PUTRAJAYA – Kod Etika Wartawan Malaysia yang akan menjadi garis panduan oleh agensi media hari ini dilancarkan sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat.
Pelancaran itu dilakukan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di bawah Inisiatif Kementerian Komunikasi (KK) dan dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Kod etika ini turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen. KPM adalah dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.
Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen sebelum ini.
Seiring dengan evolusi industri media, kod etika berkenaan dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi.
Kod Etika Wartawan Malaysia baharu ini terdiri daripada lapan etika utama iaitu:
1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk.
2.Wartawan hendaklah telus dan berintegriti.
3.Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
4.Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.
5.Kesahihan dan ketetapan maklumat.
6.Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
7.Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka.
8.Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Penyediaan Kod Etika Wartawan Malaysia ini turut membabitkan Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan Ketua Setiausaha KK, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid.
PETALING JAYA – Auranya begitu mempesonakan sehingga peminat tidak lekang daripada terus mengambil gambar mahupun video bersamanya.
Malah sikapnya terus ramah melayan peminat meskipun diasak dari kiri dan kanan, penghibur terkenal Anuar Zain tetap tersenyum.
Bijak mengawal pentas dan suasana dengan sembang di samping memberikan hadiah sebanyak 1080 patung ‘teddy bear’ kepada semua peminat yang hadir, tidak terasa waktu lebih 2 jam berlalu begitu sahaja.
Itulah antara momen yang dapat dilihat pada petang Premium Showcase AZ40 Up Close and Personal yang berlangsung di Jiospace, baru-baru ini.
Membuka tirai persembahan dengan klip gambar Anuar sejak lahir sehinggalah yang terkini, konsert kedua ini diadakan dalam tempoh yang singkat selepas konsert besar Anuar berlangsung Oktober tahun lalu.
Ruang yang memuatkan kira-kira 1,000 penonton itu terlihat lebih intimate dan Anuar kelihatan lebih banyak melayan peminat disamping melakukan aktiviti kuiz di pentas.
Tampil dengan rekaan daripada Datuk Bernard Chandran, Anuar mengakui persembahan petang itu dia mahu kelihatan lebih kasual dan santai.
“Ini adalah hari yang lebih istimewa kerana selain meraikan ulangtahun ke-40 pembabitan saya dalam bidang seni, ia juga bagi meraikan hari lahir saya ke-54 bersama peminat yang hadir.
“Pastinya saya mahu ia lebih ekslusif dan penampilan juga saya mahu lebih santai supaya mudah untuk bergerak dan berkomunikasi dengan penonton,” katanya.
Masih kekal dengan koleksi lagu sama pada konsert terdahulu, antara lagu yang dipersembahkan ialah Sesucinya Cintamu, Cinta Harus Memiliki, Keabadian Cinta, Sedetik Lebih, Kau Bunga Cintaku dan banyak lagi.
Anuar turut mempersembahkan lagu-lagu tribute sebagai penghargaan kepada artis-artis yang menjadi inspirasinya dengan mendendangkan lagu-lagu seperti Saving All My Love (Whitney Houston), Emosi (Sheila Majid), Hello (Lionel Ritchie) dan Hujan (Sudirman Hj Arshad).
Anuar juga turut menerima kejutan daripada produksi sempena sambutan hari lahirnya yang jatuh pada 15 Februari lalu.
Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ bergema di setiap ruang Jio Space apabila kek hari jadi bersaiz gergasi diusung keluar ke atas pentas.
BANDAR ENSTEK – TH Properties Sdn Bhd (“TH Prop/Kumpulan”) melancarkan Pristine Premier dan Riposo Biz Centre, iaitu projek perumahan dan komersial terbaru Kumpulannya, sempena penganjuran Karnival Hartanah Bandar Enstek.
Terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, kedua-dua projek ini dijangka mendapat sambutan baik daripada pembeli dan pelabur hartanah yang mengidamkan hartanah berkualiti pada harga yang berpatutan.
Pristine Premier yang terdiri daripada 51 unit rumah teres dua tingkat, adalah fasa terakhir projek Pristine, dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM19.18 juta.
Pembangunan ini menampilkan landskap berinspirasikan alam semula jadi dan reka bentuk seni bina kontemporari dengan pelbagai pilihan saiz daripada 20 x 80, 22 x 77 sehingga 22 x 90; serta pilihan keluasan dari 1,662 kaki persegi hingga 1,829 kaki persegi.
Dengan tawaran harga bermula dari RM571,295 hingga RM863,160, projek perumahan yang terletak di tengah perbandaran maju dan mapan ini menampilkan gabungan harga mampu milik dan keselesan yang tiada tandingan.
Ketua Jabatan Operasi TH Properties Amri Shaari berkata, konsep dan ciri-ciri reka bentuk yang dibina di dalam rumah ini adalah selari dengan permintaan pasaran.
“Tiga fasa projek Pristine sebelum ini telah habis dijual sepenuhnya dan kami menjangkakan pelancaran projek baru ini akan turut diterima baik oleh pembeli,” katanya.
Selain itu, TH Properties turut melancarkan enam kedai pejabat Riposo Biz Centre di karnival terbabit. Kedai pejabat dua tingkat ini didatangkan dengan keluasan dari 2,926 kaki persegi sehingga 4,798 kaki persegi; serta harga yang bermula dari RM927,500 sehingga RM1,571,700.
Berucap di majlis pelancaran Karnival Hartanah Bandar Enstek, Ahli Lembaga Pengarah TH Prop, Dato’ Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata projek baharu ini melambangkan komitmen Kumpulan TH Prop untuk mencipta nilai berkekalan dan memberikan pengalaman hidup yang menyeluruh.
“Karnival Hartanah Bandar Enstek ini bukan hanya berkisar sekitar hartanah semata-mata. Ianya juga meraikan komuniti dan keterlibatan masyarakat.
“Pengunjung akan dihiburkan dengan penampilan istimewa oleh Upin dan Ipin, menikmati keseronokan bersama keluarga di zoo haiwan jinak, atau mengekpresi seni melalui aktiviti lukisan inai,” katanya.
Karnival ini juga menawarkan insentif istimewa untuk 20 pembeli terawal yang melayakkan mereka mendapat baucar Ikea bernilai RM3,500.
KUALA LUMPUR – Nama Eda Ezrin dan Den Manjo mungkin agak asing bagi peminat muzik di luar Kelantan.
Namun di sebelah Pantai Timur, Eda Ezrin dan Den Manjo tergolong antara penyanyi paling top di kalangan penggemar lagu dialek atau loghat Kelantan.
Terkini, pasangan duet sensasi ini muncul dengan lagu ‘Cinta Setandan Pisang’ ciptaan komposer tenama Eddie Hamid dan lirik dihasilkan oleh Mama Ana dan Fadhil Turbo terbitan Kijang Music.
Walaupun dirakam dalam dialek Kelantan, lagu itu berjaya mencipta fenomena apabila diputarkan di stesen-stesen radio nasional negara termasuk ERA FM, Suria FM dan Nasional FM.
Lagu berkenaan juga FYP di TikTok sebelum dipasarkan dan video muzik rasmi telah pun mencapai lebih daripada 900,000 tontonan dalam masa hanya 1 bulan dimuat naik ke YouTube.
Ini bukanlah kali pertama Eda Ezrin dan Den Manjo berkolaborasi kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu ‘Adik Jando Abe Duo’ yang mencapai 16 juta tontonan di YouTube.
Eddie berkata, beliau mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan lagu yang berentak ‘Etnik Pop Kontemporari’ ini.
Meskipun kedua-dua mereka pernah bergandingan sebelum ini, namun ‘Cinta Setandan Pisang’ adalah lagu pertama mereka yang dicipta dan diterbitkan oleh Eddie Hamid.
Eddie ada sebab mengapa memilih Eda Ezrin dan Den Manjo untuk menyanyikan lagu ciptaan terbaharunya itu.
“Orang luar dari Kelantan mungkin tidak kenal mereka tapi di sebelah Pantai Timur, nama kedua-dua mereka ini berada di tangga teratas.
“Disebabkan populariti mereka itulah saya memilih mereka untuk menyanyikan lagu terbaru ciptaan saya.
“Mereka mempunyai suara yang baik khususnya untuk lenggok lagu dialek Kelantan.
“Alhamdulillah, percubaan pertama Kijang Music untuk menampilkan mereka berdua mendapat sambutan baik penggemar muzik di seluruh negara.
“Lagu ‘Cinta Setandan Pisang’ antara lagu yang paling viral kini dan dalam masa dua minggu sahaja lagu ini telah trending di beberapa platform popular termasuk YouTube dan TikTok,” kata Eddie.
Eddie berkata, beliau mengambil masa seminggu untuk menyiapkan proses pembikinan lagu ini yang dirakam di studio K Seventh, Kota Bharu, Kelantan.
Tambahnya, lagu ini berkisar tentang manusia yang sejak azali bukanlah insan yang sempurna.
“Kita selalu dengar peribahasa ‘pisang tak berbuah dua kali’ atau ‘dalam setandan pisang, pasti ada yang buruk’. Begitu jugalah dengan kehidupan manusia, dalam sesebuah keluarga, pasti ada yang kurangnya.
“Lagu ini membawa maksud dalam setandan pisang itu bukanlah semuanya buruk dan begitu juga dengan situasi manusia yang sedang dilambung cinta atau hubungan antara suami isteri, sebaik mana pun hubungan mereka, mesti ada sedikit kekurangannya,” katanya.
Selaku Pengarah Urusan Kijang Music Eddie berkata, dia mahu mengetengahkan lagu-lagu dialek Kelantan ke peringkat arus perdana kerana percaya lagu-lagu sedemikian mampu mendapat tempat di hati pendengar muzik seluruh negara.
Beliau yakin lagu-lagu sebegitu dapat diterima ramai kerana orang-orang Kelantan sendiri berada di setiap pelosok negara.
Sementara itu, Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 29, dan Den Manjo atau Mohd Hafizudin Md Yusof, 27, melahirkan rasa bertuah kerana diberi kepercayaan Eddie untuk merakam lagu berkenaan.
“Ini adalah idea abang Eddie untuk saya berduet sekali lagi dengan Eda Ezrin. Ini adalah lagu ketiga saya berduet dengan Eda Ezrin.
“Tak ada masalah sewaktu dalam studio kerana ini bukan kali pertama saya dan Eda menyanyi bersama.
“Semuanya berjalan lancar dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada abang Eddie. Kami ambil masa sejam lebih saja untuk selesaikan proses rakaman,” kata Den Manjo yang juga aktif sebagai penyanyi Dikir Barat.
Den Manjo, anak ketujuh daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan itu mula menyanyi dari sekolah rendah.
“Mula-mula saya nyanyi lagu Nasyid, masuk sekolah menengah masih nyanyi lagu Nasyid juga. Saya mula sertai Dikir Barat sewaktu di tingkatan empat sehinggalah sekarang.
“Untuk memartabatkan seni, saya akan terus perbaiki diri kerana saya nak pupuk semangat di kalangan anak-anak Pantai Timur agar jangan memandang rendah pada Dikir Barat,” katanya yang juga peminat irama Dangdut dan Koplo.
Sementara itu, Eda Ezrin, anak pertama dari empat beradik yang berasal dari Kampung Perol, Kota Bahru, Kelantan itu mula menyanyi sejak berusia 12 tahun.
“Memandangkan saya adalah penyanyi bebas tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana syarikat rakaman, saya boleh berduet dengan sesiapa saja asalkan serasi. Setakat ini, hampir semua lagu dendangan saya adalah dalam loghat Kelantan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bekerjasama dengan abang Eddie. Kalau ada rezeki, saya harap lagu ini bukan setakat popular di kalangan peminat Pantai Timur saja, kalau boleh biarlah lagu itu memasuki pasaran arus perdana juga,” katanya penuh harapan.
Lagu ‘Cinta Setandan Pisang’ kini boleh distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan KKBox.
Video muzik rasmi lagu juga boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music.
SEPANG – Pembentukan ‘otak dan watak’ amat signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu menjadi kriteria utama dalam pembangunan bakat di negara ini seterusnya menjayakan lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, elemen yang disebut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapannya pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 itu menjadi tunjang dalam melahirkan mahasiswa cemerlang akademik dengan sahsiah terpuji.
“Ciri-ciri bakat itu ialah mempunyai tahap pemikiran yang baik pada masa sama memiliki watak cemerlang.
“Dalam konteks mahasiswa, golongan itu perlu memperlihatkan adab, menghormati budaya dan bersikap sesuai individu terpelajar,” katanya.
Pada awal tahun ini, KPT menyenaraikan lima fokus utama untuk dilaksanakan bagi tahun 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya dan pembentukan ‘otak dan watak’ menjadi esensi kepada landasan utama pendidikan.
Mohammad Shatar berkata, pembentukan ‘otak dan watak’ dalam pembangunan bakat juga berkait rapat bersama kecemerlangan dengan jiwa kerana kita tidak mahu melahirkan watak atau bakat hebat tetapi tanpa jiwa.
Beliau berkata, perkara itu perlu dititikberatkan seterusnya diterjemah menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas atau mana-mana platform PdP lain.
“Dalam usaha ini, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam mahu pun swasta perlu memandang serius hasrat ini kerana mampu melahirkan generasi pelajar yang hebat.
“Sekiraya dapat dilaksanakan dengan jayanya, generasi yang dilahirkan bakal mempunyai kualiti serta kepakaran luar biasa dalam bidang masing-masing.
“Ini akan menjadi daya penarik kepada majikan dari dalam dan luar negara kerana bakat mereka memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh industri,” katanya.
KUALA LUMPUR – Rindu pada orang yang telah tiada menjadi antara intipati penting bait-bait lirik yang digarap dalam lagu Mengejar Cinta, buah tangan terbaharu Nomad yang mula menemui peminat sejak 16 Februari yang lalu.
Baginya apa yang dizahirkan menerusi lagu berkenaan adalah sebuah kerinduan dan kenangan yang telah pergi buat selama-lamanya sama seperti apa yang dilalui oleh kebanyakan daripada kita yang melalui perkara sama.
“Bila bercakap tentang kecintaan dan kerinduan, ia boleh dikaitkan dengan pelbagai kisah yang pernah kita dengar.
“Liriknya juga menceritakan tentang kecintaannya pada sosok yang telah banyak memartabatkan perjuangan untuk seluruh umat-Nya.
”Setelah mengharungi satu perjalan yang amat jauh tanpa mengenal erti penat lelah ditemani air mata kerinduan dan akhirnya dapatlah ia melepaskan kerinduan dengan pelukan yang penuh dengan cinta kepada cinta hatinya,” kata penyanyi berusia 36 tahun ini.
Meskipun apa yang tersirat begitu mendalam, Nomad tidak mahu pendengar menjadikan ia sebagai satu perkara yang memberatkan sebaliknya lirik berkenaan juga boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Katanya, Mengejar Cinta bukanlah sebuah karya yang rumit untuk difahami namun ia kaya dengan maksud tersirat yang mempunyai pelbagai pengertian.
Bercerita mengenai pemilihan karya pula, sebenarnya Mengejar Cinta dicipta sebelum proses rakaman berlangsung.
Pada awalnya Nomad mahu menjadikan lagu ini menjadi sebuah karya “fast song” namun ia berubah apabila beberapa waktu kemudian.
“Bila saya dengar semula dan hayati liriknya, datang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Semuanya bersatu. Perasan sedih, gembira dan bahagia bercampur baur dan membuatkan saya mahu memahaminya dengan lebih mendalam.
“Bila masuk proses rakaman, saya ambil masa selama dua jam untuk memahaminya. Padahal ini adalah lagu ciptaan saya.
“Sebenarnya ada perasaan lain dirasai malam berkenaan. Mujur ada guru vokal yang membantu proses itu,” katanya lagi.
Mendapat bimbingan vokal daripada J Ratno, Afif Tirmizi dan Rudy Nastia yang bertindak sebagai penggubah muzik, mereka banyak membantu melicinkan proses rakaman dengan memberikan pelbagai input baharu.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu, ini adalah kali pertama dia berhadapan dengan situasi berkenaan.
Perasaan luar biasa yang dihadapi ketika proses rakaman membuatkan dia tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku.
“Sejujurnya saya hanya mahu pendengar menikmati buah tangan terbaharu ini. Hasil tangan ini lebih matang jika mahu dibandingkan dengan karya-karya terdahulu.
“Sudah pasti saya bersyukur dan gembira dapat menghasilkan sebuah karya yang mengikut kematangan usia yang saya anggap sebuah cerita ‘kesedihan yang sangat bahagia’,” katanya yang masih aktif menyanyi.
Mengejar Cinta sudahpun dirilis secara rasmi disemua platform digital sejak 16 Februari yang lalu.
Lirik video juga boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music pada hari yang sama.
KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Keadilan Wangsa Maju, Lai Chen Heng memaklumkan pihaknya enggan memanjangkan isu banting miliknya disimbah cat merah, baru-baru ini.
Chen Heng berkata, berada dalam arena politik adalah perkara biasa jika perlu melalui situasi sedemikian.
“Biar polis yang membuat siasatan, saya serahkan kepada mereka untuk menyiasat.
“Sebelum ini kita juga sudah beri amaran kepada mereka yang melakukan perkara itu dan berharap kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan Chen Heng meluahkan kekesalan apabila empat banting parti yang dipasang sekitar Wangsa Maju disabotaj dan dirosakkan dalam tempoh setahun.
Menurutnya, dua banting ucapan Tahun Baharu 2023 dan Hari Malaysia yang dipasang pada Januari dan September tahun lalu telah dikoyakkan.
Malah dua lagi banting sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2024 pula di lempar cat merah dalam tempoh seminggu.
Sementara itu, berkongsi mengenai sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang diadakan, Chen Heng berkata, pihaknya memilih lokasi di Pasar Pagi Prima Setapak kerana tempat itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.
“Pasar ini adalah projek besar pertama yang saya uruskan bersama mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.
“Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang ia dibina sehinggalah beroperasi dan tempat ini menjadi tempat masyarakat berkumpul dan berkongsi informasi sejak turun temurun.
“Dengan sambutan yang diadakan ini saya mengumpul kira-kira 2,000 penduduk tidak kira bangsa dan agama untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2024,” katanya.
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu menyelaras penyampaian bantuan zakat bersama agensi lain bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan, mendapat manfaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi contoh sekiranya tiada penyelarasan, akan ada keluarga mendapat beberapa kali bantuan sedangkan ada keluarga lain langsung tidak dibantu.
“Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak ada satu keluarga dapat empat kali (bantuan), satu keluarga (pula) tak dapat langsung jadi saya harap ini diurus dengan baik.
“Kerja menteri, timbalan menteri, pengerusi, bukan sekadar meneruskan kegiatan ini, sebaliknya memastikan setiap dana dan setiap sen rakyat kembali kepada rakyat, dan tak boleh diperalat untuk kesenangan peribadi,” katanya ketika merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.
Anwar juga mahu MAIWP menjalankan tatakelola yang baik dan menghentikan segala perbelanjaan yang tidak perlu, bagi memastikan agensi itu menjadi mercu tanda kebanggaan ummah.
Bagi meningkatkan lagi prestasi agensi itu dan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pengurusan zakat, Perdana Menteri memberi tempoh sebulan kepada MAIWP untuk mengemukakan laporan terperinci serta cadangan langkah baharu.
Anwar berkata, perkara itu sekali gus boleh menjadi teladan kepada agensi di negeri lain.
“Tanggungjawab kita (sebagai) generasi penerus ialah memastikan urusan zakat dikendali dengan cermat, sebab itu saya katakan di Pulau Pinang (sebelum ini), bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita kutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok termiskin yang tak cukup makan, yang tak dapat sediakan uniform anak sekolah, masih tidak diurus.
“Jadi saya berterima kasih kepada MAIWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana membantu proses pelaksanaan zakat dengan baik bersama agensi lain,” katanya. – Bernama
KUALA LUMPUR – Toh Puan Raghad Kurdi Taib membuat laporan polis menyangkal dakwaan bekas Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, dilarikan dari sebuah pusat perubatan di Kuching, baru-baru ini.
Menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, Raghad yang juga isteri Taib Mahmud berkata, laporan polis itu juga adalah bagi melindungi privasi dan hak Abdul Taib untuk memilih rawatan perubatan.
“Kami bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap hospital itu jika perlu.
“Saya memohon orang ramai untuk tidak mengendahkan laporan yang mengelirukan dan menghormati hak Tun Abdul Taib untuk privasi dan keputusan perubatan sewajarnya. Keluarga saya akan tetap teguh dan bersatu dalam masa yang sukar ini.
“Kami memohon doa orang ramai untuk suami saya, Tun Abdul Taib beroleh kesihatan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menjelaskan kemelut yang berlaku, Raghad menafikan bahawa Abdul Taib dilarikan daripada pusat perubatan terbabit.
“Doktor yang bertanggungjawab, Dr Tan Sian Kong memberi kebenaran untuk keluar pada 3 Februari 2024. Saya memaklumkan kepadanya jadual Tun Taib dengan Dr Rosli di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).
“Dr Sian Kong meluluskan kebenaran keluar melihat (berdasarkan keadaan) beliau (Tun Abdul Taib) boleh melakukan perjalanan. Surat rujukan Dr Sian Kong kepada CVS Kuala Lumpur membuktikan lagi kesahihan pelepasan dan kemasukan yang dirancang,” katanya.
Raghad berkata, keputusan untuk membawa pulang Abdul Taib adalah berdasarkan persetujuan dan haknya untuk memilih penjagaan terbaiknya.
Menurutnya, kesemua dokumen pelepasan yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital yang berkaitan menyedari kebenaran keluar itu.
“Dalam keselesaan rumahnya sendiri, beliau mempunyai sokongan perubatan 24 jam (termasuk jururawat kakitangan dan lawatan doktor berjadual).
“Ini termasuk peralatan yang diperlukan dan ubat untuk penjagaan dan pemulihan sementara menunggu kemasukan ke CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr Rosli,” katanya.
Dalam pada itu Raghad mendakwa, rawatan yang tidak bersesuaian dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu yang serius dan perlu diteliti serta disiasat oleh pihak pusat perubatan yang terbabit.
“Dakwaan penyingkiran rawatan yang dibuat oleh saya tanpa memberi amaran kepada kakitangan yang bertugas adalah tidak benar sama sekali.
“Permintaan untuk bantuan dalam mengeluarkan peranti perubatan adalah diabaikan oleh kakitangan hospital walaupun berulang kali meminta bantuan.
“Tuduhan palsu telah menyebabkan tekanan yang tidak perlu dan kekeliruan,” katanya.
Raghad juga menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai niat lain selain memberikan penjagaan dan perlindungan terbaik untuk suaminya itu.
Katanya, sebagai isteri dan penjaga kepada Abdul Taib, beliau meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suaminya itu sebagai keutamaan tertinggi.
“Saya tidak akan pernah melakukan tindakan yang tidak dimaklumkan atau membahayakan pemulihannya,” katanya.
Terdahulu, 7 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyifatkan dakwaan bahawa bekas Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, diculik dari sebuah hospital swasta di Kuching, sebagai ‘mengarut dan tidak masuk akal.’
Sebaliknya, Razarudin berkata, Abdul Taib, 87, telah dibawa pulang dari hospital itu ke kediaman beliau di Demak Jaya dan boleh dilawati oleh anak serta saudara-mara.