26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 32

JIMBA Finale 2025 Andalusia himpunkan 11,000 peserta, pemenang raih kereta BYD

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd yang diadakan sempena ulang tahun penubuhan syarikat ke-23 berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menghimpunkan lebih 11,000 peserta yang hadir secara fizikal di seluruh cawangan Andalusia di Malaysia, manakala jumlah keseluruhan penyertaan direkodkan melebihi 17,000 orang.

Program berskala nasional ini bukan sahaja menjadi penutup tirai tahun 2025, malah berperanan sebagai platform penyatuan jemaah Andalusia dalam semangat kebersamaan, kesyukuran dan amanah, sejajar dengan aspirasi syarikat dalam memartabatkan perkhidmatan umrah dan pelancongan Islamik.


Kemuncak acara berlangsung pada 31 Disember 2025 di Darul Muttaqin Home, Kuala Lumpur, apabila seorang peserta dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA Finale 2025.

Rakiah membawa pulang hadiah istimewa berupa sebuah kereta BYD Sealion 7, sekali gus mencipta detik penuh emosi dan kenangan manis buat keluarga serta peserta yang mengikuti acara berkenaan secara serentak di seluruh negara.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris, dalam ucapannya berkata, penghujung tahun bukan sekadar penutup kalendar, sebaliknya satu ruang refleksi dan peluang untuk membina azam baharu bersama dalam memelihara amanah serta memperkukuh komitmen terhadap perkhidmatan kepada tetamu Allah.

Menurut beliau, Andalusia tidak akan berkompromi dalam soal amanah dan kualiti perkhidmatan, malah bertekad untuk terus melangkah jauh sehingga puluhan tahun akan datang dengan membawa nilai yang sama.

Ucapan itu disifatkan sebagai antara detik paling menyentuh hati sepanjang program, sekali gus menyuntik semangat baharu dalam kalangan jemaah dan warga kerja Andalusia.

Majlis JIMBA Finale 2025 turut menyaksikan pelancaran dan perasmian Majalah AndalusiaKu edisi 1448H (2026/2027), sebuah penerbitan yang memuatkan inspirasi perjalanan umrah serta kisah pengalaman jemaah.

Pelancaran majalah berkenaan disempurnakan oleh Ida Riswana bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Haji Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim Mat Sin.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan sesi penghargaan kepada jemaah setia, pengumuman tawaran eksklusif pakej pelancongan serta pelbagai cabutan bertuah.

Ida Riswana berkata, setiap usaha pengembangan Andalusia perlu berpaksikan niat yang betul, keikhlasan dalam menyantuni duyufur Rahman serta keberanian untuk berfikir lebih besar demi kebaikan umat Islam secara keseluruhan.

Beliau menyatakan keyakinan segala perancangan dan inisiatif syarikat adalah bertujuan membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan industri umrah negara.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat umat Islam tampil lebih megah, bangga dan gagah dalam sektor perniagaan, khususnya dalam industri pelancongan umrah yang semakin mencabar di peringkat global.


“Kejayaan Andalusia adalah hasil sokongan berterusan daripada jemaah yang setia bersama syarikat sejak sekian lama,” katanya.

Menurutnya, penyertaan JIMBA Finale 2025 adalah antara yang paling menggalakkan sepanjang penganjurannya.

“Sambutan luar biasa itu mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap jenama Andalusia di seluruh negara.

“Penganjuran JIMBA juga bertujuan memperkenalkan lebih banyak pakej umrah dan pelancongan, di samping merapatkan hubungan syarikat dengan komuniti setempat di setiap negeri,” katanya.

Pemilihan pemenang cabutan bertuah turut disusun secara strategik agar setiap negeri mempunyai wakil, sekali gus memastikan keterlibatan masyarakat yang lebih menyeluruh.
Pendekatan ini selaras dengan matlamat Andalusia untuk memperkukuh kehadiran dan kepercayaan masyarakat di seluruh pelusuk Malaysia.

Karnival JIMBA adalah inisiatif jangka panjang selama 10 tahun bermula 2025 hingga 2035, dengan ganjaran dan hadiah yang dirancang menjadi semakin menarik serta bernilai dari tahun ke tahun.

Andalusia menyasarkan capaian jemaah sehingga mencecah 80,000 orang menerusi kesinambungan pertandingan JIMBA, yang turut berfungsi sebagai medium untuk menembusi kawasan baharu.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan pelanggan, Andalusia turut merancang untuk memperkenalkan kiosk layan diri secara berperingkat bermula tahun 2026.

Kiosk berkenaan akan ditempatkan di lokasi awam terpilih, bermula di Lembah Klang, bagi memudahkan urusan pelanggan termasuk pembelian pakej umrah, pembayaran dan cetakan resit.

Pelancaran awal dijangka seawal suku pertama tahun 2026 selepas fasa ujian di ibu pejabat.

Detik kemenangan pemenang utama turut menjadi perhatian apabila Rakiah Sulaiman, seorang peniaga kecil dari Gua Musang, diumumkan sebagai penerima hadiah kereta BYD Sealion 7.

Tiga orang anaknya yang berada di Kuala Lumpur hadir menyaksikan detik bersejarah itu.

Menurut anaknya, Nur Liyana Othman, mereka tidak menyangka rezeki besar hadir ketika hampir meninggalkan majlis.

Rakiah sendiri pernah menunaikan ibadah umrah sebelum ini, dan kemenangan itu disifatkan sebagai rezeki serta doa yang dimakbulkan.


Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd terus komited untuk memartabatkan perkhidmatan umrah melalui inovasi, keikhlasan dan amanah, demi memastikan setiap perjalanan ibadah menjadi pengalaman yang bermakna serta membawa kebaikan berterusan kepada umat Islam.

Selepas 16 tahun, Que Haidar kembali ke drama TV dengan Pak Su Ammara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad tidak muncul dalam drama bersiri televisyen, pelakon versatil Que Haidar akhirnya membuat kemunculan semula menerusi naskhah terbaharu berjudul Pak Su Ammara, sekali gus menamatkan penantian selama 16 tahun peminat setia yang merindui lakonannya di kaca televisyen.

Nama Que Haidar mungkin tidak seaktif barisan pelakon drama generasi masa kini, namun pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.

Berbekalkan pengalaman luas sejak awal tahun 2000-an, Que telah membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon berkualiti apabila meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello.

Kini berusia 46 tahun, Que Haidar telah menghidupkan pelbagai karakter sama ada di layar perak mahupun layar televisyen.

Namun, selepas sekian lama memilih untuk tidak terbabit dalam drama bersiri, pelakon itu akhirnya bersetuju menerima tawaran untuk kembali beraksi menerusi Pak Su Ammara, sebuah drama terbitan Global Station Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria.

Menurut Que, keputusan untuk kembali ke dunia drama bersiri bukan dibuat dengan mudah memandangkan kekangan masa dan intensiti penggambaran yang sering menjadi cabaran utama.

Katanya, faktor itu menyebabkan beliau sebelum ini merasakan sukar untuk menyelami dan menghayati sesuatu karakter dengan sepenuhnya.

Namun, pengalaman bekerjasama dengan pengarah Azri Izhar serta sokongan pasukan produksi yang positif telah mengubah persepsinya.

Que turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk membawakan watak Pak Su dan bergandingan dengan aktres terkenal Ummi Nazeera.

Jelasnya, kehadiran Ummi bukan sahaja menjadi tarikan utama untuk menerima tawaran berkenaan, malah banyak membantu dalam menjayakan watak yang dibawanya.

Selain itu, Que juga memuji komitmen barisan pelakon lain termasuk Dian P Ramlee serta pelakon cilik yang memegang watak Ammara, yang disifatkan memberikan persembahan meyakinkan.

Mengakui perasaan gementar ketika kembali ke set penggambaran drama bersiri selepas sekian lama, Que bagaimanapun menegaskan profesionalisme perlu diutamakan.

Beliau percaya suasana kerja yang dikelilingi individu berjiwa positif telah memberinya kekuatan dan keyakinan untuk memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran berlangsung.

Pak Su Ammara mengisahkan perjalanan hidup seorang guru prasekolah bernama Hamiza yang terperangkap dalam sebuah perkahwinan toksik.

Dalam keadaan hamil, Hamiza memilih untuk keluar daripada hubungan itu dan membina kehidupan baharu sebagai ibu tunggal.

Takdir menemukan Hamiza dengan Firdaus atau lebih dikenali sebagai Pak Su, yang juga bapa saudara kepada salah seorang muridnya, Ammara Rose.

Pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Drama bersiri 20 episod ini turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Syazwan Zulkifly dan Dian P Ramlee, dan dijadualkan mula bersiaran pada 5 Januari 2026 di saluran Astro Ria.

HUAWEI MatePad 12 X (2026) dan M-Pencil Pro tawarkan produktiviti setaraf PC di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI bersedia membuka lembaran baharu dalam dunia kreativiti pintar dan produktiviti mudah alih dengan ketibaan HUAWEI MatePad 12 X (2026) serta stylus generasi terbaharu, HUAWEI M-Pencil Pro, di pasaran Malaysia.

Gabungan keupayaan produktiviti setaraf PC, teknologi paparan dipertingkat dan ciri stylus pintar menjadikan peranti ini pilihan ideal untuk pencipta kandungan, profesional dan pelajar yang memerlukan prestasi tinggi tanpa mengorbankan mobiliti.

HUAWEI MatePad 12 X (2026) direka untuk memenuhi keperluan gaya kerja moden yang pantas dan fleksibel.

Tablet ini hadir dengan paparan 12 inci Ultra-clear PaperMatte yang bebas silau, menawarkan visual yang jelas dan selesa walaupun di bawah cahaya terang.

Disokong oleh HarmonyOS, peranti ini membolehkan multitugasan yang lancar merentas aplikasi, sekali gus menyokong aliran kerja kreatif yang boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran seperti kafe, lokasi penggambaran atau ketika dalam perjalanan.

Keupayaan produktiviti tablet ini diperkukuh dengan kehadiran PC-level WPS Office 3.0 yang dipasang secara pratetap.

Perisian ini membolehkan pengguna mengendalikan tugasan kerja yang lebih kompleks termasuk penyuntingan carta yang kekal boleh diubah suai, sokongan formula matematik lanjutan serta penyisipan dokumen sebagai lampiran untuk pengurusan fail yang lebih teratur.

Apabila digandingkan dengan HUAWEI Smart Magnetic Keyboard dan tetikus Bluetooth, MatePad 12 X (2026) boleh berfungsi sebagai stesen kerja kompak yang sesuai untuk penyuntingan dokumen, perancangan kandungan dan pembangunan idea kreatif.

Melengkapkan tablet ini ialah HUAWEI M-Pencil Pro, stylus pintar yang direka untuk memberikan pengalaman menulis dan melakar yang lebih semula jadi serta tepat.

Dengan kependaman ultra rendah, 16,384 tahap tekanan dan penderia gerakan yang dipertingkat, stylus ini membolehkan pengguna beralih dengan lancar antara mencatat nota, melakar ilustrasi atau menanda papan cerita.

Interaksi bersama paparan Ultra-clear PaperMatte turut memberikan rasa seperti menulis di atas kertas, sekali gus mengurangkan keletihan mata semasa penggunaan jangka panjang.

HUAWEI M-Pencil Pro turut memperkenalkan ciri interaksi pintar baharu yang meningkatkan kecekapan kerja kreatif.

Butang pantas di bahagian hujung stylus membolehkan aplikasi seperti GoPaint atau HUAWEI Notes dibuka serta-merta, manakala gerakan putaran dan cubit memudahkan kawalan berus, ketebalan garisan, saiz serta pemilihan warna melalui menu radial sentuhan.

Stylus ini juga hadir dengan tiga pilihan mata pen yang boleh ditukar bagi menyesuaikan gaya penulisan, lakaran atau anotasi mengikut keperluan pengguna.

Gabungan MatePad 12 X (2026) dan M-Pencil Pro membolehkan pengguna mengekalkan produktiviti di mana sahaja mereka berada.

Idea boleh dilakar pada waktu pagi di kafe, diperhalusi menggunakan HUAWEI GoPaint di antara sesi kerja, dan disempurnakan melalui penyediaan slaid atau penyuntingan video menggunakan WPS Office 3.0 atau Filmora, semuanya dalam satu aliran kerja yang tersusun dan efisien.

Pelancaran rasmi HUAWEI MatePad 12 X (2026) dan HUAWEI M-Pencil Pro di Malaysia akan berlangsung tidak lama lagi dan boleh didapati di semua HUAWEI Experience Store, Laman Web Rasmi HUAWEI, HUAWEI Official Store di Shopee, HUAWEI Flagship Store di Lazada serta HUAWEI Official TikTok Shop.

Menariknya, tawaran hadiah eksklusif awal turut disediakan termasuk HUAWEI M-Pencil Pro bernilai RM599, tetikus Bluetooth bernilai RM149 dan PC-level WPS Office 3.0 bernilai RM299, dengan jumlah nilai keseluruhan mencecah RM1,047.

Maklumat lanjut akan diumumkan semasa pelancaran rasmi, menandakan satu lagi langkah HUAWEI dalam mentakrif semula pengalaman produktiviti tablet di Malaysia.

MOTAC, Tourism Malaysia bakal ambil tindakan terhadap penganjur Miss & Mister Celebrity 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia bakal mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 selepas didapati menggunakan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) tanpa kebenaran rasmi.

Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti rasmi korporat yang menjadi milik kementerian dan agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, sebarang penggunaan logo rasmi kerajaan tertakluk kepada kelulusan bertulis dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Dalam masa sama, MOTAC dan Tourism Malaysia menegaskan pihak kementerian serta agensi berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan atau penglibatan dengan penganjuran acara terbabit yang berlangsung di Sentul, Kuala Lumpur, dari 14 hingga 22 Disember lalu.

“Didapati penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh pihak penganjur telah dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi.

“Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara tersebut atau penggunaan logo tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.

Isu ini tercetus selepas tular di media sosial sebuah video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki berpakaian wanita menerima anugerah dalam sebuah majlis yang didakwa bertaraf antarabangsa.

Video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dan mengundang perhatian pihak berkuasa.

Perkembangan itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Kes ini sekali gus menimbulkan perbincangan awam mengenai kepatuhan penganjur acara terhadap peraturan, sensitiviti masyarakat serta kepentingan memelihara penggunaan identiti dan logo rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

Patung Harimau Putih di Kediri tular, wajah lucu undang jenaka netizen

editormaxinfo@gmail.com

KEDIRI – Sebuah patung Harimau Putih yang dibina di Desa Balongjeruk, Kecamatan Kunjang, Kediri, Jawa Timur, mencuri perhatian ramai selepas rakaman videonya tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi lucu serta kritikal daripada netizen.

Patung yang dicat dengan corak hitam-putih itu pada asalnya bertujuan menjadi simbol identiti dan kebanggaan tempatan bandar Kediri.

Namun begitu, ekspresi wajah patung berkenaan yang dianggap tidak seimbang dan kelihatan lucu telah menjadi bahan jenaka, sekali gus mengalihkan tumpuan orang ramai daripada tujuan asal pembinaannya.

Rakaman video yang dimuat naik oleh akaun TikTok @seputar_kediri memaparkan patung berkenaan berdiri megah di kawasan desa, namun ruangan komen dibanjiri reaksi netizen yang menyifatkan wajah patung itu lebih menyerupai tapir atau gabungan beberapa haiwan lain.

Ada juga yang secara bergurau melabelkannya sebagai ‘harimau montel’, selain mempertikaikan konsep seni dan ketelitian reka bentuk yang digunakan.

Fenomena ini bertambah hangat apabila beberapa keping foto yang merakamkan proses pembinaan patung berkenaan turut tersebar di media sosial.

Dari sudut sisi, patung yang masih belum dicat sepenuhnya kelihatan semakin mencuit hati, sekali gus mengundang lebih banyak jenaka dan perbincangan dalam kalangan pengguna internet.

Difahamkan, patung Harimau Putih itu telah dirasmikan pada awal Disember 2025, dengan nama Ketua Desa Balongjeruk, Safii, tercatat sebagai individu yang menandatangani perasmian projek berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini pihak desa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan konsep reka bentuk, kos pembinaan atau objektif jangka panjang pembinaan patung berkenaan.

Ketiadaan maklumat rasmi ini dilihat menambahkan lagi spekulasi serta gurauan netizen, khususnya mengenai inspirasi sebenar di sebalik wajah patung yang dianggap unik dan menghiburkan itu.

Video dan foto patung Harimau Putih berkenaan kini telah tersebar luas di pelbagai platform media sosial termasuk TikTok, Instagram dan Twitter, dengan jumlah tontonan mencecah ratusan ribu hingga jutaan.

Selain berfungsi sebagai hiburan, fenomena ini turut mencetuskan perbincangan lebih serius dalam kalangan masyarakat mengenai kualiti perancangan projek awam, aspek seni bina, reka bentuk visual serta ketelusan pengurusan kos yang membabitkan dana awam.

Isu ini sekali gus menunjukkan bagaimana sesuatu projek fizikal boleh menjadi tumpuan nasional dalam sekelip mata, khususnya apabila reaksi masyarakat dipengaruhi oleh kuasa media sosial. -Agensi

Shazia Rozaini pertaruh lagu Jepun “Itoshi-Hito”, karya cinta penuh emosi ciptaan Pakya Senario

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Shazia Rozaini tampil dengan kelainan apabila melancarkan single terbaharunya berjudul “Itoshi-Hito”, sebuah lagu cinta dalam bahasa Jepun yang sarat dengan emosi dan makna kerinduan.

Lagu ini adalah hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal dari kumpulan Senario, Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario, sekali gus menandakan satu kolaborasi unik dalam industri muzik tempatan.

“Itoshi-Hito”, yang membawa maksud rinduku dalam bahasa Jepun, mengisahkan seorang gadis Melayu yang menyimpan perasaan terhadap seorang jejaka di Jepun.

Namun, perasaan cinta itu tidak pernah diluahkan, sebaliknya hanya dipendam dengan harapan dan andaian bahawa jejaka tersebut turut berkongsi rasa yang sama.

Ketidakpastian itulah yang terus menghantui fikiran si gadis, menjadikan lagu ini sebuah penceritaan cinta yang halus dan menyentuh perasaan.

Menurut Shazia, judul Itoshi-Hito mempunyai makna yang sangat romantik dan dekat di hatinya.

Katanya, lagu ini turut mencerminkan kerinduannya terhadap dunia nyanyian yang menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang seni.

“Peluang untuk menyanyikan lagu ciptaan Pakya Senario saya sambut dengan penuh kegembiraan, lebih-lebih lagi apabila lagu berkenaan menggambarkan keindahan serta nuansa budaya Jepun yang begitu memikat,” katanya.

Walaupun kini lebih aktif sebagai pelakon, Shazia bukanlah nama asing dalam bidang muzik.

Sebelum ini, beliau pernah melancarkan beberapa single dan terus mengembangkan bakatnya dalam dunia seni lakon menerusi pelbagai drama dan telefilem terbitan TV3, Astro dan RTM.

Selain itu, Shazia turut terbabit dalam pementasan teater muzikal Masmoona bersama barisan pelakon ternama termasuk Nabila Huda, sekali gus membuktikan versatiliti beliau sebagai penggiat seni.

Pakya Senario pula berkongsi ilham menghasilkan lagu berbahasa Jepun ini tercetus daripada minatnya terhadap lagu-lagu era 1970-an yang banyak dipengaruhi oleh karya pengkarya Jepun.

Beliau merasakan irama dan melodi itu sangat serasi dengan cita rasa pendengar Melayu, justeru tercetus idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang boleh menjadi halwa telinga tempatan dengan sentuhan budaya luar.

“Bakat Shazia dalam bidang nyanyian sememangnya tidak dapat disangkal. Perkenalan kami bermula menerusi rancangan Sepahtu Reunion, yang seterusnya mendorong saya untuk menghasilkan single terbaharu buat Shazia.

““Itoshi-Hito” adalah langkah penting dalam memperkukuh dan mengembangkan perjalanan seni Shazia dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Dengan adunan melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang lembut, “Itoshi-Hito” menawarkan pengalaman emosional yang mendalam kepada pendengar.

Elemen kerinduan yang menjadi teras lagu ini menjadikannya sebuah karya yang istimewa dan berpotensi meninggalkan kesan mendalam.

Syarikat rakaman Luncai Emas turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Pakya Senario selaku komposer eksklusif di bawah naungan mereka untuk menerbitkan lagu berbahasa Jepun ini.

Inisiatif itu dilihat sebagai satu peluang untuk karya tempatan menembusi pasaran luar negara, selain menyemarakkan lagi kepelbagaian dalam industri muzik Malaysia.

Pengedaran digital serta hak cipta lagu “Itoshi-Hito” nyanyian Shazia Rozaini ditadbir oleh Luncai Emas dan kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes.

Video muzik rasmi pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.

Pelancaran “Itoshi-Hito” diharap dapat menarik perhatian pendengar, sekali gus membuka ruang baharu buat karya tempatan berbahasa asing untuk terus berkembang dan diterima di peringkat lebih luas.

Siti Nurhaliza raikan 30 tahun seni menerusi Konsert Legacy di Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakal mengukir satu lagi detik bersejarah dalam landskap industri hiburan tanah air menerusi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert mega ini dijangka menghimpunkan puluhan ribu peminat dalam sebuah persembahan berskala besar yang meraikan perjalanan seni beliau sepanjang tiga dekad.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan sekadar sebuah persembahan pentas, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap legasi seni, dedikasi berterusan serta sokongan padu peminat, rakan industri dan keseluruhan ekosistem kreatif yang telah bersama-sama membina dan menyokong perjalanan seni beliau sejak kemunculan awal sebagai anak seni sehingga diangkat sebagai ikon seni negara.

Setelah membuktikan kejayaan menerusi beberapa siri konsert berskala besar sebelum ini, Legacy 30 Siti Nurhaliza bakal menggabungkan elemen muzik, penceritaan, visual dan emosi yang merangkumi keseluruhan fasa kerjaya beliau.

Persembahan ini dijangka membawa penonton menyusuri perjalanan seni Siti Nurhaliza, bermula daripada era awal kemunculan sehingga kematangan artistik yang membentuk identiti beliau hari ini.

Konsert ini akan menampilkan rangkaian lagu-lagu ikonik merentasi pelbagai era, disuntik dengan susunan muzik baharu, kolaborasi istimewa bersama barisan artis undangan serta produksi pentas mega yang mencerminkan penghargaan Siti Nurhaliza terhadap peminat setianya.

Setiap aspek persembahan dirancang dengan teliti bagi memastikan pengalaman konsert yang berkelas dan bermutu tinggi.

SN Legacy Sdn. Bhd. dan Radar Rezki (M) Sdn. Bhd., selaku penganjur bersama, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja utama, penaja sokongan, rakan strategik, artis undangan serta seluruh pasukan produksi, kreatif dan teknikal yang berganding bahu menjayakan penganjuran konsert berprestij ini.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan industri kreatif negara menerusi program Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI).

Sokongan berkenaan disifatkan sebagai pemangkin penting dalam merealisasikan penganjuran konsert berskala besar dan berimpak tinggi seperti Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Persiapan konsert ini dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci bagi memastikan setiap elemen persembahan mencapai tahap terbaik.

Aspek pemilihan lagu, rekaan pentas, pencahayaan, visual, busana serta susunan muzik diberi perhatian khusus agar konsert ini tampil sebagai sebuah persembahan ikonik yang akan dikenang dalam sejarah industri hiburan negara.

Menurut Siti Nurhaliza, konsert ini adalah tanda penghargaan ikhlas buat semua pihak yang telah menyokong perjalanan seninya selama 30 tahun.

Beliau turut meluahkan rasa syukur atas peluang bekerjasama dengan ramai penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik yang menjadi tonggak penting dalam pembinaan legasi seninya.

“Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebagai hadiah dari hati kepada peminat, rakan industri serta semua yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“konsert ini bukan sekadar meraikan pencapaian peribadi, sebaliknya merangkumi usaha kolektif dalam membina, menghargai dan mempertahankan seni serta budaya tempatan, di samping menjadi inspirasi kepada generasi seni akan datang,” katanya.

Konsert yang diadakan sehari sebelum ulang tahun kelahiran Siti Nurhaliza yang ke-47 ini akan menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai pengarah muzik, diiringi barisan pemuzik profesional.

Persembahan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Istana Budaya, dengan penampilan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Artistana Istana Budaya.

Sentuhan koreografi oleh Naim Syahrazad bersama penari Juxt Studio dijangka menambah keindahan visual persembahan.

Konsert ini dibawakan khas oleh CUCKOO, dengan Affin Bank sebagai penaja utama, serta sokongan tajaan daripada ZEEKR, HABIB, AirAsia dan SOGO.

Antara rakan penaja lain yang turut terbabit ialah Ombak Exclusive, Zai Sri Gemilang, Events Medical Support dan Hyatt Place.

Menambah keistimewaan konsert ini, Siti Nurhaliza akan bergandingan dengan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan yang bakal menyerikan lagi persembahan beliau.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 1 Oktober 2025 menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my dan penganjur menjangkakan kehadiran sehingga 60,000 penonton memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam bersejarah itu nanti.

Muafakat Nasional perlu dihidupkan semula demi kestabilan politik dan kesejahteraan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyambut baik pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jasin, Dr. Akmal Saleh supaya kerjasama Muafakat Nasional dihidupkan semula sebagai langkah strategik demi kesejahteraan bangsa Melayu dan kestabilan negara.

Menurut beliau, pandangan itu yang turut disokong oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadli Shaari, wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak kerana ia mencerminkan pendekatan yang realistik serta berpaksikan kepentingan rakyat.

“Dalam situasi politik semasa yang mencabar, usaha memperkukuh perpaduan politik orang Melayu dilihat semakin mendesak bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya.

Muhamad Muqharabbin, yang lebih dikenali sebagai Qobin, berkata Muafakat Nasional yang pernah menghimpunkan tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, BERSATU dan PAS suatu ketika dahulu telah terbukti menjadi tunjang kepada kekuatan perpaduan nasional.

“Kerjasama berkenaan bukan sahaja berjaya menjamin kestabilan politik negara, malah memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak dan kepentingan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya ketiga-tiga parti berkenaan dapat kembali mencapai kata sepakat dan duduk semeja atas semangat perpaduan, sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mengambil kesempatan untuk mengubah dasar-dasar asas negara dapat dibendung dengan lebih berkesan.

“Perpaduan yang kukuh juga mampu menjadi benteng penting dalam menghadapi tekanan dalaman dan luaran yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar semua pemimpin UMNO, BERSATU dan PAS mengetepikan perbezaan, membuang ego serta sengketa lama dan meletakkan kepentingan rakyat serta negara mengatasi segala pertikaian politik.

“Langkah ini bukan sahaja penting untuk memperkukuh perpaduan orang Melayu, malah bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dapat hidup dalam suasana aman, sejahtera dan saling menghormati.

“Perpaduan politik yang mantap amat diperlukan bagi memulihkan keyakinan pelabur, merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan generasi akan datang.

“Justeru, usaha menghidupkan kembali Muafakat Nasional perlu dilihat sebagai satu keperluan strategik yang mampu menyumbang kepada kestabilan politik dan kemakmuran negara secara menyeluruh,” katanya.

Sebagai seorang tokoh politik berpengalaman, Muhamad Muqharabbin adalah mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2018 hingga 2022 serta bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Pengalaman luas beliau dalam gerakan politik dan perjuangan perpaduan orang Melayu merentas parti menjadikan pandangannya relevan dalam landskap politik semasa.

Beliau juga mengingatkan bahawa kekuatan bangsa dan negara hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan yang tulen, selari dengan pepatah, “Bersatu kita teguh, berpecah bangsa rugi”.

Yayasan PEKEMA sasar 10,000 pelajar terima bantuan persekolahan menerusi program Kembali ke Sekolah 2026

editormaxinfo@gmail.com

SELAYANG – Yayasan PEKEMA terus memperkukuh komitmennya dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan Program Kembali ke Sekolah 2026.

Ia adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.

Program berkenaan memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan asas, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan diri serta semangat anak-anak untuk memulakan alam persekolahan dalam suasana yang lebih positif dan terancang.

Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Selayang telah dipilih sebagai penerima manfaat.

Program Back To School 2026 itu berlangsung di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, dengan penglibatan aktif pelbagai pihak yang berkongsi aspirasi sama dalam memperkasa pendidikan masyarakat.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA (KRESMA), sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan PEKEMA terhadap aspek kebajikan dan pendidikan sebagai asas pembangunan masyarakat yang mampan.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan dengan kehadiran Anfaal  Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat program.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata penganjuran program itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dan Yayasan PEKEMA dalam melaksanakan inisiatif yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, bagi pelaksanaan sepanjang tahun 2026, PEKEMA menyasarkan seramai 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia untuk menerima manfaat melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan, yang akan disalurkan secara berperingkat mengikut zon dan lokasi terlibat.

“Menjelang sesi persekolahan baharu, masih ramai ibu bapa dan penjaga berdepan cabaran kewangan.

“Justeru sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu meringankan beban mereka.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa pendidikan merupakan aset terpenting dalam membina masa depan generasi muda dan negara,” katanya.

Mohamed Nazari berkata, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah turut menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan serta kesejahteraan sosial sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat yang berterusan.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Zahiri Zahid Sofian, menyifatkan kerjasama antara Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 MPS dan KRESMA sebagai bukti komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat sentiasa diberi keutamaan.

Katanya, usaha kolaboratif seperti ini membolehkan bantuan kebajikan dan sokongan pendidikan disalurkan secara lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan, khususnya pelajar, sekali gus menyokong pembangunan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Program Kembali ke Sekolah 2026 ini turut menerima sokongan padu daripada ahli-ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik, sekali gus membuktikan semangat kerjasama yang kukuh dalam memastikan kebajikan masyarakat dan akses kepada pendidikan terus diperkasakan.