editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, menuntut siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang lelaki India, Thirunavagasaru a/l Naraynan yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada September lalu.
Mewakili SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, penyerahan memorandum itu dilakukan sebagai tanda solidariti terhadap keluarga mendiang yang mendakwa berlaku unsur salah laku ketika mangsa berada dalam lokap.
Beliau berkata, kes ini menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan ketelusan penuh daripada pihak berkuasa bagi memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis.
“Menurut maklumat yang diperoleh daripada keluarga dan beberapa saksi dalam tahanan, mendiang yang berusia 37 tahun telah ditahan pada 12 September dan ditempatkan di lokap IPD Kuala Langat.
“Dua hari kemudian, beliau dikejarkan ke hospital tanpa pengetahuan keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa individu yang turut berada dalam tahanan pada masa itu memaklumkan kepada keluarga Thirunavagasaru kelihatan lemah dan tidak bermaya, dipercayai akibat dipukul.
Keluarga mangsa mendakwa mereka hanya dimaklumkan mengenai pemindahan dan pertuduhan di Mahkamah Sepang pada 18 September dan tidak lama selepas itu, Thirunavagasaru disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.
Dr Kalaivanar berkata, keluarga mendiang telah membuat laporan polis pada 11 Oktober bagi menuntut siasatan terhadap dakwaan penderaan dan kematian dalam tahanan terbabit.
Namun, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas atau panggilan untuk dirakamkan kenyataan oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya ada sesuatu yang tidak kena. Saksi-saksi yang berada dalam lokap mendakwa mangsa bukan sahaja dipukul, malah ada yang mengatakan beliau dikenakan renjatan elektrik.
“Ini satu perkara serius dan tidak boleh dibiarkan tanpa siasatan menyeluruh,” tegasnya.
Tambah beliau, pihaknya menuntut agar semua anggota yang bertugas di IPD Kuala Langat ketika kejadian, termasuk pegawai penyiasat dan anggota detektif, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku.
“Apabila seseorang ditahan di bawah jagaan polis, keselamatan dan nyawanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa.
“Jika kematian berlaku dalam tahanan, satu siasatan bebas atau inkues rasmi perlu diadakan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya lagi.

Dr Kalaivanar turut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) minggu depan bagi mendesak siasatan bebas dijalankan.
Keluarga mendiang yang turut hadir semasa penyerahan memorandum di Bukit Aman dilihat masih berduka dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan bagi pihak Thirunavagasaru.
“Keluarga ini bukan menuduh, tetapi mereka berhak tahu apa yang berlaku kepada anak mereka ketika berada dalam tahanan,” katanya.

