editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Budaya sarapan yang selama ini menjadi amalan harian rakyat Malaysia kini semakin diiktiraf sebagai elemen penting dalam pembinaan identiti nasional dan pemupukan perpaduan.
Pengiktirafan itu diterjemahkan menerusi penganjuran Pesta Make Nasi Berlauk, sebuah inisiatif unik yang mengetengahkan kekayaan warisan makanan tradisional, khususnya dari Pantai Timur.
Program yang diadakan bersempena Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 ini menjadi platform penting untuk memperlihatkan bagaimana sarapan sesuatu yang kelihatan remeh dalam rutin harian sebenarnya mampu menjadi jambatan antara budaya, generasi dan komuniti.

Tahun lalu, budaya sarapan Malaysia menerima pengiktirafan berprestij daripada UNESCO sebagai sebahagian daripada warisan tidak ketara dunia, dengan hidangan seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik menjadi ikon.
Kali ini, tumpuan khusus diberikan kepada nasi berlauk Kelantan, sarapan ruji masyarakat negeri itu yang sarat dengan nilai budaya, sejarah dan tradisi.
Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Dr. Eyo Leng Yan berkata, budaya sarapan bukan sekadar makanan, tetapi satu simbol penyatuan.


“Budaya bersarapan menggambarkan bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, umur atau latar belakang berkumpul dan berkongsi detik-detik bermakna.
“Nasi berlauk adalah contoh terbaik bagaimana makanan boleh menjadi medium warisan dan perpaduan,” katanya.
Penganjuran ini turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan negeri Kelantan serta badan-badan kebajikan wanita.


Antara tokoh yang hadir memeriahkan acara ialah Ketua Setiausaha MOTAC; Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Exco Pelancongan Negeri Kelantan; Datuk Kamaruddin Md Nor dan Ketua Pengarah JWN; Mohamad Muda Bahadin.
Turut menyatakan sokongan ialah kepimpinan PUSPANITA yang diwakili oleh Pengerusi PUSPANITA MOTAC; Datin Yuzaira Yusoff serta Pengerusi PUSPANITA Negeri Kelantan; Datin Sharidah Hamad, yang melihat potensi acara ini dalam memperkasa ekonomi tempatan dan memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan warisan budaya.

Lebih menarik, acara ini bukan sahaja mengetengahkan pelbagai variasi nasi berlauk seperti gulai ikan tongkol, ayam gulai dan daging kerutup, malah diserikan dengan persembahan budaya oleh Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) Kelantan, serta persembahan istimewa artis tempatan, Emi Sukmasari dan Raden Mas Uji.
Bagi pengunjung, terutama generasi muda, festival ini menjadi peluang berharga untuk mengenali dan menghargai kekayaan warisan makanan tempatan yang semakin terpinggir dalam arus pemodenan.


Pesta Make Nasi Berlauk juga memberi impak langsung kepada sektor ekonomi setempat, apabila pengusaha makanan tradisional diberi ruang untuk memperkenalkan produk mereka kepada khalayak lebih luas satu langkah proaktif dalam menyokong industri pelancongan makanan dan persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026.


Dengan sambutan yang begitu menggalakkan serta penglibatan menyeluruh pelbagai pihak, budaya sarapan kini dilihat bukan lagi sekadar permulaan hari, tetapi sebagai manifestasi rasa kebersamaan, warisan dan jati diri rakyat Malaysia.

