editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Setelah Terbuka Malaysia, pemain perseorangan lelaki nombor enam dunia, Lee Zii Jia, terpaksa melupakan dua kejohanan besar lagi pada bulan ini, iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia.
Ini kerana beliau masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Team LZJ, ia mengesahkan bahawa Zii Jia terpaksa menangguhkan penampilan sulungnya bagi musim 2025.
“Zii Jia masih dalam pemulihan kecederaan dan akan terlepas dua kejohanan penting, Terbuka India dan Masters Indonesia pada Januari ini,” kata kenyataan itu.
Team LZJ turut memaklumkan bahawa pakar perubatan akan terus memantau keadaan Zii Jia dengan teliti untuk memastikan dia bersedia sepenuhnya untuk kejohanan seterusnya.
Sebelum ini, Zii Jia mengumumkan penarikan dirinya dari Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.
Beliau juga terpaksa mengundurkan diri ketika perlawanan set kedua menentang pemain China, Li Shi Feng, dalam aksi Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF.
Ketika itu, Zii Jia mendahului 13-4 dalam set kedua selepas memenangi set pertama 22-20, namun kecederaan buku lali kanan memaksanya menarik diri pada kedudukan 15-11. Keputusan ini menyebabkan penyertaannya di kejohanan berkenaan dibatalkan mengikut peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Zii Jia kini memfokuskan kepada pemulihan penuh untuk kembali beraksi di kejohanan akan datang.

