editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Kod Etika Wartawan Malaysia yang akan menjadi garis panduan oleh agensi media hari ini dilancarkan sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat.
Pelancaran itu dilakukan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di bawah Inisiatif Kementerian Komunikasi (KK) dan dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Kod etika ini turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen. KPM adalah dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.

Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen sebelum ini.
Seiring dengan evolusi industri media, kod etika berkenaan dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi.
Kod Etika Wartawan Malaysia baharu ini terdiri daripada lapan etika utama iaitu:
1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk.
2.Wartawan hendaklah telus dan berintegriti.
3.Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
4.Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.
5.Kesahihan dan ketetapan maklumat.
6.Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
7.Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka.
8.Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Penyediaan Kod Etika Wartawan Malaysia ini turut membabitkan Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan Ketua Setiausaha KK, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid.

