31.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

Fitnah ilmu hitam, rosmah tuntut RM1 juta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada seorang pemilik akaun TikTok yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mendakwa beliau terbabit dalam amalan ilmu hitam.

Rosmah, 74, telah mengemukakan saman pada 19 September 2023 melalui Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Beliau menamakan Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, sebagai defendan selepas lelaki itu, yang memiliki 1,584 pengikut di TikTok, memuat naik sebuah video pada 22 Mac 2023 di akaun TikToknya, yang menggunakan nama ‘CEO Heelmie Fighter’.

Dalam video berkenaan, terdapat kenyataan yang tidak benar mengenai dirinya.

Rosmah berkata, tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta adalah wajar kerana kenyataan fitnah itu telah merosakkan kredibiliti, nama baik, dan reputasinya.

Beliau juga memohon agar jumlah terbabit mengambil kira status dan latar belakangnya, termasuk pencapaian dan peranannya sebagai penaung beberapa badan amal di negara ini yang turut tercalar akibat fitnah terbabit.

“Kenyataan defendan dengan jelas merujuk kepada saya dengan maksud bahawa saya terbabit dalam aktiviti yang dikaitkan dengan syaitan dan bomoh.

“Ia menggambarkan saya terbabit dalam perbuatan syirik, yang sangat merosakkan imej saya,” kata Rosmah dalam afidavit sokongannya.

Rosmah berkata, kenyataan fitnah itu telah menjejaskan hubungannya dengan orang ramai, termasuk rakan-rakan, kerana segelintir mereka mula meragui kemampuan beliau untuk menyumbang kepada badan-badan amal dan kebajikan.

Beberapa rakan juga dikatakan telah menjauhkan diri kerana khuatir imej mereka turut terjejas.

Pada 28 Mei tahun lalu, Rosmah telah memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan apabila Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membenarkan permohonannya selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran pada tarikh yang ditetapkan.

Setelah sesi pengurusan kes pada Selasa, mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk prosiding taksiran ganti rugi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular