editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, tampil membuat laporan polis pada Selasa selepas mendakwa dirinya telah ditipu seorang individu yang membabitkan wang berjumlah RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena berkata, dia yakin kebenaran akan terungkap selepas laporan polis itu dibuat.
“Selesai buat laporan polis, seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” tulisnya di media sosial.
Dalam hantaran yang sama, Afreena turut berkongsi tangkap layar daripada seorang pempengaruh yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan individu yang sama.
Pempengaruh itu sebelum ini telah membuat laporan di Balai Polis Setia Alam, Shah Alam.

Pempengaruh terbabit mendakwa telah memberikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada Afreena sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi yang berlaku.
Meskipun tidak mengenali Afreena secara peribadi, pempengaruh itu menyatakan tindakannya adalah untuk membantu wanita berkenaan membebaskan suaminya.
“Walaupun saya tak campur tangan dalam hal rumah tangga mereka, apa yang pasti, memang ada bukti wang sebanyak RM95,180 masuk ke akaun perniagaan tertentu,” kata pempengaruh itu.
Sebelum ini, media melaporkan Along, atau nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya menyelewengkan hampir RM100,000 sumbangan awam yang diterima daripada rakan-rakan artis.

