil pendekatan ini akan menjadi model nasional dalam usaha memperkasa wanita melalui keusahawanan berteraskan kelestarian.

Orang ramai turut digalakkan untuk menyokong inisiatif ini dengan mendermakan barangan elektronik terpakai seperti telefon lama, komputer riba, kabel dan sebagainya di lokasi-lokasi pengumpulan yang akan diumumkan.

Selain itu, mereka juga boleh membantu dengan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan pelupusan e-waste secara bertanggungjawab serta mencalonkan wanita usahawan bagi penyertaan fasa seterusnya program ini.

Isteri Presiden pertama Singapura, Noor Aishah Salim, meninggal dunia pada usia 91 tahun

editormaxinfo@gmail.com

SINGAPURA – Negara Singapura hari ini kehilangan seorang tokoh wanita yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah pembentukan negara apabila Noor Aishah Salim, isteri kepada Presiden pertama republik itu, Allahyarham Yusof Ishak, disahkan meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Singapura, meninggalkan legasi yang mendalam bukan sahaja sebagai isteri kepada pemimpin negara, malah sebagai seorang tokoh masyarakat yang banyak menyumbang dalam bidang kebajikan dan pembangunan sosial.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam satu hantaran di Facebook, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan rasa dukacitanya atas pemergian Allahyarhamah.

Dalam catatan itu, beliau menggambarkan Noor Aishah sebagai seorang wanita yang memiliki kelembutan disertai kekuatan dalaman yang luar biasa, yang sentiasa berdiri teguh di sisi suaminya ketika negara itu melalui fasa awal pembentukan.

“Dengan penuh kelembutan dan kekuatan yang tenang, beliau sentiasa berada di sisi Yusof Ishak dan memberikan sokongan teguh sepanjang tempoh mencabar ketika negara ini sedang dibina,” katanya.

Selain memainkan peranan sebagai isteri Presiden, Allahyarhamah turut dikenang atas komitmen dan sumbangannya dalam kerja-kerja kebajikan.

Beliau aktif terbabit dalam beberapa pertubuhan penting, antaranya Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS), menjadikan beliau figura yang disayangi ramai dalam kalangan masyarakat.

“Di luar Istana, beliau mendedikasikan diri dalam perkhidmatan masyarakat menerusi pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan PPIS.

“Kebaikan dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan ramai semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” kata Wong lagi.

Dilahirkan di Selangor pada tahun 1933, Noor Aishah telah berkahwin dengan Yusof Ishak pada tahun 1949 ketika berusia 16 tahun.

Sepanjang perkahwinan mereka, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pemergian Allahyarhamah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan kenalan terdekat, malah kepada seluruh rakyat Singapura yang menghargai jasa dan pengorbanannya dalam membentuk wajah awal negara terbabit bersama Presiden pertama republik itu.

YAKEB, PPUM bincang rawatan terbaik untuk bekas jaguh jalan kaki negara, Saravanan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan bekerjasama rapat dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membincangkan kaedah rawatan terbaik yang boleh diberikan kepada bekas atlet kebangsaan, G Saravanan, yang kini menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND).

Saravanan, yang pernah mencipta sejarah memenangi pingat emas dalam acara 50 kilometer jalan kaki pada temasya Sukan Komanwel 1998 (SUKOM 98), kini sedang berdepan cabaran kesihatan apabila disahkan menghidap penyakit saraf yang jarang berlaku dan tiada penawar sejak tahun 2021.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perbincangan bersama pihak PPUM akan memberi tumpuan kepada bentuk sokongan dan kemudahan rawatan yang paling efisien untuk membantu Saravanan dalam usahanya melawan penyakit berkenaan.

“Penyakit yang dihidapi Saravanan adalah keadaan yang sukar dijelaskan dari sudut rawatan.

“Sebelum ini beliau juga telah mencuba rawatan alternatif di India. Kini, beliau telah kembali ke kampung halamannya di Pulau Pinang selepas menjalani rawatan di PPUM,” katanya pada sidang media anjuran YAKEB, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, Saravanan dijangka akan berada di PPUM dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan rawatan dan tahap kesihatannya.

“Bantuan yang akan disalurkan kepada beliau adalah bergantung kepada kemampuan kewangan yayasan.

“Pada masa ini, beliau turut menerima elaun sara diri daripada YAKEB bagi tempoh enam bulan bermula bulan ini,” katanya.

Pada minggu lalu, Saravanan turut menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya dalam arena sukan negara.

Turut hadir menziarahi beliau di PPUM ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Saravanan pernah mencuri perhatian seluruh negara apabila bangkit menahan kesakitan akibat kekejangan otot pada penghujung perlumbaan SUKOM 98, namun tetap meneruskan langkah hingga ke garisan penamat.

Keazaman luar biasa itu bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kepada negara, malah menjadikan pingat terbabit sebagai yang ke-10 untuk kontinjen Malaysia dalam temasya itu, meletakkan negara sebagai pasukan keempat terbaik keseluruhan.

Dalam perkembangan lain, YAKEB turut merancang untuk mengadakan program ziarah ke atas beberapa lagi bekas atlet tanah air minggu ini, termasuk legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun serta bekas peninju kebangsaan, Nekmat Jantan, yang masing-masing menetap di Melaka dan Johor.

Melodi lucu, mesej serius, ‘Ana Yang Punya’ serlah evolusi Pitahati

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik tempatan yang terkenal dengan gaya penceritaan berlapis dan sarat dengan simbolisme, Pitahati, kini tampil dengan karya terbaru mereka berjudul Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit).

Lagu ini secara rasmi dilancarkan pada 10 Januari 2025 yang lalu menerusi label Luncai Emas dan menandakan kemunculan semula kumpulan itu dengan nuansa yang lebih santai namun penuh sindiran sosial.

Dicipta, ditulis dan diterbitkan sepenuhnya oleh anggota Pitahati sendiri dengan kerjasama Husyairi Hamzah sebagai penerbit bersama, lagu ini membawa suara baharu daripada kumpulan yang sinonim dengan eksperimentasi muzik.

Proses rakaman, adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Mokhtar, memberikan sentuhan teknikal yang memantapkan hasil akhir karya ini.

Vokalis utama Pitahati, Ilham berkata, lagu ini mengetengahkan kritikan sosial terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa serta merasakan seolah-olah dunia ini milik mereka sepenuhnya.

Meskipun begitu, mesej yang dibawa tidak ditujukan secara langsung kepada mana-mana individu atau kelompok tertentu, menjadikan ia karya terbuka untuk pelbagai tafsiran dan konteks.

“Kami mahu lagu ini menjadi satu peringatan lembut kepada mereka yang mungkin alpa dengan tanggungjawab mereka, tetapi pada masa yang sama kami sampaikan dalam nada lucu dan santai agar ia mudah diterima,” katanya.

Unsur humor yang disuntik dalam lagu ini turut mencerminkan sisi baharu Pitahati lebih bersahaja, namun tetap tajam dalam pemerhatian terhadap realiti sosial.

Sementara itu, pemain bass kumpulan itu Masrin berkata, pendekatan ini tidak bermakna mereka mengorbankan kualiti muzik.

Sebaliknya, mereka percaya keseimbangan antara kritikan dan hiburan menjadikan karya ini lebih mudah diakses dan difahami.

“Boleh jadi kami semakin lucu berbanding sebelum ini,” seloroh Masrin.

Masrin berkata, elemen jenaka itu muncul secara semula jadi dalam proses penciptaan lagu.

Menariknya, melodi lagu Ana Yang Punya dikatakan mengimbau kembali gaya muzik klasik era 70-an, terutamanya karya Riders on the Storm daripada kumpulan legenda Amerika Syarikat, The Doors.

Bagaimanapun, menurut Hidayat selaku gitaris, persamaan itu adalah secara kebetulan dan tidak dirancang.

“Kami tidak ambil inspirasi secara langsung, tapi mungkin secara tidak sedar ia terpengaruh oleh melodi-melodi lama yang sentiasa wujud dalam perbendaharaan muzik kami,” katanya.

Sebagai single sulung daripada album terbaru yang sedang dalam perancangan, Ana Yang Punya dipilih kerana dianggap paling tepat untuk memperkenalkan fasa baharu Pitahati kepada khalayak.

Lagu ini bukan sahaja mencerminkan perkembangan muzik mereka, tetapi turut membawa mesej yang relevan dengan gaya penyampaian yang menghiburkan.

“Kami harap pendengar akan menikmati sisi baharu kami lebih santai, lebih humoris dan pada masa sama, dapat menangkap maksud tersirat di sebalik liriknya,” tambah Ilham.

Lagu Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Peminat juga boleh menikmati visualizer rasmi lagu ini di saluran YouTube Pitahati.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan terkini dan mendalamkan hubungan dengan dunia kreatif kumpulan ini, jangan lupa untuk mengikuti mereka di media sosial rasmi.

Dengan nada bersahaja tetapi berisi, Pitahati sekali lagi membuktikan bahawa muzik mampu menjadi cermin kepada masyarakat tajam, sinis dan penuh makna.