27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Perluas program kembali ke sekolah, Nestlé Malaysia bantu 4,000 pelajar

editormaxinfo@gmail.com

PASIR PUTEH – Nestlé Malaysia terus komited dalam usaha membantu pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan menerusi program Nestlé Cares Kembali ke Sekolah, yang diperluaskan ke seluruh negara pada tahun ini.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelajar, dengan sumbangan barangan keperluan asas sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, alat tulis, serta produk makanan dan minuman untuk menyokong pemakanan keluarga mereka.

Lebih menarik, program tahun ini turut menyaksikan Nestlé Malaysia menyumbang perabot bilik darjah mesra alam dan peralatan sukan yang dihasilkan daripada bahan kitar semula menerusi inisiatif MILO Tenaga Untuk Kebaikan.

Sumbangan ini memberi tumpuan khusus kepada kawasan Pantai Timur, yang sering berdepan dengan cabaran banjir setiap tahun.

Majlis penyerahan rasmi berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Pasir Puteh, Kelantan, yang menjadi antara sekolah terawal menerima bekalan penting berkenaan.

Sekolah-sekolah lain yang dijadualkan menerima bantuan serupa termasuk SK Tengku Ampuan Intan, SK Kampung Buloh di Kuala Terengganu, dan SK Rantau Panjang di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti di Pantai Timur akibat banjir yang menjejaskan rutin persekolahan, sekaligus menekankan kepentingan pendidikan setiap kanak-kanak.

“Dengan menggabungkan program Kembali ke Sekolah dan inovasi lestari melalui MILO Tenaga Untuk Kebaikan, kami berusaha untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan menyokong masyarakat Malaysia dengan cara yang memberi kesan positif berkekalan,” katanya.

Inisiatif MILO Tenaga Untuk Kebaikan bertujuan menukar pembungkusan UHT terpakai kepada bahan kitar semula yang dijadikan perabot sekolah serta peralatan sukan tahan lama.

Perabot ini direka khas untuk lebih tahan terhadap kesan banjir, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang stabil kepada pelajar di kawasan terdedah kepada bencana alam.

Bahan inovatif ini dihasilkan menerusi Projek CAREton, kerjasama antara Nestlé Malaysia dan Tetra Pak, yang berjaya mengitar semula 5,400 tan karton minuman terpakai sejak 2012, bersamaan lebih 420 juta pek UHT.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Silmi Tuan Ismail berkata, pihaknya menyambut baik sumbangan Nestlé Malaysia, yang menurutnya mencerminkan komitmen bersama dalam membina persekitaran pembelajaran yang lebih baik.

“Ketahanan perabot mesra alam yang dibekalkan akan membantu sekolah menguruskan sumber dengan lebih berkesan, selain memberi inspirasi kepada murid untuk memahami bagaimana inovasi boleh membantu menyelesaikan cabaran seperti banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Panggong, Nai’m Ibrahim berkata, pihaknya menghargai sumbangan Nestlé Malaysia yang dapat memperbaiki persekitaran pembelajaran murid-murid mereka.

“Bantuan ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk menghargai kepentingan kelestarian dan bersama-sama membina masa depan lebih cerah,” katanya.

Nestlé Cares Kembali ke Sekolah diteruskan setiap tahun bagi membantu pelajar, termasuk mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, rumah tangga ibu bapa tunggal, serta komuniti yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Nestlé Malaysia dalam menyokong masyarakat setempat dan mempromosikan kelestarian alam sekitar.

 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular