28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 101

Astro Shaw, Mirinda raikan Ramadan dengan berbagi kebahagiaan di rumah kebajikan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam semangat keberkatan Ramadan, Astro Shaw dan Mirinda mengambil kesempatan untuk menyebarkan kasih sayang dengan mengadakan majlis berbuka puasa yang amat bermakna bersama 40 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang, Selangor.

Majlis ini yang berlangsung penuh keceriaan dan kemesraan disempurnakan oleh Amy Gan, Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, bersama Norsalvina Alwee, yang turut menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada anak-anak yatim.

Bekerjasama dengan 7UP, Wonda Coffee, dan Goodday Charge, majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon terkenal dari filem Keluang Man seperti Nas Muammar Zar, Anwaar Beg Moghal, dan Shweta Sekhon, serta pelakon-pelakon dari filem Abah Saya Uncle Mike, Idan Aedan, Nor Merah, dan Umar Shakur.

Pelakon drama premium One Cent Thief 2 dan First Wives turut memeriahkan majlis, antaranya Azira Shafinaz, Syarul Ezani, dan Trisha Ooi.


Salah satu momen paling berharga pada majlis itu adalah kehadiran Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, individu yang menjadi inspirasi di sebalik filem Abah Saya Uncle Mike.

Uncle Mike hadir bersama tiga anak angkatnya, Rafei, Rasyid, dan Rahman, memberi sentuhan yang lebih mendalam kepada sambutan berbuka puasa ini.

Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata, bersama-sama dengan Etika, mereka berbesar hati dapat mengadakan inisiatif seperti ini pada bulan Ramadan.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat, tetapi juga memberi peluang kepada kami untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Kami berharap agar momen ini memberi inspirasi kepada semua,” katanya.


Mirinda tidak ketinggalan dalam meraikan semangat Raya dengan memperkenalkan treler rasmi Raya untuk filem Abah Saya Uncle Mike yang bertajuk Balik Rayaaahhh.

Treler itu mengisahkan perjalanan Uncle Mike bersatu semula dengan tiga anak angkatnya dalam suasana perayaan di kampung.

Bagi penggemar filem dan peminat, treler ini kini boleh ditonton di pelbagai platform media sosial.

Sementara itu, Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd Amy Gan berkata, kerjasama dengan Astro Shaw bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat Raya, tetapi juga untuk memastikan anak-anak di rumah kebajikan ini turut merasai keceriaan dan kehangatan perayaan.

“Kami percaya semangat Raya adalah tentang berkongsi kasih sayang dan kegembiraan bersama mereka yang tersayang,” katanya.


Sebagai sebahagian daripada kemeriahan Raya, Astro Shaw dan Mirinda juga mengadakan beberapa sesi interaktif di pasar raya terpilih di Lembah Klang.

Peminat dan penonton berpeluang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan barisan pelakon filem Keluang Man, Abah Saya Uncle Mike, dan drama premium One Cent Thief 2 serta First Wives.

Sesi ini turut memberikan peluang kepada 25 peminat pertama yang membeli produk jenama terlibat seperti Mirinda, 7UP, Wonda, dan Goodday Charge untuk bergambar dan mendapatkan autograf selebriti pujaan mereka.


Selain itu, sesi uji bakat untuk drama premium Bad Cop juga diadakan di lokasi pasar raya terpilih.

Seramai 50 individu pertama yang membeli produk bernilai RM20 dari jenama terbabit berpeluang untuk menyertai sesi uji bakat dan merebut peluang untuk muncul dalam drama Astro Originals yang akan datang.


Sebagai tanda terima kasih dan untuk menambah kegembiraan perayaan, Mirinda menawarkan hadiah e-Duit Raya berjumlah RM260,000.

Pelanggan yang membuat pembelian minimum RM15 produk Mirinda atau jenama lain yang mengambil bahagian berpeluang memenangi wang tunai ini.

Kempen ini berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2025, bagi memastikan perayaan ini dirai dengan penuh keceriaan.


Peminat filem dan drama juga boleh menantikan tayangan filem aksi Keluang Man yang akan menemui penonton di pawagam mulai 29 Mei 2025, serta filem Abah Saya Uncle Mike yang akan ditayangkan pada Ogos 2025.

Drama premium First Wives pula akan memulakan tayangan pada 11 April 2025 di Astro Go, On Demand, dan Astro Ria pada jam 9 malam.

Watak Izara buatkan Sweet Qismina tak ‘sweet’ dalam Dendam Seorang Madu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak antagonis yang penuh dengan sisi gelap dan konflik dalaman sering kali mencabar pelakon untuk mempersembahkan emosi yang kompleks.

Namun, bagi Sweet Qismina, yang terkenal dengan imej manis dan mesra, cabaran itu tidak menjadi penghalang.

Dalam drama Dendam Seorang Madu yang bersiaran di slot Tiara Astro Prima, Sweet membawakan watak Izara, seorang wanita yang dilanda masalah mental dan emosi, menyusuri jalan yang penuh dengan kebencian dan ketegangan.

Drama yang mula menemani penonton sejak 3 Mac 2025 ini mengangkat tema konflik kekeluargaan dan menampilkan perjalanan hidup seorang wanita yang berjuang dengan penyakit Borderline Personality Disorder (BPD) dan Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Dendam Seorang Madu disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di saluran Astro Prima (105).


Mengakui ini adalah pertama kali dia membawa watak sebegini, Sweet berkata, perasaannya tertekan dalam menghidupkan karakter Izara.

“Saya risau kalau tidak dapat membawa watak ini dengan baik, kerana bagi saya, watak antagonis seperti Izara mudah untuk dilihat sebagai mengada-ngada atau berlebihan tanpa sebab yang kukuh.

“Namun, selepas membuat kajian mendalam dan cuba memahami Izara, saya sedar bahawa dia sebenarnya menghidap BPD, dan itulah yang menjelaskan kelakuannya,” katanya.

Sweet turut meluahkan rasa empati terhadap Izara, yang menurutnya adalah individu yang tidak dapat mengawal penyakit mentalnya.

“Kalau kita faham, kita akan kasihan dengan mereka yang menghidap penyakit mental. Mereka bukan mahu menjadi seperti itu, tetapi keadaan mereka memaksa mereka untuk berbuat begitu,” katanya.


Dalam drama ini, Izara berusaha memisahkan suaminya, Faris, daripada wanita yang disayanginya, Rayhana.

Ketegangan semakin meningkat apabila Izara mula meyakini bahawa Rayhana adalah punca kehancuran rumah tangganya.

“Izara akan melakukan segala cara untuk memisahkan Faris dan Rayhana.

“Dia semakin membenci Rayhana dan menuduhnya menyebabkan semua yang berlaku. Trauma kehilangan Faris menjadi pendorong utamanya,” katanya.


Berkongsi pengalamannya bekerja dengan pengarah terkemuka, Riza Baharuddin, Sweet berkata, watak Izara memberinya pemahaman lebih mendalam tentang penyakit mental.

“Kalau saya tidak membawakan watak Izara, saya mungkin tidak akan tahu tentang BPD dan kesukaran yang dihadapi oleh individu yang mengalaminya.

“Apa yang penting adalah kita perlu memahami tanpa menghakimi. Jika seseorang mempunyai masalah mental, kita perlu memberi sokongan dan sabar untuk membantu mereka, bukan meninggalkan mereka,” katanya.


Sweet turut memberi nasihat kepada mereka yang menghidap masalah mental.

“Jika anda mempunyai masalah mental atau telah didiagnosis, jangan simpan sendiri. Luahkan dan cari bantuan.

“Jangan biarkan diri anda merasa sendirian. Bagi mereka yang menjaga pesakit, anda sebenarnya telah menyelamatkan nyawa mereka tanpa disedari.

“Terima kasih kepada anda yang sentiasa berada di sisi mereka,” katanya.


Berkongsi harapannya untuk drama Dendam Seorang Madu, Sweet berharap penonton dapat menikmati perjalanan cerita ini.

“Saya harap episod-episod seterusnya akan memberi banyak pengajaran kepada penonton, dengan plot twist yang menarik hati mereka.

“Terima kasih kepada semua yang telah menyokong karya kami. Saya berharap cerita ini dapat memberi kesan yang mendalam,” katanya.

Dendam Seorang Madu, terbitan MIG Production Sdn Bhd, disutradarai oleh Riza Baharuddin, yang terkenal dengan kejayaan mengangkat drama Andai Tiada Dia sebagai drama nombor satu di Astro pada tahun 2024.

Barisan pelakon utama termasuklah Hannah Delisha sebagai Puteri Rayhana, Redza Rosli sebagai Faris Alfian, Sweet Qismina sebagai Izara, dan Emelda Rosemila sebagai Hanum.

Lagu tema rasmi Tipu Helah nyanyian Hannah Delisha turut mengiringi perjalanan cerita yang penuh ketegangan ini.

Dendam Seorang Madu mengisahkan tentang Puteri Rayhana, seorang gadis yang terpaksa akur dengan kehendak neneknya untuk berkahwin dengan Faris Arfian demi mengubati ibunya yang sakit.

Namun, perkahwinan mereka mula terbongkar selepas Rayhana mendapati Faris sudah bernikah secara rahsia dengan Izara, pembantu peribadinya.

Konflik semakin memuncak apabila Faris meminta Rayhana merahsiakan perkahwinannya dengan Izara daripada ibunya, Hanum.

Astro santuni warga Pusat Jagaan Mahmudah, angkat tema “Pengorbanan Kerana Cinta” dalam Program Zayan Kongsi Rezeki

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro meneruskan komitmennya dalam memberi impak positif kepada masyarakat dengan menganjurkan program berbuka puasa bersama warga emas Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih.

Program Zayan Kongsi Rezeki yang diadakan dengan kerjasama rakan strategik, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., turut membabitkan agihan sebanyak 1,500 pek bubur lambuk kepada penghuni pusat jagaan dan masyarakat setempat.

Program ini juga turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular, termasuk penyampai radio Zayan, Duta RaRa Astro, Astro Awani, dan pelakon drama Seribu Tahun dan Honey Minta Maaf seperti Zizan Razak, Hun Haqeem, Anna Jobling, Alif Satar, Faizal Ismail, Nana Mahazan, Lin Ariffin, Anas Tahir dan Farhira.

Penyampai dari stesen Hitz, Mix, dan Lite juga turut hadir bagi memeriahkan suasana.

Dengan tema “Pengorbanan Kerana Cinta”, Astro mengangkat nilai-nilai kasih sayang, kesabaran, dan pengorbanan melalui drama premium Seribu Tahun.

Melalui program ini, Astro tidak hanya ingin menyajikan hiburan, tetapi turut mendorong penonton untuk merenung semula pengorbanan mereka dalam kehidupan, terutama pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

Pengurus Jenama Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, Astro berharap dapat memberi sinar harapan kepada warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah, sambil berkongsi rezeki dengan masyarakat sekitar.

“Kami terpanggil untuk menyantuni mereka yang memerlukan, serta membawa selebriti untuk menceriakan suasana dan menghiburkan mereka menjelang Syawal,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kebajikan Mahmudah Malaysia Muhammad Syafiq Mohaidin, menyatakan penghargaan kepada pihak media dan hiburan yang sentiasa menyokong pusat kebajikan seperti Pusat Jagaan Mahmudah yang memerlukan bantuan berterusan untuk memastikan kebajikan penghuni terjaga.

Seramai 30 orang sukarelawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut terbabit dalam menjayakan program ini dengan menyediakan juadah bubur lambuk ayam dan daging seawal 9 pagi.

Agihan bubur lambuk bermula pada jam 4.30 petang bagi persiapan berbuka puasa bagi mereka yang hadir.

Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Astro yang menekankan kepentingan kebajikan dan semangat saling membantu, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

YBK cemerlang laksana Program Sinar Kasih Ramadan 2025, 250 keluarga miskin tegar terima bantuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mengumumkan kejayaan Program Sinar Kasih Ramadan 2025 yang telah selesai dilaksanakan, memasuki tahun ke-17.

Dalam satu kenyataan, YBK berkata, program tahunan ini terus memainkan peranan penting dalam membantu keluarga miskin tegar mengharungi cabaran ekonomi, terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Program Sinar Kasih Ramadan bertujuan memberikan bantuan berbuka dan bersahur kepada keluarga yang memerlukan.

“Kriteria penerima adalah keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,198 dan mempunyai tanggungan lima orang atau lebih.

“Sejak ia dilaksanakan pada tahun 2008, seramai 3,999 keluarga telah mendapat manfaat daripada program ini,” kata kenyataan itu.

Pada tahun 2025, YBK berjaya memberi bantuan kepada 250 keluarga, melebihi sasaran awal yang hanya 200 keluarga, satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Setiap keluarga penerima menerima bantuan berupa sumbangan tunai sehingga RM600, bergantung kepada kriteria, serta Kotak Makanan yang mengandungi barangan asas keperluan.

“Barangan ini disediakan melalui kerjasama YBK dengan rakan strategik seperti Yayasan Food Bank Malaysia, Mamee-Double Decker Sdn. Bhd., Dutch Lady Food Industries Malaysia, dan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor).

“Agihan bantuan dilakukan berdasarkan senarai E-Kasih oleh ICU Selangor, sementara bantuan kepada keluarga selain dari senarai e-Kasih disalurkan melalui Yayasan Food Bank Malaysia.

“Proses penyerahan bantuan bermula seminggu sebelum Ramadan dan diselesaikan sepenuhnya pada pertengahan bulan,” katanya.

YBK berkata, agihan ini dijalankan secara langsung oleh kakitangan YBK bersama sukarelawan, bagi memastikan bantuan sampai tepat pada waktunya dan memberikan sentuhan mesra kepada keluarga penerima.

Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan, Datin Dr. Hajah Hartini Osman, turut hadir menyerahkan bantuan di daerah Hulu Selangor.

Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim, turut menyertai misi penyerahan bantuan di Hulu Langat, menunjukkan komitmen korporat dalam menyokong usaha murni ini.

“Keberhasilan program ini adalah hasil sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.

“YBK mengucapkan terima kasih kepada dermawan, rakan strategik, sukarelawan, serta organisasi yang menyokong dan menjayakan Program Sinar Kasih Ramadan ini.

“Setiap sumbangan, baik dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga, adalah bukti keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.

Selain memberikan bantuan material, program ini juga membawa mesej yang lebih besar iaitu memupuk semangat saling bantu-membantu dan menyemai kasih sayang antara sesama insan.

YBK yakin bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga miskin tegar dan menceriakan mereka sepanjang Ramadan serta menjelang Aidilfitri.

Melangkah ke hadapan, YBK komited untuk terus menjadi pemacu perubahan sosial bagi membasmi kemiskinan di Malaysia.

“Kejayaan Program Sinar Kasih Ramadan 2025 adalah bukti bahawa usaha bersama mampu memberikan impak yang besar.

“YBK berharap agar kerjasama dengan rakan strategik akan terus berkembang dan lebih banyak keluarga akan dapat dibantu pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Masjid Madani: Mercu tanda kesejahteraan dan warisan generasi akan datang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Masjid Madani yang sedang dibina dijangka akan menjadi simbol kesejahteraan, perpaduan, dan warisan berharga untuk generasi akan datang.

Pembinaan masjid ini bertujuan menyatukan jiwa dan komuniti dengan nilai-nilai Islam yang murni.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dalam ucapannya berkata, beliau telah membentangkan cadangan pembinaan masjid ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri bertanya mengenai nama masjid, dan saya memberitahunya bahawa kami telah mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk Masjid Jakel atau nama-nama sahabat Nabi Muhammad.

“Setelah berbincang dengan keluarga, kami sepakat memilih nama Masjid Madani,” kata Mohamed Faroz pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah.

Beliau berkata, nama “Madani” dipilih sebagai penghormatan kepada usaha kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dalam membangunkan masyarakat yang lebih adil, beradab, dan mengutamakan kepentingan semua lapisan masyarakat.

Nama Madani juga menggambarkan nilai-nilai Islam seperti ehsan, hormat, dan perpaduan.

Majlis pecah tanah itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serta Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mohamed Faroz juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen luar biasa yang ditunjukkan dalam merealisasikan pembinaan Masjid Madani.

Katanya, masjid ini bukan sekadar tempat ibadah, tetapi akan menjadi institusi penting yang memberikan warisan berharga kepada masyarakat dan generasi akan datang.

“Masjid ini akan menjadi pusat ibadah, pendidikan, dan kegiatan sosial yang menguatkan ummah dan menghidupkan syiar Islam.

“Selain itu, masjid ini juga akan memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat,” katanya.

Masjid Madani yang dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat, dijangka mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah dalam satu masa, termasuk 592 jemaah di ruang solat utama.

Selain ruang solat, masjid ini juga akan dilengkapi dengan dewan acara, pejabat, dan kemudahan asas yang lain.

Pembinaan masjid ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh pecah tanah dan akan menjadi salah satu mercu tanda penting bagi pembangunan syiar Islam di Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur.


Masjid Madani juga diharapkan dapat mengurangkan kesesakan jemaah di Masjid India dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, terutamanya pada setiap Jumaat dan musim perayaan.

Dengan pembinaan Masjid Madani, ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada umat Islam untuk menjalankan ibadah dengan lebih selesa, tetapi turut memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Gayong: Filem aksi angkat legasi Pengasas Silat Gayong, tayang di pawagam mulai 8 Mei 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejak pelancaran pada September 2024, “Gayong” menjadi antara naskhah filem tempatan yang paling dinantikan oleh peminat filem tanah air.

Diinspirasikan daripada kisah hidup Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), filem ini dijangka bakal mencuri perhatian penonton di pawagam seluruh negara pada 8 Mei 2025.

Membawakan watak utama sebagai ADMAR, pelakon popular Beto Kusyairy berkolaborasi dengan barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan Yayan Ruhian.

Filem ini, yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli, berjanji untuk membawa penonton menyelami perjuangan seorang tokoh persilatan yang bukan sahaja mempertahankan maruah bangsa, tetapi juga berjuang untuk tanah air.

Pengarah filem ini, Faisal Ishak berkata, “Gayong” bukan sekadar sebuah filem aksi, tetapi sebuah karya yang bertujuan untuk mengangkat warisan seni persilatan Melayu ke layar perak.

Menurutnya, filem ini memberikan penonton peluang untuk merasai semangat dan pengorbanan di sebalik setiap langkah dan gerakan silat yang dipersembahkan.

“Gayong bukan sahaja menawarkan aksi mendebarkan, tetapi lebih daripada itu. Kami mahu penonton memahami jiwa di sebalik setiap gerak langkah yang penuh makna dan falsafah mendalam yang diwariskan oleh tokoh seperti ADMAR,” katanya.


Menerbitkan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kehidupan seorang tokoh besar seperti ADMAR bukanlah satu tugas yang mudah.

Faisal turut berkongsi cabaran besar yang dihadapi dalam memastikan ketulenan cerita serta penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.

“Arwah ADMAR bukan sahaja seorang pendekar, tetapi seorang guru yang mendalami falsafah persilatan dan kehidupan.

“Oleh itu, kami perlu memastikan cerita ini menggambarkan semangat perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperkenalkan dan mempertahankan seni silat Gayong,” katanya.

Bagi memastikan filem ini dihasilkan dengan penuh kesungguhan, setiap pelakon telah menjalani latihan intensif bersama Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih silat yang berpengalaman.

Latihan tidak hanya membabitkan teknik silat, tetapi juga mendalami falsafah dan disiplin dalam setiap jurus silat Gayong.

“Latihan ini adalah langkah penting untuk memastikan setiap gerakan dan teknik dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap seni silat Gayong itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif “Gayong”, Khairul Anuar Latip berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan dan sokongan daripada ahli keluarga ADMAR, khususnya anak perempuan dan cucu arwah.

Mereka turut bekerjasama dalam penyelidikan dan mendapatkan nasihat untuk memastikan filem ini mencerminkan ketulenan cerita.

“Selain daripada keluarga, kami juga mendapat sokongan penuh daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).

‘Mereka sentiasa berhubung dengan kami, memberikan nasihat serta menghantar ahli-ahli silat untuk memastikan setiap gerakan silat yang ditampilkan di layar perak tidak lari daripada prinsip-prinsip asli silat Gayong,” katanya.


Walaupun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi, terutamanya dengan persaingan daripada filem-filem lain pada bulan Mei nanti, Khairul tetap optimis mengenai masa depan filem ini.

Menurutnya, filem “Gayong” mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik perhatian penonton.

“Harapan kami adalah filem ini mendapat sambutan yang luar biasa. Kami percaya ‘Gayong’ akan memberi inspirasi dan semangat juang kepada penonton, sambil mengangkat tokoh persilatan dan pahlawan tempatan yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara,” katanya.

Sinopsis “Gayong”
“Gayong” mengisahkan perjalanan hidup Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, yang tidak hanya mempertahankan maruah bangsa di gelanggang persilatan, tetapi juga bangkit mempertahankan tanah air ketika negara diancam oleh penjajah.

Filem ini adalah penghormatan terhadap legasi beliau dan perjuangan yang menghubungkan sejarah serta semangat juang yang tak ternilai harganya.

Prasarana sedia perkhidmatan cemerlang sempena Aidilfitri, lebih 4,000 kakitangan bertugas

editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh komitmen, lebih 4,000 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah ditugaskan untuk memastikan kelancaran operasi perkhidmatan awam sepanjang musim perayaan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata pihaknya sentiasa bersedia bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat Malaysia berada dalam keadaan terbaik, khususnya di Kuala Lumpur.

“Walaupun musim perayaan ini, perkhidmatan bas dan rel kami akan beroperasi seperti biasa.

“Kami telah menyediakan lebih 4,000 kakitangan untuk memastikan semua perkhidmatan berjalan lancar, agar pengguna dapat menikmati perjalanan yang selesa dan selamat sepanjang Hari Raya,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama media dan anak-anak yatim dari Rumah Kasih Nurul Hasanah di ibu kota, baru-baru ini.

Prasarana, yang mengendalikan sistem pengangkutan awam darat seperti bas, tren LRT, MRT, dan monorel, turut mengutamakan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh perayaan untuk memastikan orang ramai dapat menikmati perjalanan tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, dalam majlis sama, turut dipersembahkan tayangan eksklusif video bertajuk “Maaf” yang mengisahkan pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah terhadap anak tunggalnya, yang dilakonkan oleh pelakon hebat, Jalil Hamid.

Sinopsis Video “Maaf”
Video ini mengisahkan Pak Anjang, seorang bapa yang tegas dan garang, yang memiliki seorang anak perempuan tunggal bernama Baizura.

Setelah Baizura menjalani pembedahan serius bagi mengeluarkan darah beku di kepala, dia dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.

Ketegasan Pak Anjang yang selama ini mencipta jurang dalam hubungan mereka, akhirnya terserlah sebagai tanda kasih sayang yang mendalam.

Menjelang malam Hari Raya, Pak Anjang dengan penuh harapan mengharapkan Baizura untuk bangun dan memohon maaf darinya.

Harapan Pak Anjang bukan sekadar untuk kemaafan, tetapi lebih kepada melihat anaknya yang koma itu sedar semula dan dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri.

Melalui video ini, penonton diingatkan tentang erti pengorbanan, kasih sayang seorang ayah, dan pentingnya memohon kemaafan dalam kehidupan, terutamanya pada musim perayaan yang penuh makna ini.

Ambil tindakan tegas, MOTAC gantung lesen Hejira Travel hingga 31 Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lesen syarikat pengurusan umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, telah digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bermula 28 Februari lalu dan akan berterusan sehingga 31 Ogos 2025.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh penggantungan, syarikat berkenaan tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang urus niaga baru, termasuk pengiklanan atau jualan pakej umrah.

Selain itu, syarikat juga diwajibkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar oleh pelanggan serta memulangkan bayaran serta dokumen yang berkaitan dengan jemaah yang memilih untuk membatalkan tempahan mereka.

MOTAC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang ditetapkan dalam industri pelancongan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia terjamin.

Keputusan penggantungan lesen ini dibuat susulan dakwaan Hejira Travel gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci, yang menyebabkan kesulitan kepada pelanggan.

Dalam perkembangan berkaitan, MOTAC turut mengumumkan pembatalan lesen bagi syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd berkuat kuasa pada 28 Februari, berikutan insiden serius yang membabitkan operasi pakej memancing menggunakan bot laju hingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September 2024.

Akibat daripada insiden itu, 15 individu, termasuk warganegara Malaysia dan China, telah ditahan oleh pihak berkuasa Filipina.

Langkah tegas ini menunjukkan komitmen MOTAC untuk memastikan industri pelancongan di Malaysia beroperasi dengan penuh integriti dan mengutamakan kepentingan serta keselamatan rakyat.

CUCKOO Malaysia lancar Prospektus IPO, sasar kumpul RM184.8 juta untuk pengembangan pasaran

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CUCKOO International (MAL) Berhad, peneraju dalam penyewaan peralatan rumah dan produk penjagaan kediaman, telah melancarkan prospektus untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO).

CUCKOO menyasarkan untuk mengumpul sekitar RM184.8 juta melalui penerbitan 143,280,000 saham terbitan pada Harga IPO.

Langkah ini bertepatan dengan cadangan syarikat untuk disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada 30 April 2025.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, syarikat kini adalah pemain kedua terbesar dalam industri penyewaan peralatan rumah dan barangan isi rumah di Malaysia.

“Dengan pegangan pasaran kami yang dianggarkan sebanyak 19.6 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024, kami juga adalah peneraju pasaran dari segi jumlah pesanan aktif dan cawangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan hasil daripada IPO ini, CUCKOO Malaysia merancang untuk mengukuhkan kedudukan pasaran mereka melalui pengembangan produk, penambahan SKU produk, dan perluasan segmen pelanggan.

Selain itu, syarikat juga akan memperkukuhkan kehadiran dalam talian dan luar talian serta meningkatkan pasukan jualan dan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

Syarikat itu berkata, industri penyewaan peralatan rumah telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 14.4 peratus dari 2019 hingga 2024, melebihi kadar pertumbuhan pembelian langsung yang kurang daripada 10 peratus dalam tempoh yang sama.

“Kami melihat potensi besar dalam industri ini, dan IPO ini adalah langkah strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan jumlah saham yang akan diperbesar kepada 1,432,800,000 saham selepas penyenaraian dan Harga IPO, anggaran modal pasaran syarikat diunjurkan sekitar RM1.85 bilion.

Harga awal bagi Saham Terbitan yang ditawarkan di bawah tawaran runcit IPO ditetapkan pada RM1.29 sesaham, dengan harga akhir bagi Tawaran Runcit akan diumumkan selepas proses bidaan oleh pelabur institusi.

CUCKOO Malaysia merancang untuk memperuntukkan 56.7 peratus hasil IPO bagi pengembangan perniagaan sewaan, 21.6 peratus untuk pembayaran balik pinjaman bank, 2.7 peratus untuk pembukaan ‘Brandshops’, 3.0 peratus bagi peningkatan sistem IT, dan 5.4 peratus untuk pengembangan CUCKOO International (S) Pte Ltd.

Baki selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies, yang bertindak sebagai penasihat tunggal untuk IPO ini berkata, pihaknya menyokong penuh terhadap syarikat yang berani meneroka sempadan baharu.

“Kami berusaha untuk bekerja rapat dengan pelanggan kami bagi membantu mereka mencapai visi strategik jangka panjang melalui penyelesaian perbankan pelaburan khusus kami,” katanya.

Tempoh permohonan untuk Tawaran Runcit akan bermula pada Rabu dan berakhir pada 10 April 2025 pada jam 5 petang.

Dengan pelancaran prospektus ini, CUCKOO Malaysia mengukuhkan langkahnya dalam merancakkan lagi pertumbuhan syarikat melalui penyenaraian IPO yang bakal membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi di pasaran.