editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebagai usaha menangani isu penipuan atau ‘scam’ yang semakin meruncing di negara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat lebih daripada 3.1 bilion panggilan yang disyaki berunsur penipuan sehingga Disember 2024.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, tindakan ini diambil selepas negara mengalami kerugian sebanyak RM53.34 bilion pada tahun lalu akibat penipuan (scam), yang menyumbang sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan State of Scam 2024.
SKMM turut menerima hampir 12,000 aduan berkaitan scam sejak memulakan kerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022.
Fahmi berkata, usaha ini bukan sahaja menyasarkan penipuan telefon, tetapi turut membabitkan langkah proaktif untuk melindungi masyarakat daripada pelbagai bentuk ancaman siber.
“Selain itu, dalam usaha membendung jenayah seksual kanak-kanak secara dalam talian, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini telah melaksanakan operasi besar-besaran ‘Ops Pedo Bersepadu’.
“Operasi ini menyaksikan penahanan 13 individu di enam negeri dan rampasan hampir 40,000 bahan yang berkaitan dengan penyalahgunaan seksual kanak-kanak dalam talian (CSAM) serta pornografi dewasa,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025.
Fahmi turut menekankan betapa pentingnya langkah-langkah keselamatan dalam talian dan pendidikan pengguna untuk melindungi diri mereka daripada ancaman siber yang semakin berkembang.
“Pendidikan pengguna adalah langkah utama untuk melindungi diri dalam dunia digital yang semakin kompleks ini.
“Selain itu, kerjasama dengan industri teknologi juga amat penting bagi memastikan amalan etika dan ketelusan terus ditegakkan.
“Kerajaan komited untuk memperkukuhkan perlindungan data peribadi dengan peraturan yang lebih ketat demi membina kepercayaan di kalangan pengguna dan penyedia teknologi,” katanya.
Berkongsi mengenai IRC 2025, Fahmi menjelaskan persidangan kali kedua ini bertujuan mengeratkan hubungan dan kerjasama antara badan kawal selia negara ASEAN.
Tema bagi persidangan kali ini, Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era, diharap dapat menghasilkan kemajuan dalam merangka dasar dan kerangka kawal selia yang lebih mampan di masa hadapan.
“Walaupun cabaran yang dihadapi oleh negara-negara serantau hampir serupa, setiap negara mempunyai rangka kawal selia yang berbeza.
“Oleh itu, perbincangan dalam IRC 2025 amat penting untuk menyusun kerangka peraturan yang dapat menangani isu scam, telekomunikasi, dan media sosial secara berkesan,” katanya.