editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Permohonan Telegram untuk mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet telah diluluskan pada Khamis lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan permohonan Meta, yang mengendalikan platform Facebook, Instagram, dan WhatsApp, dijangka akan diluluskan dalam masa terdekat.
“Telegram, TikTok, dan WeChat sudah pun diluluskan. Untuk Meta, ada beberapa dokumen yang masih perlu dihantar, namun kami jangka ia akan selesai dalam waktu terdekat,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media sempena Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan Kerajaan Melaka.
Pada Ogos lalu, MCMC mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, WeChat dan TikTok (ByteDance) telah berjaya memperoleh lesen mereka, sementara Telegram kini berada di peringkat akhir dalam proses pelesenan dan dijangka menerima lesen dalam masa terdekat.
Sementara itu, Fahmi turut menjelaskan mengenai kenyataan X yang sebelum ini mengumumkan bahawa platform terbabit tidak akan memohon lesen kerana jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai ambang lapan juta pengguna.
Beliau menyatakan bahawa proses pengesahan jumlah pengguna X akan mengambil sedikit masa dan telah mengarahkan MCMC untuk menguruskan perkara ini.
“Bagi X, pengesahan jumlah penggunanya akan memakan masa dan saya serahkan perkara ini kepada MCMC untuk berbincang dan menyelesaikannya,” katanya.
Fahmi turut memberi perhatian kepada isu yang membabitkan Google, dengan mengarahkan MCMC untuk meneruskan libat urus bersama pihak berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan boleh diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, contohnya berkaitan dengan kandungan scam, deepfake, dan video perjudian dalam talian yang beredar di platform YouTube.
“Walaupun masih dalam perbincangan, tindakan akan diambil jika MCMC mendapati berlakunya pelanggaran undang-undang. Kami akan beri sedikit masa lagi untuk Google,” katanya.
Dengan langkah ini, kerajaan berusaha memastikan bahawa platform digital di Malaysia mematuhi undang-undang tempatan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

