28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, May 23, 2025

Isteri Presiden pertama Singapura, Noor Aishah Salim, meninggal dunia pada usia 91 tahun

editormaxinfo@gmail.com

SINGAPURA – Negara Singapura hari ini kehilangan seorang tokoh wanita yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah pembentukan negara apabila Noor Aishah Salim, isteri kepada Presiden pertama republik itu, Allahyarham Yusof Ishak, disahkan meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Singapura, meninggalkan legasi yang mendalam bukan sahaja sebagai isteri kepada pemimpin negara, malah sebagai seorang tokoh masyarakat yang banyak menyumbang dalam bidang kebajikan dan pembangunan sosial.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam satu hantaran di Facebook, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan rasa dukacitanya atas pemergian Allahyarhamah.

Dalam catatan itu, beliau menggambarkan Noor Aishah sebagai seorang wanita yang memiliki kelembutan disertai kekuatan dalaman yang luar biasa, yang sentiasa berdiri teguh di sisi suaminya ketika negara itu melalui fasa awal pembentukan.

“Dengan penuh kelembutan dan kekuatan yang tenang, beliau sentiasa berada di sisi Yusof Ishak dan memberikan sokongan teguh sepanjang tempoh mencabar ketika negara ini sedang dibina,” katanya.

Selain memainkan peranan sebagai isteri Presiden, Allahyarhamah turut dikenang atas komitmen dan sumbangannya dalam kerja-kerja kebajikan.

Beliau aktif terbabit dalam beberapa pertubuhan penting, antaranya Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS), menjadikan beliau figura yang disayangi ramai dalam kalangan masyarakat.

“Di luar Istana, beliau mendedikasikan diri dalam perkhidmatan masyarakat menerusi pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan PPIS.

“Kebaikan dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan ramai semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” kata Wong lagi.

Dilahirkan di Selangor pada tahun 1933, Noor Aishah telah berkahwin dengan Yusof Ishak pada tahun 1949 ketika berusia 16 tahun.

Sepanjang perkahwinan mereka, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pemergian Allahyarhamah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan kenalan terdekat, malah kepada seluruh rakyat Singapura yang menghargai jasa dan pengorbanannya dalam membentuk wajah awal negara terbabit bersama Presiden pertama republik itu.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular