28.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
Home Blog Page 222

Jadi punca krisis kesihatan mental remaja, New York saman TikTok dan FB

editormaxinfo@gmail.com

NEW YORK – New York memfailkan saman terhadap platform media sosial utama seperti TikTok, Facebook, Snapchat dan YouTube kerana didakwa mencetuskan krisis kesihatan mental terhadap golongan muda.

CBC News melaporkan, Datuk Bandar New York, Eric Adams mahu mendapatkan semula ganti rugi sebanyak AS$100 juta (RM477 juta) yang dibelanjakan oleh bandar raya itu untuk membendung krisis kesihatan mental setiap tahun.

“Ciri-ciri yang menyebabkan orang ramai mengklik sudut gelap media sosial ini telah mencetuskan peningkatan kes buli dalam talian, kemurungan, gangguan makanan dan idea untuk membunuh diri,” kata Adam.

Sementara itu, YouTube, TikTok dan Meta yang memiliki Facebook dan Instagram berkata mereka mempunyai ‘alat’ untuk melindungi kesejahteraan remaja.

“TikTok mempunyai perlindungan peneraju industri untuk menyokong kesejahteraan remaja, termasuk ciri sekatan umur, kawalan ibu bapa, had masa 60 minit automatik untuk pengguna di bawah 18 tahun dan banyak lagi.

“Kami kerap bekerjasama dengan pakar untuk memahami amalan terbaik yang muncul,dan akan terus berusaha memastikan komuniti kita selamat dengan menangani cabaran seluruh industri,” kata jurucakap TikTok kepada CBS New York dalam satu kenyataan. – Agensi

Tuuu Dia Pak Tam bawa menu istimewa ke Menara Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama Tuuu Dia Pak Tam yang kian dikenali sejak membuka restoran di R&R (Rehat dan Rawat), kini melangkah setapak lagi apabila buat pertama kalinya menu masakan daripada restoran berkenaan berada di tempat tinggi iaitu Menara Kuala Lumpur.

Sempena menyambut Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Tuu Dia Pak Tam bakal menghangatkan suasana menu Ramadan dengan pelbagai masakan mereka di Tuuu Dia Pak Tam @ KL Tower.

Dengan menawarkan harga bufet serendah RM219, orang ramai boleh merasai suasana konsep makanan Melayu Tradisional bertemakan ‘Cita rasa Ramadan Tuuu Dia PakTam@ KL Tower’.

Bagi tempahan awal bermula kini sehingga 29 Februari, harga ditawarkan hanya RM179 untuk dewasa dan RM109 bagi kanak-kanak pada hari biasa.

Manakala Sabtu, Ahad dan Cuti Umum harga ditawarkan RM199 (dewasa) dan RM119 (kanak-kanak).

Disusun rapi oleh Chef Muhammad Haziq Hazwan dan Chef Nur Diana Ruslin, bufet Ramadan pada tahun ini menawarkan lebih 50 jenis hidangan yang semestinya memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Siapa yang tahu PakTam, kami memang terkenal dengan menu mee rebus yang didatangkan dengan kuah istimewa di mana ia adalah salah satu menu wajib yang bakal disajikan bagi bufet Ramadan tahun ini.

“Antara menu lain disediakan ialah Lemang Pak Tam, nasi bukhara, nasi lambaian, kambing bakar, daging masak hitam, ayam dengge, dan pelbagai jenis pencuci mulut,” kata Haziq Hazwan.

Sambil menikmati juadah berbuka di ketinggian 288 meter, pengunjung juga dapat melihat panorama bandaraya Kuala Lumpur yang indah pada waktu matahari terbenam dari dewan bankuet Menara Kuala Lumpur yang berwajah baharu kini dikenali sebagai TEMU.

Lebih menarik, tahun ini Menara Kuala Lumpur akan memberikan tiket masuk ke Observation Deck secara percuma istimewa buat tetamu Bufet Ramadan berbanding harga asal RM30.00 seorang.

Bukan itu sahaja, sambil menikmati juadah berbuka puasa yang enak, pengunjung juga akan dihiburkan oleh kumpulan muzik dari Menara Kuala Lumpur iaitu ‘The Sky Band’.

Bufet Ramadan di TEMU Menara Kuala Lumpur boleh didapati bermula pada 15 Mac hingga 7 April 2024, mulai jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Hadiah eksklusif bernilai sehingga RM778,000 menanti di roadshow HONOR Magic V2

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena perayaan Tahun Baharu Cina, HONOR Malaysia akan menganjurkan Roadshow HONOR Magic V2 di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Tawaran diskaun hebat, hadiah percuma dan cabutan bertuah bernilai sehingga RM778,000 menanti pengunjung di dua acara ini.

Roadshow di Mid Valley Megamall akan berlangsung dari 21 hingga 25 Februari, diikuti Queensbay Mall dari 28 Februari hingga 3 Mac.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati diskaun sehingga RM1,000 untuk peranti HONOR yang terpilih.

Bagi HONOR Magic V2, pembeli akan membawa pulang hadiah HONOR CHOICE Robot Cleaner R2, HONOR CHOICE Watch, Pemegang Telefon Boleh Lipat Graviti Kereta dan Pelan Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari yang kesemuanya bernilai RM3,746.

Tawaran istimewa ini hanya eksklusif di dua roadshow berkenaan. Selain itu, HONOR turut menawarkan pelan ansuran 0 peratus sehingga 24 bulan untuk pembelian HONOR Magic V2 dengan bayaran serendah RM291 sebulan*.

Lebih menarik lagi, HONOR menawarkan sebanyak 800 hadiah cabutan bertuah kepada pembeli apabila membuat pembelian mana-mana peranti termasuk HONOR Magic V2.  

Antara hadiah cabutan bertuah adalah HONOR Pad 8, HONOR Watch 4, HONOR CHOICE Earbuds X3, pembesar suara Bluetooth, Thermos tahan karat dan kredit RM50 Touch ‘n Go.

Pengunjung di dua lokasi roadshow ini boleh menebus secawan kopi sejuk dengan menyertai aktiviti di Experience Zone, manakala pembeli diberikan kopi panas percuma. Kopi berkenaan berdasarkan siapa cepat dia dapat atau sementara stok masih ada.

Berikut senarai telefon pintar dan tablet HONOR pada harga promosi berserta hadiah percuma.

ProdukMemoriHarga RuncitHarga PromosiHadiah Percuma
HONORMagic V216GB+512GBRM6,999HONOR Robot Vacuum Cleaner, HONOR CHOICE Watch, Pemegang Telefon Boleh Lipat Graviti Kereta dan Pelan Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari
HONORMagic5 Pro19GB+512GBRM4,299RM3,499Jaminan Lanjutan 1+1 Tahun, Perlindungan Skrin Retak 180 Hari dan hadiah tambahan
HONORMagic519GB+256GBRM3,499RM2,499Jaminan Lanjutan 1+1 Tahun, Perlindungan Skrin Retak 180 Hari dan hadiah tambahan
HONOR90 5G19GB+512GBRM2,099RM1,899HONOR Earbuds X5, Jaminan Lanjutan 1+1 Tahun, Perlindungan Skrin Retak 180 Hari dan hadiah tambahan
HONOR90 5G19GB+256GBRM1,799RM1,699HONOR Earbuds X5, Jaminan Lanjutan 1+1 Tahun, Perlindungan Skrin Retak 180 Hari dan hadiah tambahan
HONOR90 Lite 5G13GB+256GBRM1,099Jaminan Lanjutan 1+1 Tahun dan hadiah tambahan
HONORX9b20GB+256GBRM1,499HONOR Choice Earbuds X5, Penggantian Retak Depan & Belakang 365 Hari dan hadiah tambahan
HONORPad 810GB+256GBRM1,499RM1,399HONOR Pad 8 Smart Keyboard
HONORPad X97GB+128GBRM1,099HONOR Pad X9 Smart Bluetooth Keyboard

Cinta Kayangan milik Razzuan Rosli

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perjalanan karier seni Razzuan Rosli di pentas lakonan berjaya membuktikan bakat dimiliki sehingga mampu mengumpul peminat tersendiri.

Malah,dia yang muncul dengan single Akur terbitan Universal Music Malaysia pada 2022 menjadipertaruhan baharu buat dirinya dalam bidang nyanyian.

Pengalaman merakamkan single sulung itu adalah detik yang cukup berharga dalam hidupnya.

Menyedari kerjaya nyanyian sudah cukup sebati dalam diri, Razzuan kini muncul dengan single Cinta Kayangan yang membawakan tema cinta itu buta.

Dalam lagu ini, Razzuan dengan penuh kebijaksanaan menggambarkan bagaimana cinta itu pada hakikatnya adalah sesuatu yang subjektif.

“Cinta adalah sesuatu yang subjektif, tapi cinta itu buta sebenarnya. Sebab dalam hidup ini kadang kala kita jumpa dengan orang yang kita rasa kena dengan kita, tapi sebenarnya tidak.

“Kita tidak boleh nak bersama atau meneruskan perhubungan itu. Terkadang apa yang kita rasakan tidak selaras dengan kenyataan dan hubungan itu mungkin hanya angin lalu.

“Perkara ini menjadi peringatan bagi semua orang bahawa tidak semua pertemuan adalah takdir dan bukan semuanya harus dilanjutkan atau dipertahankan,” kartanya.

Dengan suara emasnya dan lirik lagu yang memukau hati, Razzuan membawa pendengarnya dalam perjalanan mendalam mengenal erti cinta sebenar menerusi Cinta Kayangan.

“Kenapa tajuk lagu ini Cinta Kayangan sebab cinta tu sesuatu yang mahal. Untuk kita memahami sebuah perkataan cinta itu bukan semudah kita nak faham ABC.

“Disebabkan itu juga, saya cuba nak sampaikan lagu yang bermesej cinta.

“Kita lahir atas muka bumi ini juga daripada benih cinta. Bumi ini pun disebabkan cinta, perasaan cinta yang terjalin antara dua insan. Itu antara sebab kenapa saya memilih lagu Cinta Kayangan ini,” katanya.

Berkongsi mengenai video muzik lagu Cinta Kayangan ini, Razzuan berkata ia berkonsepkan pengorbanan dalam mencari kebahagiaan.

“Dalam video muzik ini, ia menggambarkan betapa seseorang harus bersedia untuk melepaskan apa sahaja yang menjadi penghalang antara dirinya dan kebahagiaan yang diimpikan.

“Pengorbanan bukanlah perkara mudah tetapi ia adalah langkah penting dalam perjalanan mencapai kebahagiaan hakiki.

“Menerusi video muzik ini saya mahu mengajak penonton untuk merenung dan melihat betapa berani dan gigihnya seseorang sanggup melakukan pengorbanan demi mencapai impian mereka,” katanya.

Razzuan berharap lagu Cinta Kayangan dapat diterima baik oleh peminat sekali gus menghayati mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini.

“Saya berharap dengan tulus agar pendengar dapat menyambut lagu Cinta Kayangan ini dengan penuh kehangatan dan kesukaan.

“Lagu ini tidak hanya memberikan hiburan semata, tetapi juga mengandungi mesej yang mendalam dan cerita yang ingin disampaikan,” katanya lagi.

Cinta Kayangan kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

19 tahun Maritim Malaysia laksana tanggungjawab jaga keselamatan perairan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

“Melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi selain menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Dr. Shamsul Anuar memaklumkan selepas Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk Agensi ini mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Selain pertambahan aset, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

“Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk Maritim Malaysia dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit,” katanya.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak Agensi ini di kawasan perairan negara.

Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira  RM101.9 Juta.

Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi membabitkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

Bersempena HUT19, tema “Maritim Perkasa Melestarikan Madani” telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Agensi ini dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan Negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini telah diserikan dengan Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid, Program Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia (AKMM) dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) kepada tiga warganya yang telah terpilih.

Lebih 500 hadir majlis bacaan yasin dan doa selamat sempena ulang tahun ke-19 Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUANTAN – Lebih 500 jemaah hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 (HUT19) Maritim Malaysia yang diadakan di Masjid Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), malam tadi.

Majlis itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Datuk Seri Saifuddin dalam ucapan ringkasnya berkata, kerjaya sebagai penguat kuasa Maritim Malaysia sangat penting kerana seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada Agensi ini untuk mengawal perairan negara yang berkeluasan 556,285 kilometer persegi dari segala ancaman jenayah di laut.

“Seluruh pegawai dan anggota Maritim Malaysia perlu sentiasa siapsiaga memberikan khidmat dan bakti kepada negara kerana tugas dan tanggungjawab ini akan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.

Terdahulu majlis telah dimulakan dengan sesi Ceramah Agama oleh Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham, dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan ceramah bertajuk “Israk Mikraj Suatu Perjalanan Agung Rasulullah SAW Suatu ketahanan Jiwa dan Spritual Rasulullah SAW sebagai mentor perjuangan Maritim Malaysia”.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Solat Maghrib dan Solat Hajat berjemaah serta Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa.

Hormati Ramadan Pesta Muzik Kuantan 24 Februari ditunda, temui peminat 4 Mei depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meski pun sempat merencanakan pesta khusus khas untuk rakyat Pahang dan Pantai Timur secara amnya iaitu Pesta Muzik Kuantan pada 24 Februari ini, Showpro Entertainment Sdn. Bhd. selaku Penganjur mengambil keputusan menunda acara berkenaan. 

Tidak ada yang lebih diutamakan oleh pihak penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.

Pihak penganjur juga telah menukar nama acara ini ke Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air.

Setelah mengambil kira faktor perkembangan isu semasa serta menghormati pandangan masyarakat terutamanya masyarakat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri, pihak penganjur bersetuju untuk menunda pesta berkenaan ke tarikh baharu iaitu 4 Mei 2024.

Showpro Entertainment bertanggungjawab dan prihatin mengenai setiap situasi yang berlaku di Malaysia.

Keputusan penundaan Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air ini juga dipersetujui baik oleh seluruh barisan artis dan pihak yang terbabit. 

Barisan artis yang terbabit dalam penganjuran ini adalah kumpulan terkenal Indonesia, Ungu serta barisan artis tempatan iaitu Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo dan Aswad Jalil akan menghiburkan pengunjung.

Konsert ini pada asalnya mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni dan membantu penjanaan ekonomi di karnival jualan produk tempatan seperti makanan dan cenderahati serta aktiviti-aktiviti menarik di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. 

Gabungan seni muzik dan kebudayaan penduduk tempatan ini secara tidak langsung dikomersialkan sebagai satu tarikan pelancongan terbaik pengunjung ke Kuantan dan daerah-daerah lain di Pahang serta negeri di kawasan Pantai Timur.

Pihak penganjur dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert. Semua pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan hanya perubahan kepada tarikh konsert sahaja iaitu dari 24 Februari 2024 ditunda ke tarikh 4 Mei 2024.

Justeru, penganjur amat menghargai semua pihak yang memberi kerjasama dan menyokong serta memohon maaf sekali lagi di atas kesulitan ini.

Isu kampung baru Cina memecahbelahkan rakyat -GERAKAN

editormaxinfo@gmail.com

ALOR SETAR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menyifatkan isu kampung baru Cina yang dibangkitkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memecahbelahkan rakyat dan sekali lagi menunjukkan isu kaum adalah sebuah ‘zero sum game’.

Ketua Pemudanya, Wong Chia Zhen berkata, individu yang berfikir dari sudut seorang warga Malaysia tidak akan berfikir hanya untuk satu kaum sahaja.

Chia Zhen berkata, beliau risau dengan keadaan semasa kerana cadangan Kor Ming itu menimbulkan rasa terancam dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Memang betul pembentukan kampung baru Cina ada nilai sejarahnya, kerana ditubuhkan oleh British untuk melawan komunis.

“Oleh itu, secara tidak sengaja terbentuklah identiti orang Cina,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun katanya, masyarakat perlu faham selain pembentukan identiti ini, sebenarnya ia adalah satu taktik British mengekalkan penguasaan mereka dengan cara ‘Divide and Conquer’ selepas komunis ditawan.

“Ini adalah untuk pihak British memastikan supaya penduduk di jajahan takluk mereka tidak bersatu padu untuk menentang mereka.

“Bagi saya, Kor Ming sengaja menimbulkan kemarahan rakyat. Kampung Melayu, kampung India masing-masing ada nilai sejarahnya yang boleh diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Chia Zhen yang juga Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam negeri Kedah itu berkata, beliau berpendapat sedemikian kerana perjuangan yang dibawa oleh parti mereka (Gerakan) bukan untuk satu kaum sahaja.

“Bahkan ketujuh-tujuh pengasas parti Gerakan berasal daripada kaum yang berlainan.

“Ini membuktikan lagi sekali parti DAP bukan seperti yang dilaungkan selama ini, pemimpin mereka menunjukkan ciri-ciri sebuah parti komunal yang mempunyai sudut pandangan yang sempit,” katanya.

Chia Zen berkata, beliau menyeru supaya semua rakyat Malaysia kekal percaya bahawa perpaduan yang ada antara kita tidak mudah diancam bahkan rakyat Malaysia boleh hidup harmoni antara satu sama lain.

“Jangan kerana sesetengah pihak yang ingin menjadi jaguh kampung, rosak susu sebelanga. Lebih-lebih lagi sempena Tahun Baharu Cina, ambillah peluang ini untuk mengenali antara satu sama lain.

“Semoga dalam Tahun Naga ini, negara kita diberkati dengan semangat perpaduan yang lebih erat,” katanya lagi.

Penduduk Damansara Damai bantah pembinaan tokong

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Belum selesai masalah kesesakan jalan raya sejak 24 tahun lalu, timbul pula isu baharu apabila dikhabarkan kawasan sesak di sekitar PJU 10/1 Damansara Damai bakal didirikan sebuah tokong tiga tingkat.

Ketua Urusetia Badan Bertindak Damansara Damai, Ridwan Rahmat berkata, pihaknya kecewa kerana ahli majlis yang dilantik di kawasan berkenaan seperti lepas tangan.

“Kita dijemput menghadiri taklimat mengenai pembinaan tokong berkenaan hari ini. Jika diikutkan penduduk tiada masalah dengan pembinaan tokong itu.

“Namun kami berharap fokus utama lebih diberikan kepada mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sudah berlarutan sejak tahun 2000 lagi.

“Perkara ini sudah banyak kali kami utarakan kepada ahli majlis iaitu G Suriase dan beliau sudah tahu masalah utama yang berlaku di kawasan berkenaan tetapi tiada tindakan susulan diambil.

“Justeru kami berharap, pertemuan hari ini ada jalan penyelesaian namun ia seperti tergantung begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas taklimat berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Komunikasi kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jan Fazal Eladi berkata, pihaknya mendengar keluhan dan rintihan penduduk Damansara Damai dan berharap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang dan sama-sama mendengar denyutan hati rakyat.

“Amanah yang diberikan penduduk kepada Ahli Majlis seperti tidak dipedulikan sebaliknya usaha mahu membangunkan tokong bakal diteruskan.

“Ini membimbangkan penduduk kerana akan menyebabkan kesesakan lebih berganda teruk. Walaupun pembinaan tokong ini masih dalam perancangan, tetapi keadaan di sana sangat sesak sehingg kerap berlaku kemalangan jalan raya.

“Kami berharap MB cakna akan masalah ini, tidak sesuai membina tokong dalam kawasan yang padat dan sesak seperti itu.

“Saya melihat taklimat yang diadakan ini juga seperti tiada jalan penyelesaian malah suara penduduk yang didengar hanya 50 peratus sahaja.

“Sedangkan Ahli Majlis tahu apa masalah utama yang berlaku di kawasan berkenaan dan ia berlarutan sudah terlalu lama,” katanya lagi.

Terdahulu, masalah kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan sudah berlaku sejak tahun 2000 dan kerap kali masalah itu diajukan kepada Ahli Majlis namun tiada sebarang tindakan diambil.

Malah sehingga ke hari ini penduduk masih berharap ada pihak yang cakna dalam membantu menyelesaikan masalah ini.