editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mengumumkan kejayaan Program Sinar Kasih Ramadan 2025 yang telah selesai dilaksanakan, memasuki tahun ke-17.
Dalam satu kenyataan, YBK berkata, program tahunan ini terus memainkan peranan penting dalam membantu keluarga miskin tegar mengharungi cabaran ekonomi, terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Program Sinar Kasih Ramadan bertujuan memberikan bantuan berbuka dan bersahur kepada keluarga yang memerlukan.
“Kriteria penerima adalah keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,198 dan mempunyai tanggungan lima orang atau lebih.
“Sejak ia dilaksanakan pada tahun 2008, seramai 3,999 keluarga telah mendapat manfaat daripada program ini,” kata kenyataan itu.
Pada tahun 2025, YBK berjaya memberi bantuan kepada 250 keluarga, melebihi sasaran awal yang hanya 200 keluarga, satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Setiap keluarga penerima menerima bantuan berupa sumbangan tunai sehingga RM600, bergantung kepada kriteria, serta Kotak Makanan yang mengandungi barangan asas keperluan.
“Barangan ini disediakan melalui kerjasama YBK dengan rakan strategik seperti Yayasan Food Bank Malaysia, Mamee-Double Decker Sdn. Bhd., Dutch Lady Food Industries Malaysia, dan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor).
“Agihan bantuan dilakukan berdasarkan senarai E-Kasih oleh ICU Selangor, sementara bantuan kepada keluarga selain dari senarai e-Kasih disalurkan melalui Yayasan Food Bank Malaysia.
“Proses penyerahan bantuan bermula seminggu sebelum Ramadan dan diselesaikan sepenuhnya pada pertengahan bulan,” katanya.
YBK berkata, agihan ini dijalankan secara langsung oleh kakitangan YBK bersama sukarelawan, bagi memastikan bantuan sampai tepat pada waktunya dan memberikan sentuhan mesra kepada keluarga penerima.
Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan, Datin Dr. Hajah Hartini Osman, turut hadir menyerahkan bantuan di daerah Hulu Selangor.
Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim, turut menyertai misi penyerahan bantuan di Hulu Langat, menunjukkan komitmen korporat dalam menyokong usaha murni ini.

“Keberhasilan program ini adalah hasil sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
“YBK mengucapkan terima kasih kepada dermawan, rakan strategik, sukarelawan, serta organisasi yang menyokong dan menjayakan Program Sinar Kasih Ramadan ini.
“Setiap sumbangan, baik dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga, adalah bukti keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.
Selain memberikan bantuan material, program ini juga membawa mesej yang lebih besar iaitu memupuk semangat saling bantu-membantu dan menyemai kasih sayang antara sesama insan.
YBK yakin bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga miskin tegar dan menceriakan mereka sepanjang Ramadan serta menjelang Aidilfitri.
Melangkah ke hadapan, YBK komited untuk terus menjadi pemacu perubahan sosial bagi membasmi kemiskinan di Malaysia.
“Kejayaan Program Sinar Kasih Ramadan 2025 adalah bukti bahawa usaha bersama mampu memberikan impak yang besar.
“YBK berharap agar kerjasama dengan rakan strategik akan terus berkembang dan lebih banyak keluarga akan dapat dibantu pada tahun-tahun mendatang,” katanya.