editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Majikan yang merancang untuk menutup operasi perniagaan lebih dari hari kelepasan am sempena Tahun Baharu Cina diingatkan agar tidak memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh terbabit.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pekerja yang mendakwa segelintir majikan cuba memaksa mereka mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji ketika syarikat ditutup.
Kesuma menegaskan pekerja mempunyai hak untuk menentukan bila mereka ingin memohon cuti tahunan, dan majikan tidak boleh memaksa mereka untuk mengambil cuti terbabit demi mengurangkan kos operasi perniagaan.
“Cuti tahunan dan cuti tanpa gaji adalah hak pekerja yang perlu dipohon dan dipersetujui oleh mereka, dan bukan sebagai keputusan atau paksaan daripada majikan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Kesuma berkata, pekerja yang mendapati majikan menolak kelayakan cuti tahunan atau gaji semasa syarikat ditutup lebih dari hari kelepasan am boleh melaporkan perkara terbabit kepada Pejabat Tenaga Kerja berdekatan, mengikut peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Kenyataan ini bertujuan untuk melindungi hak pekerja dan memastikan setiap majikan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.