28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 123

Perluas program kembali ke sekolah, Nestlé Malaysia bantu 4,000 pelajar

editormaxinfo@gmail.com

PASIR PUTEH – Nestlé Malaysia terus komited dalam usaha membantu pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan menerusi program Nestlé Cares Kembali ke Sekolah, yang diperluaskan ke seluruh negara pada tahun ini.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelajar, dengan sumbangan barangan keperluan asas sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, alat tulis, serta produk makanan dan minuman untuk menyokong pemakanan keluarga mereka.

Lebih menarik, program tahun ini turut menyaksikan Nestlé Malaysia menyumbang perabot bilik darjah mesra alam dan peralatan sukan yang dihasilkan daripada bahan kitar semula menerusi inisiatif MILO Tenaga Untuk Kebaikan.

Sumbangan ini memberi tumpuan khusus kepada kawasan Pantai Timur, yang sering berdepan dengan cabaran banjir setiap tahun.

Majlis penyerahan rasmi berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Pasir Puteh, Kelantan, yang menjadi antara sekolah terawal menerima bekalan penting berkenaan.

Sekolah-sekolah lain yang dijadualkan menerima bantuan serupa termasuk SK Tengku Ampuan Intan, SK Kampung Buloh di Kuala Terengganu, dan SK Rantau Panjang di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti di Pantai Timur akibat banjir yang menjejaskan rutin persekolahan, sekaligus menekankan kepentingan pendidikan setiap kanak-kanak.

“Dengan menggabungkan program Kembali ke Sekolah dan inovasi lestari melalui MILO Tenaga Untuk Kebaikan, kami berusaha untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan menyokong masyarakat Malaysia dengan cara yang memberi kesan positif berkekalan,” katanya.

Inisiatif MILO Tenaga Untuk Kebaikan bertujuan menukar pembungkusan UHT terpakai kepada bahan kitar semula yang dijadikan perabot sekolah serta peralatan sukan tahan lama.

Perabot ini direka khas untuk lebih tahan terhadap kesan banjir, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang stabil kepada pelajar di kawasan terdedah kepada bencana alam.

Bahan inovatif ini dihasilkan menerusi Projek CAREton, kerjasama antara Nestlé Malaysia dan Tetra Pak, yang berjaya mengitar semula 5,400 tan karton minuman terpakai sejak 2012, bersamaan lebih 420 juta pek UHT.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Silmi Tuan Ismail berkata, pihaknya menyambut baik sumbangan Nestlé Malaysia, yang menurutnya mencerminkan komitmen bersama dalam membina persekitaran pembelajaran yang lebih baik.

“Ketahanan perabot mesra alam yang dibekalkan akan membantu sekolah menguruskan sumber dengan lebih berkesan, selain memberi inspirasi kepada murid untuk memahami bagaimana inovasi boleh membantu menyelesaikan cabaran seperti banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Panggong, Nai’m Ibrahim berkata, pihaknya menghargai sumbangan Nestlé Malaysia yang dapat memperbaiki persekitaran pembelajaran murid-murid mereka.

“Bantuan ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk menghargai kepentingan kelestarian dan bersama-sama membina masa depan lebih cerah,” katanya.

Nestlé Cares Kembali ke Sekolah diteruskan setiap tahun bagi membantu pelajar, termasuk mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, rumah tangga ibu bapa tunggal, serta komuniti yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Nestlé Malaysia dalam menyokong masyarakat setempat dan mempromosikan kelestarian alam sekitar.

 

18 mayat ditemui di Sungai Potomac susulan nahas pesawat American Airlines dan helikopter Black Hawk

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Sebanyak 18 mayat dilaporkan ditemui di Sungai Potomac selepas berlaku nahas membabitkan pesawat penumpang American Airlines dan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Kebangsaan Ronald Reagan Washington, di Washington DC.

Menurut pegawai polis, sekurang-kurangnya tiga kawasan serpihan telah dikesan dalam air dan mayat-mayat terbabit ditemukan setakat jam 11.30 malam waktu tempatan. Setakat ini, tiada mangsa yang terselamat ditemukan.

Pasukan penyelamat, seperti yang dilaporkan oleh CNN, masih dalam usaha mengeluarkan mangsa dari dalam sungai, dan operasi penyelamatan sedang diteruskan.

Pesawat PSA Airlines Bombardier CRJ700 yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan membawa 60 penumpang bersama empat anak kapal, manakala helikopter tentera ‘Black Hawk’ Sikorsky H-60 yang juga terbabit membawa tiga anak kapal.

Jabatan Polis Metropolitan dalam kenyataannya memaklumkan pelbagai agensi kini bekerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat di Sungai Potomac.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah kematian setakat ini.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, dan pihak berkuasa memohon agar orang ramai bersabar sementara mereka menyelesaikan urusan ini.

Dakwa ditipu, isteri Along Cham lapor polis

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, tampil membuat laporan polis pada Selasa selepas mendakwa dirinya telah ditipu seorang individu yang membabitkan wang berjumlah RM95,180.

Menerusi hantaran di Instagram, Afreena berkata, dia yakin kebenaran akan terungkap selepas laporan polis itu dibuat.

“Selesai buat laporan polis, seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” tulisnya di media sosial.

Dalam hantaran yang sama, Afreena turut berkongsi tangkap layar daripada seorang pempengaruh yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan individu yang sama.

Pempengaruh itu sebelum ini telah membuat laporan di Balai Polis Setia Alam, Shah Alam.

Pempengaruh terbabit mendakwa telah memberikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada Afreena sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi yang berlaku.

Meskipun tidak mengenali Afreena secara peribadi, pempengaruh itu menyatakan tindakannya adalah untuk membantu wanita berkenaan membebaskan suaminya.

“Walaupun saya tak campur tangan dalam hal rumah tangga mereka, apa yang pasti, memang ada bukti wang sebanyak RM95,180 masuk ke akaun perniagaan tertentu,” kata pempengaruh itu.

Sebelum ini, media melaporkan Along, atau nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya menyelewengkan hampir RM100,000 sumbangan awam yang diterima daripada rakan-rakan artis.

Fitnah ilmu hitam, rosmah tuntut RM1 juta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada seorang pemilik akaun TikTok yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mendakwa beliau terbabit dalam amalan ilmu hitam.

Rosmah, 74, telah mengemukakan saman pada 19 September 2023 melalui Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Beliau menamakan Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, sebagai defendan selepas lelaki itu, yang memiliki 1,584 pengikut di TikTok, memuat naik sebuah video pada 22 Mac 2023 di akaun TikToknya, yang menggunakan nama ‘CEO Heelmie Fighter’.

Dalam video berkenaan, terdapat kenyataan yang tidak benar mengenai dirinya.

Rosmah berkata, tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta adalah wajar kerana kenyataan fitnah itu telah merosakkan kredibiliti, nama baik, dan reputasinya.

Beliau juga memohon agar jumlah terbabit mengambil kira status dan latar belakangnya, termasuk pencapaian dan peranannya sebagai penaung beberapa badan amal di negara ini yang turut tercalar akibat fitnah terbabit.

“Kenyataan defendan dengan jelas merujuk kepada saya dengan maksud bahawa saya terbabit dalam aktiviti yang dikaitkan dengan syaitan dan bomoh.

“Ia menggambarkan saya terbabit dalam perbuatan syirik, yang sangat merosakkan imej saya,” kata Rosmah dalam afidavit sokongannya.

Rosmah berkata, kenyataan fitnah itu telah menjejaskan hubungannya dengan orang ramai, termasuk rakan-rakan, kerana segelintir mereka mula meragui kemampuan beliau untuk menyumbang kepada badan-badan amal dan kebajikan.

Beberapa rakan juga dikatakan telah menjauhkan diri kerana khuatir imej mereka turut terjejas.

Pada 28 Mei tahun lalu, Rosmah telah memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan apabila Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membenarkan permohonannya selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran pada tarikh yang ditetapkan.

Setelah sesi pengurusan kes pada Selasa, mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk prosiding taksiran ganti rugi.

MCMC perkenal Chatbot AI, AIFA, untuk tangkis berita palsu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk menentang penyebaran berita palsu dengan pelancaran platform chatbot baharu, dikenali sebagai AIFA atau ‘Artificial Intelligence Fact-check Assistant’, yang boleh diakses melalui aplikasi WhatsApp dan portal Sebenarnya.my.

AIFA, yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dibangunkan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, chatbot ini tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia menyemak kesahihan maklumat.

“AIFA adalah alat yang sangat penting untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat yang sahih dan disahkan oleh pihak berwajib.

“Ia berperanan untuk mengurangkan kesan buruk yang boleh ditimbulkan oleh berita palsu,” katanya.

Pelancaran ini juga memperkukuhkan peranan portal Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama menyemak dan mengesahkan maklumat dengan cepat, mempercepatkan respons terhadap berita palsu, serta memperkukuh peranan portal dalam menangani penyebaran maklumat yang tidak sahih di Malaysia.

AIFA dibangunkan dengan menggunakan teknologi canggih seperti algoritma dan pembelajaran mesin, yang membolehkan ia memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai dan memberikan jawapan yang tepat dengan pantas kepada pengguna.

Fungsi ini boleh diakses 24 jam sehari menerusi portal Sebenarnya.my dan aplikasi WhatsApp.

Fahmi berkata, pada masa ini AIFA hanya menerima input dalam bentuk teks, namun ciri ini dijangka akan diperluaskan kepada format lain, termasuk video, dalam masa akan datang.

Beliau juga mengingatkan bahawa sepanjang tahun 2023 hingga Januari 2024, MCMC telah memohon untuk memadamkan sebanyak 1,575 kandungan berita palsu, dengan lebih 1,200 daripadanya sudah berjaya dikeluarkan dari platform-platform media sosial.

“Pelancaran AIFA ini adalah langkah penting dalam memastikan rakyat Malaysia terus berwaspada terhadap berita palsu dan sentiasa memeriksa kesahihan setiap maklumat yang diterima,” katanya lagi.

Dengan inisiatif ini, MCMC berharap dapat mempertingkatkan kesedaran rakyat untuk sentiasa menyemak kebenaran maklumat yang tersebar dalam talian, serta mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap sumber maklumat yang sahih.

Menjelang Kelayakan Piala Asia 2027, pemain warisan Belanda perkuat skuad Harimau Malaya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pemain berdarah warisan dari Belanda sah akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac depan.

Perkembangan itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, yang mengesahkan proses untuk ‘diMalaysiakan’ pemain warisan terbabit kini berada di fasa akhir.

Friend berkata, kehadiran pemain baharu ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk memantapkan pasukan dalam persiapan menghadapi saingan kelayakan yang penting itu nanti.

“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir.

“Tiga lagi pemain turut dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

“Kami berharap langkah ini akan memberi impak besar untuk Kelayakan Piala Asia 2027 dengan pilihan pemain yang lebih luas.

“Kehadiran pemain-pemain warisan ini diharapkan dapat meningkatkan peluang kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Friend berkata, pengambilan pemain ‘sumber luar’ ini tidak bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengabaikan pembangunan pemain tempatan, khususnya dari peringkat akar umbi.

“Walaupun naturalisasi adalah salah satu komponen penting dalam strategi kami, kami tetap komited dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad yang seimbang dan berdaya saing yang akan membawa kebanggaan kepada negara dan semangat bola sepak Malaysia,” katanya.

Langkah ini dijangka memberi manfaat besar kepada skuad Harimau Malaya dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan lebih tinggi di pentas antarabangsa.

UK, Rolls-Royce umum kerjasama strategik berkaitan kapal selam nuklear

editormaxinfo@gmail.com

LONDON – Kerajaan United Kingdom (UK) telah mengumumkan perjanjian strategik dengan pembuat enjin Rolls-Royce untuk menyokong armada kapal selam nuklear Tentera Laut Diraja.

Kerjasama ini dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan negara.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pentadbiran Parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri Keir Starmer, kontrak berbilang tahun bernilai sembilan bilion pound sterling (RM49.41 bilion) ini dijangka mencipta lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan di seluruh UK.

Kerajaan juga menegaskan bahawa perjanjian ini akan menghasilkan nilai yang lebih baik untuk pembayar cukai dengan penjimatan lebih daripada 400 juta pound sterling (RM2.2 bilion).

Setiausaha Pertahanan, John Healey, berkata pelaburan dalam pertahanan negara ini akan memberikan rangsangan jangka panjang kepada sektor perniagaan, peluang pekerjaan, serta keselamatan negara.

“Kami ingin menunjukkan bahawa pertahanan bukan hanya tentang keselamatan, tetapi juga sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.

“Kami juga memastikan pembayar cukai mendapat nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya.

Healey berkata, keselamatan negara adalah asas kepada rancangan perubahan kerajaan dan perjanjian ini menegaskan komitmen mereka terhadap pencegahan nuklear UK, yang dianggap sebagai polisi keselamatan utama dalam dunia yang semakin berisiko.

Presiden Rolls-Royce Submarines, Steve Carlier, pula menyatakan bahawa kontrak lapan tahun ini membolehkan syarikat terbabit melabur dalam kemahiran, peralatan, dan kemudahan yang diperlukan untuk memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan UK, baik di dalam mahupun di luar negara.

Perjanjian ini dicapai selepas UK dan Jerman, dua negara Eropah dengan perbelanjaan terbesar untuk pertahanan, mengumumkan pada Oktober lalu bahawa pesawat pemburu kapal selam Jerman akan beroperasi di luar Britain di bawah perjanjian pertahanan bersama.

Dengan perkembangan ini, Setiausaha Luar Britain, David Lammy, turut menyuarakan pandangan mengenai peranan Eropah dalam mempertahankan benua mereka, menyokong kenyataan baru-baru ini oleh Presiden AS yang baru dilantik, Donald Trump, serta Naib Presiden JD Vance, yang menggesa Eropah untuk mengambil lebih banyak tindakan dalam pertahanan kawasan mereka sendiri.

Majikan tidak boleh paksa pekerja ambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji – Kesuma

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majikan yang merancang untuk menutup operasi perniagaan lebih dari hari kelepasan am sempena Tahun Baharu Cina diingatkan agar tidak memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh terbabit.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pekerja yang mendakwa segelintir majikan cuba memaksa mereka mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji ketika syarikat ditutup.

Kesuma menegaskan pekerja mempunyai hak untuk menentukan bila mereka ingin memohon cuti tahunan, dan majikan tidak boleh memaksa mereka untuk mengambil cuti terbabit demi mengurangkan kos operasi perniagaan.

“Cuti tahunan dan cuti tanpa gaji adalah hak pekerja yang perlu dipohon dan dipersetujui oleh mereka, dan bukan sebagai keputusan atau paksaan daripada majikan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kesuma berkata, pekerja yang mendapati majikan menolak kelayakan cuti tahunan atau gaji semasa syarikat ditutup lebih dari hari kelepasan am boleh melaporkan perkara terbabit kepada Pejabat Tenaga Kerja berdekatan, mengikut peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Kenyataan ini bertujuan untuk melindungi hak pekerja dan memastikan setiap majikan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

ADI PUTRA X QALEE EKSKLUSIF: Kurta moden dengan sentuhan tradisional, sesuai untuk semua

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ADI PUTRA X QALEE EKSKLUSIF memperkenalkan koleksi kurta yang bukan sahaja moden tetapi juga mengekalkan elemen tradisional, menjadikannya pilihan sempurna untuk semua golongan umur dan latar belakang.

Koleksi kurta ini hadir dalam tiga pilihan utama iaitu Kurta Slim Fit, Kurta Slim Fit Kanak-Kanak, dan Kurta Straight Cut, menawarkan keselesaan dan gaya untuk setiap individu.

Dengan slogan “Kurta Kita Bangsa Kita”, koleksi ini menyatukan pelbagai budaya melalui rekaan yang fleksibel dan selesa.

Kurta ini diperbuat daripada kain Soft Cotton berkualiti tinggi yang lembut, ringan, dan sesuai dengan cuaca tropika.

Pilihan warna yang neutral dan universal memastikan ia boleh dipakai dalam pelbagai acara dari majlis formal, kasual, hingga keagamaan.

Koleksi kurta ini disediakan untuk lelaki dewasa serta kanak-kanak, dengan potongan slim fit dan straight cut.

Rekaan lengan panjang dan tiga suku menambah elemen keselesaan tanpa mengorbankan gaya.

Saiz yang ditawarkan bermula dari XS hingga 4XL untuk dewasa dan saiz kanak-kanak dari 24 hingga 34, memastikan semua peringkat umur dapat menikmati keselesaan dan gaya.

Kurta ADI PUTRA X QALEE EKSKLUSIF dijual pada harga bermula dari RM89 hingga RM129, bergantung pada jenis dan rekaan.

Walaupun harga berpatutan, kualiti yang ditawarkan tetap tinggi, menjadikannya pilihan tepat untuk mereka yang mencari pakaian yang praktikal namun bergaya.

Dengan visi untuk menjadi jenama fesyen tempatan yang menyatukan rakyat Malaysia melalui pakaian, ADI PUTRA X QALEE EKSKLUSIF berhasrat untuk mencipta pakaian berkualiti tinggi yang inklusif dan memupuk rasa bangga terhadap budaya tempatan.

Selain itu, jenama ini turut memberi peluang kepada pereka muda tempatan dan menyokong ekonomi negara dengan menggunakan bahan yang dihasilkan oleh pembekal tempatan.

Kurta ini akan dipasarkan melalui pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan Facebook, serta di kedai fizikal di Masjid India, B5 Johor Bahru, dan beberapa acara besar seperti Absolute Mega Raya di MITEC, Kuala Lumpur.

Kerjasama dengan influencer dan pameran di bazar tempatan juga akan menjadi fokus utama dalam memperkenalkan koleksi ini kepada lebih ramai pelanggan.

Kurta ini bukan hanya sekadar pakaian, tetapi simbol perpaduan. “Kurta Kita Bangsa Kita” mencerminkan komitmen jenama untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, dengan reka bentuk yang moden dan fleksibel.

Sesuai untuk semua bangsa Melayu, Cina, India, dan lain-lain, kurta ini menggalakkan perpaduan melalui fesyen.

Dengan koleksi ini, ADI PUTRA X QALEE EKSKLUSIF memastikan bahawa setiap individu, dari kanak-kanak hingga orang dewasa, dapat menikmati pakaian yang tidak hanya selesa tetapi juga penuh makna dan gaya.