24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 24, 2025

Masjid Madani: Mercu tanda kesejahteraan dan warisan generasi akan datang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Masjid Madani yang sedang dibina dijangka akan menjadi simbol kesejahteraan, perpaduan, dan warisan berharga untuk generasi akan datang.

Pembinaan masjid ini bertujuan menyatukan jiwa dan komuniti dengan nilai-nilai Islam yang murni.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dalam ucapannya berkata, beliau telah membentangkan cadangan pembinaan masjid ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri bertanya mengenai nama masjid, dan saya memberitahunya bahawa kami telah mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk Masjid Jakel atau nama-nama sahabat Nabi Muhammad.

“Setelah berbincang dengan keluarga, kami sepakat memilih nama Masjid Madani,” kata Mohamed Faroz pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah.

Beliau berkata, nama “Madani” dipilih sebagai penghormatan kepada usaha kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dalam membangunkan masyarakat yang lebih adil, beradab, dan mengutamakan kepentingan semua lapisan masyarakat.

Nama Madani juga menggambarkan nilai-nilai Islam seperti ehsan, hormat, dan perpaduan.

Majlis pecah tanah itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serta Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mohamed Faroz juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen luar biasa yang ditunjukkan dalam merealisasikan pembinaan Masjid Madani.

Katanya, masjid ini bukan sekadar tempat ibadah, tetapi akan menjadi institusi penting yang memberikan warisan berharga kepada masyarakat dan generasi akan datang.

“Masjid ini akan menjadi pusat ibadah, pendidikan, dan kegiatan sosial yang menguatkan ummah dan menghidupkan syiar Islam.

“Selain itu, masjid ini juga akan memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat,” katanya.

Masjid Madani yang dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat, dijangka mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah dalam satu masa, termasuk 592 jemaah di ruang solat utama.

Selain ruang solat, masjid ini juga akan dilengkapi dengan dewan acara, pejabat, dan kemudahan asas yang lain.

Pembinaan masjid ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh pecah tanah dan akan menjadi salah satu mercu tanda penting bagi pembangunan syiar Islam di Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur.


Masjid Madani juga diharapkan dapat mengurangkan kesesakan jemaah di Masjid India dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, terutamanya pada setiap Jumaat dan musim perayaan.

Dengan pembinaan Masjid Madani, ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada umat Islam untuk menjalankan ibadah dengan lebih selesa, tetapi turut memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular