29 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 31

Graduan perlu serba boleh, majikan kini utamakan kemahiran dan penguasaan bahasa

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG Keperluan majikan terhadap graduan masa kini semakin berubah sejajar dengan landskap pekerjaan yang kian mencabar dan kompetitif.

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama, sebaliknya graduan yang memiliki kemahiran praktikal, nilai profesional serta penguasaan pelbagai bahasa semakin mendapat perhatian dalam pasaran kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata majikan kini lebih cenderung memilih graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri, berfikiran praktikal dan mempunyai kebolehan komunikasi yang baik merentasi budaya serta bahasa.

“Perubahan ini menuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk menilai semula pendekatan pengajaran dan pembelajaran agar lebih selari dengan kehendak industri semasa.

“Penekanan tidak seharusnya terhad kepada penguasaan teori, sebaliknya perlu memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi dunia sebenar, khususnya melalui latihan industri dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Keputusan akademik yang cemerlang sahaja tidak lagi menjamin kebolehpasaran graduan. Walaupun memiliki ijazah kelas pertama, seseorang graduan masih boleh berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan sekiranya tidak mempunyai kemahiran tambahan, sikap profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Shatar menekankan kepentingan penerapan konsep 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing dan Learn by Listening sebagai asas kepada transformasi sistem pengajaran dan pembelajaran di IPT.

Pendekatan ini dilihat mampu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta memenuhi jangkaan majikan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Let’s Us Make UiTM Greater’ yang menghimpunkan pensyarah serta kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) secara fizikal dan dalam talian dari seluruh kampus universiti itu di negara ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.

Selain kemahiran teknikal, Mohammad Shatar turut menekankan penguasaan pelbagai bahasa asing kini menjadi antara kelebihan utama yang dicari majikan, khususnya dalam sektor antarabangsa dan syarikat multinasional.

Graduan yang mampu menguasai tiga hingga lima bahasa dilihat mempunyai kelebihan daya saing kerana berupaya berkomunikasi secara efektif merentas budaya dan pasaran global.

“Penguasaan bahasa asing bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya di peringkat antarabangsa serta dalam syarikat bertaraf global.

“Keupayaan ini juga mampu menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya.

Katanya, sekiranya usaha ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, beliau yakin ia mampu menyumbang secara signifikan kepada agenda nasional dalam memperkasakan sistem pendidikan tinggi, selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Lotus’s lancar kempen Tahun Baharu Cina 2026 ‘Semuanya Ekstra Ongsem’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) melancarkan kempen perayaan Tahun Baharu Cina 2026 bertemakan ‘Semuanya Ekstra Ongsem; 真好价,更HO SHE’, dengan matlamat menjadikan persiapan perayaan lebih mudah, mampu milik dan bebas tekanan untuk rakyat Malaysia.

Kempen ini diperkenalkan sempena sambutan Tahun Kuda Api dan mencerminkan komitmen berterusan Lotus’s dalam menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

Berteraskan konsep “Ekstra”, kempen ini menumpukan kepada pemberian nilai tambahan melalui harga yang berbaloi, keprihatinan terhadap keperluan pelanggan serta pendekatan pemikiran yang praktikal.

Ia bukan sekadar menawarkan diskaun, malah menyampaikan pengalaman membeli-belah perayaan yang menyeluruh merangkumi keperluan runcit harian, persiapan makan besar keluarga, ganjaran eksklusif serta pengalaman dalam stor yang imersif.

Pengarah Komersial Lotus’s Malaysia, Lee May Li, berkata kempen Tahun Baharu Cina tahun ini dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pengguna yang mahukan nilai tanpa mengorbankan kualiti.

“Lotus’s memberi perhatian khusus dalam menyusun rangkaian produk yang relevan, menawarkan ganjaran bermakna serta menganjurkan aktiviti menarik yang benar-benar menyokong cara rakyat Malaysia menyambut perayaan.

“Keseimbangan antara kualiti, harga dan kemampuan menjadi fokus utama kempen ini, bagi membantu pelanggan menjimatkan masa, mengurangkan tekanan dan menikmati musim perayaan dengan lebih tenang melalui konsep beli-belah sehenti,” katanya.

Sepanjang tempoh kempen dari 1 Januari hingga 25 Februari 2026, pelanggan boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus bagi lebih 1,500 barangan keperluan perayaan merangkumi barangan runcit, hasil segar, kecantikan dan kesihatan, kelengkapan rumah, fesyen serta peralatan elektrik.

Antara sorotan utama termasuk barangan perayaan eksklusif yang hanya ditawarkan di Lotus’s seperti Beras Jasmine Sun White Golden Lotus, Beras Royal Umbrella serta minuman Alienergy dan Chi Forest bersaiz khas 300 mililiter.

Bagi persiapan makan besar keluarga, Lotus’s turut menawarkan promosi menarik seperti beli satu percuma satu dan hadiah dengan pembelian bagi hasil segar premium termasuk udang XXL, abalon, timun laut serta bay scallops yang diperkenalkan buat pertama kali.

Di samping itu, jenama Lotus’s menyediakan promosi pakej berkembar untuk barangan asas popular seperti pasta, makanan dalam tin, produk sejuk beku dan detergen isi rumah.

Persiapan hadiah juga dipermudahkan menerusi tawaran hamper Tahun Baharu Cina daripada jenama dipercayai seperti Eu Yan Sang, Bio Green dan Hai-O dengan harga bermula dari RM98, selain kotak hadiah buah premium yang merangkumi epal Fuji, Harumi dan Mandarin Red Beauty.

Pelanggan turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan rumah, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, termasuk peralatan memasak, kelengkapan dapur serta keperluan pembersihan.

Dalam kategori fesyen, Lotus’s menawarkan diskaun pakaian Tahun Baharu Cina sehingga 50 peratus dengan T-shirt keluarga bermula dari RM15.95 dan pakaian tradisional bermula dari RM49.90, menjadikannya pilihan berbaloi untuk seisi keluarga.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan, Lotus’s memperkenalkan pengalaman membeli-belah imersif menerusi CNY World yang tersedia di 31 cawangan terpilih di seluruh negara.

Ruang khas ini menampilkan aktiviti interaktif, sesi merasa produk, demonstrasi memasak secara langsung serta permainan anjuran rakan jenama, sekali gus menghidupkan suasana perayaan di dalam stor.

Melalui penyertaan dalam pertandingan terpilih, pelanggan berpeluang memenangi hadiah bernilai keseluruhan RM700,000 termasuk BMW 2 Series Gran Coupé tajaan Coca-Cola, Proton e.MAS 7 Premium SUV tajaan Etika melalui jenama 7UP, JAECOO J7 SUV tajaan Procter & Gamble serta peralatan dapur Thermomix tajaan Nestlé.

Ahli My Lotus’s pula menikmati ganjaran eksklusif dengan jumlah keseluruhan RM888,888 sepanjang kempen ini.

Dengan perbelanjaan minimum RM128 bagi setiap resit dan penghantaran melalui Aplikasi Lotus’s Malaysia, ahli berpeluang memenangi ganjaran mingguan berupa wang tunai RM1,680 kepada sepuluh pemenang setiap minggu, selain hadiah utama bernilai RM16,800 kepada tiga pemenang bertuah.

Bagi memperluaskan penglibatan komuniti, Lotus’s turut menganjurkan pelbagai jerayawara dan kolaborasi di seluruh negara termasuk penampilan DJ MY FM di cawangan terpilih, jerayawara My Lotus’s di 15 lokasi serta kolaborasi eksklusif bersama KYO di enam cawangan terpilih.

Inisiatif ini memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah menarik seperti telefon pintar iPhone 17 Pro Max, jongkong emas, peralatan rambut Dyson dan ganjaran tunai.

Dalam masa sama, Lotus’s terus menyokong keperluan pembelian borong dan perniagaan dengan menyediakan Kaunter Perniagaan HoReCa di beberapa cawangan terpilih termasuk Puchong, Shah Alam, Jitra, Sungai Dua dan Desa Tebrau, selain bantuan melalui kaunter khidmat pelanggan di seluruh negara.

Kempen ini telah dilancarkan secara rasmi menerusi acara media imersif yang menampilkan rakan jenama utama Lotus’s seperti Maggi, Mondelez dan Coca-Cola.

Wakil media turut menyertai aktiviti perayaan secara langsung termasuk membuat ladu dan menggaul Yee Sang, sekali gus mempamerkan bagaimana Lotus’s memudahkan persiapan sambutan Tahun Baharu Cina yang makmur, praktikal dan mampu milik melalui pengalaman beli-belah sehenti.

Wanita menyamar pramugari Batik Air berjaya naiki pesawat Palembang–Jakarta

editormaxinfo@gmail.com

PALEMBANG – Seorang wanita berusia 23 tahun mencetuskan kekecohan selepas didapati menyamar sebagai pramugari dan berjaya menaiki penerbangan Batik Air dari Palembang ke Jakarta, dalam satu insiden yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan penerbangan.

Menurut laporan Kompas, penyamaran wanita berkenaan terbongkar apabila kru kabin Batik Air mengesyaki jawapan yang diberikan tidak selari dengan prosedur operasi standard (SOP) seorang pramugari sebenar ketika berada di dalam pesawat.

Wanita itu dikenali sebagai Khairun Nisa, atau lebih dikenali sebagai Nisya dan dipercayai berasal dari Palembang, Sumatera Selatan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa apabila Nisya dilihat mengenakan seragam pramugari Batik Air lengkap dengan kebaya putih, kain batik, gaya rambut sanggul serta membawa beg pakaian kru penerbangan.

Dia turut memiliki kad pengenalan palsu yang menyerupai kad rasmi syarikat penerbangan berkenaan.

Laporan turut menyebut bahawa Nisya berjaya melepasi pemeriksaan awal dengan menggunakan tiket sah sebagai penumpang biasa sebelum memasuki kawasan kabin.

Namun, interaksinya dengan kru sebenar menimbulkan kecurigaan apabila dia gagal memberikan jawapan meyakinkan berkaitan tugas-tugas asas pramugari.

Susulan itu, wanita berkenaan disoal siasat sebaik pesawat mendarat di Jakarta.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial memperlihatkan Nisya memakai pakaian pramugari serta membawa kad pengenalan palsu, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai aspek keselamatan dan kawalan akses di lapangan terbang.

Dalam satu kenyataan terbuka yang dimuat naik di media sosial, Nisya mengakui perbuatannya dan memohon maaf kepada pihak Batik Air serta masyarakat umum.

Dia turut mengesahkan bahawa dirinya menaiki penerbangan Batik Air bagi laluan Palembang-Jakarta dengan memakai pakaian dan kelengkapan pramugari, selain menjelaskan keluarganya tidak mengetahui mengenai penyamaran itu.

Motif sebenar tindakannya masih belum diperincikan, namun beberapa laporan mendakwa ia dilakukan atas faktor peribadi termasuk keinginan memenuhi impian sendiri serta menjaga maruah keluarga.

Setakat ini, pihak Batik Air belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Bagaimanapun, pakar keselamatan penerbangan dan pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kelonggaran kawalan keselamatan yang membolehkan individu tanpa kelayakan menyamar sebagai kru kabin dan menaiki pesawat.

Pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana wanita itu berjaya melepasi prosedur keselamatan, termasuk kemungkinan wujud unsur kecuaian daripada mana-mana pihak.

Insiden ini sekali lagi mengingatkan kepentingan pelaksanaan prosedur pengesahan identiti yang ketat dalam industri penerbangan demi menjamin keselamatan penumpang dan integriti profesion kru kabin. -Agensi

PSM umum agenda besar 2026, Malaysia tuan rumah Piala Dunia Sepaktakraw

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan beberapa perancangan utama bagi tahun 2026 termasuk penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa serta penambahbaikan program pembangunan atlet.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, PSM turut menilai prestasi sukan sepaktakraw sepanjang tahun 2025, yang menyaksikan pencapaian cemerlang pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

“PSM merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan atas kejayaan memenangi pingat emas dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2026 di Thailand, sekali gus mencatat sejarah baharu buat sukan itu.

“Kejayaan itu, disifatkan sebagai hasil komitmen tinggi pemain, barisan kejurulatihan serta sokongan padu peminat di seluruh negara,” katanya.

Bagi tahun 2026, PSM memaklumkan beberapa kejohanan utama akan dianjurkan termasuk Piala Emas Khir Johari, Piala Tun Ali, Sukan Asia 2026 dan Sepak Takraw League (STL) 2026.

Selain itu, Malaysia turut diberi mandat oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepaktakraw 2026 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dengan penyertaan 26 negara.

“Penganjuran Piala Dunia Sepaktakraw 2026 juga bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dijangka dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab sukan sepaktakraw di peringkat antarabangsa,” Abidullah lagi.

Dalam perkembangan sama, PSM merakamkan penghargaan kepada ISTAF atas pengiktirafan terhadap pemain negara, Mohd Syahir Rosdi, yang dinobatkan sebagai Pemain Tekong Terbaik Dunia, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.

PSM turut memaklumkan Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) akan ditambah baik pada tahun ini bagi memperluaskan pembangunan pemain lelaki dan wanita di seluruh negara, dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat pelapis di peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain itu, beberapa kursus serta bengkel kejurulatihan dan pengadilan akan dianjurkan sepanjang tahun 2026 bagi memberi peluang kepada individu yang berminat untuk menceburi bidang kejurulatihan dan pengadilan sukan sepaktakraw.

PSM berharap segala perancangan yang dirangka dapat terus memperkukuh pembangunan sukan sepaktakraw negara serta menyumbang kepada pencapaian yang lebih cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa.

Me’nate Steak Hub perkenal Iftar Mubarak Platter, sajian premium Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Sempena kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi, Me’nate Steak Hub, restoran daging premium terkemuka di Malaysia di bawah kendalian syarikat bumiputera Palace Butcher Resources Sdn. Bhd., sekali lagi meneruskan komitmennya dalam menawarkan pengalaman berbuka puasa yang eksklusif dan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Bermula 1 hingga 29 Ramadan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan, Me’nate Steak Hub di semua cawangan memperkenalkan hidangan istimewa Ramadan tahun ini yang dikenali sebagai Iftar Mubarak Platter.

Sajian ini mengetengahkan konsep “sharing platter” yang direka khas untuk dinikmati bersama keluarga, pasangan mahupun rakan-rakan, sekali gus menghidupkan suasana kebersamaan ketika berbuka puasa.

Iftar Mubarak Platter ditawarkan untuk minimum dua orang dan menampilkan gabungan Tomato Pilaf Rice bersama pilihan menu utama premium yang menjadi identiti Me’nate Steak Hub.

Antara hidangan istimewa yang disajikan termasuk BBQ Beef Ribs yang lembut dan berjus, Lamb Shank Tulang Merah yang kaya rasa, serta Harissa Chicken Drumstick dengan sentuhan rempah Timur Tengah.

Hidangan ini dilengkapkan dengan Arabic Vegetables Stew, campuran salad segar, BBQ sos, sos tulang merah, sambal korek dan sahawiq, menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih seimbang, mengenyangkan dan sarat dengan kepelbagaian cita rasa.

Menambah nilai kepada pakej ini, pelanggan yang menikmati Iftar Mubarak Platter secara dine-in turut diberikan akses tanpa had ke Semi Buffet Me’nate sepanjang tempoh promosi Ramadan.

Semi buffet ini menawarkan pelbagai pilihan kuih-muih tradisional, pencuci mulut, gorengan nasi, aneka juadah berasaskan mi, stesen masakan secara langsung untuk pasta, buah-buahan segar, kurma dan kekacang, serta pilihan salad dan pembuka selera yang menyelerakan.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmati sajian istimewa ini, Me’nate Steak Hub turut menawarkan Harga Promosi Early Bird dengan diskaun 15 peratus sehingga 31 Januari 2026.

Melalui promosi ini, harga bagi dewasa ditawarkan pada RM84.90 nett seorang berbanding harga asal RM99.90, manakala kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun ditawarkan pada RM42.40 nett seorang daripada harga asal RM49.90, dengan pembelian minimum untuk dua orang.

Selain pilihan dine-in, Me’nate Steak Hub turut menyediakan alternatif berbuka puasa melalui set Iftar Mubarak NateBox yang sesuai untuk empat hingga lima orang bagi pelanggan yang memilih perkhidmatan bawa pulang atau penghantaran ke rumah.

Set ini menampilkan menu yang sama seperti Iftar Mubarak Platter, kecuali akses ke semi buffet dan ditawarkan pada harga RM399.90 nett.

Bagi tempahan awal, jamuan korporat, majlis berbuka puasa berkumpulan atau pakej infaq, pelanggan boleh menghubungi Me’nate Steak Hub melalui talian telefon, WhatsApp, emel rasmi atau membuat tempahan secara dalam talian menerusi platform yang disediakan.

Tabayyun benteng utama masyarakat daripada maklumat palsu di era media sosial

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Amalan tabayyun atau menyemak kesahihan sesuatu maklumat perlu dijadikan benteng utama masyarakat bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial.

Sikap berhati-hati ini amat penting dalam era digital yang menyaksikan maklumat tersebar pantas tanpa sempadan masa dan jarak.

Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran media sosial sememangnya membawa banyak manfaat kerana memudahkan masyarakat memperoleh ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang.

Namun begitu, beliau menegaskan sifat platform digital yang terbuka menyebabkan tidak semua maklumat yang disebarkan melalui medium terbabit melalui proses penapisan yang sewajarnya.

Menurutnya, ketiadaan kawalan khusus dalam penyebaran maklumat menjadikan setiap berita yang diterima tidak boleh dianggap benar sepenuhnya tanpa semakan lanjut daripada sumber asal yang sahih.

Justeru, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menilai dan menapis setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.

“Setiap individu perlu mengamalkan tabayyun dengan merujuk kepada sumber yang berautoriti dan boleh dipercayai.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pembangunan diri, malah boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, pihak tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan untuk menyebarkan maklumat palsu demi kepentingan tertentu serta agenda tersembunyi.

Keadaan ini, katanya, semakin membimbangkan kerana kesan maklumat palsu pada masa kini lebih berbahaya berbanding masa lalu.

Dr. Mohammad Shatar berkata, penyebaran maklumat palsu mampu memesongkan pemikiran masyarakat tanpa memerlukan kekuatan fizikal, sekali gus menjadikannya satu bentuk penjajahan minda.

Fenomena ini digunakan untuk merosakkan persepsi awam, menjejaskan pembangunan sosial dan melemahkan nilai kepercayaan dalam masyarakat.

Beliau turut memberi amaran bahawa maklumat palsu bukan sahaja boleh memusnahkan kerjaya seseorang individu, malah berpotensi mengganggu kestabilan negara sekiranya tidak dibendung.

Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan tabayyun perlu diterapkan secara meluas agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan dan memesongkan.

“Setiap maklumat yang diperoleh perlu dinilai dari segi kebenaran serta manfaatnya terhadap pembangunan diri dan kesejahteraan negara.

“Sikap tabayyun bukan pilihan, tetapi satu keperluan dalam membina masyarakat yang berilmu, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

Sienna Spiro takluk Malaysia dengan ‘Die On This Hill’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu muda dari London, Sienna Spiro, terus mencuri tumpuan industri muzik global apabila single terbaharunya, Die On This Hill, mencetuskan fenomena luar biasa di Malaysia.

Dikenali dengan vokal soulful yang penuh emosi serta lirik yang jujur, Sienna kini semakin kukuh digelar sebagai “New Adele” Generasi Z oleh peminat di seluruh dunia.

Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Sienna Spiro membuktikan dirinya sebagai antara bakat paling menjanjikan dengan pelbagai pencapaian membanggakan.

Beliau telah dipilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain mendapat perhatian meluas menerusi EP sulungnya, Sink Now, Swim Later, yang dilancarkan pada awal 2025.

EP berkenaan menampilkan lagu seperti Origami, Back To Blonde dan Need Me, yang menerima sokongan awal daripada artis antarabangsa ternama termasuk SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Nama Sienna semakin melonjak selepas lagu hitnya, Maybe., mencatat lebih 125 juta penstriman global serta pernah menduduki carta viral Spotify di empat negara.

Kejayaannya turut diserlahkan menerusi penampilan sulung di rancangan televisyen terkenal The Late Show with Stephen Colbert, selain menyertai jelajah musim panas penyanyi multi-platinum Teddy Swims dan menjadi artis pembuka tirai kepada Sam Smith dalam residensi eksklusif To Be Free: New York City di Brooklyn.

Di Malaysia, kehadiran Sienna Spiro semakin dirasai menerusi Die On This Hill, single terbitan Capitol Records yang menerima sambutan luar biasa daripada peminat tempatan.

Lagu terbabit berjaya menembusi kedudukan ke-12 Spotify Top 50 Malaysia serta #41 Spotify Top 50 Global, sekali gus membuktikan daya tarikan Sienna bukan sahaja di peringkat antarabangsa, malah semakin kuat di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Populariti Die On This Hill turut disokong oleh gelombang kandungan kreatif di media sosial.

Video cover dan interpretasi lagu ini tular di Instagram dan TikTok, dikongsi oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz dan Julia Duclos, selain mendapat sokongan Key Opinion Leaders (KOL) termasuk Elica Paujin dan Cici.

Fenomena ini menjadikan Die On This Hill antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan Sienna dalam kalangan pendengar muda tempatan.

Impak lagu ini turut diperluaskan melalui perkongsian kreatif daripada selebriti tempatan seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle, yang masing-masing menampilkan interpretasi tersendiri terhadap lagu tersebut. Sokongan ini secara tidak langsung memperkenalkan karya Sienna Spiro kepada audiens yang lebih luas di Malaysia.

Dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2025, Die On This Hill merupakan susulan kepada single You Stole the Show yang sebelum ini menerima pujian daripada media antarabangsa seperti CLASH, yang menyifatkan Sienna sebagai “bona fide breakout talent”.

Dalam lagu terbaharu ini, artis berusia 20 tahun itu sekali lagi menyerlahkan keupayaannya menterjemahkan kisah patah hati ke dalam karya yang sarat dengan emosi mendalam.

Menurut Sienna, Die On This Hill mengisahkan tentang “cinta yang degil, cinta yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka sedar sepatutnya melepaskan”.

Lagu ini dihasilkan bersama barisan penerbit bertaraf dunia seperti Omer Fedi, Michael Pollack dan Blake Slatkin, serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah GRAMMY®, Rob Moose.

Gabungan produksi berkualiti tinggi dan vokal emosional menjadikan Die On This Hill sebagai bukti kematangan artistik Sienna Spiro.

Dengan sambutan hangat di Malaysia dan pencapaian global yang konsisten, Sienna kini semakin diiktiraf sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam landskap muzik antarabangsa hari ini.

Pembayaran digital sebagai infrastruktur pertumbuhan perniagaan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pembayaran digital kini tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai proses melengkapkan urus niaga, sebaliknya perlu difahami sebagai infrastruktur asas yang menyokong pertumbuhan, kelangsungan dan daya tahan perniagaan di Malaysia.

Perkara ini ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Paydibs, Tee Kean Kang, yang berpandangan bahawa bagi kebanyakan pemilik perniagaan tempatan, pertumbuhan bukanlah satu konsep abstrak, tetapi realiti harian yang bergantung kepada aliran tunai stabil dan keyakinan untuk meneruskan operasi setiap hari.

Menurut beliau, dalam landskap perniagaan sebenar, sistem pembayaran memainkan peranan kritikal yang sering dipandang ringan.

“Walaupun transaksi yang berjaya dianggap sebagai penamat proses, hakikatnya reka bentuk dan kecekapan sistem pembayaran mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan kewangan serta potensi pertumbuhan jangka panjang sesebuah perniagaan.

“Kelewatan penyelesaian pembayaran, kos transaksi yang terkumpul dan sistem yang rumit boleh menjejaskan margin keuntungan yang sedia tipis, sekali gus menggugat kelangsungan operasi harian,” katanya.

Seiring Malaysia memasuki fasa pelaksanaan yang lebih tegas melalui inisiatif nasional seperti MyDIGITAL dan Rancangan Malaysia Ke-13, Tee menekankan keperluan untuk menilai semula peranan pembayaran digital dalam ekosistem ekonomi negara.

“Pada peringkat dasar, transformasi digital sering dikaitkan dengan inovasi dan teknologi canggih, namun bagi pemilik perniagaan, kesannya dirasai melalui isu praktikal seperti akses kepada dana, kecekapan operasi dan kawalan kos.

“Apabila pendigitalan gagal menyelesaikan cabaran asas ini, ia tidak mencapai matlamat sebenar,” katanya.

Atas kesedaran itu, Paydibs mengambil pendekatan berbeza dengan melihat pembayaran sebagai aliran menyeluruh yang perlu dipermudahkan, bukan sekadar transaksi berasingan.

Melalui akses terus kepada rangkaian pembayaran nasional seperti FPX, Paydibs mengurangkan kebergantungan kepada perantara, mempercepatkan kitaran penyelesaian dan memberikan ketelusan lebih jelas kepada peniaga terhadap aliran tunai mereka.

Akses lebih pantas kepada hasil jualan bukan sahaja meningkatkan kecairan, malah penjimatan kos pemprosesan boleh dimanfaatkan semula untuk pelaburan perniagaan seperti pembelian peralatan, pengambilan pekerja atau sebagai perlindungan kewangan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dalam masa yang sama, skop pertumbuhan perniagaan kini melangkaui pasaran tempatan.

Perniagaan kecil dan sederhana semakin terdedah kepada pelanggan antarabangsa termasuk pelancong dan pembeli rentas sempadan.

Namun, kekangan kaedah pembayaran dan integrasi sistem sering menjadi halangan utama.

Melalui kerjasama strategik seperti Alipay+, Paydibs membolehkan peniaga tempatan menerima pembayaran daripada dompet digital antarabangsa tanpa menjejaskan operasi sedia ada.

Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan di kaunter bayaran, malah meningkatkan daya saing peniaga Malaysia di peringkat serantau.

Di peringkat tempat jualan, keutamaan pemilik perniagaan adalah jelas, iaitu kebolehpercayaan, ketelusan dan keselamatan.

Mereka mahukan sistem yang ringkas, tidak berpecah-pecah dan tidak meningkatkan risiko penipuan.

Penyelesaian pembayaran bersepadu yang selamat membantu mengurangkan kerumitan operasi harian serta mempercepatkan akses kepada dana.

Walaupun perubahan ini kelihatan kecil, kesannya amat besar bagi perniagaan yang beroperasi dengan margin ketat dan tekanan operasi yang berterusan.

Melangkah ke hadapan, Tee turut melihat potensi besar dalam penggunaan data transaksi secara bertanggungjawab bagi membuka akses kepada peluang pembiayaan yang lebih inklusif.

“Ramai perniagaan berdaya maju masih kurang mendapat sokongan kewangan kerana model pembiayaan tradisional tidak mencerminkan prestasi sebenar mereka.

“Dengan infrastruktur pembayaran yang betul, data transaksi boleh digunakan untuk menawarkan pembiayaan berdasarkan aktiviti perniagaan sebenar, sekali gus menyediakan laluan lebih telus dan adil kepada modal kerja,” katanya.

Kesimpulannya, kejayaan ekonomi digital Malaysia bergantung kepada sejauh mana infrastrukturnya mampu menyokong perniagaan di peringkat asas.

Sistem pembayaran adalah antara satu-satunya infrastruktur yang digunakan oleh semua perniagaan setiap hari.

Apabila direka dengan niat yang betul, pembayaran bukan sahaja menggerakkan wang, malah mengukuhkan daya tahan, menyokong pertumbuhan mampan dan memulihkan keyakinan pemilik perniagaan terhadap masa depan mereka.

Alpha IVF perkukuh kehadiran di Indonesia dengan pembukaan Klinik Satelit Medan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Alpha IVF Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia rawatan kesuburan terkemuka di rantau ini dengan pembukaan klinik satelit terbaharunya di Medan, Indonesia.

Langkah strategik ini menandakan bandar ketiga operasi kumpulan itu di negara berkenaan selepas Jakarta dan Surabaya, sekali gus memperluas lagi jaringan rujukan serantau Alpha IVF Group.

Pembukaan klinik satelit Medan adalah sebahagian daripada strategi pengembangan berperingkat kumpulan bagi memperluas pemerolehan pesakit serta memperkukuh aliran rujukan, khususnya dari wilayah Sumatera Utara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Pendekatan ini membolehkan Alpha IVF Group memperluas kehadiran pasaran secara tersusun tanpa memerlukan pelaburan modal yang besar.

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo, berkata kumpulan itu kini hampir melengkapkan pelan pelancaran klinik satelit di Indonesia dengan tiga klinik telah beroperasi dan perancangan sedang dijalankan untuk pembukaan klinik keempat.

Menurut beliau, setiap klinik satelit ditempatkan secara strategik bagi berfungsi sebagai pintu masuk serantau untuk mengukuhkan penglibatan pesakit serta mengoptimumkan rujukan ke pusat rawatan IVF teras kumpulan.

“Model perniagaan klinik satelit yang diamalkan membolehkan Alpha IVF Group berkembang secara berdisiplin sambil mengekalkan konsistensi klinikal, di samping menyokong pertumbuhan pendapatan yang mampan dalam jangka sederhana.

“Model ini juga membolehkan kumpulan mengesan permintaan awal pasaran serta memperkukuh hubungan dengan pesakit dan komuniti perubatan tempatan,” katanya.

Sejak memasuki pasaran Indonesia, Alpha IVF Group telah melaksanakan pengembangan yang cekap dan terancang, dengan Jakarta berfungsi sebagai ibu pejabat operasi sejak Mei 2025, diikuti Surabaya yang mula beroperasi pada Ogos 2025.

Dengan penambahan Medan, kumpulan itu kini memiliki rangkaian rujukan pelbagai bandar yang lebih luas, sekali gus meningkatkan keterlihatan pesakit dan potensi penukaran kepada rawatan IVF.

Klinik satelit Medan akan diterajui oleh Dr Djamin Kartarino, seorang pakar obstetrik dan ginekologi tempatan yang berpengalaman serta mempunyai reputasi kukuh dalam bidang rawatan kesuburan.

Kepimpinannya dijangka menyokong penembusan pasaran, memperkukuh rujukan doktor serta meningkatkan tahap kepercayaan pesakit, yang juga faktor penting dalam membuat keputusan rawatan kesuburan.

Secara geografinya, Medan berada pada kedudukan strategik untuk menarik pesakit dari Sumatera Utara serta wilayah berhampiran seperti Aceh dan Riau.

Kedekatannya dengan Pulau Pinang turut menyokong aliran pesakit rentas sempadan ke Genesis IVF, pusat rawatan IVF teras Alpha IVF Group di Pulau Pinang.

Pada tahun kewangan 2025, prosedur pengambilan ovum atau oocyte pick-ups (OPU) dari Indonesia menyumbang kira-kira 71.4 peratus daripada jumlah keseluruhan OPU di Genesis IVF, sekali gus menekankan kepentingan strategik pasaran Indonesia kepada prestasi dan pertumbuhan kumpulan.

Sebagai pusat hadapan, klinik satelit Medan akan menyediakan perkhidmatan rundingan awal kesuburan, penilaian diagnostik, pendidikan pesakit serta sokongan rujukan.

Pesakit yang memerlukan rawatan pembiakan berbantu lanjutan akan dirujuk ke pusat IVF Alpha IVF Group di Malaysia, selaras dengan pendekatan bersepadu kumpulan dalam mengekalkan standard klinikal dan operasi yang tinggi.

Melalui strategi pengembangan ini, Alpha IVF Group terus memperluas jangkauan serantaunya, mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kebolehskalaan jangka panjang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam rawatan kesuburan di rantau Asia Tenggara.