editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Sebanyak 213 jenis makanan tradisional dari seluruh negara telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan setakat ini, termasuk beberapa juadah ikonik dari negeri Kelantan seperti nasi kerabu, kuih jala emas, budu, akok dan solok lada.
Pengiktirafan itu bukan sahaja memperkukuh identiti budaya Malaysia, malah menjadi satu usaha berterusan dalam memastikan warisan kulinari tidak hilang ditelan zaman.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, kerajaan komited dalam mempromosikan, memartabat dan melestarikan seni, budaya serta warisan negara melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
Antara bentuk sokongan yang diberikan termasuk bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak korporat melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan dan Geran Sokongan Sektor Pelancongan.

Dalam ucapannya sempena majlis perasmian Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, beliau berkata festival ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan bukan sahaja makanan yang telah menerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, malah turut mempamerkan pelbagai juadah tradisional yang kini semakin sukar ditemui.
“Festival ini mempersembahkan makanan warisan yang hampir pupus seperti itik solor, kerabu beko, nasi 100, ros lidah dan apam bakar.
“Ia bukan sekadar pameran makanan, tetapi satu usaha pendokumentasian warisan budaya melalui pendekatan yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Majlis perasmian festival disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra, menandakan sokongan tertinggi pihak Istana terhadap usaha memartabatkan warisan negeri Kelantan sebagai aset penting negara.
Dalam pada itu, Datuk Shaharuddin turut menekankan penganjuran festival seperti ini tidak hanya menggembirakan pengunjung yang ingin menikmati pelbagai juadah tradisional, tetapi turut memberikan kesan langsung terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan.
Kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri memberi peluang besar kepada peniaga, pengusaha makanan warisan dan komuniti tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Dengan lebih 150 juadah makanan warisan dibawa khas dari 10 daerah di seluruh Kelantan, festival ini menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan semula makanan tradisional kepada generasi baharu.
Ia juga menjadi ruang pengukuhan jaringan kerjasama antara komuniti tempatan dengan agensi seperti Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Majlis Kraf Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja dapat memastikan makanan warisan negeri terus hidup dan berkembang, malah menjadi pemacu kepada pelancongan budaya yang mampu menarik minat pelancong dalam dan luar negara.

Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik berteraskan makanan tradisional, seni persembahan, pameran budaya dan penyertaan komuniti setempat.
Ia menjadi salah satu usaha MOTAC yang selari dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia yang akan datang, menjadikan warisan sebagai nadi utama dalam agenda pelancongan negara.

