editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) hari ini dianggap sebagai langkah berani dan inovatif dalam kerjasama antara Malaysia dan Singapura.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini bertujuan untuk menarik pelaburan secara lebih berkesan melalui usaha bersama kedua-dua negara yang berfokus kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.
Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Anwar berkata bahawa kedua-dua negara memiliki kestabilan politik yang kukuh dan dasar ekonomi yang menyokong pertumbuhan pelaburan yang mampan.
“Kedua-dua kerajaan bersikap selektif untuk memastikan pelaburan yang diterima adalah selaras dengan keperluan dan keutamaan jangka panjang.
“Inisiatif JS-SEZ adalah bukti bahawa kerjasama ini menawarkan insentif yang besar kepada perniagaan untuk memperluas operasi mereka,” katanya.
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilancarkan pada hari ini mempunyai sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 100 projek dalam tempoh 10 tahun akan datang.
JS-SEZ ini meliputi kawasan pembangunan utama seperti Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex, dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Dengan skop pembangunan yang membabitkan kawasan-kawasan strategik seperti Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak, JS-SEZ dijangka akan menjadi hab ekonomi penting bagi kedua-dua negara.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian berkaitan dengan JS-SEZ antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong.

Dalam pada itu, Lawrence Wong berkata, inisiatif ini memberi mesej jelas kepada pelabur untuk melihat kelebihan dan potensi yang ditawarkan oleh kedua-dua negara, sekaligus meningkatkan daya saing dan memberi peluang perniagaan yang lebih menarik.
“Di Singapura, kami sudah berhubung dengan banyak perniagaan yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka di Johor.
“Kami juga mempunyai pelbagai insentif dan program yang dapat membantu perniagaan Singapura berkembang lebih jauh di luar negara, terutamanya di Johor,” katanya.
Sebagai tambahan, enam memorandum persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani dalam majlis ini, membabitkan bidang-bidang seperti perubahan iklim dan penyimpanan karbon, pendidikan, kebajikan sosial, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Wong dan delegasi beliau tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, yang turut memberi peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.