editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Usaha memartabatkan seni dan budaya warisan masyarakat Pantai Timur terus disemarakkan menerusi kolaborasi unik antara Balai Seni Negara dan pusat makanan tradisional tempatan, Singgora.
Inisiatif ini memberi nafas baharu kepada penghayatan warisan melalui gabungan seni visual dan gastronomi yang dipersembahkan dalam bentuk pengalaman budaya menyeluruh.
Bertempat di Pasir Hor, Kota Bharu, Singgora bukan sekadar sebuah pusat makanan, tetapi turut menjadi ruang hidup kepada memori, nilai kekeluargaan dan gaya hidup tradisional masyarakat Kelantan.
Kolaborasi bersama Balai Seni Negara ini membuka dimensi baharu apabila penyediaan makanan tradisional satu aspek penting dalam kehidupan masyarakat mula didokumentasikan dan diangkat sebagai karya seni.
Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Rohana Mohd Yusof berkata, pendekatan ini adalah satu usaha serius dalam memelihara, memvisual dan mendidik masyarakat mengenai kekayaan warisan tempatan.

“Kita cuba terjemahkan proses penyediaan makanan tradisional ke dalam bentuk seni visual.
“Pelukis tempatan diberi ruang untuk menghasilkan karya berasaskan budaya gastronomi, seterusnya mendokumentasikan warisan ini dalam bentuk yang boleh dinikmati dan difahami pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan potensi gabungan antara seni visual dan makanan tradisional sebagai produk pelancongan budaya yang berdaya saing, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia yang akan datang.
“Gabungan ini bukan sekadar dokumentasi, tetapi sebuah pengalaman yang memberi makna. Ia membuka peluang untuk masyarakat luar merasai keunikan budaya kita secara langsung,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Singgora, Mohamad Salleh berkata, pengalaman menjamu selera di premis itu bukan sekadar mengisi perut, sebaliknya membawa tetamu menelusuri kembali nilai kehidupan masyarakat tradisional yang semakin dilupakan.
“Di Kelantan, budaya makan petang dengan conek (makanan ringan) atau collek (mencelup makanan dalam sambal atau kuah) lebih daripada sekadar makanan.
“Ia adalah ritual sosial jiran-jiran berkumpul di wakaf, berkongsi cerita, bertanya khabar, bukan bergosip, tetapi saling mengambil tahu tentang kesejahteraan masing-masing,” katanya.
Mohamad berkata, setiap elemen dalam sajian di Singgora daripada pinggan lama, kuih tradisional seperti tepung bungkus, hinggalah kepada cara duduk dan berinteraksi direka untuk membangkitkan suasana dan nostalgia zaman dahulu.
“Makanan ini bukan sekadar untuk kenyang. Ia menyimpan kenangan, cerita dan ikatan kekeluargaan yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Bukan sekadar mengekalkan resepi dan rasa, Singgora turut mengetengahkan konsep ‘experientialism’, di mana pengunjung berpeluang terbabit secara langsung dalam aktiviti tradisional seperti duduk bersila di wakaf, memotong buah, atau menumbuk sambal menggunakan lesung.

“Perkara seperti ini mungkin nampak biasa bagi kita, tetapi bagi pelancong luar, ia sangat luar biasa.
“Malah baru-baru ini, seorang diplomat dari Jepun datang ke sini semata-mata untuk merasai pengalaman itu,” katanya,
Kolaborasi ini secara langsung menyatukan dua cabang warisan seni visual dan seni kulinari sebagai satu naratif yang bukan sahaja mendidik masyarakat tempatan, tetapi juga membuka ruang kepada pengunjung luar untuk memahami kekayaan budaya Melayu dari lensa yang lebih mendalam.
Dalam pada itu, Rohana turut menambah, dokumentasi seni seumpama ini dapat membantu membina semula penghargaan terhadap nilai-nilai kehidupan lama yang semakin terhakis.

“Bagi orang tempatan, mungkin ini semua kelihatan biasa. Tetapi bagi orang luar, inilah keunikan yang membezakan kita. Kita perlu melihat nilai ini sebagai aset, bukan sekadar rutin harian,” katanya.
Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang sedang berlangsung turut menjadi pentas kepada usaha ini.
Pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman budaya di booth Singgora, yang dibuka sepanjang festival sehingga 7 September 2025 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Kolaborasi antara Balai Seni Negara dan Singgora ini membuktikan bahawa seni dan budaya tidak hanya terhad kepada galeri dan muzium sebaliknya ia hidup dalam kehidupan seharian, di meja makan, di dapur dan dalam ikatan sosial masyarakat.

