editormaxinfo@gmail.com
BANGI – Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 yang berlangsung penuh penghargaan, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.
Majlis yang diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam perkhidmatan ini menyaksikan penyampaian anugerah oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Mohd Isa, kepada penerima yang mewakili pelbagai unit dan cawangan agensi termasuk Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.
Dalam ucapannya, Mohd Rosli berkata, APC bukan sekadar satu bentuk penghormatan kepada individu, tetapi turut menjadi pencetus motivasi kepada seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus menjunjung nilai profesionalisme dan budaya kerja berprestasi tinggi.
“Keunggulan Maritim Malaysia bukan hanya terletak pada kecekapan operasi di lapangan, tetapi lebih penting lagi pada iltizam dan kesetiaan setiap pegawai dalam menunaikan amanah yang diberikan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru penerima anugerah menjadi contoh teladan kepada rakan sejawat, khususnya golongan muda dalam agensi, dengan terus mengangkat nilai integriti, profesionalisme dan efisiensi dalam setiap lapisan organisasi.
Menambah kemeriahan majlis, Mohd Rosli turut menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima istimewa yang telah menerima APC sebanyak tiga kali sepanjang perkhidmatan mereka.
Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi berterusan dan kecemerlangan luar biasa yang wajar dijadikan contoh kepada warga Maritim Malaysia yang lain.

Majlis anjuran Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi agensi, antaranya Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, selain pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.
Penghargaan yang diberikan melalui APC ini diyakini mampu memperkukuh lagi semangat dalam kalangan anggota untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan perairan negara, selaras dengan misi Maritim Malaysia sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut negara.


