26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026

TM rakan rasmi Pasukan Sepak Takraw Negara, teguhkan sokongan terhadap pembangunan sukan tanah air

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) terus mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan sukan negara apabila secara rasmi menjadi Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Negara.

Kerjasama strategik ini dimeterai melalui satu perjanjian persefahaman bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), sekali gus memperkukuh peranan TM sebagai entiti korporat yang aktif menyokong usaha pembinaan negara merangkumi pelbagai aspek termasuk sukan, budaya dan perpaduan nasional.

Majlis pertukaran dokumen rasmi ini disaksikan oleh Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan serta Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali.

Perjanjian ini menandakan permulaan kerjasama selama dua tahun yang menyaksikan TM memainkan peranan signifikan dalam menyokong penyertaan pasukan kebangsaan dalam pelbagai kejohanan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok dan Piala Dunia ISTAF 2026.

Sepak takraw, yang telah lama diangkat sebagai sukan rakyat dan juga sebahagian daripada warisan budaya negara, kini menyaksikan kebangkitan populariti khususnya dalam kalangan generasi muda di Malaysia dan negara-negara ASEAN.

Potensi luar biasa serta daya tarik sukan ini yang semakin berkembang telah menjadi antara faktor utama yang mendorong TM untuk melibatkan diri secara aktif dalam memperkasakan sukan tradisional ini di peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai usaha mempromosikan dan memperluas capaian sukan sepak takraw kepada khalayak yang lebih luas, TM turut mengumumkan penyiaran langsung kejohanan Piala Asia 2025 melalui saluran Unifi Sports Channel 701 di Unifi TV.

Saluran ini akan tersedia kepada semua pelanggan Unifi TV Pack, memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan aksi pasukan negara secara langsung dan berpeluang mendalami keunikan serta keindahan sukan yang telah lama menjadi simbol ketangkasan dan semangat kesukanan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini adalah refleksi jelas terhadap komitmen TM dalam membangunkan sukan tempatan serta memupuk bakat muda negara.

“Sepak takraw bukan sekadar sukan, ia adalah warisan budaya yang dekat di hati rakyat. Kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa sukan ini di pentas tempatan dan antarabangsa.

“Seiring dengan aspirasi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang tahun 2030, kami akan terus memberi impak bermakna dan inklusif kepada masyarakat bukan hanya melalui teknologi, tetapi juga menerusi platform penyatuan seperti sukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata, beliau menghargai sokongan padu TM yang hadir pada waktu yang amat signifikan bagi pasukan kebangsaan.

“Kami amat berbesar hati menerima TM sebagai rakan rasmi Pasukan Sepak Takraw Negara.

“Kehadiran TM sebagai rakan strategik kami diyakini mampu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam arena sepak takraw serantau dan antarabangsa.

“Dengan komitmen dan sokongan seperti ini, kami yakin dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualiti serta mencatatkan kejayaan membanggakan dalam kejohanan-kejohanan mendatang,” katanya.

Langkah TM menyokong sepak takraw sukan yang mencerminkan nilai-nilai ketangkasan, semangat berpasukan dan kebanggaan nasional sekali lagi menggariskan dedikasi Kumpulan terhadap usaha memperkasakan kehidupan rakyat.

Melalui kerjasama ini, TM bukan sahaja mengukuhkan reputasinya sebagai pemangkin kemajuan teknologi dan digital negara, malah sebagai penyumbang aktif dalam agenda perpaduan dan pembangunan masyarakat melalui sukan dan budaya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular