27.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 11, 2026
Home Blog Page 129

SKMM sekat 3.1 Bilion panggilan penipuan sepanjang 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha menangani isu penipuan atau ‘scam’ yang semakin meruncing di negara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat lebih daripada 3.1 bilion panggilan yang disyaki berunsur penipuan sehingga Disember 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, tindakan ini diambil selepas negara mengalami kerugian sebanyak RM53.34 bilion pada tahun lalu akibat penipuan (scam), yang menyumbang sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan State of Scam 2024.

SKMM turut menerima hampir 12,000 aduan berkaitan scam sejak memulakan kerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022.

Fahmi berkata, usaha ini bukan sahaja menyasarkan penipuan telefon, tetapi turut membabitkan langkah proaktif untuk melindungi masyarakat daripada pelbagai bentuk ancaman siber.

“Selain itu, dalam usaha membendung jenayah seksual kanak-kanak secara dalam talian, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini telah melaksanakan operasi besar-besaran ‘Ops Pedo Bersepadu’.

“Operasi ini menyaksikan penahanan 13 individu di enam negeri dan rampasan hampir 40,000 bahan yang berkaitan dengan penyalahgunaan seksual kanak-kanak dalam talian (CSAM) serta pornografi dewasa,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025.

Fahmi turut menekankan betapa pentingnya langkah-langkah keselamatan dalam talian dan pendidikan pengguna untuk melindungi diri mereka daripada ancaman siber yang semakin berkembang.

“Pendidikan pengguna adalah langkah utama untuk melindungi diri dalam dunia digital yang semakin kompleks ini.

“Selain itu, kerjasama dengan industri teknologi juga amat penting bagi memastikan amalan etika dan ketelusan terus ditegakkan.

“Kerajaan komited untuk memperkukuhkan perlindungan data peribadi dengan peraturan yang lebih ketat demi membina kepercayaan di kalangan pengguna dan penyedia teknologi,” katanya.

Berkongsi mengenai IRC 2025, Fahmi menjelaskan persidangan kali kedua ini bertujuan mengeratkan hubungan dan kerjasama antara badan kawal selia negara ASEAN.

Tema bagi persidangan kali ini, Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era, diharap dapat menghasilkan kemajuan dalam merangka dasar dan kerangka kawal selia yang lebih mampan di masa hadapan.

“Walaupun cabaran yang dihadapi oleh negara-negara serantau hampir serupa, setiap negara mempunyai rangka kawal selia yang berbeza.

“Oleh itu, perbincangan dalam IRC 2025 amat penting untuk menyusun kerangka peraturan yang dapat menangani isu scam, telekomunikasi, dan media sosial secara berkesan,” katanya.

Jadi mangsa keganasan, suami Zahnita dakwa diri di ‘Muay Thai’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah lama mendiamkan diri, suami kepada model dan pelakon, Zahnita Wilson, iaitu Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, akhirnya tampil membuat pengakuan mengejutkan.

Abdul Zackery, 47, mendakwa dirinya adalah mangsa keganasan oleh Zahnita yang selama ini dikenali dengan personaliti aktif dan dinamik.

Memetik laporan mStar, dia dengan tegas menafikan dakwaan yang menyatakan dia bersikap kasar atau memukul Zahnita.

Sebaliknya, dia terpaksa bertindak mempertahankan diri akibat serangan fizikal dan agresif dari isterinya.

Abdul Zackery berkata, sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka, Zahnita sering kali meminta cerai, yang membuatkan beliau tertekan.

“Isu keganasan ini sudah lama menjadi bualan. Sebenarnya, dialah yang sering bertindak ganas. Dia pernah belajar Muay Thai dan cuba ‘Muay Thaikan’ saya.

“Tindakan saya mempertahankan diri adalah disebabkan oleh sifat agresif Zahnita yang berubah selepas dia mempelajari Muay Thai.

“Sebagai manusia, apabila diserang, kita harus bertindak untuk mempertahankan diri. Jika seorang wanita bertindak seperti lelaki, apa yang lelaki patut buat?,” katanya.

Abdul Zackery berkata, semua ini bermula dan tercetus pergaduhan pada November lalu apabila Zahnita membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah tanpa memberitahu dirinya terlebih dahulu.

Rumah berkenaan dikatakan disewa untuk tujuan perniagaan makanan yang dijalankan sejak awal tahun 2024.

Lelaki itu mengakui rasa kecewa apabila Zahnita lebih menumpukan perhatian kepada perniagaannya berbanding kebajikan anak-anak mereka.

“Saya hanya tahu tentang rumah sewa itu selepas bertanya kepadanya dan dia melenting serta terus marah.

“Dia mahu fokus kepada bisnes dan tidak boleh tinggal bersama saya kerana dakwaannya saya sering memukulnya,” katanya.

Beliau berharap agar Zahnita lebih memberi perhatian kepada keluarga, terutama anak bongsu mereka, Abd Zayden Ghouse yang berusia empat tahun dan menghidap autisme.

Untuk info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 dan dikurniakan empat orang anak, Zahrafeena (18), Zasharayna (13), Zahlia (8), dan Abd Zayden (4).

Tamatkan 2024 dengan prestasi cemerlang, Proton catat Jualan 152,352 unit kenderaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd menutup tirai tahun 2024 dengan pencapaian yang luar biasa, selepas berjaya menjual 152,352 unit kenderaan (domestik dan eksport) satu pencapaian tinggi yang menempatkan pengeluar kereta nasional ini di tempat kedua dalam carta jualan keseluruhan.

Pada bulan Disember, Proton mencatatkan jualan sebanyak 14,601 unit, mewakili peningkatan 19.7 peratus berbanding bulan sebelumnya dan menjadi jualan kedua tertinggi untuk tahun 2024.

Ini adalah bukti kekuatan jenama Proton yang berjaya mengharungi persaingan sengit sepanjang tahun, terutama dengan kemunculan pengeluar baru dan model-model yang bersaing dalam segmen yang sama.

Proton Saga Terus Mendominasi
Model Proton Saga terus menjadi pilihan utama pengguna, mencatatkan jualan sebanyak 72,769 unit pada tahun 2024, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun 2023.

Model sedan segmen C, Proton S70, juga mencatatkan kejayaan dengan 19,182 unit terjual pada tahun penuh pertama pengeluarannya, menjadikannya sedan segmen C yang paling popular di negara ini.

SUV Proton Terserlah Dalam Pasaran
SUV Proton turut mencatatkan prestasi menggalakkan dengan model Proton X50 dan Proton X70 menunjukkan prestasi cemerlang.

Proton X50, misalnya, menerima tempahan sebanyak 8,000 unit, sekali gus menegaskan daya tarikannya dalam pasaran SUV yang sangat kompetitif.

Model Proton X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 8,992 unit pada tahun 2024, dengan jualan Disember melonjak 36.7 peratus berbanding bulan sebelumnya, berkat promosi hujung tahun yang menarik minat ramai pembeli.

Proton X90 Terima Sambutan Hangat
Model utama dalam rangkaian Proton, Proton X90, juga mencatatkan pencapaian yang membanggakan, melengkapkan tahun pertama jualannya dengan 3,553 unit terjual, menjadikannya peneraju dalam segmen SUV D.

Masa Depan Cerah Menanti Proton
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata, mereka akan terus memperkukuhkan kedudukan Proton Saga sebagai pilihan utama pelanggan, sementara kejayaan Proton X50 dan Proton X70 membuktikan minat yang tinggi terhadap SUV premium mereka.

“Pencapaian cemerlang dalam eksport adalah antara sorotan penting tahun 2024, dengan Proton kekal sebagai peneraju eksport automotif dari Malaysia.

“Dengan bermulanya operasi CKD di Mesir dan rencana untuk mengeksport model baharu ke pasaran lain, Proton yakin dapat mempercepatkan pertumbuhan eksport pada tahun-tahun akan datang.

“Dengan segala pencapaian dan kemajuan yang dicatatkan pada 2024, Proton bersedia untuk terus berinovasi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri automotif negara,” katanya.

Pulau Pinang tersenarai antara 7 lokasi terbaik di Asia Tenggara oleh Lonely Planet

editormaxinfo@gmail.com

GEORGE TOWN – Pulau Pinang telah tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh lokasi terbaik yang harus dilawati di Asia Tenggara menurut penarafan terbaru oleh Lonely Planet.

Sebuah penerbit buku panduan perjalanan yang telah mengeluarkan lebih daripada 150 juta naskah sejak penubuhannya di Australia pada 1973, Lonely Planet memilih Pulau Pinang sebagai destinasi utama untuk pengembara.

Selain Pulau Pinang, Lonely Planet juga menyenaraikan beberapa destinasi menarik lain seperti Taman Negara Khao Sok di Thailand, Cao Bang di Vietnam, Siargao di Filipina, Luang Prabang di Laos, Amed di Bali, dan Gili Air di Indonesia.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata, Pulau Pinang mendapat pengiktirafan ini disebabkan kekayaan sejarah dan budaya yang dimiliki pulau berkenaan.

Menurutnya, Lonely Planet menggambarkan Pulau Pinang sebagai destinasi yang meriah dengan pengaruh budaya Melayu, Cina, dan India yang jelas dapat dilihat pada masakan, seni bina, dan tradisi tempatan.

George Town: Sebuah Bandar Bersejarah yang Menawan

Sebagai ibu kota pulau tropika ini, George Town diiktiraf kerana kemampuannya mengubah warisan budaya menjadi daya tarikan pelancongan tanpa mengorbankan keasliannya.

Di dalam bandar kecil ini, pengunjung dapat menikmati pengalaman yang unik seperti melawat rumah klan Cina, masjid, kuil Hindu, dan bangunan kolonial British yang penuh sejarah.

Pulau Pinang Menerajui Pelancongan Perubatan di Malaysia

Tidak hanya diiktiraf dalam sektor pelancongan umum, Pulau Pinang juga terkenal di peringkat antarabangsa sebagai destinasi utama pelancongan perubatan.

Hon Wai menjelaskan bahawa Pulau Pinang telah lama menjadi peneraju dalam sektor ini, dengan prestasi yang amat memberangsangkan.

Pada enam bulan pertama 2024, industri pelancongan perubatan negara mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.15 bilion, dengan Pulau Pinang mendominasi pasaran sebanyak 45 peratus.

Pada 2023, hospital-hospital di bawah Penang Medical Tourism Centre menerima lebih 406,000 pelancong perubatan antarabangsa, menjana pendapatan sebanyak RM831.94 juta.

Angka ini menunjukkan peningkatan yang luar biasa sebanyak 109.2 peratus berbanding tahun 2022.

Inisiatif Kerjasama Strategik Meningkatkan Sektor Pelancongan Perubatan

Dengan kerjasama strategik bersama UnionPay International, Pulau Pinang dijangka akan terus mempertingkatkan perkhidmatan dalam sektor pelancongan perubatan.

“Kelebihan Pulau Pinang dalam pelancongan perubatan sangat jelas, dan kami berharap akan terus memperbaiki lagi perkhidmatan untuk menarik lebih ramai pelancong perubatan antarabangsa,” kata Hon Wai.

Pengiktirafan yang diterima oleh Pulau Pinang ini menunjukkan bukan sahaja kekayaan budaya dan sejarahnya, tetapi juga pencapaian cemerlang dalam sektor pelancongan perubatan, meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi yang semakin dikenali di mata dunia.

Ultifresh, pakaian yang mampan untuk alam sekitar dan mesra poket

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri pakaian global terkenal dengan sumbangannya yang besar terhadap pencemaran air dan pelepasan karbon yang tinggi, dengan penggunaan air yang mencecah hingga 93 bilion meter padu setiap tahun.

Melaksanakan amalan lestari dalam industri pakaian adalah sangat penting untuk mengurangkan jejak alam sekitar dan memelihara sumber semula jadi, satu misi yang boleh diterima oleh syarikat-syarikat penyedia pakaian untuk pekerja mereka.

Dengan ini, Ultifresh ditubuhkan dengan matlamat untuk bukan hanya menyediakan penyelesaian lestari dalam pengeluaran pakaian, tetapi juga untuk setiap individu dan syarikat, tidak kira industri atau gaya hidup mereka.

Dengan purata penjualan 10,000 t-shirt setiap hari, teknologi Ultifresh yang disahkan SGS dan Intertek (anti-bau dan antibakteria) menghapuskan 99.94 peratus bakteria penyebab bau apabila bersentuhan, memastikan pakaian yang bersih dan segar untuk semua.

Fabrik ini menghalang pertumbuhan mikrob, membolehkan pakaian dipakai lebih lama tanpa perlu dicuci, yang seterusnya mengurangkan penggunaan air dan memanjangkan jangka hayat pakaian terbabit.

Selain itu, pengeluaran kilang Ultifresh yang disahkan ISO 9001:2015 menggunakan bahan mesra alam dan proses pembuatan yang menjimatkan 3-4 liter air dan 82.5g pelepasan CO2 setiap kali t-shirt Ultifresh dipakai semula sebelum dicuci.

Dengan menggunakan pendekatan ini, Ultifresh telah mengubah cara penjagaan pakaian, membolehkan pakaian dipakai lebih banyak kali tanpa perlu dicuci dengan kerap.

Kaedah ini secara signifikan mengurangkan penggunaan air dan pelepasan karbon sambil mempromosikan gaya hidup mesra alam.

Menggunakan pakaian seragam mesra alam dan amalan lestari membolehkan perniagaan mencapai matlamat ESG mereka, mengurangkan penggunaan tenaga, dan meminimumkan pembaziran.

Dengan lebih satu dekad pengalaman dalam industri pakaian, pengasas bersama Frank Yap, bersama Gerald Eng, melancarkan Ultifresh pada tahun 2018.

Melalui penyelidikan mereka, mereka mendapati bahawa mengurangkan keperluan untuk menggantikan seragam dengan kerap boleh mengurangkan pembaziran air sebanyak 986 liter setahun dan menurunkan pelepasan karbon sebanyak 21.4 kilogram setiap tahun.

“Kami komited untuk mencipta pakaian yang selesa dan mesra alam.

“Misi kami adalah untuk merombak seragam dan pakaian promosi dengan menggabungkan teknologi inovatif dengan amalan lestari. Tawaran eksklusif ini adalah jemputan kami untuk bekerjasama dan memberi impak positif bersama-sama,” kata Pengasas Bersama Ultifresh, Frank Yap.

Terkenal dengan komitmennya terhadap kelestarian, Ultifresh telah memutuskan untuk menurunkan keuntungan mereka kepada hanya SGD$0.10 (RM$0.30) setiap T-shirt eksklusif untuk pengedar mereka bagi siri terlaris, Ultifresh Performance, agar kelestarian dapat diakses dan berpatutan untuk semua.

Sehingga kini, mereka telah berjaya melayani pelbagai pelanggan dari pelbagai industri, termasuk gergasi automotif seperti Honda dan Audi, peneraju teknologi seperti Samsung, Intel, dan Meta, serta jenama-jenama terkenal seperti Maggi, Swatch, dan Kumpulan Ambank.

Memimpin perubahan dalam pakaian lestari, Ultifresh menawarkan penyelesaian inovatif yang membantu mengurangkan kesan alam sekitar korporat.

Dalam pasaran masa kini, kesedaran alam sekitar adalah penting bagi pengguna dan perniagaan.

Mengintegrasikan amalan lestari ke dalam operasi harian bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan dan keuntungan tetapi juga memberi manfaat kepada alam sekitar.

Bagi banyak perniagaan, perjalanan menuju kelestarian mungkin bermula dengan seragam mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ultifresh dan promosi terkini, lawati laman web mereka di https://www.ultifresh.net/, atau hubungi pasukan mereka di hello@ultifresh.net.

Telegram terima lesen penyedia media sosial, X dan Meta bakal menyusul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Permohonan Telegram untuk mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet telah diluluskan pada Khamis lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan permohonan Meta, yang mengendalikan platform Facebook, Instagram, dan WhatsApp, dijangka akan diluluskan dalam masa terdekat.

“Telegram, TikTok, dan WeChat sudah pun diluluskan. Untuk Meta, ada beberapa dokumen yang masih perlu dihantar, namun kami jangka ia akan selesai dalam waktu terdekat,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media sempena Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan Kerajaan Melaka.

Pada Ogos lalu, MCMC mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, WeChat dan TikTok (ByteDance) telah berjaya memperoleh lesen mereka, sementara Telegram kini berada di peringkat akhir dalam proses pelesenan dan dijangka menerima lesen dalam masa terdekat.

Sementara itu, Fahmi turut menjelaskan mengenai kenyataan X yang sebelum ini mengumumkan bahawa platform terbabit tidak akan memohon lesen kerana jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai ambang lapan juta pengguna.

Beliau menyatakan bahawa proses pengesahan jumlah pengguna X akan mengambil sedikit masa dan telah mengarahkan MCMC untuk menguruskan perkara ini.

“Bagi X, pengesahan jumlah penggunanya akan memakan masa dan saya serahkan perkara ini kepada MCMC untuk berbincang dan menyelesaikannya,” katanya.

Fahmi turut memberi perhatian kepada isu yang membabitkan Google, dengan mengarahkan MCMC untuk meneruskan libat urus bersama pihak berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan boleh diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, contohnya berkaitan dengan kandungan scam, deepfake, dan video perjudian dalam talian yang beredar di platform YouTube.

“Walaupun masih dalam perbincangan, tindakan akan diambil jika MCMC mendapati berlakunya pelanggaran undang-undang. Kami akan beri sedikit masa lagi untuk Google,” katanya.

Dengan langkah ini, kerajaan berusaha memastikan bahawa platform digital di Malaysia mematuhi undang-undang tempatan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Zii Jia terpaksa berehat lagi, terlepas Terbuka India dan Masters Indonesia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah Terbuka Malaysia, pemain perseorangan lelaki nombor enam dunia, Lee Zii Jia, terpaksa melupakan dua kejohanan besar lagi pada bulan ini, iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia.

Ini kerana beliau masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Team LZJ, ia mengesahkan bahawa Zii Jia terpaksa menangguhkan penampilan sulungnya bagi musim 2025.

“Zii Jia masih dalam pemulihan kecederaan dan akan terlepas dua kejohanan penting, Terbuka India dan Masters Indonesia pada Januari ini,” kata kenyataan itu.

Team LZJ turut memaklumkan bahawa pakar perubatan akan terus memantau keadaan Zii Jia dengan teliti untuk memastikan dia bersedia sepenuhnya untuk kejohanan seterusnya.

Sebelum ini, Zii Jia mengumumkan penarikan dirinya dari Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.

Beliau juga terpaksa mengundurkan diri ketika perlawanan set kedua menentang pemain China, Li Shi Feng, dalam aksi Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF.

Ketika itu, Zii Jia mendahului 13-4 dalam set kedua selepas memenangi set pertama 22-20, namun kecederaan buku lali kanan memaksanya menarik diri pada kedudukan 15-11. Keputusan ini menyebabkan penyertaannya di kejohanan berkenaan dibatalkan mengikut peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia kini memfokuskan kepada pemulihan penuh untuk kembali beraksi di kejohanan akan datang.

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tarik pelaburan dengan kerjasama dua negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) hari ini dianggap sebagai langkah berani dan inovatif dalam kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini bertujuan untuk menarik pelaburan secara lebih berkesan melalui usaha bersama kedua-dua negara yang berfokus kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas. 

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Anwar berkata bahawa kedua-dua negara memiliki kestabilan politik yang kukuh dan dasar ekonomi yang menyokong pertumbuhan pelaburan yang mampan.

“Kedua-dua kerajaan bersikap selektif untuk memastikan pelaburan yang diterima adalah selaras dengan keperluan dan keutamaan jangka panjang.

“Inisiatif JS-SEZ adalah bukti bahawa kerjasama ini menawarkan insentif yang besar kepada perniagaan untuk memperluas operasi mereka,” katanya.

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilancarkan pada hari ini mempunyai sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 100 projek dalam tempoh 10 tahun akan datang.

JS-SEZ ini meliputi kawasan pembangunan utama seperti Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex, dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Dengan skop pembangunan yang membabitkan kawasan-kawasan strategik seperti Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak, JS-SEZ dijangka akan menjadi hab ekonomi penting bagi kedua-dua negara.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian berkaitan dengan JS-SEZ antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong.

Dalam pada itu, Lawrence Wong berkata, inisiatif ini memberi mesej jelas kepada pelabur untuk melihat kelebihan dan potensi yang ditawarkan oleh kedua-dua negara, sekaligus meningkatkan daya saing dan memberi peluang perniagaan yang lebih menarik.

“Di Singapura, kami sudah berhubung dengan banyak perniagaan yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka di Johor.

“Kami juga mempunyai pelbagai insentif dan program yang dapat membantu perniagaan Singapura berkembang lebih jauh di luar negara, terutamanya di Johor,” katanya.

Sebagai tambahan, enam memorandum persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani dalam majlis ini, membabitkan bidang-bidang seperti perubahan iklim dan penyimpanan karbon, pendidikan, kebajikan sosial, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Wong dan delegasi beliau tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, yang turut memberi peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

U Mobile perkasa transformasi digital FELDA dengan penyelesaian ketersambungan termaju

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – U Mobile kini bekerjasama secara strategik dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk memacu transformasi digital FELDA, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan ketersambungan di seluruh pejabat dan cawangan FELDA di seluruh Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, U Mobile memaklumkan bahawa mereka akan melaksanakan penyelesaian ketersambungan gred perusahaan bagi menggantikan sistem komunikasi lama yang menggunakan talian tetap fizikal.

Penyelesaian baru ini, yang dikenali sebagai sistem penumpuan, akan meningkatkan mobiliti, kecekapan, dan memperbaiki perkhidmatan pelanggan.

“Platform komunikasi tradisional akan dinaik taraf untuk memberi lebih fleksibiliti dan kemudahan,” kata U Mobile.

Dengan teknologi baharu ini, pekerja FELDA di seluruh negara akan dapat mengakses panggilan suara dan data menggunakan tiga peranti berbeza, semuanya menggunakan satu nombor telefon.

Ini membolehkan pekerja bergerak lebih bebas dan efektif dalam menjalankan tugas mereka.

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson berkata, perjanjian ini membuka jalan bagi kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.

“FELDA adalah syarikat kerajaan pertama yang menjadi pelanggan perniagaan perusahaan kami, dan kami sangat berbangga untuk berkhidmat kepada mereka.

“Kerjasama ini juga membuka peluang besar untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” kata Tomkinson.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik FELDA, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin berkata, beliau yakin terhadap U Mobile sebagai rakan strategik utama dalam mempercepatkan proses transformasi digital FELDA.

“Kami yakin U Mobile akan membantu kami dalam perjalanan digitalisasi ini dengan kepakaran teknikal mereka yang luar biasa,” katanya.

Kerjasama ini membuktikan komitmen bersama U Mobile dan FELDA untuk memperkukuh ekosistem digital dan meningkatkan kecekapan operasi, sekaligus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti FELDA di seluruh negara.