28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 121

Program amal ASIA beri peluang influencer dekatkan diri dengan masyarakat

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Meraikan sambutan Tahun Baru Cina, seramai 13 orang influencer berkumpul di Rumah Anak Yatim dan OKU Mesra, Petaling Jaya, bagi menjayakan program amal anjuran ASIA Influencer Stars.

Acara ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan penglibatan influencer dalam dunia kebajikan, tetapi juga memperkukuhkan peranan mereka dalam memberi impak positif kepada masyarakat melalui tindakan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperlihatkan influencer sebagai agen perubahan yang turut memainkan peranan penting dalam kegiatan kebajikan.

Menurutnya, dengan pengaruh yang dimiliki, influencer mampu mendorong pengikut mereka untuk turut serta dalam aktiviti sosial dan membantu golongan yang memerlukan.

“Kami ingin mengubah persepsi bahawa influencer hanya menghasilkan kandungan hiburan semata-mata.

“Sebaliknya, mereka juga turut memberikan sumbangan besar kepada masyarakat,” katanya.

Pada program amal itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan harian, dan makanan kepada penghuni rumah anak yatim dan OKU.

Selain daripada sumbangan material, acara ini juga memberikan ruang kepada influencer yang hadir untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti yang mereka bantu disamping mempereratkan lagi hubungan mereka dengan masyarakat.

Lebih menarik, program amal ini turut merangkumi pelbagai aktiviti sosial lain seperti pertandingan e-sports, futsal, dan sesi memasak yang menggalakkan kerjasama dalam kalangan influencer.

Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk bertukar idea, belajar bersama, dan menghasilkan kandungan yang lebih bermakna untuk pengikut masing-masing.

Salah seorang selebriti yang terbabit, Harissa Adlynn berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan aktiviti kebajikan.

“Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan kerja amal oleh ibu bapa dan saya anggap kerja kebajikan ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga sebagai satu bentuk pembelajaran hidup.

“Kebajikan adalah cara untuk memberi kembali kepada masyarakat. Ia juga menanamkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan,” katanya.

Harissa berkata, dia berterima kasih kepada penganjur yang sentiasa memberi peluang kepada anak muda untuk terbabit dalam program kebajikan.

Malah, dia sendiri juga aktif bekerjasama dengan NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) yang membantu warga tua dan pelarian dari negara-negara bergolak seperti Syria dan Palestin.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Harissa tetap mencari ruang untuk memberikan sumbangan.

Program amal yang dianjurkan oleh ASIA ini bukanlah sekadar inisiatif sekali, tetapi usaha berterusan untuk mengangkat peranan influencer sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Dengan sokongan daripada NGO dan komuniti, penganjur berharap lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Dengan kesedaran dan usaha berterusan, influencer dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat dan industri tempatan.

Bulan Bintang rayakan sedekad kejayaan dengan pertunjukan fesyen menyinar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bulan Bintang, jenama fesyen yang semakin berkembang pesat, telah mengadakan pertunjukan fesyen istimewa bertajuk “Sedekad Menyinar” untuk meraikan ulang tahun ke-10 mereka.

Pertunjukan berprestij ini berlangsung di KL Convention Center, Kuala Lumpur, dan mempersembahkan koleksi raya ready-to-wear (RTW) untuk seisi keluarga dengan lebih 70 pilihan warna yang memukau.

Bulan Bintang turut memperkenalkan koleksi Baju Melayu dengan tiga potongan baru iaitu Slim Fit, Tailored Fit, dan Traditional Fit, lengkap dengan pilihan kain yang lebih lembut, ringan, dan sejuk, direka untuk keselesaan sepanjang hari.

Sebagai jenama yang inklusif, koleksi kali ini turut tersedia dalam saiz sehingga 8XL, menawarkan pelbagai pilihan kurta untuk semua.

Kesemua koleksi ini diperagakan oleh selebriti-selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Johan Ghazali, dan Hannah Delisha.

Selain itu, Bulan Bintang turut memperkenalkan barisan duta khas yang turut memeriahkan acara, antaranya Zahiril Adzim, Ain Edruce, Aiman Hakim Ridza, Mimi Lana, Dato’ Jalaluddin Hassan, Zamarul Hisham dan ramai lagi.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, berkata, pihaknya bersyukur atas sokongan rakyat Malaysia yang telah membantu jenama ini terus berkembang dan bersinar selama sedekad ini. Beliau turut menekankan bahawa kejayaan Bulan Bintang adalah hasil daripada penambahbaikan berterusan dalam kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan yang menjadi keutamaan mereka.

“Sebagai penghargaan kepada pembeli setia, Bulan Bintang menawarkan pelbagai hadiah menarik hasil kolaborasi dengan jenama-jenama terkenal.

“Hadiah utama termasuk 1kg jongkong emas dari GB Gold, tiket penerbangan percuma selama setahun dari AirAsia, RM150,000 duit raya dari Hausboom, serta pelbagai hadiah lain yang bernilai keseluruhan RM10 juta,” katanya.

Pertunjukan fesyen ini turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh Zeppo Youngsterz Dancer, Datuk Jamal Abdillah, serta Bunkface.

Selain itu, turut diadakan pengumuman pemenang Bulan Bintang Next Top Model yang menampilkan finalis dari kalangan orang awam berusia antara 40 hingga 70 tahun. Pemenang membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000.

Azzim berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen tahun ini dan mengajak orang ramai untuk membeli koleksi Sedekad Menyinar Bulan Bintang di 15 butik rasmi di seluruh negara serta melalui platform TikTok, yang juga rakan kerjasama strategik mereka, dengan penghantaran ke seluruh Malaysia diuruskan oleh Ninjavan sebagai rakan logistik rasmi.

Pandangan Selebriti Terkenal

Memilih untuk menjadi duta Bulan Bintang, Datuk Rosyam Nor berkata, beliau tertarik dengan usaha jenama ini yang sentiasa menambahbaik dan memperkenalkan koleksi yang lebih berkualiti setiap tahun.
Sementara itu, Shukri Yahaya pula berkata, beliau terus yakin dengan Bulan Bintang kerana jenama ini sentiasa berusaha memperbaiki kualiti produk dan memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik.

Bagi Datuk Remy Ishak, kualiti dan idea pemasaran yang luar biasa menjadi faktor utama beliau terus memilih Bulan Bintang sebagai jenama yang diwakilinya.

Untuk Syafiq Kyle pula, yang jarang menjadi duta untuk jenama fesyen lain, turut mengagumi usaha Bulan Bintang dalam memberikan penghargaan kepada pembeli mereka melalui hadiah bernilai RM10 juta tahun ini.

Kehadiran Selebriti dalam Dunia Fesyen

Pertunjukan fesyen ini turut menampilkan selebriti seperti Johan Ghazali, yang menjelaskan pentingnya memilih baju melayu yang tepat bagi mewakili budaya Malaysia dalam acara antarabangsa.

Hannah Delisha pula memuji koleksi raya Bulan Bintang yang lebih segar dan kontemporari, dengan pilihan untuk kanak-kanak dan keluarga.

Sambutan untuk koleksi Sedekad Menyinar Bulan Bintang ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan jenama ini dalam industri fesyen Malaysia, menjadikannya pilihan utama bagi pakaian raya dan lebih banyak lagi.

Syaiful Rizal dilantik CEO Yayasan Bank Rakyat, pemangkin keberhasilan baru

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu.

Pelantikan ini telah dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, dan disetujui oleh Lembaga Pemegang Amanah YBR.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Syaiful Rizal, yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar YBR, dilantik sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula dalaman organisasi berkenaan.

“Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuhkan prestasi, meningkatkan kecekapan, serta memastikan integriti Yayasan Bank Rakyat.

“Sepanjang perkhidmatannya, Syaiful Rizal telah berjaya memimpin YBR mencapai pelbagai pencapaian membanggakan.

“Antaranya, YBR telah menerima anugerah Top Community Centric Companies in Asia di ACES Award 2024 yang diadakan di Bangkok, Thailand,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Yayasan ini juga meraih Anugerah Yayasan Tahunan dalam kategori perbankan pada tahun 2022, 2023, dan 2024 serta anugerah khas Champion CSR Award di Bumiputera Business Excellence Award pada tahun 2023.

Pada tahun 2023 juga, YBR disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan di negara ini yang memperoleh markah penuh dalam penilaian ketelusan yang melibatkan lebih 1,600 yayasan oleh WIKI Impact.

Dengan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat, Lembaga Pemegang Amanah YBR yakin Syaiful Rizal mampu memimpin yayasan ini menuju kecemerlangan yang lebih tinggi, dan memperkukuhkan peranan YBR dalam masyarakat.

Pra-peluncuran dua dekad Maritim Malaysia: Perisai samudera negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan Majlis Pra-Peluncuran Dua Dekad Maritim Malaysia dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’ di perkarangan Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi serta pegawai Maritim Malaysia.

Dalam majlis penuh bermakna ini, logo rasmi sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia turut dilancarkan bersama lagu rasmi bertajuk ‘Terpuji’, yang turut dilancarkan oleh Mohd Rosli.

Keunikan acara ini juga dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemimpin kanan Maritim Malaysia termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Nor Hisham Ibrahim, dan beberapa lagi tokoh penting.

Sebagai simbolik kepada tema sambutan, gimik pelancaran turut membabitkan kesemua hadirin yang meluncurkan Seahawk Origami, mewakili ‘Helang Samudera’ – simbol Agensi ini sebagai penjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.

Maritim Malaysia akan merayakan ulang tahun ke-20 pada 15 Februari nanti, dan sambutan tahun ini bakal berlangsung di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang.

Dengan tema yang memfokuskan kepada peranan Maritim Malaysia dalam menjaga kedaulatan perairan negara, sambutan ini dijangka menjadi satu peristiwa bersejarah dalam perjalanan agensi terbabit.

Semak tawaran sebelum terima, elak dieksploitasi – Karyawan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Golongan artis dan selebriti diingatkan agar lebih berhati-hati dan melakukan semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran, terutama jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.

Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez berkata, langkah ini sangat penting bagi mengelakkan artis dieksploitasi oleh perniagaan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Menurutnya, selain boleh merosakkan reputasi peribadi artis, tindakan terbabit juga berisiko mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan secara keseluruhannya.

“Sebagai langkah pencegahan, saya sarankan artis untuk mendapatkan nasihat profesional, terutamanya dalam hal kewangan dan perundangan.

“Jangan terburu-buru menandatangani kontrak tanpa memahami kesan dan implikasinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Freddie berkata, kebanyakan artis mungkin tidak sedar mereka sedang dieksploitasi oleh sindiket licik.

Tawaran yang kelihatan menarik seperti menjadi duta produk, menerima tajaan, atau membuat persembahan mungkin dilihat sebagai peluang pendapatan utama, namun ia boleh berisiko tinggi.

“Modus operandi sindiket ini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah menjalankan perniagaan sah di sisi undang-undang, sehingga artis bersetuju menerima tawaran berkenaan tanpa menyedari bahayanya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa selebriti, termasuk ikon tempatan, dilaporkan berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam sindiket tawaran pinjaman.

Setakat ini, seramai 27 individu ditahan, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan, dan seorang orang awam, namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Freddie berkata, kejadian sebegini bukanlah sesuatu yang baru, malah ia sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.

“Golongan manipulatif ini sering mengambil kesempatan dengan menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka yang besar dalam masyarakat.

“Kehadiran artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah,” katanya.

Beliau berkata, penting bagi artis untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terperangkap dalam sindiket yang boleh merosakkan karier dan reputasi mereka.

OpenAI lancar alat ‘Deep Research’, tanggapi persaingan dengan DeepSeek

editormaxinfo@gmail.com

SAN FRANCISCO – OpenAI baru-baru ini melancarkan alat terbaru mereka, ChatGPT ‘deep research’, sebagai langkah balas terhadap kebangkitan DeepSeek, chatbot kos rendah dengan prestasi tinggi yang dibangunkan di China, yang semakin mencabar kedudukan mereka dalam dunia teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut kenyataan daripada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) ini, “Deep research” adalah ejen AI canggih yang mampu melakukan kerja penyelidikan secara menyeluruh, termasuk menganalisis dan mensintesis beratus-ratus sumber dalam talian untuk menghasilkan laporan komprehensif pada tahap yang setara dengan penganalisis kajian profesional.

Sejak pelancarannya pada 2022, ChatGPT telah menjadi pilihan ramai pengguna kerana keupayaannya menyelesaikan pelbagai tugas yang biasanya memakan masa berjam-jam dalam hanya beberapa minit.

Kini, dengan alat “deep research” ini, OpenAI berhasrat untuk melangkah lebih jauh dalam memberikan hasil yang lebih mendalam dan tepat dalam pelbagai bidang seperti kewangan, sains, dasar, dan kejuruteraan.

Pada satu video strim langsung yang dipaparkan, alat ini telah menunjukkan keupayaannya mensintesis data carian web untuk memberi cadangan peralatan ski terbaik yang boleh dibeli bagi percutian ke Jepun, membuktikan kehebatan dalam aplikasi dunia nyata.

Kebimbangan OpenAI semakin ketara apabila DeepSeek, yang kini menguasai carta muat turun pengguna di AS, mengancam dominasi mereka.

Sebagai reaksi pantas, OpenAI memperkenalkan alat “deep research” untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran AI yang semakin kompetitif.

Namun, difahamkan alat “deep research” ini hanya tersedia untuk pengguna Pro dengan bayaran langganan sebanyak AS$200 (RM875) sebulan.

Ini menandakan hanya pengguna yang bersedia melabur untuk mendapatkan akses kepada keupayaan penyelidikan yang lebih mendalam ini. -Agensi

Aina Abdul dominasi undian Vokal Terbaik AJL39, raih hampir 30,000 undian

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik tanah air sekali lagi menunjukkan sokongan padu mereka terhadap Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), apabila sesi undian versi media sosial mencatatkan angka yang menakjubkan.

Dengan jumlah keseluruhan hampir 40,000 undian terkumpul sepanjang pusingan 1 hingga 3, manakala pusingan akhir sahaja meraih lebih 32,000 undian, gelombang sokongan ini jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam acara berprestij ini.

Undian versi media sosial berlangsung dari 22 hingga 30 Januari 2025 melalui Instagram Story di akaun rasmi TV3, @tv3malaysia, dan walaupun ia tidak akan mempengaruhi keputusan rasmi AJL39, ia tetap menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara peminat dan artis.

Bagi kategori vokal terbaik, Aina Abdul telah mencuri tumpuan ramai apabila meraih hampir 30,000 undian individu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang bintang paling berpengaruh di AJL39.

Kejayaan ini membuktikan betapa kuatnya sokongan peminat terhadap bakat dan persembahannya di pentas AJL, memberikan indikasi bahawa Aina bakal menjadi antara calon utama dalam pertandingan berkenaan.

Jangan lupa untuk menyaksikan Nadeera, yang tampil buat kali pertama di pentas AJL39.

Dengan vokalnya yang mantap dan persembahannya yang pasti memukau, Nadeera dijangka menjadi saingan hebat yang bakal menambah kemeriahan malam kemuncak AJL39.

Bakatnya yang luar biasa menjanjikan persaingan sengit antara finalis.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-39 pada 16 Februari 2025, jam 9 malam, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Acara yang penuh gemilang ini akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton, memberi peluang kepada peminat muzik tanah air di seluruh negara untuk menyaksikan persembahan memukau dari 10 finalis terpilih.

Pengarah Projek, Russell Mark Rodrigues dan Penerbit Eksekutif Jamil Hassan menjanjikan sebuah persembahan yang tidak akan dilupakan.

Perkenal album ‘Jati Diri’, Faizal Tahir angkat kenduri kendara sebagai simbol semangat perpaduan

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, kembali dengan album terbaru berjudul Jati Diri, hasil kolaborasi dengan penerbit muda berbakat, Glowrush.

Mereka berdua berfungsi sebagai duo yang dikenali sebagai Let Zapin. Apa yang lebih menarik, pelancaran album ini memperkenalkan konsep kenduri kendara yang unik, yang menggabungkan elemen tradisional seperti rewang dan semangat gotong-royong.

Bukan sekadar tema pelancaran, konsep kenduri ini membawa mesej yang lebih mendalam, mewakili budaya dan nilai perpaduan yang semakin dilupakan dalam masyarakat moden.

Faizal sendiri mengakui konsep ini sangat dekat di hatinya, kerana ia melambangkan kebersamaan dan semangat saling membantu, yang sangat penting dalam kehidupan kita hari ini.

“Konsep ini menggambarkan perkara baik seharusnya dikongsi bersama.

“Apabila kita berkumpul untuk tujuan positif, kita bukan sahaja mendapat keberkatan, tetapi juga mengukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Album Jati Diri bukan sekadar karya muzik, tetapi juga satu peringatan untuk kita menghargai akar budaya dan identiti bangsa dalam dunia yang semakin global.

Faizal mengakui bahawa inspirasi utamanya adalah melihat betapa jati diri masyarakat kita semakin hilang akibat arus globalisasi.

Beliau berharap album ini dapat mengingatkan semua orang tentang pentingnya memahami dan menghargai asal-usul serta budaya kita.

Album ini turut menampilkan dua tokoh besar dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M. Nasir, sebagai penyanyi undangan.

Pilihan mereka bukan sahaja kerana pengaruh besar yang mereka miliki, tetapi juga kerana kebijaksanaan mereka dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya muzik mereka.

Dari segi muzik dan lirik, Jati Diri membawa pendekatan yang lebih berakar kepada budaya tempatan berbanding album Faizal sebelum ini.

Cabaran utama dalam penghasilan album ini adalah memastikan setiap elemen dalam lagu-lagu terbabit mencerminkan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

Lagu pertama yang diperkenalkan dari album ini, Orang Kampung, adalah sebuah lagu ceria yang menggambarkan kehidupan desa yang penuh dengan kehangatan dan semangat kebersamaan.

Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan kebaikan serta nilai kehidupan masyarakat kampung, lagu ini membawa pendengar menikmati keindahan budaya tradisional.

Selain sebagai hiburan, lagu ini juga sebuah penghormatan kepada semangat gotong-royong dan kasih sayang yang kekal dalam masyarakat kampung.

“Saya cuba menyampaikan mesej yang kreatif dan kontemporari dalam muzik ini, tanpa mengorbankan nilai-nilai tradisional yang penting.

“Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden untuk tetap relevan di hati peminat muda,” katanya.

Video lirik Orang Kampung kini sudah boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir, manakala album Jati Diri akan dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 7 Februari 2025.

Album ini dijangka akan memberi nafas baru kepada industri muzik tempatan, dengan mengangkat identiti budaya dan nilai tradisional yang sarat dengan makna.

“Langit Ke Tujuh”: Kisah ketaasuban yang membawa kemusnahan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah drama yang menggugah minda dan menyentuh hati, Langit Ke Tujuh akan mengangkat kisah penuh ketaksuban yang mengancam membawa kemusnahan, menampilkan manipulasi ajaran sesat yang berakar dari pengaruh kepercayaan yang membingungkan.

Drama ini disiarkan secara eksklusif di Tonton bermula 23 Januari 2025, setiap Isnin dan Khamis.

Langit Ke Tujuh mengisahkan dunia penuh kegelapan yang dibayangi oleh seorang pemimpin karismatik, Ayah Abdul (Zamarul Hisham), yang mengetuai komuniti agama Tanah Surgo.

Komuniti ini menganggap dirinya sebagai penyelamat umat, namun adakah kepercayaan yang dipimpin oleh Ayah Abdul benar-benar mengarah kepada Tuhan?

Saksikan bagaimana ketaasuban ini membawa kepada penyesatan yang lebih dalam, menjerat mereka yang terperangkap.

Drama ini bukan sahaja memperkenalkan kisah penuh pengajaran tentang bahaya ajaran sesat, tetapi juga menghadirkan elemen keagamaan yang mampu membuka mata penonton.

Diterbitkan oleh Luqsar Kreatif Sdn Bhd dan diarahkan oleh Heykal Hanifah, Langit Ke Tujuh menggabungkan barisan pelakon hebat seperti Zamarul Hisham, Nora Danish, Farahdhiya, Faezah Elai, Chacha Maembong, Nafiz Muaz, dan Datuk Fauziah Nawi.

Kisah ini berpusat pada Ayah Abdul, seorang pemimpin agama yang berpegang pada ajaran yang membenarkan segala bentuk ketaksuban.

Isteri-isteri Ayah Abdul, Kalsom (Nora Danish), Zaynab (Farahdhiya), dan Suhana (Faezah Elai), hidup di bawah cengkaman kepercayaan terbabit.

Namun, kedatangan Zahara (Chacha Maembong), wanita muda yang terpengaruh untuk menjadi isteri keempat, mencetuskan perubahan.

Setelah menyedari kebobrokan ajaran Tanah Surgo, Zahara berusaha keras untuk mengungkapkan kebenaran yang disembunyikan.

Pada masa yang sama, Yusuf (Nafiz Muaz) yang kembali ke Tanah Surgo untuk meluangkan masa bersama ibunya, Mak Ina (Datuk Fauziah Nawi), semakin meragui ajaran itu.

Ketika melihat ibunya semakin terjerat, Yusuf bertekad untuk menyelamatkannya daripada ajaran sesat yang semakin membelenggu.

Memegang watak Ayah Abdul, Zamarul Hisham berkongsi cabaran lakonannya dan mengakui watak Ayah Abdul sangat berbeza dengan apa yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Ia benar-benar mencabar kerana membabitkan soal agama. Setiap kali melontarkan dialog yang menggerunkan, saya merasakan kesannya, walaupun hanya lakonan.

“Setiap kali selesai penggambaran, saya perlu beristighfar dan solat taubat untuk membersihkan hati saya.

Langit Ke Tujuh penuh dengan pengajaran tentang bahaya penipuan, agenda tersembunyi, dan ketaasuban yang boleh membawa kepada kesesatan.

“Saya harap penonton akan mendapatkan kesedaran selepas menontonnya,” katanya.

Drama ini akan membawa penonton merasai pengalaman yang penuh ketegangan dan emosi, membuatkan mereka bertanya-tanya apakah ajaran seperti ini benar-benar wujud.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Langit Ke Tujuh, sebuah drama yang pasti membuka mata dan memberi kesedaran, hanya di Tonton.