28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 22, 2025

Watak Izara buatkan Sweet Qismina tak ‘sweet’ dalam Dendam Seorang Madu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak antagonis yang penuh dengan sisi gelap dan konflik dalaman sering kali mencabar pelakon untuk mempersembahkan emosi yang kompleks.

Namun, bagi Sweet Qismina, yang terkenal dengan imej manis dan mesra, cabaran itu tidak menjadi penghalang.

Dalam drama Dendam Seorang Madu yang bersiaran di slot Tiara Astro Prima, Sweet membawakan watak Izara, seorang wanita yang dilanda masalah mental dan emosi, menyusuri jalan yang penuh dengan kebencian dan ketegangan.

Drama yang mula menemani penonton sejak 3 Mac 2025 ini mengangkat tema konflik kekeluargaan dan menampilkan perjalanan hidup seorang wanita yang berjuang dengan penyakit Borderline Personality Disorder (BPD) dan Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Dendam Seorang Madu disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di saluran Astro Prima (105).


Mengakui ini adalah pertama kali dia membawa watak sebegini, Sweet berkata, perasaannya tertekan dalam menghidupkan karakter Izara.

“Saya risau kalau tidak dapat membawa watak ini dengan baik, kerana bagi saya, watak antagonis seperti Izara mudah untuk dilihat sebagai mengada-ngada atau berlebihan tanpa sebab yang kukuh.

“Namun, selepas membuat kajian mendalam dan cuba memahami Izara, saya sedar bahawa dia sebenarnya menghidap BPD, dan itulah yang menjelaskan kelakuannya,” katanya.

Sweet turut meluahkan rasa empati terhadap Izara, yang menurutnya adalah individu yang tidak dapat mengawal penyakit mentalnya.

“Kalau kita faham, kita akan kasihan dengan mereka yang menghidap penyakit mental. Mereka bukan mahu menjadi seperti itu, tetapi keadaan mereka memaksa mereka untuk berbuat begitu,” katanya.


Dalam drama ini, Izara berusaha memisahkan suaminya, Faris, daripada wanita yang disayanginya, Rayhana.

Ketegangan semakin meningkat apabila Izara mula meyakini bahawa Rayhana adalah punca kehancuran rumah tangganya.

“Izara akan melakukan segala cara untuk memisahkan Faris dan Rayhana.

“Dia semakin membenci Rayhana dan menuduhnya menyebabkan semua yang berlaku. Trauma kehilangan Faris menjadi pendorong utamanya,” katanya.


Berkongsi pengalamannya bekerja dengan pengarah terkemuka, Riza Baharuddin, Sweet berkata, watak Izara memberinya pemahaman lebih mendalam tentang penyakit mental.

“Kalau saya tidak membawakan watak Izara, saya mungkin tidak akan tahu tentang BPD dan kesukaran yang dihadapi oleh individu yang mengalaminya.

“Apa yang penting adalah kita perlu memahami tanpa menghakimi. Jika seseorang mempunyai masalah mental, kita perlu memberi sokongan dan sabar untuk membantu mereka, bukan meninggalkan mereka,” katanya.


Sweet turut memberi nasihat kepada mereka yang menghidap masalah mental.

“Jika anda mempunyai masalah mental atau telah didiagnosis, jangan simpan sendiri. Luahkan dan cari bantuan.

“Jangan biarkan diri anda merasa sendirian. Bagi mereka yang menjaga pesakit, anda sebenarnya telah menyelamatkan nyawa mereka tanpa disedari.

“Terima kasih kepada anda yang sentiasa berada di sisi mereka,” katanya.


Berkongsi harapannya untuk drama Dendam Seorang Madu, Sweet berharap penonton dapat menikmati perjalanan cerita ini.

“Saya harap episod-episod seterusnya akan memberi banyak pengajaran kepada penonton, dengan plot twist yang menarik hati mereka.

“Terima kasih kepada semua yang telah menyokong karya kami. Saya berharap cerita ini dapat memberi kesan yang mendalam,” katanya.

Dendam Seorang Madu, terbitan MIG Production Sdn Bhd, disutradarai oleh Riza Baharuddin, yang terkenal dengan kejayaan mengangkat drama Andai Tiada Dia sebagai drama nombor satu di Astro pada tahun 2024.

Barisan pelakon utama termasuklah Hannah Delisha sebagai Puteri Rayhana, Redza Rosli sebagai Faris Alfian, Sweet Qismina sebagai Izara, dan Emelda Rosemila sebagai Hanum.

Lagu tema rasmi Tipu Helah nyanyian Hannah Delisha turut mengiringi perjalanan cerita yang penuh ketegangan ini.

Dendam Seorang Madu mengisahkan tentang Puteri Rayhana, seorang gadis yang terpaksa akur dengan kehendak neneknya untuk berkahwin dengan Faris Arfian demi mengubati ibunya yang sakit.

Namun, perkahwinan mereka mula terbongkar selepas Rayhana mendapati Faris sudah bernikah secara rahsia dengan Izara, pembantu peribadinya.

Konflik semakin memuncak apabila Faris meminta Rayhana merahsiakan perkahwinannya dengan Izara daripada ibunya, Hanum.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular