editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Setelah lama mendiamkan diri, suami kepada model dan pelakon, Zahnita Wilson, iaitu Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, akhirnya tampil membuat pengakuan mengejutkan.
Abdul Zackery, 47, mendakwa dirinya adalah mangsa keganasan oleh Zahnita yang selama ini dikenali dengan personaliti aktif dan dinamik.
Memetik laporan mStar, dia dengan tegas menafikan dakwaan yang menyatakan dia bersikap kasar atau memukul Zahnita.
Sebaliknya, dia terpaksa bertindak mempertahankan diri akibat serangan fizikal dan agresif dari isterinya.
Abdul Zackery berkata, sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka, Zahnita sering kali meminta cerai, yang membuatkan beliau tertekan.
“Isu keganasan ini sudah lama menjadi bualan. Sebenarnya, dialah yang sering bertindak ganas. Dia pernah belajar Muay Thai dan cuba ‘Muay Thaikan’ saya.
“Tindakan saya mempertahankan diri adalah disebabkan oleh sifat agresif Zahnita yang berubah selepas dia mempelajari Muay Thai.
“Sebagai manusia, apabila diserang, kita harus bertindak untuk mempertahankan diri. Jika seorang wanita bertindak seperti lelaki, apa yang lelaki patut buat?,” katanya.
Abdul Zackery berkata, semua ini bermula dan tercetus pergaduhan pada November lalu apabila Zahnita membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah tanpa memberitahu dirinya terlebih dahulu.
Rumah berkenaan dikatakan disewa untuk tujuan perniagaan makanan yang dijalankan sejak awal tahun 2024.
Lelaki itu mengakui rasa kecewa apabila Zahnita lebih menumpukan perhatian kepada perniagaannya berbanding kebajikan anak-anak mereka.
“Saya hanya tahu tentang rumah sewa itu selepas bertanya kepadanya dan dia melenting serta terus marah.
“Dia mahu fokus kepada bisnes dan tidak boleh tinggal bersama saya kerana dakwaannya saya sering memukulnya,” katanya.
Beliau berharap agar Zahnita lebih memberi perhatian kepada keluarga, terutama anak bongsu mereka, Abd Zayden Ghouse yang berusia empat tahun dan menghidap autisme.
Untuk info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 dan dikurniakan empat orang anak, Zahrafeena (18), Zasharayna (13), Zahlia (8), dan Abd Zayden (4).

