editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif menyumbang kepada pembangunan ummah apabila menjadi antara 27 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu disifatkan sebagai kerjasama berskala terbesar pernah dilaksanakan oleh YADIM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan serta institusi akademik dalam memperkasa agenda dakwah negara secara lebih menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi.
UPSI diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, yang menyatakan kesediaan universiti berkenaan untuk memanfaatkan kepakaran akademik sedia ada dalam memperkukuh disiplin dakwah Islamiyah serta memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurut beliau, kerjasama ini meliputi pelbagai bidang utama termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan ilmiah, penganjuran persidangan, seminar dan bengkel, selain program pertukaran serta mobiliti pelajar dan kakitangan akademik.

Beliau berkata, UPSI melihat pemeteraian MoU ini sebagai satu platform penting dalam membangunkan modal insan mahasiswa secara holistik.
Penekanan akan diberikan kepada latihan industri, program mobiliti dan penglibatan aktif pelajar dalam agenda dakwah yang berteraskan ilmu, nilai kemasyarakatan serta keperluan semasa masyarakat.
Dalam pada itu, UPSI turut memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan pendidikan bahasa Arab, selaras dengan kekuatan akademik universiti itu menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Katanya, penglibatan pelajar Program Bahasa Arab UPSI sebagai Rakan Siswa YADIM dan Daie Muda YADIM sejak tahun 2023, telah membuktikan keberkesanan kerjasama sedia ada dan wajar diperkasakan ke tahap yang lebih tinggi.

“Melalui MoU ini, UPSI bersedia memperluas kerjasama penyelidikan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab, terjemahan bahasa Melayu-Arab-Inggeris serta bahasa asing lain, komunikasi dan bidang berkaitan yang berpotensi memberi impak signifikan kepada kedua-dua institusi dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerjasama strategik antara YADIM dan 27 institusi pengajian tinggi itu merangkumi pelbagai bidang penting termasuk penyediaan modul, penerbitan, penulisan serta penglibatan kepakaran akademik bagi menyokong gerak kerja dakwah secara lebih sistematik dan berkesan.

Menurut beliau, kepakaran yang terdapat di universiti perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan agenda dakwah negara berasaskan ilmu pengetahuan, selari dengan keperluan semasa dan mampu memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat.
Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, sekali gus menandakan sokongan padu kerajaan terhadap usaha memperkasa dakwah melalui pendekatan akademik dan penyelidikan.

