26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

18 mayat ditemui di Sungai Potomac susulan nahas pesawat American Airlines dan helikopter Black Hawk

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Sebanyak 18 mayat dilaporkan ditemui di Sungai Potomac selepas berlaku nahas membabitkan pesawat penumpang American Airlines dan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Kebangsaan Ronald Reagan Washington, di Washington DC.

Menurut pegawai polis, sekurang-kurangnya tiga kawasan serpihan telah dikesan dalam air dan mayat-mayat terbabit ditemukan setakat jam 11.30 malam waktu tempatan. Setakat ini, tiada mangsa yang terselamat ditemukan.

Pasukan penyelamat, seperti yang dilaporkan oleh CNN, masih dalam usaha mengeluarkan mangsa dari dalam sungai, dan operasi penyelamatan sedang diteruskan.

Pesawat PSA Airlines Bombardier CRJ700 yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan membawa 60 penumpang bersama empat anak kapal, manakala helikopter tentera ‘Black Hawk’ Sikorsky H-60 yang juga terbabit membawa tiga anak kapal.

Jabatan Polis Metropolitan dalam kenyataannya memaklumkan pelbagai agensi kini bekerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat di Sungai Potomac.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah kematian setakat ini.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, dan pihak berkuasa memohon agar orang ramai bersabar sementara mereka menyelesaikan urusan ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular