31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 15, 2025

Kukuhkan dominasi serantau, KSIA kembali anjur KamiSempoi Golden Award 2024, rancang label muzik sendiri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyahut aspirasi untuk terus unggul dalam dunia digital, KamiSempoi International Agency (KSIA) kembali mencuri tumpuan dengan penganjuran KamiSempoi Golden Award 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini di Galaxy Banquet Hall, Sentul.

Acara tahunan yang semakin mendapat tempat ini bakal menjadi pentas pengiktirafan kepada live host TikTok dan rakan niaga KSIA yang telah memainkan peranan penting dalam membina nama agensi ini ke tahap antarabangsa.

Masih mengekalkan kedudukan sebagai agensi TikTok No.1 Platinum di Malaysia dan kini tersenarai dalam tujuh teratas di Asia Tenggara, KSIA sekali lagi membuktikan keupayaan mereka memperluas pengaruh di rantau ini.

Pengasasnya, To Chin Swee, yang lebih mesra dikenali sebagai Pakcik Chin Swee berkata, peningkatan jumlah kategori dalam anugerah tahun ini menjadi bukti kukuh akan kepercayaan dan sokongan komuniti digital terhadap KSIA.

Jika tahun lalu hanya 7 kategori disediakan untuk rakan niaga dan 15 kategori untuk live host, tahun ini menyaksikan lonjakan ketara dengan 12 kategori buat rakan niaga, manakala jumlah kategori untuk live host kekal sebanyak 15.

Namun kali ini dengan cakupan peserta yang lebih pelbagai merangkumi golongan selebriti, profesional, pelajar, suri rumah, individu berkeperluan khas serta ramai lagi.

Tiga kategori baharu turut diperkenalkan: Top Host KamiSempoi Singapura 2024, Top Host KamiSempoi Indonesia 2024, dan Top Host KamiSempoi  Malaysia 2024, yang mana antara mereka akan dinobatkan sebagai Top Host KamiSempoi of The Year 2024.

“Kami melihat peningkatan luar biasa dalam jumlah live host yang bernaung di bawah KSIA.

“Kini kami mempunyai 3,100 live host dari Malaysia, 1,400 dari Indonesia dan 100 dari Singapura, berbanding tahun lalu hanya sekitar 1,300 (Malaysia), 550 (Indonesia) dan 100 (Singapura).

“Rakan niaga kami juga meningkat kepada 27 di Malaysia dan 9 di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan, malah sebagai platform motivasi untuk meningkatkan daya saing dan mutu persembahan dalam kalangan komuniti live host.

Antara pencapaian membanggakan yang akan diraikan termasuklah kejayaan Adelyn Heng, yang tersenarai dalam Top 3 live host TikTok di Asia Tenggara dan Top 100 dunia.

Adelyn juga telah mewakili Malaysia ke acara antarabangsa anjuran TikTok.

Dalam pada itu, tiga rakan niaga KSIA yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu turut diberi penghormatan.

BossKlan mencatat pendapatan tertinggi dengan USD73,000 (RM309,372.41), diikuti KSIA Christ dengan USD68,000 (RM288,182.52) dan Mentol Talent sebanyak USD16,000 (RM67,807.65).

Sementara itu, selari dengan perkembangan pesat dan pengaruhnya yang melangkaui sempadan digital, KSIA turut mengumumkan perancangan strategik untuk melancarkan label muzik rasmi mereka.

Kolaborasi sulung bersama Miaw Music menyaksikan penerbitan lagu “KamiSempoi”, hasil ciptaan Kimchi Kacak, ahli pengurusan KSIA sendiri.

Lagu ini akan dipersembahkan buat pertama kali oleh Bulan Asyraff, seorang live host KSIA yang kini turut dikenali sebagai penyanyi dan influencer TikTok.

Berasal daripada latar belakang sebagai busker jalanan, bakat Bulan Asyraff mula mendapat perhatian selepas disunting oleh Pakcik Chin Swee sendiri untuk menyertai KSIA.

Kemuncak pencapaiannya setakat ini ialah apabila beliau berjaya mara ke peringkat akhir dalam program realiti nyanyian GIMME THE MIC, kolaborasi antara TikTok dan Astro, dan muncul sebagai Top 2 dalam kategori The Six.

Namanya kini mula dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi turut mencuri perhatian peminat di Indonesia.

“Bulan Asyraff adalah bukti nyata bagaimana platform digital mampu membuka jalan kepada bakat yang sebenar.

“Kami berharap melalui label muzik ini, lebih ramai live host berpotensi dapat dibimbing untuk menonjolkan bakat seni suara mereka,” kata Pakcik Chin Swee lagi.

Menyedari permintaan tinggi dari Malaysia Timur, KSIA turut merancang untuk membuka pejabat baharu di Sabah dalam masa terdekat.

Pejabat ini akan memberi fokus khusus kepada pengembangan bakat-bakat live host dari Borneo termasuk Sabah dan Sarawak yang dilihat memiliki potensi besar dalam industri live streaming.

“Kami akan terus memperkukuh empayar KSIA di seluruh Asia Tenggara, dengan sasaran jangka panjang untuk menembusi pasaran Asia secara menyeluruh,” katanya.

Dengan segala perancangan yang telah digariskan, KamiSempoi International Agency terus melakar langkah berani dalam dunia digital dan hiburan, bukan sahaja sebagai agensi live streaming, tetapi juga sebagai pemangkin bakat dan pencetus revolusi dalam industri kandungan kreatif serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular