editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Padang Terap menyelar keras kenyataan yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, yang disifatkan bernada sinis dan tidak sensitif berhubung isu penahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jasnizam Husni berkata, kenyataan itu dianggap tidak wajar dan mencerminkan kegagalan menghormati proses keadilan serta sensitiviti masyarakat Malaysia.
Menurutnya, ungkapan berbentuk ejekan seperti “Another reason to celebrate this year end” jelas memperlihatkan sikap angkuh dan tidak berperikemanusiaan.
“Isu berkaitan proses undang-undang tidak sepatutnya dijadikan bahan perayaan politik, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak menyumbang jasa kepada pembangunan negara.
“Sebagai seorang wakil rakyat, Yeo Bee Yin seharusnya mempamerkan kematangan, empati dan tanggungjawab moral dalam setiap kenyataan awam.
“Tindakan mempersendakan proses keadilan bukan sahaja mencerminkan keperibadian yang cetek, malah dilihat selari dengan pendekatan politik kebencian dan dendam yang terus dimainkan oleh DAP terhadap pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu juga menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Jasnizam berkata, Barisan Nasional tidak seharusnya diperlakukan seolah-olah tidak mempunyai maruah, hanya diperlukan apabila menguntungkan pihak tertentu, namun dihina secara terbuka oleh pemimpin parti rakan dalam kerajaan.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Padang Terap berpandangan Barisan Nasional perlu menilai semula kedudukan dan peranannya dalam Kerajaan Perpaduan.
Sekiranya sikap angkuh, penghinaan terbuka serta kegagalan menjaga sensitiviti terus berulang, Barisan Nasional tidak sewajarnya kekal dalam sebuah kerajaan yang gagal menghormati semangat setiakawan dan prinsip keadilan.
Tegasnya, Barisan Nasional mesti berani membuat Keputusan demi mempertahankan maruah parti serta amanah yang diberikan oleh penyokong di peringkat akar umbi.
“Adalah lebih bermaruah untuk Barisan Nasional berdiri berlandaskan prinsip dan suara rakyat daripada terus bersama dalam kerajaan yang membiarkan budaya mengejek, memperlekeh dan memecah-belahkan masyarakat berleluasa,” katanya.

