31.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

Semak tawaran sebelum terima, elak dieksploitasi – Karyawan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Golongan artis dan selebriti diingatkan agar lebih berhati-hati dan melakukan semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran, terutama jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.

Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez berkata, langkah ini sangat penting bagi mengelakkan artis dieksploitasi oleh perniagaan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Menurutnya, selain boleh merosakkan reputasi peribadi artis, tindakan terbabit juga berisiko mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan secara keseluruhannya.

“Sebagai langkah pencegahan, saya sarankan artis untuk mendapatkan nasihat profesional, terutamanya dalam hal kewangan dan perundangan.

“Jangan terburu-buru menandatangani kontrak tanpa memahami kesan dan implikasinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Freddie berkata, kebanyakan artis mungkin tidak sedar mereka sedang dieksploitasi oleh sindiket licik.

Tawaran yang kelihatan menarik seperti menjadi duta produk, menerima tajaan, atau membuat persembahan mungkin dilihat sebagai peluang pendapatan utama, namun ia boleh berisiko tinggi.

“Modus operandi sindiket ini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah menjalankan perniagaan sah di sisi undang-undang, sehingga artis bersetuju menerima tawaran berkenaan tanpa menyedari bahayanya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa selebriti, termasuk ikon tempatan, dilaporkan berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam sindiket tawaran pinjaman.

Setakat ini, seramai 27 individu ditahan, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan, dan seorang orang awam, namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Freddie berkata, kejadian sebegini bukanlah sesuatu yang baru, malah ia sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.

“Golongan manipulatif ini sering mengambil kesempatan dengan menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka yang besar dalam masyarakat.

“Kehadiran artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah,” katanya.

Beliau berkata, penting bagi artis untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terperangkap dalam sindiket yang boleh merosakkan karier dan reputasi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular