editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan bekerjasama rapat dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membincangkan kaedah rawatan terbaik yang boleh diberikan kepada bekas atlet kebangsaan, G Saravanan, yang kini menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND).
Saravanan, yang pernah mencipta sejarah memenangi pingat emas dalam acara 50 kilometer jalan kaki pada temasya Sukan Komanwel 1998 (SUKOM 98), kini sedang berdepan cabaran kesihatan apabila disahkan menghidap penyakit saraf yang jarang berlaku dan tiada penawar sejak tahun 2021.
Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perbincangan bersama pihak PPUM akan memberi tumpuan kepada bentuk sokongan dan kemudahan rawatan yang paling efisien untuk membantu Saravanan dalam usahanya melawan penyakit berkenaan.
“Penyakit yang dihidapi Saravanan adalah keadaan yang sukar dijelaskan dari sudut rawatan.
“Sebelum ini beliau juga telah mencuba rawatan alternatif di India. Kini, beliau telah kembali ke kampung halamannya di Pulau Pinang selepas menjalani rawatan di PPUM,” katanya pada sidang media anjuran YAKEB, hari ini.
Ahmad Shapawi berkata, Saravanan dijangka akan berada di PPUM dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan rawatan dan tahap kesihatannya.
“Bantuan yang akan disalurkan kepada beliau adalah bergantung kepada kemampuan kewangan yayasan.
“Pada masa ini, beliau turut menerima elaun sara diri daripada YAKEB bagi tempoh enam bulan bermula bulan ini,” katanya.
Pada minggu lalu, Saravanan turut menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya dalam arena sukan negara.
Turut hadir menziarahi beliau di PPUM ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Saravanan pernah mencuri perhatian seluruh negara apabila bangkit menahan kesakitan akibat kekejangan otot pada penghujung perlumbaan SUKOM 98, namun tetap meneruskan langkah hingga ke garisan penamat.
Keazaman luar biasa itu bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kepada negara, malah menjadikan pingat terbabit sebagai yang ke-10 untuk kontinjen Malaysia dalam temasya itu, meletakkan negara sebagai pasukan keempat terbaik keseluruhan.
Dalam perkembangan lain, YAKEB turut merancang untuk mengadakan program ziarah ke atas beberapa lagi bekas atlet tanah air minggu ini, termasuk legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun serta bekas peninju kebangsaan, Nekmat Jantan, yang masing-masing menetap di Melaka dan Johor.
Very good https://lc.cx/xjXBQT
Good https://t.ly/tndaA