30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 24, 2025

Astro santuni warga Pusat Jagaan Mahmudah, angkat tema “Pengorbanan Kerana Cinta” dalam Program Zayan Kongsi Rezeki

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro meneruskan komitmennya dalam memberi impak positif kepada masyarakat dengan menganjurkan program berbuka puasa bersama warga emas Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih.

Program Zayan Kongsi Rezeki yang diadakan dengan kerjasama rakan strategik, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., turut membabitkan agihan sebanyak 1,500 pek bubur lambuk kepada penghuni pusat jagaan dan masyarakat setempat.

Program ini juga turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular, termasuk penyampai radio Zayan, Duta RaRa Astro, Astro Awani, dan pelakon drama Seribu Tahun dan Honey Minta Maaf seperti Zizan Razak, Hun Haqeem, Anna Jobling, Alif Satar, Faizal Ismail, Nana Mahazan, Lin Ariffin, Anas Tahir dan Farhira.

Penyampai dari stesen Hitz, Mix, dan Lite juga turut hadir bagi memeriahkan suasana.

Dengan tema “Pengorbanan Kerana Cinta”, Astro mengangkat nilai-nilai kasih sayang, kesabaran, dan pengorbanan melalui drama premium Seribu Tahun.

Melalui program ini, Astro tidak hanya ingin menyajikan hiburan, tetapi turut mendorong penonton untuk merenung semula pengorbanan mereka dalam kehidupan, terutama pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

Pengurus Jenama Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, Astro berharap dapat memberi sinar harapan kepada warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah, sambil berkongsi rezeki dengan masyarakat sekitar.

“Kami terpanggil untuk menyantuni mereka yang memerlukan, serta membawa selebriti untuk menceriakan suasana dan menghiburkan mereka menjelang Syawal,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kebajikan Mahmudah Malaysia Muhammad Syafiq Mohaidin, menyatakan penghargaan kepada pihak media dan hiburan yang sentiasa menyokong pusat kebajikan seperti Pusat Jagaan Mahmudah yang memerlukan bantuan berterusan untuk memastikan kebajikan penghuni terjaga.

Seramai 30 orang sukarelawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut terbabit dalam menjayakan program ini dengan menyediakan juadah bubur lambuk ayam dan daging seawal 9 pagi.

Agihan bubur lambuk bermula pada jam 4.30 petang bagi persiapan berbuka puasa bagi mereka yang hadir.

Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Astro yang menekankan kepentingan kebajikan dan semangat saling membantu, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular