28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

CUCKOO Malaysia lancar Prospektus IPO, sasar kumpul RM184.8 juta untuk pengembangan pasaran

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CUCKOO International (MAL) Berhad, peneraju dalam penyewaan peralatan rumah dan produk penjagaan kediaman, telah melancarkan prospektus untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO).

CUCKOO menyasarkan untuk mengumpul sekitar RM184.8 juta melalui penerbitan 143,280,000 saham terbitan pada Harga IPO.

Langkah ini bertepatan dengan cadangan syarikat untuk disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada 30 April 2025.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, syarikat kini adalah pemain kedua terbesar dalam industri penyewaan peralatan rumah dan barangan isi rumah di Malaysia.

“Dengan pegangan pasaran kami yang dianggarkan sebanyak 19.6 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024, kami juga adalah peneraju pasaran dari segi jumlah pesanan aktif dan cawangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan hasil daripada IPO ini, CUCKOO Malaysia merancang untuk mengukuhkan kedudukan pasaran mereka melalui pengembangan produk, penambahan SKU produk, dan perluasan segmen pelanggan.

Selain itu, syarikat juga akan memperkukuhkan kehadiran dalam talian dan luar talian serta meningkatkan pasukan jualan dan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

Syarikat itu berkata, industri penyewaan peralatan rumah telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 14.4 peratus dari 2019 hingga 2024, melebihi kadar pertumbuhan pembelian langsung yang kurang daripada 10 peratus dalam tempoh yang sama.

“Kami melihat potensi besar dalam industri ini, dan IPO ini adalah langkah strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan jumlah saham yang akan diperbesar kepada 1,432,800,000 saham selepas penyenaraian dan Harga IPO, anggaran modal pasaran syarikat diunjurkan sekitar RM1.85 bilion.

Harga awal bagi Saham Terbitan yang ditawarkan di bawah tawaran runcit IPO ditetapkan pada RM1.29 sesaham, dengan harga akhir bagi Tawaran Runcit akan diumumkan selepas proses bidaan oleh pelabur institusi.

CUCKOO Malaysia merancang untuk memperuntukkan 56.7 peratus hasil IPO bagi pengembangan perniagaan sewaan, 21.6 peratus untuk pembayaran balik pinjaman bank, 2.7 peratus untuk pembukaan ‘Brandshops’, 3.0 peratus bagi peningkatan sistem IT, dan 5.4 peratus untuk pengembangan CUCKOO International (S) Pte Ltd.

Baki selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies, yang bertindak sebagai penasihat tunggal untuk IPO ini berkata, pihaknya menyokong penuh terhadap syarikat yang berani meneroka sempadan baharu.

“Kami berusaha untuk bekerja rapat dengan pelanggan kami bagi membantu mereka mencapai visi strategik jangka panjang melalui penyelesaian perbankan pelaburan khusus kami,” katanya.

Tempoh permohonan untuk Tawaran Runcit akan bermula pada Rabu dan berakhir pada 10 April 2025 pada jam 5 petang.

Dengan pelancaran prospektus ini, CUCKOO Malaysia mengukuhkan langkahnya dalam merancakkan lagi pertumbuhan syarikat melalui penyenaraian IPO yang bakal membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi di pasaran.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular