30.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 1, 2026
Home Blog Page 122

Meet & Greet bersama duta, Jakel Shah Alam tawar diskaun sehingga 30 peratus untuk semua barangan

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Jakel Trading Sdn Bhd menerusi cawangannya di Shah Alam mengadakan sesi Meet & Greet yang penuh istimewa dengan barisan duta terkenal mereka dan menawarkan pelbagai promosi hebat kepada pengunjung.

Sesi interaktif itu menyaksikan artis dan pempengaruh terkenal seperti Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad sekeluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, serta Upin & Ipin dan TikToker Sallywho, yang semuanya hadir untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat.

Pengunjung berpeluang untuk berfoto bersama duta-duta Jakel dalam acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Acara itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan koleksi terbaharu produk Jakel sempena persiapan Raya Aidilfitri 2025, termasuk baju raya yang memaparkan warna dan trend terkini untuk semua peringkat umur.

Pengarah Urusan Jakel Trading Sdn Bhd, Datuk Wira Mohamed Izani Mohamed Jakel, berkata selain mengadakan promosi besaran, acara ini juga bertujuan merapatkan hubungan dengan pelanggan sambil mempromosikan produk terbaru.

“Kami berharap pelanggan dan peminat gembira dan mengambil peluang berinteraksi dengan duta-duta kami dalam kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 ini.

“Diskaun sehingga 30 peratus kami berikan untuk semua barangan yang terdapat di Jakel Shah Alam.

“Diskaun lebih hebat lagi di mana baju Melayu dijual sepasang bernilai RM99 dan percuma samping.

“Sebanyak 102 warna disediakan dan pelbagai corak serta design baju untuk wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan. Juga banyak pilihan kain samping turut disediakan,” katanya.

Selain sesi Meet & Greet, pengunjung juga berpeluang menyertai kuiz interaktif yang menawarkan hadiah menarik.

Tidak ketinggalan, mereka yang hadir turut berpeluang mendapatkan kupon diskaun untuk pembelian baju raya.

Untuk kemudahan pengunjung, Jakel menyediakan parkir yang lebih luas dan percuma serta kemudahan ‘buggy’ bagi memastikan pengunjung, terutama golongan warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan khas, dapat bergerak dengan mudah di kawasan berkenaan.

Dengan lebih 500 koleksi baharu ditawarkan, Jakel mensasarkan peningkatan jualan yang signifikan melebihi 1 juta pasang disediakan menerusi kempen ini yang dimulakan sejak Disember lalu.

Trump tetapkan tarif baharu ke atas Mexico, Kanada dan China bermula hari ini – Rumah Putih

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akan melaksanakan tarif baharu yang lebih agresif terhadap Kanada, Mexico, dan China bermula hari ini, menurut kenyataan dari Rumah Putih.

Keputusan ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negara terbabit.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, mengesahkan bahawa tarikh akhir 1 Februari yang telah ditetapkan oleh Presiden Trump beberapa minggu lalu tetap berkuat kuasa.

“Saya boleh mengesahkan bahawa esok, tarikh akhir 1 Februari yang diumumkan oleh Presiden Trump akan terus dilaksanakan,” katanya dalam satu taklimat pada Jumaat.

Pegawai-pegawai Kanada dilaporkan mengadakan pertemuan dengan ketua sempadan Rumah Putih, Tom Homan, pada Jumaat lalu untuk mencapai persetujuan yang dapat mengelakkan tarif yang dicadangkan.

Namun, pengesahan dari Leavitt tersebut nampaknya menamatkan segala spekulasi tentang pelaksanaan duti baharu ini.

Leavitt berkata, tarif ini membabitkan duti sebanyak 25 peratus terhadap Mexico dan Kanada serta tarif 10 peratus terhadap China.

“Langkah ini diambil berikutan masalah fentanyl haram yang mereka bekalkan dan biarkan tersebar di negara kami, yang telah mengorbankan puluhan juta nyawa rakyat Amerika,” katanya.

Namun, Leavitt enggan memberikan butiran lanjut mengenai sama ada tarif ini akan dikenakan ke atas minyak atau jika terdapat pengecualian tertentu.

Beliau hanya menyatakan maklumat penuh mengenai pelaksanaan tarif terbabit akan diumumkan dalam tempoh 24 jam.

Mengenakan tarif besar terhadap negara-negara rakan dagangan utama AS ini merupakan satu langkah berisiko tinggi yang bertujuan untuk memaksa negara-negara tersebut ke meja rundingan, tetapi ia juga boleh memberi kesan buruk kepada pengguna dan ekonomi negara itu.

Trump pada minggu ini menegaskan Amerika tidak lagi memerlukan barangan dari negara jiran mereka, Kanada dan Mexico.

“Kita tidak memerlukan apa yang mereka ada,” katanya merujuk kepada kedua-dua negara berkenaan.

Ekonomis umumnya berpendapat bahawa tarif boleh menjadi alat yang berkesan dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan tertentu.

Trump berjanji untuk menggunakan tarif bagi tiga tujuan utama: meningkatkan pendapatan negara, mengimbangi perdagangan, dan memaksa negara pesaing untuk memenuhi komitmen mereka.

Trump turut menegaskan bahawa tarif terhadap China bertujuan untuk memaksa negara itu menunaikan janji mereka untuk menghukum mati individu yang terbabit dalam penghantaran fentanyl ke AS.

Dalam pada itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, mengingatkan bahawa negaranya bersedia dengan “Pelan A, B, dan C” untuk menghadapi sebarang keputusan tarif dari AS. Beliau menegaskan bahawa Mexico akan terus mempertahankan maruah dan kedaulatan negara mereka.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, juga menyatakan kebimbangannya terhadap pengenaan tarif terbabit dan menegaskan Kanada bersedia untuk memberi respons tegas jika AS meneruskannya.

“Kami sedang berusaha keras untuk menghalang tarif ini, tetapi jika diteruskan, Kanada akan bertindak segera,” kata Trudeau.

Selain itu, ahli ekonomi memberi amaran bahawa tarif ini berisiko meningkatkan inflasi di AS, dengan kos barangan yang lebih tinggi terpaksa ditanggung oleh pengguna Amerika.

Penyelidikan menunjukkan bahawa langkah tarif Trump boleh menambah beban cukai sekitar AS$272 bilion setahun, yang akan menjejaskan hampir setiap isi rumah Amerika dengan tambahan kos sebanyak lebih dari AS$2,600 setahun.

Walaupun demikian, beberapa penyokong Trump percaya bahawa risiko ini berbaloi.

Jamie Dimon, Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan, baru-baru ini berkata, jika tarif dapat menyelesaikan isu keselamatan negara, maka sedikit inflasi mungkin dapat diterima. -Agensi

Malakoff lengkapkan pengambilalihan Zec Solar dan TJZ Suria, tingkatkan kapasiti tenaga boleh baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malakoff Corporation Bhd mengumumkan mereka telah selesai mengambil alih Zec Solar Sdn Bhd dan TJZ Suria Sdn Bhd.

Melalui satu kenyataan, kumpulan itu berkata, mereka telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli saham, yang membabitkan pembelian 22.39 juta saham (51 peratus) dalam Zec Solar serta 49,000 saham (49 peratus) dalam TJZ Suria.

Pengambilalihan ini dijangka akan meningkatkan kapasiti berkesan Malakoff kepada 159 megawatt (MW) dalam sektor tenaga boleh baharu (RE), selain mengoptimumkan kos operasi dengan memanfaatkan sinergi sumber, yang akan menghasilkan skala ekonomi yang lebih baik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pengambilalihan ini menunjukkan komitmen berterusan Malakoff dalam menyokong pelan tindakan peralihan tenaga negara.

Ini adalah langkah penting untuk menghadapi cabaran perubahan iklim, memastikan keselamatan tenaga, serta memastikan kemampanan jangka panjang sektor tenaga negara.

“Pengambilalihan ini juga menyediakan loji rujukan yang dapat memenuhi keperluan langkah pembidaan solar berskala besar (LSS) pada masa hadapan, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Malakoff juga terbabit dalam projek tenaga hidro melalui Projek Sungai Galas RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd, yang berkapasiti 84 MW.

Anwar Syahrin berkata, Malakoff juga telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) dengan beberapa pemain industri utama, termasuk DRB-Hicom, UMW, Perbadanan Aset Keretapi, dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

“Kami berbangga kerana Malakoff kini sedang mempercepatkan peralihan tenaga negara.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk menyumbang kepada sasaran negara dalam mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti RE kepada 70 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.

Setakat ini, melalui inisiatif baru Malakoff Green Solutions, portfolio tenaga boleh baharu (RE) kumpulan ini telah mencapai 159 MW.

Ini merangkumi projek solar berskala besar (LSS), Solar Bumbung (RTS), penjanaan tenaga hidro kecil, serta pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon.

Dengan langkah-langkah ini, Malakoff terus bergerak ke hadapan dalam menyokong peralihan tenaga negara sambil memastikan masa depan yang lebih hijau dan mampan.

Meraikan kejayaan, Rissa Skin perkenal Fattah Amin sebagai duta baharu

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Rissa Skin, jenama kecantikan yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna, melakar satu lagi kejayaan dengan mengadakan majlis Hi Tea eksklusif.

Acara penuh glamor ini bukan hanya untuk meraikan kejayaan kempen pemasaran mereka, tetapi juga untuk mengumumkan pelantikan duta baharu yang dijangka bakal membawa jenama ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Majlis Hi Tea itu diadakan khas untuk pemenang bertuah yang telah membeli produk Putey Whitening Coffee.

Pemenang berpeluang untuk menikmati sesi santai bersama pelakon popular, Fattah Amin.

Dalam suasana yang mesra dan akrab, pemenang dapat berinteraksi lebih dekat dengan Fattah, menjadikan acara ini sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan.

Rissa Skin turut berkongsi pencapaian luar biasa mereka dalam industri kecantikan, termasuk kejayaan besar mereka dalam pemasaran digital melalui TikTok.

Dengan strategi pemasaran yang inovatif dan produk berkualiti tinggi, jenama ini terus kukuh sebagai pilihan utama pengguna yang mementingkan penjagaan kulit yang efektif.

“Alhamdulillah, produk kami mendapat sambutan yang sangat positif dan berjaya membantu ribuan pelanggan meningkatkan keyakinan diri serta memperbaiki kesihatan kulit mereka.

“Maklum balas positif ini adalah pencapaian yang sangat berharga bagi kami.

“Fokus kami adalah untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan menggunakan bahan-bahan premium dan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan pelanggan kami,” kata Pengasas Rissa Skin, Ahmad Shah Rizal.

Salah satu momen kemuncak acara ini adalah pengumuman rasmi pelantikan Fattah Amin sebagai duta baharu Rissa Skin.

Pelakon yang sebelum ini berjaya membawa kejayaan kepada Putey Whitening Coffee kini diberi tanggungjawab sebagai wajah rasmi bagi Intensive Repair Night Cream.

Karisma dan kredibiliti Fattah Amin diharapkan dapat memperkukuh lagi jenama Rissa Skin serta memberikan keyakinan lebih kepada pengguna terhadap keberkesanan produk mereka.

“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan bersyukur dilantik sebagai duta untuk Intensive Repair Night Cream Rissa Skin.

“Saya berharap dapat memberikan yang terbaik dalam peranan ini dan melalui kerjasama ini, saya dapat membantu mengembangkan lagi jenama Rissa Skin,” kata Fattah.

Selain itu, Rissa Skin juga merancang untuk mengembangkan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa, khususnya ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei, dan Singapura, di mana jenama ini juga mendapat sambutan yang amat baik.

Sebagai jenama yang sentiasa komited dalam menghasilkan produk berkualiti menggunakan bahan semula jadi premium, Rissa Skin optimis untuk memperluaskan pengaruh mereka di pasaran global.

Dengan pelantikan duta baharu dan strategi pengembangan yang agresif, Rissa Skin bersedia untuk terus mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan.

MBSA kesal taman tema langgar larangan, teruskan aktiviti gelongsor kaca tanpa kelulusan

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluahkan rasa kesal apabila pengurusan sebuah taman tema terus beroperasi dan menjalankan aktiviti gelongsor kaca (Glass Water Slide) walaupun telah diberikan beberapa notis amaran dan kompaun.

MBSA dalam satu kenyataan berkata, sebuah Notis Amaran telah dikeluarkan pada 19 Januari lalu, mengarahkan agar aktiviti hiburan terbabit dihentikan serta-merta berdasarkan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).

“MBSA telah mengambil langkah tegas dengan menutup tapak projek gelongsor kaca dan menggantung semua aktiviti di lokasi terbabit,” kata kenyataan itu.

Langkah itu diambil untuk memastikan tiada kerja diteruskan tanpa kelulusan rasmi daripada pihak MBSA.

MBSA juga menggesa agar pematuhan terhadap peraturan dilakukan, namun walaupun notis telah dikeluarkan, pemeriksaan semula mendapati pihak pengurusan taman tema itu masih meneruskan aktiviti berkenaan tanpa kelulusan bertulis dan melanggar arahan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu, pada 30 Januari, MBSA mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121, berikutan kegagalan pihak pengurusan untuk mematuhi kehendak notis yang diberikan.

Kenyataan terbabit juga menjelaskan pada 22 November 2024, sebuah Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) turut dikeluarkan untuk mengarahkan pihak berkenaan supaya mengemukakan permohonan kebenaran merancang berhubung pemajuan yang telah dilakukan tanpa kebenaran merancang.

MBSA turut menegaskan tindakan ini diambil bagi memastikan pembangunan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan, demi keselamatan dan kepentingan awam.

 

Malaysia tegas dalam pertahan kedaulatan perairan: tindak balas insiden tembakan di perairan Selangor

Baru-baru ini, insiden tembakan yang melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan warga Indonesia di perairan Selangor telah mencetuskan ketegangan serta protes di Jakarta.

Kejadian ini bukan sahaja membawa kepada demonstrasi dengan slogan “Ganyang Malaysia,” tetapi juga mencetuskan pelbagai persepsi negatif terhadap penguatkuasaan undang-undang maritim Malaysia.

Namun, dalam menilai isu ini, adalah penting untuk mengambil pendekatan yang seimbang berdasarkan prinsip perundangan dan kemanusiaan.

Dalam aspek perundangan antarabangsa, setiap negara berdaulat mempunyai hak mutlak untuk mengawal sempadan maritimnya dan melaksanakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melanggar undang-undang negara berkenaan.

Malaysia, melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), telah bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan tugasnya bagi memastikan perairan negara selamat daripada ancaman pencerobohan atau aktiviti jenayah maritim seperti penyeludupan dan pencerobohan perikanan.

Berdasarkan laporan kejadian, individu yang ditembak dipercayai enggan berhenti dan bertindak agresif terhadap anggota penguat kuasa.

Dalam situasi ini, pegawai Maritim Malaysia perlu bertindak mengikut protokol keselamatan, termasuk penggunaan senjata api jika wujud ancaman nyawa.

Ini adalah selaras dengan hak mempertahankan diri yang termaktub dalam perundangan Malaysia dan prinsip undang-undang antarabangsa.

Ini bukanlah kali pertama anggota Maritim Malaysia diserang warga asing ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.

Pada 17 Ogos 2020, seorang nelayan asing maut setelah terkena tembakan susulan tindakan agresif mereka untuk mengelak dari ditangkap kerana menceroboh perairan negara.

Tindakan agresif tersebut melibatkan serangan bom api oleh nelayan tersebut. Pada 21 Ogos 2024, dua orang anggota Maritim Malaysia cedera diserang dengan objek tajam manakala seorang lagi terjatuh ke dalam laut semasa membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Kedua-dua insiden di atas menunjukkan niat para nelayan asing untuk mendatangkan cedera atau kematian anggota-anggota penguatkuasaan kita.

Dari perspektif hak asasi manusia, setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara profesional dan berlandaskan prinsip keperluan dan kesepadanan (necessity and proportionality).

Dalam kes ini, tindakan tembakan yang dilepaskan bukanlah bersifat membuta tuli atau disengajakan, tetapi merupakan tindak balas terhadap ancaman yang diberikan oleh pihak yang enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.

Tuntutan sebilangan masyarakat Indonesia agar pegawai yang terlibat disiasat adalah sesuatu yang wajar dalam memastikan ketelusan, tetapi pada masa yang sama, perlu difahami bahawa tindakan mempertahankan keselamatan negara tidak boleh disalah tafsir sebagai pencabulan hak asasi.

Setiap negara berhak menegakkan undang-undang di perairannya tanpa perlu tunduk kepada tekanan emosi atau sentimen luar.

Dalam menghadapi reaksi yang tercetus daripada insiden ini, penting bagi kedua-dua negara untuk mengelakkan eksploitasi sentimen kebencian yang boleh menggugat hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Malaysia dan Indonesia berkongsi nilai budaya, sejarah, serta kepentingan strategik yang perlu terus diperkukuh demi kestabilan serantau.

Sebagai langkah meredakan ketegangan, komunikasi diplomatik perlu diperhebat antara kedua-dua negara bagi memastikan fakta yang sebenar dapat diperjelaskan kepada masyarakat.

Media massa dan pihak berkepentingan juga harus memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam melaporkan kejadian tanpa unsur provokasi atau berat sebelah yang boleh memburukkan keadaan.

Majlis Perundingan Melayu mengambil pendirian untuk menyokong sebarang usaha Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi di bawah naungannya dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Kedaulatan sesebuah negara dan keselamatan rakyatnya adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Pada masa yang sama, setiap tindakan penguatkuasaan harus mematuhi prinsip keperluan dan kesepadanan agar tidak disalah anggap sebagai tindakan keterlaluan.

Dalam isu ini, Maritim Malaysia telah bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan, dan sebarang tuntutan agar kes ini disiasat perlu dilakukan secara profesional tanpa dipengaruhi oleh emosi atau tekanan luar.

Sebagai negara serumpun, Malaysia dan Indonesia harus mengelakkan retorik kebencian yang hanya akan merugikan kedua-dua pihak. Sebaliknya, ruang diplomasi dan persefahaman harus terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan serantau dapat dikekalkan demikepentingan bersama.

Oleh : KAPT ABDUL RAHMAT OMAR MOHAMED HANIFF (BERSARA)PENGERUSI BIRO KESELAMATAN, PERTAHANAN, KETENTERAMAN AWAM DAN DUNIA PERSILATANMAJLIS PERUNDINGAN MELAYU

Anwar tegur ‘pemimpin lama’ yang pertikai usaha pembangunan Gaza

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegur keras pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu pembangunan semula Gaza, Palestin.

Anwar kecewa dengan sindiran seorang bekas menteri kabinet yang menyatakan Malaysia seharusnya fokus pada masalah negara terlebih dahulu sebelum membantu negara lain.

“Ini satu usaha yang mulia. Namun, ada golongan yang mengkritik, mengatakan bahawa kita belum selesai menangani masalah di sekolah dan kampung sendiri, jadi kenapa perlu membantu orang lain?.

“Dalam Islam, kita diajar untuk sentiasa membantu, tidak kira apa masalah kita,” kata Anwar.

Walaupun tidak menyebut secara langsung nama bekas menteri terbabit, Anwar menyifatkan kritikan itu sebagai tidak wajar, apatah lagi ketika Gaza dan Palestin sedang melalui penderitaan yang luar biasa akibat konflik yang berpanjangan sejak Perang Dunia Kedua.

Sebelum itu, Anwar mengumumkan Malaysia akan bekerjasama dengan sektor swasta untuk membina sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha membantu membangunkan semula Gaza.

Usaha ini turut mendapat sokongan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang berkomitmen untuk meneruskan inisiatif pembangunan semula Gaza melalui Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Kritikan terhadap inisiatif ini bermula apabila seorang bekas menteri dilaporkan berkata pemimpin Malaysia perlu mengutamakan keperluan rakyat terlebih dahulu sebelum membabitkan diri dalam usaha membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Meskipun menghargai niat murni berkenaan, bekas menteri itu berpendapat pembangunan semula Gaza mungkin sia-sia selagi hak milik tanah terbabit belum diputuskan secara jelas oleh badan antarabangsa.

“Meskipun usaha ini wajar dipuji, kita perlu memberi perhatian kepada masalah yang berlaku di negara kita, terutamanya di kawasan luar bandar, termasuk isu sekolah, hospital kerajaan, dan tempat beribadat yang memerlukan pembaikan segera,” tambah beliau.

Namun, Anwar tetap berpendirian bahawa usaha untuk membantu rakyat Palestin adalah langkah yang seharusnya dilakukan, tanpa mengabaikan keperluan domestik.

 

LIMBUNGAN: TRAGEDI HITAM 1975 – Kisah serangan harimau jadian di Kampung Limbungan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Kepercayaan terhadap harimau jadian, makhluk mitologi yang dipercayai wujud hasil amalan ilmu hitam, cukup kuat dalam kalangan masyarakat Melayu zaman dahulu.

Menariknya, kepercayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada syarikat produksi Lil Studios Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem thriller, Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Pengarah filem ini, Fazli Yasin, berkata, filem ini mengajak penonton untuk menyelami dunia mitos harimau jadian, sekaligus membawa mereka ke dalam latar belakang konflik pembangunan di sebuah kampung pada era 1970-an.

“Sejak kecil lagi, saya sering melukis makhluk-makhluk mitologi Melayu, termasuk harimau jadian.

“Filem ini adalah salah satu cara saya menzahirkan minat dan cinta terhadap seni dan mitologi Melayu,” katanya.

Limbungan: Tragedi Hitam 1975 mengisahkan tentang Ramli dan Malik yang dihantar ke Kampung Limbungan untuk menyelesaikan projek yang terbengkalai.

Namun, mereka tidak menyangka akan diserang oleh harimau jadian yang menakutkan, memaksa mereka bergelut untuk terus hidup.

Filem ini menampilkan Amerul Affendi dan Kodi Rasheed sebagai watak utama, selain pelakon-pelakon lain seperti Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim, Zainal Isa, Nor Albaniah, Chacha Maembong dan Azan Addin.

Fazli berkata, kisah harimau jadian ini sebenarnya pernah dicatatkan oleh Sir Hugh Clifford, Residen Pahang yang berkhidmat dari 1896 hingga 1903.

Dalam catatan berkenaan, terdapat kisah serangan harimau jadian terhadap sebuah keluarga.

“Harimau jadian ini adalah pengamal ilmu hitam yang membuat perjanjian dengan iblis, dan hanya meminum darah mangsanya, bukan memakan mereka sepenuhnya.

“Elemen-elemen ini digambarkan dalam filem ini, bersama kisah sejarah projek hidroelektrik di Tasik Kenyir pada tahun 1975,” katanya.

Berkongsi cabaran besar dalam pembikinan filem ini, Fazli berkata, adalah mencari lokasi yang sesuai.

“Kita perlu mencari kawasan dengan bentuk muka bumi berbatu, berair, serta pohon-pohon besar.

“Namun, kerana kos yang tinggi untuk penggambaran di hutan sebenar, kami terpaksa membina set hutan buatan yang besar,” katanya.

Selain itu, mereka juga perlu menghasilkan kostum harimau jadian yang realistik dan Fazli mencipta tujuh versi kostum sebelum memilih yang terbaik.

Fazli juga bersyukur apabila filem ini bebas potongan 100 peratus daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Setelah menjalani penggambaran pada Februari 2024, Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 6 Februari 2025.

SINOPSIS

Limbungan mengisahkan Ramli dan Malik, dua pekerja Syarikat Maju Jaya, yang dihantar ke Kampung Limbungan pada tahun 1975 untuk menyelesaikan rundingan tanah bagi pembinaan stesen hidroelektrik.

Namun, penduduk kampung enggan melepaskan tanah warisan mereka, tambahan pula kampung itu dihantui harimau jadian yang muncul setiap kali gerhana bulan berdarah.

Ketibaan Ramli dan Malik pada masa yang salah membawa mereka ke dalam konflik getir, di mana mitos dan realiti bersatu dalam suasana penuh ketegangan.

Koleksi SLAY-SA: Kolaborasi pereka fesyen Seth & Luna bersama Shawl Publika, gabungan gaya dan keselesaan untuk Hari Raya 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Duo pereka fesyen terkenal, Seth dan Luna, melancarkan koleksi terbaru mereka, SLAY-SA, hasil kolaborasi kedua bersama Shawl Publika.

Seth dan Luna yang diterajui oleh Jimiey Whang dan Irie Mohamed itu berkata, rekaan kali ini mereka mengutamakan material ringan yang sangat sesuai dengan cuaca Malaysia, menjadikan koleksi ini bukan sahaja ideal untuk musim perayaan, tetapi juga untuk acara-acara lain sepanjang tahun.

“Kami ingin membawa rekaan yang simple namun elegan, mudah dipakai di pelbagai acara.

“Kami menekankan potongan moden dan longgar yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Selain itu, kami menambah elemen manik berkilauan untuk memberi sentuhan glamor yang memukau sesiapa yang memakainya,” kata mereka selepas majlis pelancaran koleksi berkenaan yang diadakan di di Starhill, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas Shawl Publika, Nur Hidayu Zorkafli dan Iskandar A. Suffian berkata, mereka memuji kreativiti duo pereka ini dan menyifatkan sangat mudah bekerjasama dengan mereka.

Malah rekaan-rekaan Seth dan Luna selalu segar dan memenuhi cita rasa pelanggan mereka.

“Koleksi kali ini adalah realisasi permintaan pelanggan yang mahukan rekaan baju raya yang simple tetapi tetap bergaya. “Kami juga memasukkan elemen baju kedah digabungkan dengan seluar palazo, sesuai untuk mereka yang ingin tampil bergaya tanpa mengorbankan keselesaan,” katanya.

Dalam pada itu, Shawl Publika turut mengumumkan pelantikan pempengaruh fesyen dan model, Farah Ain Syazwani Hamdan (lebih dikenali sebagai Farah Deluna), sebagai duta Shawl Publika Raya 2025.

Manakala, Nurul Aliyah Balqis pula dipilih sebagai duta Shawl Publika Indonesia.

Selebriti terkenal Scha Al Yahya dan Meerween Hanees Natasha turut dilantik sebagai wajah kempen Shawl Publika x Seth Luna.

Koleksi SLAY-SA adalah pemilihan bahan yang luar biasa Menggunakan fabrik premium seperti jacquard lembut, crepe yang nyaman, dan satin poli matte, koleksi ini menjanjikan pengalaman berpakaian yang mewah dan menyegarkan.

Fabrik-fabrik ini bukan sahaja menyenangkan sentuhan tetapi juga memberikan kebolehnafasan yang tinggi dan pilihan ideal untuk cuaca tropika Malaysia.

SLAY-SA menggabungkan elemen tradisional dengan rekaan moden. Diilhamkan oleh baju kurung kedah yang klasik, siluet pakaian dalam koleksi ini mencerminkan ciri-ciri drape, flounce, dan flare yang memberikan keanggunan dan keselesaan.

Setiap helaian dirancang dengan tujuan untuk menghidupkan semula konsep pakaian raya yang ringan dan praktikal, sambil mengekalkan keindahan tradisi.

Koleksi ini adalah hasil usaha selama empat bulan dalam merancang dan menghasilkan reka bentuk yang sempurna.

Setiap helaian dicipta dengan penuh perhatian untuk memberikan keselesaan dan sofistikasi kepada pemakai.

Setiap rekaan membawa emosi keselesaan, menjadikan setiap pemakai merasai perayaan yang lebih bermakna dan tidak terlupakan.

SLAY-SA sudahpun dilancarkan secara rasmi di laman web Sethandluna_malaya bermula hari ini, 31 Januari 2025.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang pertama memiliki koleksi istimewa ini, yang menggabungkan reka bentuk moden dengan bahan berkualiti tinggi.

Untuk maklumat lanjut dan untuk membeli koleksi SLAY-SA, layari laman web rasmi di www.shawlpublika.com/home.