26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 33

Beregu negara Goh Sze Fei–Nur Izzuddin dilantik duta jenama rasmi Smart Paints 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu lelaki badminton negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, secara rasmi dilantik sebagai Duta Jenama Smart Paints bagi tahun 2026, sekali gus memperkukuhkan kerjasama antara dunia sukan berprestasi tinggi dan industri produk tempatan berteknologi moden.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan nilai profesionalisme, disiplin serta dedikasi tinggi yang ditampilkan oleh gandingan beregu negara itu, yang selari dengan teras utama Smart Paints iaitu inovasi, ketahanan dan prestasi tinggi.

Kejayaan konsisten Sze Fei–Izzuddin di peringkat antarabangsa turut menjadi faktor utama pemilihan mereka sebagai wajah rasmi jenama berkenaan.

Pengarah Eksekutif SAC Smart Paints, Goh Chye Hin, berkata pasangan berkenaan bukan sahaja membanggakan Malaysia di arena badminton dunia, malah mencerminkan semangat juang serta keupayaan untuk mencapai kecemerlangan berterusan.

Menurut beliau, Smart Paints berasa berbesar hati menerima Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sebagai sebahagian daripada keluarga jenama itu, memandangkan komitmen mereka terhadap kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan amat sejajar dengan nilai yang diterapkan oleh Smart Paints. Kerjasama ini diyakini mampu memberi inspirasi dan impak positif sepanjang tahun 2026.

Sze Fei–Izzuddin sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa, termasuk menjuarai Terbuka India, selain menunjukkan peningkatan ketara dalam kedudukan ranking dunia, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara beregu utama negara.

Chye Hin berkata, sebagai Duta Jenama, pasangan beregu negara itu akan terbabit secara aktif dalam pelbagai kempen pemasaran dan aktiviti promosi Smart Paints.

Inisiatif ini bertujuan menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan menyokong produk tempatan yang menawarkan penyelesaian pelindung moden, inovatif dan berteknologi tinggi.

Smart Paints adalah jenama cat baharu yang menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi, mesra alam dan berasaskan teknologi canggih untuk kegunaan kediaman, komersial serta industri.

Dengan menggabungkan sains bahan terkini dan formula pintar, produk Smart Paints direka khusus untuk memberikan perlindungan optimum, ketahanan jangka panjang dan prestasi unggul dalam pelbagai keadaan persekitaran.

Pelantikan Sze Fei–Izzuddin sebagai Duta Jenama dijangka dapat memperkukuh jenama Smart Paints di pasaran tempatan serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap produk inovatif buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa.

Pemuda UMNO Padang Terap kecam kenyataan sinis Yeo Bee Yin isu penahanan rumah Najib

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Padang Terap menyelar keras kenyataan yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, yang disifatkan bernada sinis dan tidak sensitif berhubung isu penahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jasnizam Husni berkata, kenyataan itu dianggap tidak wajar dan mencerminkan kegagalan menghormati proses keadilan serta sensitiviti masyarakat Malaysia.

Menurutnya, ungkapan berbentuk ejekan seperti “Another reason to celebrate this year end” jelas memperlihatkan sikap angkuh dan tidak berperikemanusiaan.

“Isu berkaitan proses undang-undang tidak sepatutnya dijadikan bahan perayaan politik, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak menyumbang jasa kepada pembangunan negara.

“Sebagai seorang wakil rakyat, Yeo Bee Yin seharusnya mempamerkan kematangan, empati dan tanggungjawab moral dalam setiap kenyataan awam.

“Tindakan mempersendakan proses keadilan bukan sahaja mencerminkan keperibadian yang cetek, malah dilihat selari dengan pendekatan politik kebencian dan dendam yang terus dimainkan oleh DAP terhadap pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu juga menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Jasnizam berkata, Barisan Nasional tidak seharusnya diperlakukan seolah-olah tidak mempunyai maruah, hanya diperlukan apabila menguntungkan pihak tertentu, namun dihina secara terbuka oleh pemimpin parti rakan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Padang Terap berpandangan Barisan Nasional perlu menilai semula kedudukan dan peranannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Sekiranya sikap angkuh, penghinaan terbuka serta kegagalan menjaga sensitiviti terus berulang, Barisan Nasional tidak sewajarnya kekal dalam sebuah kerajaan yang gagal menghormati semangat setiakawan dan prinsip keadilan.

Tegasnya, Barisan Nasional mesti berani membuat Keputusan demi mempertahankan maruah parti serta amanah yang diberikan oleh penyokong di peringkat akar umbi.

“Adalah lebih bermaruah untuk Barisan Nasional berdiri berlandaskan prinsip dan suara rakyat daripada terus bersama dalam kerajaan yang membiarkan budaya mengejek, memperlekeh dan memecah-belahkan masyarakat berleluasa,” katanya.

DSTA Putrajaya dibuka Januari 2026, fokus pendidikan dan vokasional Sindrom Down

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Down Syndrome Thrive Academy (DSTA), sebuah pusat pembangunan pendidikan dan kemahiran khusus untuk individu sindrom Down, bakal memulakan operasi secara rasmi pada Januari 2026 sebagai peluasan strategik kepada pusat sedia ada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down Putrajaya (PPDKSD).

Penubuhan DSTA adalah kesinambungan kepada pusat PPDKSD di Presint 11 yang sebelum ini memfokuskan intervensi awal dan pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak sindrom Down berusia empat hingga enam tahun.

Di pusat terdahulu, penekanan diberikan kepada pembangunan motor halus dan kasar melalui terapi, sebelum pelajar bersedia untuk melangkah ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana.

Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Syndrom Down Putrajaya, Mohd Ruslan Wagiman berkata, DSTA diwujudkan bagi meneruskan rawatan, terapi serta pembangunan akademik dan kemahiran selepas pelajar tamat fasa prasekolah dan mengikuti pendidikan formal di PPKI.

“Berbeza dengan pusat prasekolah, DSTA memberi tumpuan kepada pembelajaran selepas waktu sekolah serta pembangunan remaja dan dewasa muda.

“Ia sekali gus melengkapkan laluan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berterusan.

“Pada peringkat awal, DSTA telah menerima pendaftaran seramai 20 orang pelatih, dengan sasaran peningkatan kepada 30 orang dalam masa terdekat.

“Jumlah ini dijangka bertambah apabila kemudahan pusat siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan latihan di pusat ini mematuhi garis panduan Jabatan Kemahiran Malaysia (DKM), dengan nisbah seorang petugas bagi setiap lima orang pelatih bagi memastikan latihan yang berkesan dan selamat.

“Selain pembelajaran asas, DSTA turut menekankan latihan vokasional sebagai persediaan ke arah kehidupan berdikari.

“Antara modul kemahiran yang dirancang termasuk latihan bakeri, anyaman, seni lukisan dan aktiviti berasaskan kemahiran tangan.

“Pendekatan ini bertujuan membolehkan pelatih membina keupayaan kendiri, menyumbang kepada komuniti dan tidak bergantung sepenuhnya kepada keluarga dalam jangka Panjang,” katanya.

Dalam membangunkan modul latihan, DSTA menerima sokongan berterusan daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia yang telah berpengalaman lebih 30 tahun dalam melaksanakan program vokasional.

Pihak pusat merancang untuk mengadaptasi silibus sedia ada yang terbukti berkesan, selaras dengan keperluan pelatih dan konteks setempat.

Dari sudut operasi, DSTA berfungsi sebagai pusat jagaan dan tidak menerima geran tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru, pengurusan pusat bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan sebanyak RM300 serta sumbangan daripada orang awam, ahli persatuan dan rakan korporat.

Isu kewangan kekal sebagai cabaran utama, mendorong pihak pengurusan untuk aktif menjalankan promosi melalui media sosial, penyertaan dalam acara komuniti serta penganjuran jualan amal bagi memastikan kelangsungan operasi.

Sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia 2025, DSTA Putrajaya telah menganjurkan Hari Terbuka pada 20 Disember 2025 di Chancery Place, Presint 15, Putrajaya.

Program ini merangkumi Taklimat Ibu Bapa, Majlis Graduasi pelajar PPDKSD serta pengenalan rasmi pembukaan DSTA kepada masyarakat dan pihak media.

Majlis berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 30 keluarga, sukarelawan serta komuniti setempat.

Sokongan turut diterima daripada sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus menjadikan Hari Terbuka ini sebagai platform pendedahan awal kepada peranan DSTA sebagai pusat komuniti inklusif di sekitar Putrajaya.

Antara tetamu kehormat yang dijemput menghadiri program ini termasuk Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YAPEIM serta kepimpinan Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Konsert My Chemical Romance di Kuala Lumpur ditunda ke November 2026, tiket kekal sah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock alternatif terkenal dunia, My Chemical Romance, akhirnya mengesahkan bahawa konsert mereka di Kuala Lumpur akan berlangsung pada 19 dan 20 November 2026, sekali gus menamatkan teka-teki dan penantian panjang dalam kalangan peminat setia di Malaysia.

Walaupun tarikh baharu diumumkan, penganjur memberi jaminan bahawa semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah dan boleh digunakan tanpa sebarang perubahan.

Bagi peminat tempatan, pengumuman ini hadir dengan satu mesej yang jelas iaitu destinasi kekal sama dan pengalaman yang dijanjikan masih utuh.

Kuala Lumpur terus mengekalkan statusnya sebagai satu-satunya bandar di Asia Tenggara yang menjadi tuan rumah konsert My Chemical Romance selama dua malam berturut-turut, satu pengiktirafan penting yang mencerminkan sokongan luar biasa peminat Malaysia serta tarikan serantau yang dimiliki ibu negara.

Pemilihan bulan November sebagai tarikh baharu turut dilihat selari dengan trend dalam industri muzik global, di mana tempoh hujung tahun semakin menjadi pilihan utama bagi penganjuran konsert berskala besar.

Dengan jadual jelajah yang lebih stabil, suasana penutup tahun yang penuh emosi serta keterujaan peminat yang memuncak, bulan November sering melahirkan persembahan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Bagi My Chemical Romance yang sinonim dengan persembahan sarat emosi dan hubungan mendalam bersama peminat, November dilihat bukan sekadar tarikh alternatif, sebaliknya satu masa yang dirasakan lebih tepat.

Di media sosial, rata-rata peminat menyambut pengumuman ini dengan nada yang positif dan matang.

Pemegang tiket tidak perlu melakukan sebarang tindakan segera kerana tiket sedia ada akan terus diterima untuk tarikh baharu terbabit.

Keadaan ini memberi ruang kepada peminat untuk menunggu dengan tenang, tanpa kebimbangan mengenai pembelian semula atau pertukaran tiket.

Keyakinan ini jelas terpancar dalam perbualan komuniti peminat yang memilih untuk terus setia menanti hingga November 2026.

Keistimewaan penganjuran konsert dua malam My Chemical Romance di Kuala Lumpur kekal sebagai simbol permintaan tinggi serta kedudukan Malaysia yang semakin kukuh sebagai destinasi konsert antarabangsa.

Dengan tarikh baharu pada November, konsert ini juga dijangka menarik kehadiran peminat dari seluruh Asia Tenggara, menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pertemuan peminat My Chemical Romance dari rantau ini.

Walaupun tempoh menunggu menjadi lebih panjang, ramai peminat melihatnya sebagai sebahagian daripada perjalanan yang bermakna.

Penantian ini memberi ruang untuk menghayati semula katalog muzik My Chemical Romance, mengukuhkan ikatan sesama peminat dan hadir ke konsert kelak dengan semangat yang lebih mendalam.

Daripada mengurangkan keterujaan, pengumuman tarikh baharu ini dilihat telah membentuk satu jangkaan yang lebih kuat dan emosional.

Maklumat lanjut berkaitan konsert, termasuk sebarang proses pertukaran tiket sekiranya diperlukan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh penganjur, Hello Universe.

Buat masa ini, mesej utama yang disampaikan kepada peminat amat jelas iaitu My Chemical Romance tetap akan kembali ke Kuala Lumpur, dua malam kekal dijanjikan dan November 2026 kini menjadi detik yang dinanti.

Menara Kuala Lumpur santuni 100 kanak-kanak kurang berkemampuan melalui program CSR ‘Reach for the Sky’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai mercu tanda negara yang bukan sahaja ikonik dari segi pelancongan, malah aktif menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan ‘Reach for the Sky’.

Program berimpak tinggi ini telah memberi pengalaman berharga, pembelajaran bermakna serta kegembiraan kepada 100 orang kanak-kanak kurang berkemampuan dan berkeperluan khas daripada lima buah rumah kebajikan terpilih.

Antara rumah kebajikan yang terbabit dalam program ini ialah Pertubuhan Keluarga Berkebajikan (Family of Charity), Persatuan Sinaran Hidup (The Beacon Society), Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Raudhatul Nurr Jannah, Rumah Kanak-Kanak Triniti serta Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi Selangor.

Inisiatif ini dirangka sejajar dengan komitmen berterusan Menara Kuala Lumpur untuk mendekati komuniti dan membuka peluang kepada kanak-kanak yang mempunyai keterbatasan akses kepada pengalaman pembelajaran di luar persekitaran harian mereka.

Program dimulakan dengan lawatan sambil belajar ke beberapa tarikan utama Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Terrace, Glass Box dan Observation Deck.

Dari puncak menara, peserta berpeluang menyaksikan panorama bandar raya Kuala Lumpur dari sudut pandang yang berbeza.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, pengalaman berada di ketinggian ratusan meter buat pertama kali ini telah mencetuskan rasa kagum, keterujaan serta membuka perspektif baharu tentang keindahan dan skala bandar metropolitan.

Bagi memperkayakan elemen pembelajaran, kanak-kanak turut diperkenalkan dengan Kuala Lumpur Tower Edu Passport, sebuah buku interaktif yang direka khas untuk menggalakkan pembelajaran berasaskan penerokaan.

Melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan, pasport pendidikan ini mendorong kanak-kanak untuk memerhati, bertanya dan berinteraksi dengan persekitaran sekitar, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih hidup dan bermakna.

Inisiatif ini mengukuhkan peranan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan berteraskan pendidikan yang menyemai rasa ingin tahu terhadap seni bina, panorama bandar serta khazanah hutan bandar Malaysia.

Program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari di HEMISFERA Luxury Sky Hall yang eksklusif, sebelum disusuli ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, selaku pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur.

Majlis kemudiannya mencapai kemuncak dengan penyampaian sumbangan kewangan berjumlah RM5,000 kepada setiap rumah kebajikan yang terbabit, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kebajikan kanak-kanak dan usaha memperkasa komuniti.

Menurut Khairil Faizal, Program CSR ‘Reach for the Sky’ mencerminkan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk menikmati kebahagiaan, peluang pembelajaran serta sumber inspirasi yang dapat membentuk masa depan mereka.

“Inisiatif seperti Kuala Lumpur Tower Edu Passport diharap dapat menyemai rasa ingin tahu dan meninggalkan kenangan bermakna yang kekal dalam ingatan peserta.

“Menara Kuala Lumpur, akan terus komited dalam memperjuangkan program yang memberi impak positif kepada masyarakat dan memperkasa generasi muda,” katanya.

Secara keseluruhan, Program CSR ‘Reach for the Sky’ memperkukuhkan misi Menara Kuala Lumpur dalam membina hubungan komuniti yang berterusan serta mencipta nilai sosial melalui pengalaman yang membina.

Dengan gabungan elemen pendidikan, penerokaan dan kebajikan, program ini selari dengan visi Menara Kuala Lumpur sebagai simbol pertumbuhan, harapan dan inspirasi untuk semua lapisan masyarakat.

UPSI sertai 27 IPT meterai MoU YADIM, perluas agenda dakwah nasional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif menyumbang kepada pembangunan ummah apabila menjadi antara 27 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu disifatkan sebagai kerjasama berskala terbesar pernah dilaksanakan oleh YADIM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan serta institusi akademik dalam memperkasa agenda dakwah negara secara lebih menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi.

UPSI diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, yang menyatakan kesediaan universiti berkenaan untuk memanfaatkan kepakaran akademik sedia ada dalam memperkukuh disiplin dakwah Islamiyah serta memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut beliau, kerjasama ini meliputi pelbagai bidang utama termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan ilmiah, penganjuran persidangan, seminar dan bengkel, selain program pertukaran serta mobiliti pelajar dan kakitangan akademik.

Beliau berkata, UPSI melihat pemeteraian MoU ini sebagai satu platform penting dalam membangunkan modal insan mahasiswa secara holistik.

Penekanan akan diberikan kepada latihan industri, program mobiliti dan penglibatan aktif pelajar dalam agenda dakwah yang berteraskan ilmu, nilai kemasyarakatan serta keperluan semasa masyarakat.

Dalam pada itu, UPSI turut memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan pendidikan bahasa Arab, selaras dengan kekuatan akademik universiti itu menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Katanya, penglibatan pelajar Program Bahasa Arab UPSI sebagai Rakan Siswa YADIM dan Daie Muda YADIM sejak tahun 2023, telah membuktikan keberkesanan kerjasama sedia ada dan wajar diperkasakan ke tahap yang lebih tinggi.

“Melalui MoU ini, UPSI bersedia memperluas kerjasama penyelidikan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab, terjemahan bahasa Melayu-Arab-Inggeris serta bahasa asing lain, komunikasi dan bidang berkaitan yang berpotensi memberi impak signifikan kepada kedua-dua institusi dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerjasama strategik antara YADIM dan 27 institusi pengajian tinggi itu merangkumi pelbagai bidang penting termasuk penyediaan modul, penerbitan, penulisan serta penglibatan kepakaran akademik bagi menyokong gerak kerja dakwah secara lebih sistematik dan berkesan.

Menurut beliau, kepakaran yang terdapat di universiti perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan agenda dakwah negara berasaskan ilmu pengetahuan, selari dengan keperluan semasa dan mampu memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat.

Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, sekali gus menandakan sokongan padu kerajaan terhadap usaha memperkasa dakwah melalui pendekatan akademik dan penyelidikan.

Kinohimitsu lancar Glow & Grow Duo, solusi kecantikan holistik musim perayaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim perayaan yang silih berganti pada setiap hujung tahun sememangnya menjadi detik istimewa yang sarat dengan pertemuan sosial, kemesraan keluarga dan hubungan persahabatan.

Bermula dengan kemeriahan Krismas dan Malam Tahun Baharu, diteruskan dengan sambutan Tahun Baharu Cina, sebelum menyusul pula suasana penuh makna Hari Raya, tempoh ini menuntut setiap individu untuk tampil dengan keyakinan diri yang terbaik.

Dalam konteks ini, penampilan yang kemas, wajah yang segar serta tubuh yang sihat bukan sekadar soal estetika, malah mencerminkan penghargaan terhadap majlis yang dihadiri dan individu yang diraikan.

Ia menjadi isyarat halus bahawa setiap pertemuan itu dihargai dan diberikan perhatian sepenuhnya, sekali gus melambangkan nilai hormat serta kepentingan hubungan sosial yang terjalin.

Berinspirasikan falsafah itu, Kinohimitsu memperkenalkan Glow & Grow Duo, satu set eksklusif yang dirumus khas bagi menyokong kecantikan menyeluruh dari dalam.

Dicipta sebagai asas kepada rutin kecantikan musim perayaan, Glow & Grow Duo memberi tumpuan kepada dua elemen paling ketara yang mencerminkan kesejahteraan dan keyakinan diri, iaitu kulit yang berseri serta rambut yang kuat dan sihat.

Glow & Grow Duo melambangkan komitmen berterusan Kinohimitsu terhadap pendekatan kecantikan holistik.

Seiring perubahan keperluan pengguna, jenama ini kini beralih daripada penyelesaian fokus tunggal kepada himpunan produk berpasangan yang saling melengkapi.

Pendekatan ini mengiktiraf hakikat bahawa kecantikan sebenar terhasil daripada keseimbangan, di mana kulit yang sihat dan rambut yang terjaga memainkan peranan sama penting dalam menyerlahkan keyakinan diri.

Sebagai sebahagian daripada strategi ini, Kinohimitsu menggandingkan produk ikonik mereka, Collagen Diamond Pro, bersama inovasi terbaharu, Haéria Pro.

Gabungan ini mencerminkan portfolio Kinohimitsu yang sentiasa berkembang, responsif terhadap maklum balas pengguna dan sejajar dengan cara sebenar pelanggan menelusuri perjalanan kecantikan serta kesejahteraan mereka.

Pelancaran Glow & Grow Duo diadakan secara eksklusif bersama Watsons Malaysia, bersempena permulaan musim perayaan, dengan acara pengenalan berlangsung di Pavilion Damansara Heights.

Set ini direka sebagai ritual penjagaan selama tujuh hari, dengan setiap produk mengandungi tujuh sachet bagi memastikan rangsangan kecantikan yang berstruktur dan konsisten sepanjang jadual perayaan yang padat.

Collagen Diamond Pro dirumus dengan 5,500 miligram peptida kolagen yang diadun dalam minuman berperisa epal dan nanas, bertujuan membantu menegangkan, menaikkan serta mencerahkan tona kulit.

Sementara itu, Haéria Pro pula hadir dalam ramuan berperisa grapefruit yang mengandungi ekstrak labu dan bijan, zink serta biotin, yang berfungsi menyuburkan dan menghidrat kulit kepala, merangsang pertumbuhan rambut dan menguatkan daya tahannya.

Dari segi praktikaliti, Glow & Grow Duo mengekalkan ciri khas Kinohimitsu melalui penggunaan sachet cecair mesra perjalanan bersaiz 25 gram.

Format sedia diminum ini memudahkan pengguna mengekalkan rutin kecantikan walaupun sibuk menghadiri pelbagai acara perayaan, menerima kunjungan tetamu atau melancong sepanjang cuti.

Sebagai pelengkap kepada pengalaman ini, setiap set Glow & Grow Duo turut disertakan dengan Kinohimitsu Shiba Inu Keychain Coin Purse edisi terhad secara percuma.

Aksesori comel ini menambahkan sentuhan ceria dan praktikal dalam rutin harian pengguna, selari dengan konsep kecantikan moden yang menyeronokkan dan mudah diakses.

Kinohimitsu Glow & Grow Duo akan mula ditawarkan secara eksklusif di cawangan Watsons terpilih di seluruh Malaysia bermula 22 Disember 2025.

Pelancaran ini menandakan satu lagi langkah jenama tersebut dalam menawarkan penyelesaian kecantikan inovatif yang relevan dengan gaya hidup moden, khususnya dalam membantu pengguna tampil yakin, berseri dan bersedia sepenuhnya menyambut musim perayaan yang penuh makna.

Trip.com, Galaxy Asia Car Rental jalin kerjasama strategik menjelang Visit Malaysia 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Trip.com, penyedia perkhidmatan pelancongan sehenti bertaraf global, mengumumkan kerjasama strategik bersama Galaxy Asia Car Rental, salah satu syarikat penyewaan kenderaan terkemuka di Malaysia, bagi mempertingkatkan pengalaman penyewaan kereta untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Melalui kerjasama ini, penjenamaan Trip.com akan dipaparkan secara ketara di beberapa lokasi utama Galaxy Asia Car Rental, termasuk cawangan utamanya di pusat bandar Kuala Lumpur serta kaunter rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keterlihatan jenama serta membina keyakinan pelancong terhadap perkhidmatan penyewaan kereta yang boleh dipercayai dan mudah diakses.

Kerjasama ini juga menggabungkan kekuatan rangkaian global Trip.com dengan kepakaran tempatan Galaxy Asia Car Rental, sekali gus menawarkan pengalaman penyewaan kenderaan yang lebih lancar dan fleksibel kepada pelancong, sama ada untuk perjalanan perniagaan, percutian keluarga atau penerokaan destinasi tempatan.

Menurut data Trip.com, pasaran penyewaan kereta di Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu.

Tempahan penyewaan kereta di negara ini merekodkan pertumbuhan tiga digit dari tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh pengguna dari Malaysia, China dan Singapura.

Trend ini mencerminkan peningkatan minat dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa terhadap perjalanan kendiri yang lebih bebas dan selesa.

Pengurus Besar Penyewaan Kereta Antarabangsa Trip.com Group, Eugene Lin, berkata sebagai platform pelancongan menyeluruh, Trip.com komited untuk memudahkan perjalanan pengguna dari peringkat perancangan hingga ke destinasi akhir.

Menurutnya, kerjasama dengan Galaxy Asia Car Rental menghubungkan ekosistem global Trip.com dengan rangkaian tempatan yang kukuh, sekali gus mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar daripada tempahan hingga pemanduan.

Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penyewaan kereta di Malaysia dan rantau ini menunjukkan kesediaan Trip.com untuk menyokong keperluan pelancong yang semakin berkembang, khususnya ketika negara sedang membuat persiapan menyambut Visit Malaysia Year 2026.

Sementara itu, Pengarah Galaxy Asia Car Rental, Ken Pang, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah positif dalam memudahkan pelancong menikmati percutian mengikut rentak sendiri.

Beliau menegaskan komitmen syarikat untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan serta menyediakan pilihan kenderaan yang sesuai dengan pelbagai keperluan dan gaya perjalanan.

Bagi meraikan kerjasama ini, Trip.com dan Galaxy Asia Car Rental turut menawarkan ganjaran istimewa kepada pelanggan melalui inisiatif dalam talian ke luar talian atau online-to-offline (O2O).

Dari 15 hingga 25 Disember, lima pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan Galaxy Asia Car Rental melalui Trip.com dan mengambil kenderaan di KLIA Terminal 1, KLIA2 atau cawangan utama di Miharja, Kuala Lumpur, akan menerima sekotak biskut Krismas percuma.

Kerjasama strategik ini membuka lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan Malaysia, sama ada melalui perjalanan darat merentas negeri atau lawatan santai di bandar-bandar utama.

Perkhidmatan penyewaan kereta Trip.com kini boleh diakses di lebih 200 negara dan 10,000 bandar di seluruh dunia, termasuk pelbagai destinasi popular di Asia.

Platform ini turut menawarkan sokongan khidmat pelanggan pelbagai bahasa, penerimaan lesen memandu antarabangsa serta sistem perbandingan harga yang tepat, membolehkan pengguna mendapatkan kenderaan sewaan yang sesuai dalam tempoh hanya beberapa minit.

Mangsa dakwa dianiaya Pastor Wanita, mohon polis segera ambil tindakan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR  – Seorang wanita berusia 28 tahun tampil menuntut keadilan apabila satu memorandum rasmi diserahkan kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini berhubung dakwaan hubungan intim dan penderaan psikologi yang didakwa berlaku sejak dia berusia 21 tahun, membabitkan seorang individu berpengaruh dalam institusi keagamaan.

Tindakan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati mangsa terhadap perkembangan siasatan kes yang dilaporkan kepada pihak polis sebelum ini.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr Kalaivanar berkata, mangsa yang didakwa telah menjalinkan hubungan intim dengan seorang pastor wanita berusia lingkungan lewat 50-an ketika itu, yang juga penceramah dan tokoh agama di sebuah gereja di Rawang.

Hubungan itu didakwa bermula atas alasan keagamaan, termasuk sesi “blessing”, sebelum bertukar menjadi hubungan sulit yang berlaku beberapa kali di lokasi berbeza.

Mangsa mendakwa hubungan berlaku bukan atas dasar kerelaan sepenuhnya, sebaliknya berlaku akibat manipulasi emosi dan ugutan, termasuk ancaman bunuh diri oleh individu terbabit sekiranya mangsa enggan menurut kehendaknya.

Tekanan psikologi, rasa malu serta trauma yang dialami menyebabkan mangsa berdiam diri selama bertahun-tahun dan tidak memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

“Kes telah dilaporkan kepada pihak polis pada 24 September 2025. Namun, mangsa mendakwa sehingga kini tiada tindakan tegas diambil terhadap individu yang didakwa sebagai pelaku.

“Lebih mengecewakan, mangsa turut mendakwa rakaman percakapannya tidak diambil sepenuhnya dan beliau tidak pernah menandatangani kenyataan rasmi seperti yang sepatutnya dalam proses siasatan,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila individu yang didakwa itu dilaporkan telah dibawa keluar dari Kuala Lumpur ke Johor oleh ahli keluarga selepas isunya tular di media sosial dan mendapat perhatian meluas netizen serta media.

“Situasi ini menimbulkan kebimbangan mangsa terhadap kemungkinan siasatan tidak dijalankan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam memorandum yang dikemukakan, mangsa memohon agar Ketua Polis Negara meneliti semula kes, membuka semula fail siasatan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil tanpa sebarang kompromi.

Mangsa mengakui masih berdepan kesan trauma dan keresahan, namun keadaannya kini semakin stabil selepas mendapat sokongan moral daripada wakil yang mengiringinya serta keluarga yang kini telah dimaklumkan mengenai kejadian sebenar.

Beliau berharap langkah membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi dapat membuka ruang keadilan, bukan sahaja untuk dirinya, malah sebagai peringatan agar kes membabitkan salah guna kuasa dan manipulasi atas nama agama tidak dipandang ringan.