editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu.
Pelantikan ini telah dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, dan disetujui oleh Lembaga Pemegang Amanah YBR.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Syaiful Rizal, yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar YBR, dilantik sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula dalaman organisasi berkenaan.
“Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuhkan prestasi, meningkatkan kecekapan, serta memastikan integriti Yayasan Bank Rakyat.
“Sepanjang perkhidmatannya, Syaiful Rizal telah berjaya memimpin YBR mencapai pelbagai pencapaian membanggakan.
“Antaranya, YBR telah menerima anugerah Top Community Centric Companies in Asia di ACES Award 2024 yang diadakan di Bangkok, Thailand,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Yayasan ini juga meraih Anugerah Yayasan Tahunan dalam kategori perbankan pada tahun 2022, 2023, dan 2024 serta anugerah khas Champion CSR Award di Bumiputera Business Excellence Award pada tahun 2023.
Pada tahun 2023 juga, YBR disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan di negara ini yang memperoleh markah penuh dalam penilaian ketelusan yang melibatkan lebih 1,600 yayasan oleh WIKI Impact.
Dengan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat, Lembaga Pemegang Amanah YBR yakin Syaiful Rizal mampu memimpin yayasan ini menuju kecemerlangan yang lebih tinggi, dan memperkukuhkan peranan YBR dalam masyarakat.

